Asal usul sesuatu budaya, bukan satu masalah bagi Islam.
Yang menjadi masalah, ialah kandungan budaya tersebut. Juga kedudukan sesuatu budaya itu sebagai identiti orang-orang bukan Islam.
Inilah 2 masalah bagi Islam yang terdapat dalam sesuatu budaya.
Sikap Nabi s.a.w terhadap budaya Jahiliah
Fakta ini dirumuskan daripada sikap Nabi s.a.w terhadap budaya Arab Jahiliah. Iaitu budaya para penyembah berhala.
Nabi s.a.w tidak menolak kesemua budaya Jahiliah. Ada budaya Jahiliah yang diterima Baginda s.a.w tanpa ditapis. Ada juga yang diterima selepas dimurnikan.
Budaya Jahiliah yang diterima tanpa ditapis, ialah budaya yang mewajibkan pihak pendakwa, mendatangkan bukti bagi menyokong dakwaannya.
Jika pendakwa tidak mampu membawa bukti, pihak tertuduh dimestikan bersumpah bagi menafikan dakwaan pendakwa.
Budaya ini diamalkan orang Arab sebelum kedatangan Islam lagi. Iaitu sejak zaman Jahiliah lagi.
Nabi s.a.w menerima budaya ini apabila bersabda :
البينة على المدعى واليمين على من أنكر
Terjemahan : "[Tugas mendatangkan] bukti [terletak] di atas [tanggungjawab] pendakwa dan [tugas melakukan] sumpah [terletak] di atas [tanggungjawab tertuduh] yang menafikan [tuduhan ]". (Rujuk : Karim Zaydan (1998), al-Madkhal Li Dirasah al-Syariah al-Islamiyyah, cet.16, Beirut : Muassasah al-Risalah, ms.33. Rujuk ms.19-33 untuk melihat budaya-budaya Arab Jahilah yang diterima atau dimurnikan Islam)
Contoh budaya Jahiliah yang diterima selepas dimurnikan, ialah budaya "ana an-nazir al-'uryan".
Ia bermaksud, "aku pemberi amaran yang berbogel".
Menjadi kebiasaan Arab Jahiliah, apabila mahu menyampaikan sesuatu perkara penting, mereka akan naik ke tempat tinggi.
Kemudian mereka melafazkan kata-kata seruan, diikuti dengan menanggalkan baju bagi memperlihatkan kepentingan perkara yang mahu disampaikan.
Kaedah ini dikenali dengan kaedah "ana an-nazir al-'Uryan".
(Lihat : Muhammad Abu al-Fath al-Bayanuni (1995), al-Madkhal Ila 'Ilm al-Da'wah, cet.3, Beirut : Mu'assasah al-Risalah, ms.294)
Hadis berkenaan "ana an-nazir al-'Uryan" ini direkod Imam Bukhari dalam Sahihnya, dalam باب الانتهاء عن المعاصى hadis bernombor 6482, dan Imam Muslim dalam Sahihnya, hadis bernombor 6094.
Kaedah ini turut digunakan Nabi s.a.w dalam dakwah Baginda, tetapi setelah memurnikannya. Iaitu dengan membuang unsur menanggalkan pakaian di khalayak ramai.
Penerimaan Nabi s.a.w terhadap beberapa budaya Jahiliah, samada secara terus atau setelah ditapis, memberi makna bahawa asal usul tidak Islam sesuatu budaya, tidak menjadi masalah bagi Islam.
Islam menerima sesuatu budaya, sekalipun berasal daripada para penyembah berhala, asalkan kandungannya tidak bercanggah dengan Islam.
Justeru, 'ketidakislaman' asal usul sesuatu budaya, tidak boleh dijadikan alasan untuk mengharamkan budaya tersebut.
No comments:
Post a Comment