Pages

Sunday, January 30, 2011

Situasi semasa Mesir : Kelantangan, keberanian dan ketegasan al-Qaradhawi!

Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syaikh Yusuf Qaradhawi menyeru Presiden Mesir, Husni Mubarak berundur 'dengan kedua-dua kakinya' secara sukarela, sebelum beliau diundurkan secara paksa.

Al-Qaradhawi menyifatkan regim Husni Mubarak sebagai tidak sedar, tidak faham, buta, pekak dan bodoh.
Beliau berkata kepada Husni Mubarak melalui siaran satelit al-Jazeera “berundurlah wahai Mubarak andainya di dalam hati kamu ada sebesar zarah sifat rahmat (kasihan belas) atau dalam kepala kamu sebesar zarah fikiran”.
Dalam masa yang sama, beliau meminta Mubarak kasihankan dirinya dan keluarganya, kerana jika pemerintahan itu satu ghanimah (harta rampasan),maka sudah cukup untuk Mubarak memerintah selama 30 tahun. Sekiranya ia merupakan satu bebanan, 30 tahun juga sudah memadai untuk Mubarak memikul bebanan itu.
Beliau turut menasihatkan Mubarak  supaya berundur daripada kerajaan dan berpindah meninggalkan Mesir kerana Mesir telah kerugian berbilion-bilion harta benda.
Beliau dengan tegas menyatakan, “sudah tiada tempat bagi kamu wahai Mubarak, aku mahu supaya kamu keluar dengan kedua-dua kaki kamu supaya kamu dihukum dan dibicarakan di Mahkamah Awam, bukannya Mahkamah Tentera yang kamu tubuhkan untuk menghukum musuh-musuh kamu, dimana kamu telah menghukum mereka dengan hukuman yang zalim di bawah peruntukan Undang-undang Kecemasan.
Sesungguhnya bagi setiap orang yang zalim ada kesudahannya dan tiada sesiapa pun yang mampu menentang sejarah”.
Qaradhawi menganggap Mubarak sebagai tidak faham mesej rakyat apabila tampil dengan ucapan yang menunjukkan bahawa beliau tidak sedar dengan apa yang sedang berlaku. Beliau,menurut Qaradhawi, berada pada alam lain, bukannya alam kita dan tidak sedar tentang orang-orang yang kelaparan atau tercedera”.
Beliau tertanya-tanya apakah faedah pembubaran kerajaan Mesir yang dilakukan Mubarak, sedangkan beliau selaku Presiden Mesir tidak menyebut apa-apa tentang pembubaran parlimen dan pemansuhan Undang-undang Kecemasan.
Kebangkitan rakyat Mesir 'kebangkitan yang diberkati'
Dalam ucapannya, Qaradhawi mengucapkan syabas kepada rakyat Mesir di atas 'kebangkitan yang diberkati' bagi melawan suasana pincang yang mereka sudah lama bersabar.
Sekian lama mereka bersabar sedangkan mereka melihat pihak-pihak tertentu  merompak kekayaan negara dan menikmatinya, sedangkan mereka sebagai rakyat tidak memiliki sesuap makanan.
Qaradhawi menyifatkan kebangkitan rakyat Mesir sebagai kebangkitan yang aman tanpa menggunakan senjata yang bertujuan menuntut kehidupan yang mulia dan sesuap makanan halal, tetapi tiba-tiba dikejutkan dengan peluru hidup dari pasukan keselamatan yang menyebabkan kematian berpuluh-puluh nyawa.
Beliau menegaskan bahawa para demonstran yang sebenar tidak akan terlibat dalam perbuatan merompak harta benda awam, sambil menasihatkan mereka supaya “jangan sekali-kali kamu menghulurkan tangan kamu ke arah mana-mana harta milik institusi awam atau khas, kerana perbuatan itu adalah haram".
Disamping itu, beliau turut melahirkan rasa bangga dan penghargaannya kepada tentera Mesir, sambil meminta pihak tentera melindungi Mesir pada masa-masa akan datang, tanpa masuk campur dalam soal pemerintahan, dan menyerahkan soal pemerintahan kepada rakyat bagi membolehkan Presiden baru Mesir dipilih melalui saluran demokrasi.
Sumber :http://aljazeera.net/NR/exeres/082094F5-1D75-4E96-99A5-671AD3180A51.htm?GoogleStatID=22

Sunday, January 23, 2011

Duhai Insan, yang satu jangan jadikan dua, yang dua jangan gunakan satu!


