Pages

Wednesday, October 13, 2010

Elak kemalangan dengan ber'tareqat' di jalan raya!

Berwirid merupakan amalan zaman berzaman. Ia diamalkan oleh para sahabat dan para ulama yang soleh sehingga hari ini.

Safiyyah r.a menceritakan :

دخل علي رسول الله صلى الله عليه وسلم وبين يدي أربعة آلاف نواة أسبح بهن فقال : ما هذا يا بنت حيي؟ قلت : أسبح بهن، قال :قد سبحت منذ قمت على رأسك أكثر من هذا، قلت : علمني يا رسول الله، قال : قولي سبحان الله عدد ما خلق من شيء

Terjemahan : Rasulullah s.a.w telah masuk menemui ku dan di hadapan ku [terdapat] 4000 biji kurma yang aku bertasbih dengannya. Maka Baginda s.a.w bertanya, "apakah ini wahai anak Huyai?". Aku menjawab, "[ini biji kurma yang] aku bertasbih dengannya".

Baginda s.a.w bersabda, "sesungguhnya aku telah bertasbih sejak aku berdiri di sini lebih banyak daripada [4000 tasbih] ini". Aku [pun] berkata, "ajarkanlah aku wahai Rasulullah". Baginda bersabda, "katakanlah, Maha Suci Allah [sebanyak] bilangan segala sesuatu [yang] Dia cipta".

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi, al-Hakim dan al-Tabarani. Ia dinilai sahih oleh Imam Sayuti (Lihat al-Hawi Li al-Fatawa (2000), cet. Darul Kutub al-Ilmiyyah, jld.2, hlm.3)

Hadis di atas menjelaskan bilangan tasbih yang dibaca oleh Safiyyah r.a, iaitu sebanyak 4000 tasbih! Turut dijelaskan, kelebihan tasbih dengan lafaz سبحان الله عدد ما خلق من شيء

Abu Hurairah r.a pula memiliki seutas benang yang mempunyai 2000 simpulan. Beliau tidak akan tidur, sehinggalah menyelesaikan sebanyak 12,000 tasbih! Hal ini diceritakan oleh Ikrimah (Lihat al-Hawi Li al-Fatawa, jld.2, hlm.4)

Ketika memperihalkan sejarah hidup Abu Darda' r.a, al-Hafiz Abdul Ghani dalam karyanya al-Kamal, mencatatkan bahawa beliau r.a bertasbih sebanyak 100,000 sehari!

Begitu juga dengan Khalid Ibn Ma'dan, seorang tabi'in, beliau bertasbih sebanyak 40,000 sehari. Ini tidak termasuk bacaan al-Quran yang beliau amalkan.(Lihat al-Hawi Li al-Fatawa, jld.2, hlm.4-5)

Sesetengah ulama zaman sekarang diketahui mengamalkan wirid-wirid tertentu seperti Wahbah Zuhayli. Wirid amalan beliau ada dalam simpanan sesetengah blog ustaz tempatan.

Begitu juga dengan Bin Beh, ulama kelahiran Mauritania yang disifatkan sebagai tokoh yang menghimpunkan antara 'kesalafian' dan kesufian dalam peribadi dan amalan beliau, turut mengamalkan wirid tertentu.

Wasiat Imam Hasan al-Banna r.a

Tokoh ulama yang begitu ketara menekankan keperluan wirid bagi setiap muslim ialah Imam al-Mujaddid, Imam Hasan al-Banna r.a. Beliau telah menyusun sejumlah zikir dan doa yang dipetik dari hadis-hadis Nabi s.a.w.

Susunan beliau itu terkenal dengan nama al-Ma'thurat yang dibahagikan kepada Wazifah Kubra dan Wazifah Sughra. Wazifah Sughra, bacaannnya lebih pendek.

