Pages

Wednesday, December 22, 2010

Sikap Islam Terhadap Pendidikan Seks Ala Barat

Pendidikan Seks menurut acuan Barat adalah pendidikan berkenaan kaedah-kaedah mengelakkan kehamilan yang tidak diingini. Ia juga berkenaan kaedah-kaedah mengelakkan jangkitan penyakit AIDS akibat hubungan seks, selain kaedah 'membebaskan' diri daripada janin yang dikandung hasil hubungan seks.

Jelasnya, Pendidikan Seks di Barat ialah 'proses pendidikan yang bertujuan mencegah kesan-kesan hubungan seks yang tidak diingini', seperi kehamilan dan penularan penyakit AIDS. Atau ringkasnya, pendidikan berkenaan seks yang 'selamat'.

Dalam erti kata lain, Pendidikan Seks ala Barat bertujuan mendidik pelajar tentang seks yang selamat, yang bermakna panduan melakukan zina yang tidak mengakibatkan kehamilan yang tidak diingini atau penyakit AIDS. 

Sikap Islam berhubung Pendidikan Seks seperti ini sangat jelas. Keharamannya pada pandangan Islam sangat nyata. Ini kerana, Islam melarang zina dan segala yang mendekatkan manusia kepada zina. 

Ini diperkuatkan lagi oleh fatwa Mufti Mesir, al-Allamah Syaikh Ali Jum'ah. Beliau menegaskan :

وفيما يتعلق بقضية التثقيف الجنسي للأطفال المعروف بـ Sex education وهو ما يعني تعليم الأطفال والمراهقين في المدارس كيفية الممارسة الجنسية مع تجنب الحمل، والإصابة بالأمراض التناسلية -كما تطالب به بعض الوثائق الدولية تحت بند الوقاية من الإيدز- فهو لا يجوز شرعاً، ويتنافى مع الإسلام ومع ثوابتنا

Terjemahan : Berhubung soal Pendidikan Seks kepada kanak-kanak yang dikenali sebagai sex education, yang bermakna mengajar kanak-kanak dan remaja di sekolah-sekolah, kaedah melakukan hubungan seks sambil mengelakkan [diri daripada] kehamilan dan jangkitan penyakit kelamin-seperti yang diminta oleh deklarasi-deklarasi antarabangsa di bawah fasal pencegahan AIDS-ia tidak harus menurut syarak, dan bertentangan dengan Islam dan prinsip-prinsip kita". (sumber : onislam.com)

Bersikap rasional dan ilmiah

Pendidikan Seks dalam Islam jauh berbeza dengan Pendidikan Seks ala Barat. Dalam Islam, Pendidikan Seks berpaksikan kepada 'penjelasan tentang halal dan haram berhubung seks'.(Rujuk takrif Pendidikan Seks dalam Islam menurut Syaikh Faisal Maulawi dalam posting sebelum ini).

Justeru, kita tidak boleh menolak Pendidikan Seks secara keseluruhan, memandangkan dalam Islam sendiri wujud Pendidikan Seks ini.

Penolakan kita terhadap Pendidikan Seks mestilah dilakukan secara ilmiah dan rasional. Iaitu menolak Pendidikan Seks yang bertentangan dengan agama dan budaya kita, dan dalam masa yang sama, menerima Pendidikan Seks yang bersumberkan Islam.


No comments:

Post a Comment