Syaikh al-Mujahid al-Faqih Mustafa Siba'ie

Allah menciptakan bagi setiap insan sepasang mata…namun malangnya, kebanyakan manusia tidak melihat melainkan dengan sebiji mata!

Dia menciptakan bagi setiap insan satu lidah dan dua telinga…namun kebanyakan manusia bercakap dengan 'dua' lidah, dan mendengar dengan satu telinga!

Dia menciptakan bagi setiap insan dua tangan; satu tangan untuk ia gunakan bagi membantu dirinya; dan satu lagi tangan untuk ia membantu orang lain…Namun malang sekali, kebanyakan manusia tidak menggunakan melainkan satu tangan!

Dia menciptakan bagi setiap insan dua kaki; satu kaki untuknya mengejar dunia; dan satu lagi kaki untuk mengejar akhirat…namun malang, kebanyakan manusia tidak menggunakan melainkan sebelah kaki!

Dia menciptakan bagi setiap manusia satu hati yang menanggung bebanan hidupnya yang pendek…namun malang, manusia sengaja mendatangkan bebanan ke atas diri mereka yang tidak mampu ditanggung oleh beberapa hati!

Dia menjadikan bagi setiap insan satu usia, lantas manusia mensia-siakan usia seakan-akan mereka memiliki seratus usia!

Dia telah menentukan ke atas setiap insan satu kematian, tetapi manusia membiarkan-disebabkan kejahilan-diri mereka mati setiap hari!...

*****
Indahnya kata-kata...alangkah mendalamnya pengamatan penuturnya...Ya, penuturnya adalah Syaikh al-Mujahid al-Faqih, Dr. Mustaffa Siba'ie rahimahullah dalam Hakaza 'Allamatni al-Hayah.

Semua orang tahu manusia memiliki sepasang mata, dua kaki dan tangan, dua telinga...semua tahu manusia dianugerahi satu lidah, satu hati, satu usia dan satu kematian...namun tidak ramai yang mampu mencungkil makna dan pengamatan di sebaliknya...

Semoga Allah merahmatimu wahai Syaikh al-Mujahid al-Faqih...

Rasailah kemanisan dan kesyahduannya...


Monday, January 17, 2011

'Berhala' Besar Tunisia Tewas Di Tangan Penjual Sayur!

Kebiasaannya, sesuatu peristiwa besar seperti revolusi dicetuskan oleh tokoh besar masyarakat atau pemimpin agung.

Namun siapa sangka, kebiasaan itu tidak berlaku dalam Revolusi Rakyat di Tunisia baru-baru ini yang menyaksikan penggulingan diktator, Ben Ali.

Siapa sangka, pencetus revolusi besar dan bersejarah dalam dunia Arab moden itu, hanyalah seorang penjual sayur.

Akibat kecewa dengan salah guna kuasa kerajaan pimpinan Ben Ali dan gejala pengangguran di Tunisia, seorang pemuda yang bekerja sebagai penjual sayur, Muhammad al-Buazizi, yang juga graduan universiti bertindak membunuh diri dengan membakar dirinya.

Kejadian tragis ini telah mencetuskan Revolusi Rakyat Tunisia yang menyaksikan kejatuhan Ben Ali,74 yang berkuasa sejak 1988-2011.

Ben Ali 'Berhala' Terbesar

Menariknya,kejatuhan Ben Ali ini dianggap oleh ulama terkenal dunia, Syaikh al-Qaradhawi sebagai kejatuhan 'taghut dan berhala terbesar, (bernama) Hubal".

(Hubal adalah salah satu berhala yang disembah orang-orang Arab sebelum Islam. Ia berbentuk manusia yang patah lengannya, lalu orang-orang Arab membuatkan untuknya lengan daripada emas).

Beliau juga mengumpamakan orang-orang kanannya sebagai berhala al-Lat, al-'Uzza dan Manat yang menjadi sembahan orang-orang Arab jahiliah.(Lihat http://www.onislam.net/arabic/newsanalysis/special-folders-pages/tunisia/127860-2011-01-16-10-12-27.html)

Jika dilihat rekod Ben Ali sepanjang memerintah Tunisia, kita dapat memahami mengapa beliau dianggap sedemikian oleh ulama terkenal itu.

Semasa pemerintahan beliau, wanita-wanita Tunisia dilarang mengenakan tudung di tempat-tempat awam, sekolah dan universiti serta pejabat-pejabat kerajaan.

Beliau juga mewajibkan 'Sistem Kad' bagi sesiapa yang bersolat di masjid. Melalui sistem ini, setiap orang yang bersolat di masjid diberikan kad yang akan ditandatangani sebelum solat dan sebaik sahaja selesai bersolat.

Masjid juga hanya dibuka beberapa minit sebelum solat dan ditutup segera sebaik selesai solat.

Bagi tokoh akademik dan pemikir Tunisia, Nuruddin Mukhtar al-Khadimi, kejatuhan Ben Ali akan menumbuhkan semula ciri-ciri keislaman Tunisia yang sekian lama ditekan oleh Ben Ali sepanjang 23 tahun memerintah secara kuku besi.

Kejatuhan Ben Ali yang memenangi Pilihanraya Presiden Tunisia dengan mendapat 99.02% undi itu, dijangka membuka lembaran baru sejarah Tunisia!

Friday, January 14, 2011

Agenda Perubahan : Masalah Orang Yang Mahu Merubah.

Semua orang mendambakan perubahan di tanah air sendiri. Tetapi, tidak semua tahu bagaimana perubahan itu boleh dicetuskan. Dan tidak semua melakukan tindakan yang betul dalam mengusahakan sebuah perubahan.
Inilah dua masalah agenda perubahan. Orang yang mahu mencetuskan perubahan, tidak tahu bagaimana cara mencetuskan perubahan. Satu lagi masalah, tindakan yang tidak betul dalam menuntut perubahan.
Dua persoalan ini dirungkaikan oleh fakta-fakta berikut.
Pertama, kaedah umum berkenaan perubahan ialah, perubahan bukan pemberian pemerintah kepada rakyat. Pemerintah tidak akan membuat perubahan dengan mudah.
Perubahan sebaliknya berlaku hasil tuntutan dan desakan rakyat. Inilah yang berlaku di seluruh dunia hari ini. Perubahan yang berlaku di banyak negara di dunia tidak pernah diberikan secara percuma oleh pemerintah.
Lebih dahsyat, ada pemimpin yang enggan berubah walaupun didesak majoriti rakyat seperti yang berlaku di Ivory Coast.
Justeru, adalah silap rakyat sekadar mengharapkan perubahan akan berlaku tanpa mereka menuntut dan mendesak.
Inilah kaedah membuat perubahan.
Dengan sebab itu, saya kurang bersetuju perubahan HANYA dilakukan dengan cara rakyat sekadar memberi kesedaran kepada pemimpin tentang tanggungjawab mereka melakukan perubahan.
Tidak cukup sekadar itu. Rakyat sebaliknya perlu mendesak dan menuntut perubahan. Inilah yang berlaku di negara-negara maju. 
Kedua, perubahan hanya akan berlaku bila wujud dua elemen dalam masyarakat, iaitu kesedaran rakyat akan keperluan perubahan; dan usaha mereka dalam melakukan perubahan.

Rakyat yang hanya sedar tentang kepincangan dalam negara, tetapi hanya berpeluk tubuh, tidak akan berjaya mencetuskan perubahan.

Inilah dasar atau kaedah agenda perubahan.

Kepada yang mahukan perubahan, inilah jalannya!

Sunday, January 9, 2011

Dengan Apa Anda membeli Syurga?

Cerita Syaidina Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu tentang Syaidina Usman radhiyallahu ‘anhu, benar-benar mengajak kita berfikir sejenak.

Abu Hurairah r.a berkata ketika memperihalkan tentang Syaidina Usman r.a :

اشترى عثمان الجنة من النبي صلى الله عليه وسلم مرتين..