Beliau mewasiatkan supaya jangan ditinggalkan bacaan al-Ma'thurat ini setiap pagi dan petang. Jika tidak berkesempatan membaca pada waktu petang, hendaklah dibaca pada waktu malam. Andainya masa dan keadaan tidak mengizinkan, hendaklah dibaca Wazifah Sughra. Demikian wasiat beliau. 

Mengekalkan wirid setiap pagi dan petang, bukan perkara senang walaupun bagi orang yang pencen yang tidak ada kerja.

Apatah lagi orang yang bekerja di pejabat yang terikat dengan waktu dan peraturan. Apatah lagi para peniaga yang sentiasa perlu memberikan fokus kepada perniagaan dari pagi hingga ke petang.

Mengapa perlu berwirid? Jawapan ringkasnya, kerana wirid adalah salah satu 'sayap' yang membolehkan seseorang hamba 'terbang' ke hadrat tuhannya! Satu lagi sayap ialah ilmu.

Penghuni bandar besar banyak masa untuk berwirid!

Masalah kesuntukan masa untuk berwirid bagi sesetengah orang yang bekerja, sebenarnya langsung tidak timbul. Sebaliknya, mereka diperuntukkan masa yang begitu cukup dan selesa untuk berwirid setiap pagi dan petang!

Bukan sahaja diperuntukkan masa, lebih dari itu, mereka 'dibebaskan' dari segala kesibukan dan sebarang kerja yang boleh menghalang mereka berwirid!

Bukankah setiap pagi dan petang, kita 'dipaksa' berkurung dalam kenderaan selama 30, 40, 50 minit atau 1 jam untuk ke tempat kerja dan pulang ke rumah? Sepanjang tempoh itu, kita bebas secara terpaksa dari segala kesibukan lain selain memandu.

Justeru tempoh 'berkurung' dalam kenderaan agak lama, ramai yang hanya membiarkan fikirannya bebas begitu sahaja, membiarkannya 'hinggap' pada mana-mana dahan.

Kadang-kadang ia 'hinggap' pada 'dahan' masa silam, sekali sekala ia 'singgah' di ranting kenangan, atau pun 'mendarat' di 'padang' realiti masa kini. Dan acap kali ia berlegar dalam ruang angan-angan! 

Sebenarnya, tempoh berkurung dalam kenderaan setiap pagi dan petang, adalah waktu yang sangat sesuai untuk berwirid. Kita sebenarnya tidak perlu lagi bermujahadah untuk mengkhususkan satu waktu yang bebas dari tetamu, kerja dan kesibukan setiap pagi dan petang.

Lebih dari itu, kita disudutkan 'secara paksa' ke satu ruang waktu yang bebas dari segala urusan dan kesibukan. Nah, gunakanlah waktu itu untuk mendekatkan diri kepada Allah dan 'terbang' kepadaNya dengan 'sayap' wirid dan zikir!

Keadaan ini sangat berbeza dengan orang yang bekerja di kampung. Setelah pulang dari bendang atau ladang di waktu petang, mereka perlu bermujahadah untuk mengenepikan kemahuan berehat atau melayan tetamu atau anak-anak, jika mereka mahu berwirid selama 30 atau 40 minit. Ternyata, ia bukan satu kerja yang mudah!

Berwirid mengelakkan kemalangan!

Dengan berzikir dan berwirid semasa memandu, hati menjadi tenang dan mantap. Emosi 'tertambat' kemas pada 'tiang' rasional, sambil akal menguasai otak dan pemikiran.

Dalam keadaan ini, karenah pemandu dan onar yang pelbagai di jalan raya, tidak lagi sewenang-wenangnya mampu 'mengacah' emosi. Kesesakan di jalanan tidak dengan mudah menggelorakan jiwa dan perasaan. 

Yang lebih penting, wirid dan zikir di jalan raya, boleh membunuh rasa takbur dan megah yang menakluki ramai pemandu. Rasa takbur dan megah itulah yang mendorong mereka memandu melulu, memotong sesuka hati dan memecut laju.

Lebih bertuah, ialah pemandu bas ekspres. Setiap hari, mereka 'ditolak' masuk ke dalam ruang waktu yang bebas dari kesibukan dan urusan, dalam tempoh yang lama. Bukan sahaja berzikir dan berwirid, lebih dari itu, mereka boleh menghafal al-Quran!

Pakar-pakar tempatan telah lama menjelaskan, kemalangan jalan raya banyak berpunca dari sikap pemandu. Namun, jarang dinyatakan cara mengubah sikap pemandu.

Sikap tidak boleh dibentuk hanya dengan undang-undang. Ia hanya boleh dibentuk dengan kalam memuji tuhan.

Emmm...berwirid semasa memandu tidak akan menghilangkan tumpuan kita kepada pemanduan. Cubalah sendiri!





Monday, October 11, 2010

Rehat Minda

Juha dan angsa berkaki satu!

                                                                                     
Juha, watak pandir dalam sastera Arab tapi cerdik dan bergeliga
Pada suatu hari, Juha membawa seekor angsa panggang kepada seorang putera raja.
 
Di tengah jalan, Juha merasa lapar. Bau angsa panggang pula begitu menggodanya. Lalu Juha memakan sebatang kaki angsa panggang itu.

Bila angsa panggang itu dihidang kepada putera raja, beliau bertanya Juha, "mengapa kaki angsa hanya sebatang?". "Semua angsa di negeri ini berkaki satu, tuanku!", jawab Juha selamba.

Juha lantas meminta putera raja melihat melalui jendela istana. Juha menunjukkan jarinya ke arah sekumpulan angsa yang berdiri sebelah kaki, seperti kebiasaan yang dilakukan angsa, itik dan ayam semasa berehat.

Putera raja tidak berpuas hati. Baginda segera memanggil seorang askar dan memerintahkannya merodok kumpulan angsa itu dengan kayu. Bila dilakukan demikian, angsa pun apa lagi, lari ke sana ke mari dengan kedua-dua belah kakinya!!.

Putera raja berkata kepada Juha, "Apakah engkau lihat!!? Semua angsa di negeri ini diciptakan dengan dua belah kaki, bukannya dengan sebelah kaki!!", bentak putera raja.

Juha membantah dengan menjawab, "Bertenang tuanku. Kalaulah dirodok manusia seperti itu, nescaya manusia pun akan lari dengan empat kaki!".


Bahaya khusyuk

Suatu ketika, Juha duduk dalam sebuah rumah. Juha mengadu kepada tuan rumah, dia mendengar keretakan di bumbung rumah.

Tuan rumah berkata, "Ahhhh...tak usah bimbanglah...bumbung sedang 'bertasbih' kepada Allah tu...". Jawab Juha, "aku bimbang nanti 'hati' bumbung menjadi khusyuk bertasbih, lalu 'sujud' ke atas kita!".

Bukti kewalian Juha!

Suatu hari, Juha mendakwa dirinya seorang wali. Orang ramai pun memintanya menunjukkan keramat, yang menjadi bukti dia seorang wali.

Jawab Juha, "kamu mahu aku tunjukkan keramat yang lebih besar daripada kemampuan ku mengetahui apa yang ada dalam hati kamu!!?". Mereka mejawab, "baik, apa yang ada dalam hati kami sekarang ini?".

Jawab Juha, "Apa yang ada dalam hati kamu sekarang ialah, hati kamu berkata "aku berbohong (mendakwa diriku wali)"!.

Sunday, October 10, 2010

Zuhud : Pra Syarat Tajdid*

Dewasa ini, agak ramai yang bercakap tentang tajdid. Tapi, tidak semua yang mewar-warkan tajdid, mampu melakukan tajdid!.

Kebanyakan mereka yang melaungkan tajdid memiliki idea, daya intelektual dan keberanian, namun mengapa mereka masih gagal mencetuskan tajdid yang mampu mengubah keadaan dan menggugat zaman?

Persoalan ini telah dibongkar oleh Maulana Abu Hasan al-Nadawi yang menelusuri denai-denai sejarah tajdid sepanjang sejarah Islam. 

Beliau memulakan bicaranya dengan sorotan ke atas keperibadian tokoh tajdid terkenal Islam, Imam Ahmad bin Hambal radiallah 'anhu. Beliau menitipkan... 

Ayah kepada Imam Ahmad, Hanbal,  pernah bercerita tentang anaknya itu. "Jarang sekali Ahmad meminjam sesuatu dari rumah kami dan rumah anaknya", kata Hanbal. "Apabila harta yang bersumberkan dari harta  Sultan mula memasuki rumah kami, Ahmad tidak lagi meminjam dari kami", sambung Hanbal.

Sebenarnya, Imam Ahmad tidak mengatakan harta-harta yang bersumberkan sultan (pemerintah) itu haram. Cuma, beliau berpendapat, ia diambil secara tidak halal dan hak-hak orang-orang Islam masih 'bergantungan' dengan harta-harta itu. Justeru itu, beliau mengelak dari mengambilnya.


Maulana Abu Hasan Ali Nadawi (wafat 1999)

Pernah suatu ketika, beliau berpesan kepada anak-anaknya, "janganlah kamu mengambilnya (harta-harta yang bersumberkan sultan) sedangkan perbatasan terbiar dan tidak diisi (dengan tentera yang berkawal) serta fai (harta awam) pula tidak dibahagikan kepada mereka yang berhak”.

Di sini, kita berhenti sejenak untuk bertanya, mengapakah begitu berhalus sekali Imam Ahmad dalam soal ini? Mengapakah begitu 'keterlaluan' pendiriannya?.

Izinkanlah aku berkata, andainya tanpa ketegasan seperti ini, kiranya tiada keberhalusan dalam zuhud dan berpaling dari harta-harta sultan (pemerintah)...

 Jikalau tiada penjagaan yang sungguh-sungguh terhadap manhaj kehidupan yang dipegang kejap oleh Imam Ahmad ini...jikalau tanpa semua ini, nescaya beliau tidak akan berupaya 'menderhakai' negaranya yang kuat dan membebaskan diri dari cengkamannya...

Nescaya, beliau tidak berkemampuan menjelmakan peranannya yang hebat dalam sejarah gerakan islāh (pemurnian), tajdid (pembaharuan) dan mempertahankan agama.

Beliau juga tidak akan mampu memberikan kesan sebegini besar ke atas minda manusia dan jiwa mereka...Beliau tidak akan memiliki kekuatan untuk berdiri sebagai bukit yang tegap dan kejap dalam arus yang menghanyutkan perwira dan menggoncangkan bukit bukau!.

Sesungguhnya, kita telah menyaksikan bahawa kezuhudan dan tajdid sentiasa bergandingan dalam sejarah Islam.

Justeru, kita tidak pernah mengenali mana-mana tokoh yang berjaya mengubah arus, merubah perjalanan sejarah, meniupkan ruh dan semangat baru dalam masyarakat Islam, atau membuka era baru dalam sejarah Islam...

serta meninggalkan perbendaharan ilmu, pemikiran dan keagamaan yang kekal, yang berterusan selama berkurun-kurun lamanya memberi kesan ke atas minda dan pemikiran manusia dan 'menguasai' bidang keilmuan dan moral...

melainkan tokoh tersebut mempunyai sentimen kezuhudan, penundukan nafsu syahwat dan penguasaan ke atas sifat cintakan kebendaan dan penguasa-penguasanya.

