Pages

Tuesday, May 10, 2011

Mubahalah membabitkan semua isu agama termasuk jenayah syariah

Beberapa kenyataan para ulama muktabar menunjukkan, mubahalah (sumpah laknat) membabitkan semua isu agama, termasuk isu jenayah syariah.
Ia bukan hanya terpakai dalam isu-isu berkaitan akidah sahaja, seperti yang dinyatakan sesetengah pihak.
Kenyataan yang paling jelas menunjukkan mubahalah boleh dilakukan dalam semua isu agama, ialah kenyataan Syaikh al-Dawani, atau nama penuhnya Muhammad Ibn As’ad al-Dawani.
Beliau yang wafat pada 918 Hijrah, merupakan ulama besar bermazhab Syafie.
Dalam Futuhat al-Ilahiyyah (jil.1, ms.326), beliau berkata :
إنها لا تجوز إلا في أمر مهم شرعا وقع فيه اشتباه وعناد لا يتيسر دفعه إلا بالمباهلة
Terjemahan : Sesungguhnya ia (yakni mubahalah) tidak harus [dilakukan] kecuali dalam perkara penting menurut [pandangan] syarak, yang berlaku kekeliruan   [tentangnya] dan [wujud] kedegilan [pihak terbabit menerima kebenaran       berhubung perkara itu], yang [mana kekeliruan dan kedegilan itu] tidak dapat diselesaikan melainkan dengan mubahalah”.
Mubahalah harus secara umum
Al-Dawani dengan jelas menyatakan, mubahalah boleh dilakukan dalam perkara yang penting pada pertimbangan syarak.
‘Perkara yang penting menurut [pandangan] syarak’, adalah kenyataan yang bersifat umum dan meliputi  ‘semua perkara penting pada penilaian syarak’. Bukan hanya khusus kepada isu akidah sahaja.
Para ulama lain yang memperkatakan tentang keharusan bermubahalah, juga menyebut keharusan melakukannya secara umum. Bukan hanya khusus dalam isu berkaitan akidah semata-mata.
Sebagai contoh, kenyataan al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari, jil.8, ms.95.
Ketika mengulas hadis berkenaan kes mubahalah antara Nabi s.a.w dan rombongan Kristian Najran, al-Hafiz berkata :
فيها مشروعية مباهلة المخالف إذا أصر بعد ظهور الحجة
Terjemahan :
“di dalamnya [yakni hadis yang dihuraikan, terdapat dalil yang menunjukkan] kesahan [dari sudut syarak] bermubahalah dengan mukhalif (yakni orang yang berbeza pandangan) apabila dia [tetap] berdegil [dengan pegangannya] setelah terserlah hujjah [bahawa pegangannya salah]”.
Kenyataan di atas menegaskan keharusan bermubahalah dengan mukhalif secara umum. Tidak pula dinyatakan bahawa ia hanya harus dilakukan bagi menghadapi mukhalif dalam isu berkaitan akidah sahaja.
Ini bermakna, ia boleh dilakukan bagi menghadapi mukhalif dalam apa jua isu berkaitan agama.
Senada dengan dua tokoh ini ialah Imam Ibnu Qayyim. Dalam kitabnya, Zadul Ma’ad, jil.3, ms.643, beliau mencatatkan :
إن السنة في مجادلة أهل الباطل إذا قامت عليهم حجة الله ، و لم يرجعوا ، بل أصروا على العناد ، أن يدعوهم إلى المباهلة ، و قد أمر الله سبحانه ، بذلك رسوله صلى الله عليه و سلم
Terjemahan :
“sesungguhnya sunnah (Nabi s.a.w) dalam perdebatan [dengan] ahli batil (individu atau golongan yang mendokong kebatilan), apabila tertegak ke atas mereka hujjah Allah [bahawa mereka dipihak yang salah], tetapi mereka tidak kembali [kepada kebenaran], bahkan bertegas untuk berdegil [dengan pegangan yang ternyata salah itu], ialah mengajak mereka bermubahalah”.
Kenyataan Ibnu Qayyim di atas bersifat umum. Iaitu mubahalah boleh dilakukan bagi menghadapi mana-mana ahli batil, yang tetap berdegil dengan pegangan mereka yang telah terbukti salah.
Melakukan mubahalah dalam keadaan ini adalah sunnah Nabi s.a.w, seperti yang dinyatakan Ibnu Qayyim.
Ibnu Qayyim tidak pula menyatakan bahawa mubahalah hanya khusus bagi menghadapi ahli batil dalam isu berkaitan akidah sahaja.
Oleh demikian, kenyataan para ulama yang mengharuskan mubahalah secara umum, tanpa dikhususkan kepada isu akidah semata-mata, mestilah dikekalkan dalam bentuknya yang umum.
Kecuali jika terdapat kenyataan yang mengkhususkan mubahalah hanya bagi isu-isu akidah semata-mata.
Ini bersesuaian dengan kaedah Usul Fiqh, “[lafaz] yang umum kekal di atas ‘keumuman’nya selama mana tiada [nas] yang mengkhususkannya”.
Mubahalah berhubung isu fekah
Kenyataan para ulama di atas sejajar dengan perlakuan para sahabat Nabi s.a.w. Para sahabat sendiri melihat mubahalah bukan hanya khusus bagi isu-isu akidah sahaja.
Buktinya ialah sikap mereka terhadap pelawaan Ibnu Abbas r.a untuk bermubahalah dengan sesiapa  yang menentang pendapat beliau berhubung kaedah pembahagian harta pusaka si mati yang meninggalkan suami, ibu dan 2 saudara kandung perempuan.
