Tahun hadapan, (2011) seramai 500,000 murid Tahun 1 akan diajar Pendidikan Seks di sekolah. Ia akan diajar melalui subjek Pendidikan Kesihatan. Bukan melalui subjek khusus yang dinamakan Pendidikan Seks.
Saya dapat rasakan, rata-rata masyarakat merasa curiga dengan Pendidikan Seks yang hendak diperkenalkan itu.
Kecurigaan mereka berasas. Sebabnya, pada persepsi banyak pihak, Pendidikan Seks datang dari Barat. Ia telah lama diajar kepada pelajar-pelajar sekolah di sana.
Jadi, masyarakat kita bimbang, Pendidikan Seks yang mahu diperkenalkan tahun depan itu, diceduk dari Barat. Atau digubal di sini, tetapi 'semangat' dan orientasinya adalah 'semangat' dan orientasi Barat.
Tujuan Pendidikan Seks di Barat
Di Barat, Pendidikan Seks adalah berkenaan kaedah mengelakkan kehamilan yang tidak diingini. Kaedah mengelakkan penyakit AIDS apabila melakukan hubungan seks bebas, dan kaedah membebaskan diri daripada janin yang dikandung akibat hubungan seks. Inilah dia Pendidikan Seks di Barat.
Jelasnya, ia bukan bertujuan mengelakkan zina!
Berbeza dengan Pendidikan Seks dalam Islam. Dalam Islam, Pendidikan Seks membawa dua makna. Iaitu, PERTAMA, menjelaskan segala yang berkaitan dengan naluri seks kepada para pelajar secara ilmiah; dan KEDUA, menjelaskan apa yang HALAL dan apa yang HARAM berkaitan seks.
Fakta ini dirumuskan daripada definisi Pendidikan Seks menurut Islam yang dikemukakan oleh Syaikh Faisal Maulawi, ulama terkenal Lubnan.
Beliau menjelaskan, "Pendidikan Seks dari kaca mata Islam ialah pemberitahuan tentang segala yang berkait dengan naluri seks kepada pemuda dan pemudi, dan penerangan tentang halal dan haram sekitarnya (yakni sekitar seks)".Rujuk http://www.onislam.net/arabic/ask-the-scholar/8255/51946-2004-08-01%2017-37-04.html
Senada dengan beliau ialah Mufti Mesir, al-Allamah Syaikh Ali Jum'ah. Beliau menyatakan, penjelasan berkenaan soal halal dan haram berkaitan seks telah dijadikan oleh para ulama sebagai kurikulum sebenar Pendidikan Seks dalam Islam. Rujuk http://www.onislam.net/arabic/fiqh-a-tazkia/fiqh-papers/8072/91419-2007-04-03%2014-53-55.html
Kita tidak pasti, apakah Pendidikan Seks yang akan diperkenalkan tahun depan itu, mengambil 'semangat' Pendidikan Seks ala Barat, atau 'semangat' Islam seperti yang dinyatakan tadi.
Bekerja bukan sekadar mengkritik
Pada titik ini, terserlahlah tugas para AGAMAWAN berhubung soal Pendidikan Seks ini. Mereka mesti bersikap pro aktif dengan mengemukakan kepada kerajaan dan masyarakat, model Pendidikan Seks dalam Islam yang berteraskan 'penjelasan halal dan haram berkaitan seks'.
Tidak cukup hanya sekadar mengkritik. Tidak memadai sekadar menuduh kerajaan mempunyai kepentingan kebendaan di sebalik pengajaran Pendidikan Seks.
Tidak ada apa-apa manfaat sekadar melahirkan rasa bimbang, ekoran pengajaran Pendidikan Seks ini, tapi tidak melakukan apa-apa!
No comments:
Post a Comment