Terjemahan :  [Syaidina Usman r.a] telah ‘membeli’ syurga dari Nabi s.a.w sebanyak dua kali…

Pada titik ini, jika kita amati kata-kata Abu Hurairah r.a ini, pasti tercetus soalan, ‘dengan apakah Syaidina Usman membeli syurga?’.

Ya, syurga boleh ‘dibeli’ dengan banyak benda…

Ia boleh ‘dibeli’ dengan dua rakaat yang ditunaikan dengan khusyuk pada malam hari…

Ia boleh ‘dibeli’ dengan kata-kata yang benar bagi menyanggah orang yang zalim atau membela orang yang dizalimi…

Syurga juga boleh ‘dibeli’ dengan berpuasa pada jalan Allah pada hari yang panas…

Ya benar wahai teman, alangkah banyaknya kaedah ‘membeli’ syurga…

Tetapi, di antara banyak-banyak benda ini, dengan apakah Syaidina Usman r.a ‘membeli’ syurga?

Jawapannya ada pada Abu Hurairah r.a. Beliau menyambung :

حين حفر بئر رُوْمة وحين جهز جيش العسرة

Terjemahan : [iaitu] ketika [beliau] menggali perigi Rumah dan ketika menaja tentera-tentera ‘usrah (getir).

Hadis ini di rekodkan oleh al-Hakim.

Telaga Rumah adalah telaga lama yang telah wujud sejak zaman jahiliyyah. Ia kemudiannya dibeli oleh Syaidina Usman r.a dan diwakafkan.

Telaga ini masih wujud hingga sekarang dan terletak di sebelah barat Masjid Qiblatain. Sekarang ia terkenal dengan nama Bi’r Usman atau Telaga Usman.

Yang dimaksudkan dengan tentera ‘usrah ialah tentera-tentera yang terlibat dalam perang Tabuk.

Dalam kedua-dua urusan ‘pembelian’ syurga ini serta urusan-urusan ‘pembelian’ syurga  yang lain, Syaidina Usman menggunakan kaedah yang jarang dilakukan oleh orang lain… iaitu dengan ‘jihad harta’.

Syaidina Usman salah seorang yang dijamin masuk syurga…seorang sahabat yang dimalui oleh para malaikat…

Kalau Syaidina Usman r.a membeli syurga dengan ‘jihad harta’ dan cara-cara lain yang banyak, maka bagaimana dengan dirimu wahai teman…dengan apakah dikau membeli syurga?

Friday, January 7, 2011

Masalah : Penyelesaiannya pada bertenang!

Banyak masalah yang datang, sebenarnya tidak serumit yang kita bayangkan. Masalah yang datang itu, penyelesaiannya sebenarnya mudah. Atau paling kurang, ada penyelesaiannya.

Tapi, ia menjadi rumit, bila kita cepat panik. Mudah melenting. Cepat melatah. Gagal mengawal perasaan. Akhirnya, fikiran menjadi buntu. Minda bercelaru. Penyelesaian gagal ditemu!

Kalau kita bertenang dan tarik nafas panjang-panjang bila dikunjungi masalah, fikiran kita akan bertemu dengan penyelesaian kepada masalah itu. Jika penyelesaian belum ditemui, kita boleh berbincang dengan orang yang mempunyai buah fikiran dengan tenang dan waras.

Kisah Lelaki Buta Dengan Kanak-kanak Nakal

Amati kisah ini, kisah seorang lelaki buta.

Setiap kali lelaki buta ini lalu di hadapan kanak-kanak, mereka akan mengekorinya sambil berkata beramai-ramai, "orang buta...orang buta...orang buta".

Si lelaki buta menjadi bingung. Bingung memikirkan cara menghentikan ejekan kanak-kanak nakal itu. Dia berfikir, apakah dia perlu memukul mereka, atau apa sebenarnya yang perlu dilakukannya.

"Jika aku pukul mereka, tentu mereka akan semakin galak mengejekku", bisik si buta.
Pada waktu itu, dia terfikir satu cara penyelesaian.

Dia berhenti berjalan lalu berkata kepada kanak-kanak yang mengejeknya, "terima kasih adik-adik semua. Pak Cik suka mendengar kata-kata adik-adik itu. Banyakkan lagi berkata begitu, nanti Pak Cik akan beri setiap orang 2 ringgit", ujar si lelaki buta.