Pembahagian harta pusaka adalah isu fekah. Bukan isu akidah.
Pun begitu, para sahabat tidak membantah tindakan Ibnu Abbas yang mahu melakukan mubahalah dalam isu berkaitan fekah itu.
Mengambil sempena pelawaan mubahalah oleh Ibnu Abbas ini, si mati yang meninggalkan suami, ibu dan 2 saudara kandung perempuan, dikenali sebagai ‘kes mubahalah’.
Tindakan yang sama dilakukan oleh Imam al-Auza’ie yang mengajak Sufian al-Thauri bermubahalah berhubung isu mengangkat tangan dalam solat (rujuk Zadul Ma’ad karya Ibnu Qayyim, jil.3, ms.643).
Isu ini juga adalah isu fekah. Bukan isu akidah.
Ringkasnya, mubahalah bukan hanya khusus bagi isu akidah sahaja.
Sebenarnya, tiada dalil yang menunjukkan bahawa mubahalah hanya khusus bagi isu berkaitan akidah.
Tercetusnya isu mubahalah pada zaman Nabi s.a.w disebabkan isu akidah, tidak boleh menjadi dalil bahawa ia hanya boleh dilakukan dalam isu berkaitan akidah.
Seperti juga tidak boleh menjadikan keterlibatan penganut Kristian dalam kes mubahalah dengan Nabi s.a.w itu, sebagai dalil bahawa mubahalah hanya boleh dilakukan dengan orang-orang Kristian atau bukan Islam sahaja.
Intipati tulisan ini ialah ‘keharusan melakukan mubahalah dalam semua isu berkaitan agama, termasuk isu jenayah syariah’.
Fahami syarat dan tujuan mubahalah
Intipati ini boleh diterima dengan mudah oleh semua pihak-insyaAllah-jika difahami syarat keharusan melakukan mubahalah dan tujuan ia dilakukan.
Syaikh al-Dawani menyatakan dengan jelas, mubahalah hanya harus dilakukan selepas berlakunya proses perdebatan dan mematikan hujjah pihak lawan, serta ternyata kebenaran dalam sesuatu isu yang menjadi pertikaian. Tetapi, pihak lawan tersebut masih tetap berdegil dan enggan menerima kebenaran.
Beliau mengatakan (al-Futuhat al-Ilahiyyah, jil.1, ms.326) :
فيشترط كونها بعد إقامة الحجة، والسعي في إزالة الشبهة وتقديم النصح والإنذار، وعدم نفع ذلك، ومساس الضرورة إليها
Terjemahan :
           “disyaratkan ia (yakni mubahalah) [dilakukan] setelah penegakkan hujjah (iaitu mematikan hujjah pihak lawan) dan [setelah dilakukan] usaha menghapuskan syubhat (keraguan), mengemukakan nasihat dan amaran [kepada pihak yang enggan menerima kebenaran yang telah terbukti], dan [setelah] semua itu tidak memberi faedah [dan kesan kepada pihak yang tetap berdegil], serta [ada] keperluan melakukannya (mubahalah)”.
Ini berhubung syarat keharusan melakukan mubahalah.
Berkenaan tujuan mubahalah dilakukan, ia adalah bagi menghapuskan kekeliruan dan kedegilan pihak terbabit menerima kebenaran, yang tidak dapat dihapuskan melainkan dengan mubahalah.
Rujuk kenyataan al-Dawani yang menyatakan dengan jelas perkara ini di permulaan tulisan ini.
Tidak mustahil dalam kes jenayah syariah, boleh juga timbul kekeliruan yang tidak dapat diselesaikan oleh perbicaraan dan penghakiman di mahkamah syariah.
Juga tidak mustahil, dalam kes membabitkan jenayah syariah, wujud pihak yang tetap berdegil dan enggan menerima keputusan mahkamah. Jika hal ini berlaku, pertikaian tidak akan berkesudahan.
Oleh itu, jika keadaan ini berlaku, tiada pilihan lain melainkan mubahalah.
Memang benar, mubahalah tidak wujud dalam kes jenayah syariah. Iaitu ia tidak wujud sebagai salah satu kaedah perbicaraan dalam mahkamah.
Tapi ia wujud dalam bentuk ‘mekanisme menangani kekeliruan dan kedegilan’ pihak terbabit, yang tidak dapat diselesaikan oleh perundangan dan mahkamah.
Disamping itu, ketiadaan peruntukan mubahalah dalam kes jenayah syariah, tidak semestinya bermakna ia tidak boleh dilakukan dalam kes jenayah syariah tersebut.
Jika mahu diaplikasikan syarat keharusan melakukan mubahalah yang dinyatakan oleh al-Dawani tadi ke atas sumpah laknat berhubung isu video seks baru-baru ini, maka boleh dinyatakan bahawa mubahalah boleh dilakukan setelah isu video seks ini dimuktamadkan di semua peringkat mahkamah.
Namun, masih wujud pihak yang terbabit dalam isu ini, yang tetap berdegil tidak mahu menerima keputusan mahkamah.
Dalam keadaan ini, mubahalah boleh dilakukan jika ada keperluan, dan tiada cara lain bagi menghentikan pertikaian selain mubahalah.
Adalah jelas, mubahalah yang dilakukan dalam keadaan ini, selain tidak menimbulkan masalah, adalah satu keperluan.
Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment