Pages

Wednesday, May 18, 2011

‘Karenah’ Ahli Kitab : Antara ‘Perang Salib Malaya’ dan kesantunan al-Quran!

Setelah tertubuhnya daulah islāmiyyah di Madinah, Rasulullah s.a.w dan umat Islam berhadapan dengan dua fenomena baru.

Pertama, dakwaan-dakwaan Ahli Kitab; dan kedua, gejala nifāq (kemunafikan) dan munāfiqīn (orang-orang munafiqin).

Lembaran-lembaran suci al-Quran mengabadikan beberapa dakwaan Ahli Kitab tersebut.Jika dibandingkan dengan isu masa kini, iaitu penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mereka, sesetengah dakwaan itu jauh lebih ‘dahsyat’ dan menggemparkan!

Paling ‘dahsyat’, ialah dakwaan Allah mempunyai anak! Maha Suci Allah dari beranak dan diperanakkan!

Kedahsyatan disambut dengan kesantunan

Kedahsyatan dakwaan ini digambarkan oleh ayat 90 dan 91 dari surah Maryam.

Allah berfirman (Maryam : 90-91) :

ﯙﯚ ﯛ ﯜ ﯝ ﯞ ﯟ ﯠ ﯡﯢﯣ ﯤ ﯥ ﯦ ﯧ

Maksudnya, “hampir-hampir langit pecah disebabkan anggapan mereka itu, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap. Kerana mereka mendakwa bahawa [Allah] Ar-Rahmān mempunyai anak!”.

Demikianlah berat dan dahsyatnya dakwaan ini!

Sehinggakan langit yang kukuh hampir pecah.

Bumi yang gah dan teguh, nyaris terbelah.

Gunung ganang yang kejap dan utuh, hampir runtuh!

Logiknya, tentulah dakwaan sebegini dahsyat, akan ditangani dengan cara yang sepadan dengan kedahsyatannya itu. Iaitu, sebagai contoh, tentulah al-Quran akan mengisytiharkan perang.

Atau, menggesa umat Islam bangkit memberontak. Atau, paling kurang, al-Quran akan merakamkan pelbagai celaan dan kutukan paling keras, ke atas mereka yang membuat dakwaan yang maha berat ini.

Inilah yang paling sesuai bagi dakwaan yang ‘menggegarkan’ langit, bumi dan gunung ganang!.

Demikianlah perkiraan logik.

Namun, adakah al-Quran bertindak sedemikian? Jika tidak, apakah sebenarnya tidakan al-Quran?

Justeru, dalam menghadapi isu penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh Herald Katholik dan apa jua isu membabitkan Ahli Kitab, amat wajar umat Islam ‘berbicara secara terus’ dengan al-Quran.

‘Bertanya’ al-Quran bagaimana ia berhadapan dengan tindak tanduk yang ‘mencabar’ akidah Islam.

Seterusnya, menjadi kewajipan mereka mengikut cara dan pendekatan al-Quran itu dalam menghadapi apa jua ‘karenah’ mereka.

Kesantunan al-Quran melayani 'karenah' Ahli Kitab

Al-Quran telah mengabadikan dalam lembaran-lembaran sucinya, beberapa dakwaan dan kepercayaan Ahli Kitab. Kesemua dakwaan dan kepercayaan itu, bercanggah dengan akidah Islam.

Al-Quran kemudiannya, memperlihatkan reaksi dan sikapnya terhadap dakwaan-dakwaan itu. Dalam masa yang sama, al-Quran menunjukkan bagaimana ia ditangani.

Dakwaan 1 : Allah mempunyai anak (Maha Suci Allah!)
                 
       Dakwaan bahawa Nabi Isa a.s merupakan anak Allah (Maha Suci Allah!), disentuh dalam surah al-Māidah sebanyak dua kali, iaitu dalam ayat 17 dan 73.

       Meskipun kedahsyatan dakwaan ini bukan kepalang, namun, ketika memperkatakan tentangnya, al-Quran masih menggunakan bahasa yang berlapik.

Perhatikanlah firman Allah yang berbunyi (al-Maidah : 17) :

ﮘ ﮙ ﮚ ﮛ ﮜ ﮝ ﮞ ﮟ ﮠ ﮡ

Maksudnya, “demi sesungguhnya, telah kufurlah orang-orang  yang berkata,bahawasanya Allah ialah [Isa] al-Masih anak [kepada] Maryam”.

Dengan nada yang serupa, Allah berfirman (al-Maidah : 73):

ﮋﮌ ﮍ ﮎ ﮏ ﮐ ﮑ ﮒ ﮓ

Maksudnya, “sesungguhnya telah kufurlah orang-orang yang berkata, bahawasanya Allah ialah salah satu daripada tiga tuhan”.
         
Dalam dua ayat suci ini, begitu terserlah ketinggian ‘budi bahasa’ al-Quran.

Begitu tertonjol ‘kesantunan’nya, meskipun tatkala berhadapan dengan dakwaan yang menggegarkan lambang-lambang kekuatan di dunia.

Dalam dua kalam qudus ini, begitu nyata terpancar ‘kemampuan’ al-Quran ‘mengawal emosi’, di saat berhadapan dengan dakwaan yang maha berat ini.

Apa tidaknya, al-Quran hanya sekadar berkata, “telah kufurlah orang-orang yang berkata bahawasanya Allah ialah [Isa] al-Masih anak [kepada] Maryam”, dan “sesungguhnya telah kufurlah orang-orang yang berkata, bahawasanya Allah ialah salah satu daripada tiga tuhan”.

Siapakah orang-orang yang berkata demikian?

Al-Quran tidak menyebutnya, tidak menyatakan nama orang-orang itu. Al-Quran hanya sekadar berkata, “orang-orang yang berkata”, tanpa menyebut nama mereka.

Sepatutnya, perlu disebut sejelas-jelasnya nama orang-orang yang berkata sedemikian. Justeru, kata-kata mereka itu terlalu serius dan maha berat. Tidak mampu ditanggung meskipun oleh langit, bumi dan gunung ganang!

Bahkan, nama mereka perlu disebut dengan sebutan yang mengejek dan menghina.
Demikianlah perkiraan logik pemikiran.

Namun, al-Quran tidak bertindak begitu.

Al-Quran tidak ‘melenting’.

Al-Quran tidak ‘hilang kawalan’.

Al-Quran tidak ‘emosi’ dan ‘melulu’, sehingga terdorong untuk ‘melondehkan’ orang-orang yang berkata dengan kata-kata yang maha berat itu.

Demikianlah al-Quran mempamerkan sikapnya untuk diteladani oleh umat Islam, umat yang mengaku menjunjung al-Quran.

Al-Quran berdialog

Ini berkenaan sikap dan reaksi al-Quran.

Berkenaan cara al-Quran menangani dakwaan ini, amatilah kalam Rabbul Jalil (al-maidah : 17) :

ﮘ ﮙ ﮚ ﮛ ﮜ ﮝ ﮞ ﮟ ﮠ ﮡ ﮢ ﮣ ﮤ ﮥ ﮦ ﮧ ﮨ ﮩ ﮪ ﮫ ﮬ ﮭ ﮮ ﮯ ﮰ ﮱ ﯓ ﯔ ﯕ ﯖ ﯗ ﯘﯙ ﯚ ﯛ ﯜ ﯝ ﯞ ﯟ ﯠ ﯡ ﯢ ﯣ ﯤ ﯥ ﯦ ﯧ

Maksudnya, “demi sesungguhnya, kufurlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah [Isa] al-Masih anak [kepada] Maryam. Katakanlah : Siapakah yang dapat menahan [seksa] dari Allah sedikit pun kalau Dia mahu membinasakan al-Masih Ibni Maryam beserta ibunya dan orang yang ada di muka bumi semuanya? Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya. Dan [ingatlah] Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Jelasnya, al-Quran menghadapi  isu ini dengan dialog yang harmoni. Iaitu dengan cara memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w dan para pengikut Baginda, mengemukakan persoalan seperti yang dinyatakan dalam ayat suci di atas.

Dialog ini pula-seperti yang dapat dilihat dalam persoalan yang dikemukakan-berjalan berlandaskan logik dan fakta, bukan emosi dan provokasi.

Amati pula firman Allah (al-Maidah : 73) :
ﮋ ﮌ ﮍ ﮎ ﮏ ﮐ ﮑ ﮒ ﮓ ﮔ ﮕ ﮖ ﮗ ﮘ ﮙ ﮚ ﮛ ﮜ ﮝ ﮞ ﮟ ﮠ ﮡ ﮢ ﮣ ﮤ ﮥ ﮦ
 
        Maksudnya, “sesungguhnya telah kufurlah orang yang berkata “bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan”. Padahal tiada Tuhan [yang berhak disembah] melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu akan dikenakan orang yang kafir di antara mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.
       
       Al-Quran mempamerkan ‘keluhuran budi’nya apabila memberikan nasihat kepada mereka, iaitu dengan cara menjelaskan akibat buruk kata-kata itu.
       
       Setelah memberi nasihat, al-Quran seterusnya memujuk mereka supaya bertaubat (al-Maidah : 74) :

ﮧ ﮨ ﮩ ﮪ ﮫ ﮬ ﮭ ﮮ ﮯ ﮰ

    Maksudnya, “oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunanNya? Padahal Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Setelah memberi nasihat dan memujuk mereka supaya bertaubat, al-Quran menyatakan bukti Nabi Isa a.s bukan seorang tuhan (al-Maidah : 75) :

ﮱ ﯓ ﯔ ﯕ ﯖ ﯗ ﯘ ﯙ ﯚ ﯛ ﯜ ﯝ ﯞ ﯟ ﯠ ﯡ ﯢ ﯣ

    Maksudnya, “tiadalah al-Masih Ibni Maryam itu, melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang wanita yang amat benar, mereka berdua memakan makanan [seperti kamu]”.

Al-Quran menegaskan, Nabi Isa dan ibunya, Maryam, makan seperti manusia biasa. Bila mereka berdua makan, maka sudah tentu mereka perlu berkumuh.

‘Makan’ dan ‘berkumuh’ adalah sifat   manusia. Dua sifat ini tidak layak bagi tuhan, jelas al-Quran.

Al-Quran menyambung lagi(ali –’Imran : 59) :

ﮦ ﮧ ﮨ ﮩ ﮪ ﮫ ﮬ ﮭ ﮮ ﮯ ﮰ ﮱ ﯓ ﯔ ﯕ ﯖ ﯗ

    Maksudnya, “sesungguhnya perbandingan [kejadian] Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti[kejadian] Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah, lalu berfirman kepadanya : Jadilah engkau! maka menjadilah ia”.

     Ertinya, kejadian Nabi Isa dan kejadian Nabi Adam, adalah luar biasa. Namun, kejadian Nabi Adam a.s, lebih luar biasa berbanding kejadian Nabi Isa a.s. Ini kerana, Nabi Isa a.s dilahirkan oleh seorang ibu tanpa bapa. Sementara Nabi Adam pula, dilahirkan tanpa ibu dan bapa.

    Jika Nabi Adam yang dilahirkan tanpa ibu dan bapa, adalah seorang manusia, bukannya tuhan, maka lebih utama Nabi Isa a.s juga seorang manusia, bukannya tuhan.

     Ertinya, keluarbiasaan kejadian Nabi Isa a.s bukan beerti Baginda tuhan atau anak tuhan, sebagaimana keluarbiasaan kejadiaan Nabi Adam, bukan bererti Baginda tuhan atau anak tuhan.

     Demikianlah  cara al-Quran menghadapi isu ‘Isa a.s anak tuhan’ ini.

     Kesimpulannya, al-Quran tidak ‘melenting’ berhadapan dengan dakwaan yang dahsyat ini.

     ‘Emosi’nya terkawal dan stabil.

     Ia ditangani secara diplomasi dan dialog, tapi penuh komited.

     Tiada bahasa provokasi digunakan.

     Jauh sekali bahasa atau komentar yang menyalakan sentimen keganasan!

Dakwaan 2 : Nabi Ibrahim a.s penganut Yahudi atau Kristian
  
  Dakwaan ini tidak kurang dahsyatnya. Apa tidaknya, Nabi Ibrahim yang tinggi kedudukannya itu, yang lidah kita tidak lekang menyebut-nyebut namanya dalam lima kali solat setiap hari, adalah seorang Yahudi atau penganut Kristian! (Lihat ayat 65-67 daripada surah al-Māidah).

  Dalam lain perkataan, Nabi Ibrahim, dakwa mereka, bukan penganut Islam!

Bahkan, lebih dari itu, Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Ya’qub dan anak-anak   Baginda, dakwa mereka, adalah penganut Yahudi atau Kristian, bukan penganut Islam (Lihat ayat 140 dari surah al-Baqarah).

Tapi, al-Quran tetap tenang’, namun penuh komited. Tidak melenting’ atau emosi’. Ini dapat dilihat melalui reaksi yang ditunjukkannya berhubung dakwaan ini.

Dalam reaksinya, al-Quran hanya sekadar bertanya dengan bahasa yang bersih’ dan berkeyakinan (al-Maidah : 65) :

ﮋ ﮌ ﮍ ﮎ ﮏ ﮐ ﮑ ﮒ ﮓ ﮔ ﮕ ﮖ ﮗﮘ ﮙ ﮚ ﮛ

Maksudnya, “wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu mempertengkarkan tentang [agama] Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada Ibrahim; apakah kamu tidak berfikir?”.

Kitab Taurat dan Injil, yang menjadi asas agama Yahudi dan Nasrani, belum wujud pada zaman Nabi Ibrahim.

Jadi, bagaimana dikatakan Nabi Ibrahim sebagai penganut kedua-dua agama itu, tanya al-Quran.

Seterusnya, al-Quran menyatakan kedudukan sebenar Nabi Ibrahim a.s dengan berkata (Ali Imran : 67) :

ﮱ ﯓ ﯔ ﯕ ﯖ ﯗ ﯘ ﯙ ﯚ ﯛ ﯜ ﯝ ﯞﯟ ﯠ

Maksudnya, “bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukan pula seorang pemeluk ugama Nasrani, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar tauhid sebagai seorang muslim [yang taat serta berserah bulat-bulat kepada Allah], dan ia pula bukanlah dari golongan orang musyrik”.

Al-Quran turut merakamkan doa Nabi Ibrahim a.s bersama anak Baginda, Nabi Ismail a.s, yang menunjukkan kedua-duanya adalah beragama Islam.

Firman Allah (Al-Baqarah : 128) :

ﭡ ﭢ ﭣ ﭤ ﭥ ﭦ ﭧ ﭨ ﭩ ﭪ ﭫ ﭬ ﭭ ﭮ ﭯ ﭰ ﭱ ﭲ ﭳ

Maksudnya, “wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang-orang yang berserah diri kepadaMu, dan jadikanlah keturunan kami umat yang berserah diri kepadaMu, dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani”.

Selanjutnya al-Quran menegaskan-dalam soal hak mewarisi agama Nabi Ibrahim a.s-yang diambil kira bukanlah nasab keturunan yang bersambung dengan Nabi Ibrahim a.s.

Tapi, yang diambil kira ialah kepatuhan kepada ajaran Baginda. Sebab itulah al-Quran menyatakan (Ali Imran : 68) :

ﯡ ﯢ ﯣ ﯤ ﯥ ﯦ ﯧ ﯨ ﯩ ﯪ ﯫ ﯬ ﯭ ﯮ ﯯ

Maksudnya, “sesungguhnya orang paling hampir kepada Nabi Ibrahim [dan berhak mewarisi agamanya], ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi [Muhammad] ini serta orang yang beriman. Dan Allah adalah pelindung dan penolong orang-orang yang beriman”.

Nabi Muhammad dan orang-orang yang beriman, lebih berhak mewarisi agama Nabi Ibrahim a.s kerana mereka mengikut agama Baginda. Mereka tidak menyekutukan Allah, sebagaimana Nabi Ibrahim a.s juga tidak menyekutukan Allah.

Berhubung dakwaan bahawa Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Yaakub dan anak-anak Baginda adalah penganut agama mereka, al-Quran hanya sekadar mengajukan persoalan berikut (Al-Baqarah : 140) :

ﯗ ﯘ ﯙ ﯚ ﯛ ﯜ ﯝ ﯞ ﯟ ﯠ ﯡ ﯢ ﯣ ﯤ ﯥ ﯦ ﯧ ﯨ ﯩ ﯪ ﯫ ﯬ ﯭ ﯮ ﯯ ﯰ ﯱ ﯲ ﯳ ﯴ ﯵ ﯶﯷ ﯸ

Maksudnya, “atau patutkah kamu mengatakan, bahawa Ibrahim, Ismail, Ishaq dan Yaakub beserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang Yahudi atau Nasrani. Katakanlah [wahai Muhammad]: Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan [saksi dan bukti] yang telah diberikan Allah kepadanya? Dan [ingatlah], Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan”.

Jelas sekali, al-Quran menangani isu ‘Nabi Ibrahim a.s penganut agama Yahudi atau Kristian’ ini melalui dialog.

Dialog yang yang berteraskan fakta dan bersih daripada emosi.

Dakwaan 3 : Ahli Kitab adalah anak dan kekasih Allah
        
       Dakwaan lain yang disebarkan dalam masyarakat Islam di Madinah ialah seperti yang dirakamkan di dalam al-Quran yang berbunyi (Al-Māidah : 18) :

ﭑﭒ ﭓ ﭔ ﭕ ﭖ ﭗ ﭘ

       Maksudnya, orang-orang Yahudi dan Nasrani berkata : kami adalah anak-anak Allah yang sangat-sangat disayangiNya”.

Dakwaan ini ditangani dengan fikiran yang tenang dan akal yang matang. Tiada emosi yang meluap. Tanpa perasaan yang berkecamuk.