Kanak-kanak itu apa lagi, mereka pun mengejek si lelaki buta itu dengan penuh semangat sebab hendakkan 2 ringgit yang dijanjikan. 

Sambil kanak-kanak itu mengejek-ngejeknya, si lelaki buta tadi memberikan setiap daripada mereka 2 ringgit seperti yang dijanjikan.

Pada hari yang lain, ketika lalu di hadapan kanak-kanak itu, si buta berkata kepada mereka, "lepas ini, Pak Cik tidak akan beri lagi kepada kamu 2 ringgit!". Kanak-kanak itu pun apa lagi, mereka berkata dengan sebulat suara, "kalau begitu, kami tidak akan ejek Pak Cik lagi selepas ini".

Sejak hari itu, si lelaki buta itu bebas berjalan di mana-mana tanpa ada lagi kanak-kanak yang mengejeknya.

Andai si buta tadi gagal mengawal emosinya bila diejek kanak-kanak nakal, pasti tongkatnya akan singgah di kepala mereka. Waktu itu, mereka bukan akan berhenti mengejek, sebaliknya makin ghairah mengejek.

Barangkali, inilah antara sebabnya kita diminta bersabar terutamanya ketika mula-mula ditimpa masalah.

Dengan bersabar, fikiran tidak bercelaru. Hati tidak berkecamuk. Jika demikian, penyelesaian mudah ditemui.







Thursday, January 6, 2011

‘UNIVERSITI RUMAHTANGGA’ GANTI KURSUS PERKAHWINAN!!

Oleh : Dr A'idh al-Qarniy

Kita perlukan sebuah Universiti Rumahtangga!. Universiti tempat di mana diajar seni interaksi antara suami dengan isterinya, antara isteri dengan suaminya. Tempat diajar subjek kehidupan rumahtangga dan kaedah hidup bersama.

Di Universiti Rumahtangga ini, semua ini akan diajar oleh tenaga-tenaga pengajar yang mempunyai pengalaman luas dan eksperimen yang panjang  tentang pergaulan yang baik. Tenaga pengajar yang mempunyai kepakaran dalam menyelesaikan masalah rumahtangga.

Di universiti ini juga, akan diadakan kursus-kursus bagi pemuda pemudi sebelum mereka berkahwin, supaya mereka mempelajari tentang kehidupan rumahtangga yang terpandu, berdasarkan petunjuk Islam dan eksperimen yang betul dan matang.

Jika ini menjadi kenyataan, di waktu itu, seseorang pemuda dan pemudi itu, tidak akan berkahwin, melainkan setelah mengetahui sepenuhnya cara-cara interaksi, bagaimana menghormati perasaan pasangan dan menunaikan hak-haknya.

Di waktu itu, berakhirlah kebanyakan masalah rumahtangga yang kita hadapi. Tamatlah tragedi sosial yang kita alami seperti perceraian, pemulauan, pertengkaran, pengabaian ke atas anak-anak, pendidikan anak-anak yang tidak sempurna dan sebagainya.

Pengurusan rumahtangga antara pemikiran Islam dan Barat

Saya ada membaca beberapa buku tulisan penulis barat berkenaan pengurusan rumahtangga. Saya dapati, banyak pemikirannya wujud dalam agama kita yang suci. Tetapi tidak dihidupkan di dalam kehidupan kita. Ia hanya wujud di dalam buku sahaja.

Maka, berlakulah dalam masyarakat kita keganasan sosial dan rumahtangga, penderaan dan kerengganan yang berakhir dengan perceraian, keruntuhan institusi kekeluargaan dan pengabaian terhadap anak-anak.

Sekadar memberi nasihat secara lisan kepada manusia, tidak memadai bagi memastikan mereka melaksana dan patuh kepada pemikiran-pemikiran yang bernas dan ilmu-ilmu yeng bermanfaat.

Bahkan, sepatutnya perlu ada latihan amali dan  pengamalan praktikal di lapangan, sama seperti kursus pidato, pengurusan dan perniagaan.

Dalam buku The Power Of Patience (Kekuatan Sabar), karangan M. J. Ryan, penulis menyebut, terdapat sekumpulan pelajar yang memiliki kadar kecerdikan yang pertengahan, melatih diri mereka bersabar. Dalam masa sama, terdapat sekumpulan pelajar yang pintar, yang tidak menerima latihan kesabaran diri.

Kemudian, kedua-dua kumpulan pelajar ini berkahwin. Didapati, peratusan perceraian di kalangan pelajar yang melatih diri mereka bersabar, begitu kecil. Adapun di kalangan pelajar pintar yang tidak melalui latihan kesabaran diri, peratusan perceraian di kalangan mereka meningkat kepada 50%!!.

Kita perlukan latihan-latihan praktikal kehidupan rumahtangga sebelum memasuki alam perkahwinan, supaya kita memasuki alam itu dalam keadaan penuh persediaan untuk berinteraksi dengan peristiwa-peristiwa mendatang di alam rumahtangga.

Hakikat sebenar perkahwinan

Perkahwinan bukanlah projek pembinaan villa. Bukan juga urusan membeli kenderaan. Tidak juga pekerjaan di ladang. Sesungguhnya, perkahwinan adalah soal kemanusiaan. Ia ibadat yang diperintahkan Tuhan.

Ia tugasan yang besar kerana di dalamnya terkandung proses pembinaan keluarga, pembinaan generasi dan pemakmuran dunia!.

Kedapatan anak-anak muda yang menceraikan isteri-isteri mereka, hanya disebabkan perkara-perkara yang remeh temeh. Kemudian, mereka menyesal dan rasa kesal.

Andai mereka mengerti selok belok kehidupan, mengerti seni interaksi dengan isteri, nescaya mereka tidak akan membuat keputusan yang buruk ini.

Kita mahukan daripada Universiti Rumahtangga yang kita cadangkan ini, supaya ia menghimpunkan nas-nas wahyu, eksperimen manusia sejagat dan ilmu-ilmu kemanusiaan berkaitan kehidupan rumahtangga.

Seterusnya para tenaga pengajar mengajarkannya kepada semua pelajar dan mengadakan peperiksaan.

Sesungguhnya, kehidupan rumahtangga tidak sesuai dilalui oleh orang yang kurang pengalaman, cetek ilmu dan kurang kematangan. Ini kerana, orang-orang seperti ini, sesetengahnya hidup di awangan dan khayalan.

Lantas, mereka meletakkan syarat yang mesti ada pada isterinya, apa yang tidak ada pada Fatimah anak Sa’id Ibn Musayyab, Sakinah anak al-Husain dan Zubaidah isteri Harun al-Rasyid!!.

Sedangkan orang yang meletakkan syarat seperti itu, anda dapati, dia lebih tolol daripada Habnaqah, lebih bakhil daripada Madir, lebih pengecut daripada Abi Hayyah al-Namiri, dan lebih hodoh daripada al-Jahiz!.

Aduhai, mengapa kita tidak mahu hidup bersama kemanusiaan dan realiti kita? Mengapa kita tidak mahu mengakui kesilapan kita dan memulakan langkah memperbaiki diri kita? Mengapa kita tidak mahu tahu, bahawa zakat bagi kambing-kambing yang berpenyakit kurap adalah dengan dikeluarkan seekor kambing yang juga berpenyakit kurap?.

Andai kita membuka Universiti Rumahtangga, kita akan dapat mengelakkan 70% daripada kes-kes perceraian yang sedang berlaku. Kita akan dapat menghindari banyak masalah rumahtangga. Kita akan dapat menutup ‘fail-fail’ maki hamun, keganasan rumahtangga, porak peranda dan hingar bingar dalam rumahtangga.

Kelak, kita akan berkunjung ke alam kehidupan berkeluarga dalam keadaan kita memiliki ilmu tentang rumahtangga, dalam keadaan memiliki latihan bagi menghadapi cabaran alam perkahwinan...dan dalam keadaan memiliki pengetahuan mendalam yang akan kita gunakan bagi menghadapi pelbagai peristiwa di alam perkahwinan.

Masalahnya, kita hanya belajar kemahiran memasak. Hanya belajar meluncur di atas salji. Kita juga belajar memburu arnab dan burung merpati. Juga belajar mengumpul setem dan surat menyurat. Tetapi kita tidak pernah belajar persoalan yang sangat besar yang namanya kehidupan rumahtangga!!.