Barangkali, rahsia kepada hakikat sejarah ini ialah kerana zuhud memberikan kepada manusia kekuatan melawan, bergantung kepada potensi diri dan akidah, memandang remeh kepada 'wira-wira' kebendaan, 'pemabuk-pemabuk' nafsu syahwat dan 'tawanan-tawanan' nafsu perut.

Lantaran itu, kamu melihat ramai cendiakawan dan cerdik pandai dari kalangan pelbagai bangsa, mereka adalah orang-orang yang zuhud dalam kehidupan, golongan yang 'memberontak' ke atas nafsu syahwat, berada jauh dari raja-raja, pemerintah-pemerintah dan orang-orang kaya di zaman mereka.

Ini kerana, kezuhudan akan membangkitkan dalam jiwa kekuatan-kekuatan yang terpendam, menyalakan bakat dan kebolehan serta menyalakan ruh dan semangat.

Sedangkan keselesaan dan 'kemanjaan' akan 'membodohkan' perasaan, menidurkan jiwa dan mematikan hati.

*Tajuk asal artikel ini ialah 'kezuhudan di dunia dan hubungannya dengan islāh dan tajdid’. Artikel ini adalah petikan dari buku 'Rijāl al-Fikr Wa al-Da’wah’ karangan Maulāna al-Nadawi, juzuk 1, hlm. 104-105

Monday, October 4, 2010

MOTIVASI : ‘KUALI’ ANDA TIDAK SEKECIL YANG ANDA SANGKAKAN!

        Menurut satu cerita, terdapat seorang nelayan berperangai pelik. Nelayan ini sangat bernasib baik, kerana mata kailnya selalu disambar ikan. Ini menyebabkan rakan-rakan nelayan yang lain cemburu.

     Suatu hari, rakan-rakan nelayan ini sangat marah. Mereka sangat marah kerana nelayan tadi melepaskan semula ikan-ikan besar yang tersangkut di mata kailnya. Sebaliknya, hanya ikan-ikan kecil sahaja yang diambil.

Sudahlah mereka sudah lama mencemburuinya kerana mata kailnya selalu saja dimakan ikan. Bila melihatnya melepaskan ikan-ikan besar yang berjaya dipancingnya, tentulah mereka sangat marah dan geram.

        
Anda lebih hebat dari yang sering anda sangkakan!
“Hei, apa hal kau ni ha...!!!?. Kau gila ke!!?. Mengapa kau lepaskan ikan-ikan yang besar!!?”, jerkah mereka kepada si nelayan.

Sebab aku hanya mempunyai kuali yang kecil”, jawabnya selamba.

Kita mungkin tidak percaya ada orang sebodoh nelayan ini. Tapi, malangnya, kita melakukan setiap hari apa yang dilakukan si nelayan bodoh ini.

Apa tidaknya, kita sering membuang idea-idea mega, cita-cita yang tinggi dan cetusan-cetusan fikiran yang bernilai. Kerana apa? Kerana semata-mata menganggap ia lebih besar daripada akal dan kemampuan kita. Sama seperti si nelayan yang membuang ikan-ikan yang besar, semata-mata kerana ia lebih besar daripada kuali yang ada di rumahnya.

Pakar motovasi mengingatkan kita dengan berkata, "anda adalah sebagaimana yang anda percaya".

Justeru, berfikirlah lebih jauh. Impikan sesuatu yang lebih besar. Jangkakan sesuatu yang melebihi jangkauan. Dan berdoalah kepada Allah agar Dia memberikan lebih banyak kepada anda. 

Salah satu hakikat yang ditemui ilmu psikologi masa kini ialah manusia mempunyai kemampuan untuk hidup sebagaimana yang dia kehendaki. Ya, kita mempunyai kemampuan untuk hidup sebagaimana yang kita kehendaki...

Langkah pertama ke arah itu ialah memasang impian. Impian yang besar akan menggariskan kepada kita tujuan dan matlamat. Mengenalpasti tujuan dan matlamat adalah langkah kedua. Matlamat inilah yang akan 'menghantui' kita pagi dan petang, mendesak supaya ia dicapai.

Namun, di sana ada satu sahaja halangan yang menghalang kita daripada menggapai impian dan menggodol kejayaan. Mahukah anda tahu apakah halangan itu?

Halangan itu ialah ’hukuman’ yang kita jatuhkan ke atas diri kita bahawa diri kita lemah, gagal dan tidak berkeupayaan!!.

Memang benar, sikap optimis semata-mata tidak mencukupi. Tapi yang pasti, sikap pesimis adalah 'penjenayah' sebenar yang 'membunuh' manusia!.

 

‘Apa kaitannya denganku’ dan rahsia kejatuhan negara!

Zaman Sultan Sulaiman al-Qanuniy-menurut pendapat kebanyakan ahli sejarah-merupakan zaman keemasan Empayar Othmaniyyah.

Pada zaman baginda, jajahan takluk empayarnya semakin meluas. Banyak negeri dan bandar dibuka. Kemakmuran dan kemewahan merata ke segenap penjuru empayar.

 
Sultan Sulaiman al-Qanuniy (1495-1566M) menaiki takhta semasa berumur 26 tahun.
   Namun Sultan Sulaiman-melalui sorotan baginda ke atas sejarah mengetahui bahawa setiap negara yang kuat, tidak dapat tidak, pasti akan menjadi lemah.

Akan menular ke dalam binaannya faktor-faktor kelemahan dan keruntuhan. Ini kerana setiap bangsa mempunyai ajal masing-masing. Apakah perkara yang sama akan menimpa ke atas Empayar Othmaniyyah? Apakah di sana ada cara untuk lari daripada keruntuhan?

Persoalan ini menghantui fikiran Sultan Sulaiman selama beberapa hari. Setelah lama berfikir dan bingung dengan persoalan ini, baginda memutuskan untuk mengajukan persoalan ini kepada seorang ulama yang masyhur ketika itu, iaitu Yahya Afandi. Yahya Afandi juga merupakan saudara susuan baginda.

Tuan adalah seorang yang mengetahui banyak rahsia. Justeru, kami berharap dari tuan agar sudi memberitahu kepada kami, bilakah sesebuah negara itu akan runtuh. Dan apakah kesudahan Empayar Othmaniyyah ini?”.Demikianlah isi surat yang dihantar Sultan Sulaiman kepada Yahya Afandi.

Yahya Afandi segera menjawab soalan Sultan Sulaiman itu. Namun, jawapannya sangat ringkas dan memeningkan. Apa kaitan perkara ini denganku, wahai Tuanku al-Sultan?. Apa kaitannya denganku?”. Demikianlah jawapan Yahya Afandi.

Sultan Sulaiman sangat hairan dan pening dengan jawapan Yahya Afandi. Apakah dalam jawapan ini mengandungi makna tersirat yang baginda tidak fahami?. Baginda tiada jalan lain melainkan pergi menemui sendiri Yahya Afandi di tempat tinggalnya. 

Setibanya di sana, baginda mengajukan soalan yang sama seperti dalam surat yang dikirimkan, sambil menegur Yahya Afandi yang dilihatnya tidak serius menjawab soalan baginda.

Beta berharap dari tuan, wahai saudaraku, supaya menjawab soalan beta dan menganggap persoalan ini serius. Beta juga berharap agar tuan memberitahu apakah maksud tuan dengan jawapan yang tuan berikan itu”, titah Sultan Sulaiman kepada Yahya Afandi.

Wahai Tuanku, tatkala kezaliman dan kerosakan berleluasa dalam sesebuah negara, dan setiap orang yang melihat kezaliman dan kerosakan ini berkata, “apa kaitannya perkara ini denganku” kerana sibuk dengan hal diri masing-masing sahaja...