Semua ini ‘terjelma’ dan dapat ‘dirasai’ dalam sambungan ayat di atas. Al-Quran hanya sekadar bertanya :

ﭙ ﭚ ﭛ ﭜ ﭝ ﭞ ﭟ ﭠ ﭡ ﭢ ﭣ ﭤ ﭥ ﭦ ﭧ ﭨ ﭩ ﭪ ﭫ ﭬ ﭭ ﭮ ﭯ ﭰ ﭱ ﭲ ﭳ ﭴ

Katakanlah, “maka mengapakah Ia menyeksa kamu kerana dosa-dosa kamu? Bahkan kamu adalah manusia biasa di antara manusia lain yang diciptakanNya. Ia mengampuni bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, dan kepada Allah jualah tempat kembali”.

Isu ini juga dihadapi dengan tenang dan tangani dengan dialog.

Dakwaan 4 : Agama yang benar adalah agama Ahli Kitab.

Pada mereka, orang yang mendapat petunjuk hanyalah penganut agama mereka. Hal ini dinyatakan dalam al-Quran (Al-Baqarah : 135) :

ﭑ ﭒ ﭓ ﭔ ﭕ ﭖ ﭗ

Maksudnya, “dan mereka berkata : jadilah kamu pemeluk agama Yahudi atau Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk”.

Dakwaan ini juga ditangani dengan tenang dan matang. Al-Quran hanya meminta Nabi Muhammad s.a.w berkata kepada mereka :

ﭘﭙ ﭚ ﭛ ﭜ ﭝ ﭞ ﭟ ﭠ ﭡ ﭢ

Maksudnya, “katakanlah [wahai Muhammad], bahkan kami mengikut agama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar tauhid, dan bukanlah ia dari kalangan orang-orang yang menyekutukan [Allah]”.

Dakwaan 5 : Hanya Ahli Kitab yang layak memasuki syurga

       Rentetan daripada dakwaan sebelum ini, mereka mendakwa bahawa mereka sahaja yang layak memasuki syurga.

        Al-Quran menyatakan (Al-Baqarah : 111) :
ﯧ ﯨ ﯩ ﯪ ﯫ ﯬ ﯭ ﯮ ﯯ ﯰ ﯱ ﯲ ﯳ
       
       Maksudnya, “dan mereka [orang-orang Yahudi dan Nasrani] berkata pula "tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja”.
       
        Dakwaan ini ditangani dengan cara meminta mereka mendatangkan bukti kata-kata mereka itu. Allah berfirman (Al-Baqarah : 111) :
       
ﯵ ﯶ ﯷ ﯸ ﯹ ﯺ ﯻ
       
        Maksudnya, “katakanlah [wahai Muhammad] : "bawalah kemari keterangan-keterangan yang [membuktikan kebenaran] apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".
       
        Setelah itu, al-Quran membuat penegasan berikut (Al-Baqarah : 112) :

ﯼ ﯽﯾ ﯿ ﰀ ﰁ ﰂ ﰃ ﰄ ﰅ ﰆ ﰇ ﰈ ﰉ ﰊ ﰋ ﰌ ﰍ
       
        Maksudnya, “[apa yang kamu katakan itu tidaklah benar], bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah [mematuhi perintahNya], sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi tuhannya, dan tidaklah ada kebimbangan [dari berlakunya kejadian yang tidak baik] terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.

       Jelas sekali, berhadapan dengan isu yang bercanggah dengan Islam, al-Quran konsisten dengan kaedah dialog! Dialog yang harmoni dan ilmiah!


        Kesimpulan

        Paparan di atas memperlihatkan dengan jelas, sikap al-Quran yang ‘tenang’, ‘matang’ dan ‘santun’ ketika berhadapan dengan dakwaan atau kepercayaan yang bercanggah dengan ajarannya.

       Kesemua dakwaan tersebut ditangani dengan ‘emosi’ yang stabil dan terkawal, disusuli dengan hujjah-hujjah yang bernas dan disampaikan melalui bahasa yang jitu dan bersih dari sebarang provokasi dan emosi.     

        Demikianlah kaedah al-Quran berhadapan dengan dakwaan-dakwaan Ahli Kitab.

1 comment:

  1. Jazakallahu khair atas penulisan sdr ini. Amat jelas dan tenang bagi yang membaca berbanding dengan beragai emosi yang tak sepatutnya bukan saja dikalangan umum malah juga dikalangan cerdikpandai diantara kita.

    Dari menimbulkan polimik lebih baik diambil kesempatan ini untuk berdialog dengan pihak pengikut triniti supaya majoriti dikalangan mereka (dan kita) didedahkan kepada hujan-hujah yang rasional dan perbalahan dikalangan pengikut-pengikut agama triniti sendiri tentang doktrin yang sukar sekali ditegakkan.

    Salam.

    ReplyDelete