Pages

Friday, March 25, 2011

Negara 'hingar bingar' apabila ahli ibadat 'mengundur diri'!

Dalam pemikiran Islam, manusia didatangkan ke dunia bagi melaksanakan beberapa tugas.
Menurut Imam Raghib al-Asfahani, tugas-tugas tersebut ialah ibadah, khilafah dan ‘imarah. Dalil kenyataan ini ialah nas-nas al-Quran.
Firman Allah (Al-Zariyat : 56) :
ﭳ ﭴ ﭵ ﭶ ﭷ ﭸ ﭹ
Maksudnya, “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”.
Ini dalil bagi tugas pertama, iaitu ibadah.
Firman Allah lagi (al-Baqarah : 30) :
ﭑ ﭒ ﭓ ﭔ ﭕ ﭖ ﭗ ﭘ ﭙ
Maksudnya, “Dan (ingatlah) ketika tuhanmu berfirman kepada para malaikat : “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”.
Jelas sekali, manusia diciptakan untuk menjadi khalifah, yakni penguasa di dunia.
Seterusnya firman Allah (Hud : 61) :
ﯻ ﯼ ﯽ ﯾ ﯿ ﰀ
Maksudnya, “Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya”.
Ini dalil bagi ‘imarah yang maksudnya memakmurkan.Yakni memakmurkan bumi.
Kesimpulannya, manusia dihantar ke dunia ini semata-mata untuk melaksanakan ketiga-tiga tugas ini, ibadah, khilafah dan ‘imarah.
Di sini ada satu persoalan penting. Apa kaitan ibadah dengan khilafah dan 'imarah?
Fungsi ibadah
Ibadah dalam pemikiran Islam umpama kem latihan.
Dalam ‘kem’ ini, manusia dilatih dengan pelbagai bentuk latihan. Tujuan kesemua latihan ini ialah membersihkan jiwa manusia dan mengisinya. Iaitu, membersihkannya dari segala sifat mazmumah (tercela), kemudiannya mengisi atau menghiasinya dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji).
Setiap kem latihan berkonsepkan ‘melatih dan mempersiapkan diri untuk melaksanakan sesuatu tugas’.
Demikianlah juga halnya dengan ibadah dalam Islam.
Umat Islam dimasukkan ke dalam ‘kem ibadah’, adalah untuk melatih dan mempersiapkan diri mereka untuk melaksanakan suatu tugas besar.
Soalnya, apakah tugas tersebut?
Di sini, berlaku kepincangan besar!
Umat Islam yang taat, termasuk golongan ahli ibadat, ramai yang dilihat tidak sedar untuk apa sebenarnya mereka diwajibkan memasuki ‘kem ibadat’ .
Apa yang mereka tahu, mereka diwajibkan memasuki ‘kem ibadat’. Tujuan mereka dimasukkan ke situ, ialah membersihkan jiwa mereka. Dengan jiwa yang bersih, mereka akan diredhai tuhan, mereka akan memperolehi kebahagiaan di akhirat.
Itu sahaja yang tergambar dalam kesedaran mereka.
Ertinya, mereka memahami, tujuan mereka disuruh menyucikan jiwa, ialah hanya supaya jiwa mereka suci. Hanya sekadar itu sahaja.
Kesucian jiwa, pada mereka, adalah tujuan terakhir dari pensyariatan ibadah. Mereka gagal memahami, bahawa dalam pemikiran Islam, penyucian jiwa itu adalah satu persiapan untuk suatu tugas yang besar!
Barangkali, punca terbentuknya gambaran sedemikian ialah kealpaan mereka terhadap dua lagi tugas manusia, iaitu khilafah dan ‘imarah.
Bila disebut tujuan kedatangan manusia ke dunia, rata-rata menyebut, tujuannya ialah untuk beribadat kepada Allah. Maka, tidak hairanlah jika umat Islam secara umumnya, bersikap pasif dan mengundur diri dari medan keduniaan dan kebendaan.
Kalau umat Islam yang taat menusukkan ke dalam kepala mereka tiga serangkai ini, ibadah, khilafah dan ‘imarah, tidak dapat tidak, akan bermain dalam kepala mereka satu persoalan. Iaitu persoalan yang dinyatakan di atas tadi, apa kaitannya ibadah dengan khilafah dan ‘imarah?
Mengapa disamping disuruh beribadah, mereka juga diperintahkan menjadi khalifah dan memakmurkan dunia?
Jawabnya, ibadah itu adalah untuk melatih manusia menjadi baik. Untuk membersihkan jiwa mereka daripada sifat-sifat keji. Untuk mengisi jiwa mereka dengan sifat-sifat yang terpuji.
Tujuan semua ini ialah untuk mempersiapkan mereka menjalankan tugas khilafah dan ‘imarah! (Lihat Manhaj al-Hadharah al-Insaniyyah Fi al-Quran karangan Dr.Said Ramadhan al-Buti, hlm.24 dan seterusnya).
Inilah kepincangan besar!
Setelah mereka yang taat ini bertungkus lumus membersihkan jiwa dengan ibadah, dan akhirnya menjadi manusia yang baik, mereka hanya ‘berdiam diri’ dan hanya menunggu datangnya mati!
Tugas khilafah dan ‘imarah-yang menjadi sebab mengapa ibadah diwajibkan-dibiarkan kepada manusia-manusia yang tidak bersih hatinya dan kotor jiwanya.
Samalah seperti tentera yang menjalani pelbagai latihan dan mempelajari berbagai kemahiran dalam kem latihan.
Setelah tamat latihan, mereka hanya berpeluk tubuh. Tugas mempertahankan negara dan mengawal perbatasan di serahkan kepada manusia yang lemah dan tidak terlatih.
Masyarakat akan rugi dan pincang, penyelewengan akan merata, bila manusia yang terlatih untuk memikul tanggungjawab khilafah dan ‘imarah, berundur dan menarik diri dari medan!
Suasana ini menyumbang kepada wujudnya apa yang dinyatakan sebagai ‘masalah tamadun’.
Dalam sejarah peradaban manusia, seringkali kemajuan tamadun menjadi bala kepada manusia. Kemajuan dalam pelbagai segi kehidupan dan ilmu keduniaan, menuntun mereka yang berkuasa ke arah kezaliman dan berlaku biadap ke atas kemanusiaan.
Punca semua ini ialah hawa nafsu manusia.
Inilah akibatnya apabila mereka yang menerajui tamadun tidak terdidik jiwa mereka dengan ibadah.(Lihat Manhaj al-Hadharah al-Insaniyyah Fi al-Quran, hlm.22)
Sudah tiba masanya orang-orang Islam yang patuh dan taat ini mengubah persepsi mereka terhadap kewajipan beribadah.

Mereka mesti sedar ibadah adalah 'kem latihan'. Kem yang melatih dan mempersiapkan mereka bagi memikul tugas khilafah dan 'imarah.

Atau paling kurang, sudah sampai ketikanya, rakyat sekeliannya disedarkan bahawa 'graduan-graduan kem ibadah' inilah yang sepatutnya mereka angkat menjadi peneraju negara!

Watak-watak yang sedang berpencak di 'gelanggang kuasa' juga perlu tahu, masanya sudah tiba untuk mereka menyedari kepentingan ibadat bagi para penguasa.

Marilah sama-sama kita hentikan 'hingar bingar' yang menyerabutkan jiwa dan mengusutkan fikiran ini...








No comments:

Post a Comment