Apabila ‘pengembala’ membaham kambing yang dijaganya, sedang orang yang mengetahui dan mendengar hal ini mendiamkan diri...Apabila teriakan fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan mula meninggi ke langit dan tiada siapa yang mendengarnya selain pokok-pokok dan tanah...

Ketika itu terserlahlah tanda-tanda kejatuhan sesebuah negara, terhakislah rasa kesetiaan rakyat terhadapnya. Demikianlah kemalapan menjadi ketentuan yang tertulis ke atas sesebuah negara yang tiada jalan melarikan diri daripadanya”.

Begitulah jawapan Yahya Afandi kepada persoalan Sultan Sulaiman. Jawapan yang tegas, jelas dan kukuh.  

Thursday, September 30, 2010

'Wang judi halal bila dicampur dengan dana lain' : Satu penilaian

Dalam Fiqh Islam, wang judi dan wang haram yang lain, TIDAK BOLEH diambil manfaat oleh individu atau pihak yang menghasilkan wang haram tersebut, samada untuk dirinya atau tanggungannya (al-Qaradhawi, Yusuf (1994), Fatawa Mu'asarah, cet.3, Darul Wafa' : Mansurah, jld.2, hlm.410). 

Haram ke atasnya menggunakan wang haram tersebut dalam segala bentuk.

Ini bermakna, wang haram tidak boleh digunakan bagi membeli minyak kereta, gas memasak, membayar cukai sekalipun cukai tersebut satu kezaliman, membina tandas dan lain-lain (al-Qaradhawi(1994), op.cit.,hlm.410).

Wang haram itu juga-menurut jumhur ulama-tidak dibuang atau dimusnahkan kerana kita dilarang melakukan pembaziran. Sebaliknya, ia disedekahkan kepada orang atau pihak yang berhak.

Dalil yang menunjukkan keharusan menyedekahkan harta haram, ialah perintah Rasulullah s.a.w supaya disedekahkan daging kambing panggang yang dihadiahkan kepada Baginda kepada tawanan perang.

Daging kambing tersebut diketahui haram oleh Baginda s.a.w sebelum Baginda menyentuhnya (Ittihaf al-Sadah al-Muttaqin (1989),Darul Kutub al-Ilmiyyah : Beirut jld.6, hlm.637).

Dalil lain ialah perintah Rasulullah s.a.w supaya Syaidina Abu Bakar r.a menyedekahkan wang hasil perjudian beliau dengan orang-orang kafir. 

Perjudian ini berlaku kerana bila turun ayat 1-3 surah al-Rum ( yang bermaksud : Orang Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya), orang-orang kafir memperolok-olokkan berita bahawa Rom akan menang.

Ini mendorong Syaidina Abu Bakar r.a bertaruh dengan mereka. Apabila terbukti Rom menang, Syaidina Abu Bakar r.a datang membawa wang pertaruhan kepada Rasulullah s.a.w.

Baginda menolaknya dan memerintahkan supaya ia disedekahkan. Selepas itu barulah turun ayat yang mengharamkan perjudian(Itihaf Sadah al-Muttaqin, jld.6, hlm.638-539)

Kesimpulan penting di sini ialah, keharusan menyedekahkan wang haram kepada pihak yang berhak, seperti orang miskin dan institusi umum, bermakna wang tersebut HALAL bagi mereka.

Adalah tidak logik, wang haram tersebut boleh atau harus disedekahkan kepada mereka, tetapi mereka tidak halal mengambilnya. 

Justeru, 'sifir'nya begini :

  • Jika wang haram boleh disedekahkan kepada mereka, bermakna ia halal bagi mereka.
  • Jika ia halal, maka mereka boleh mengambilnya terus sama seperti wang halal yang lain.
  • Jika demikian, TIDAK ADA SEBARANG KEPERLUAN wang haram tersebut dicampur dengan dana atau wang halal yang lain bagi menjadikannya halal. Ini kerana ia memang halal bagi mereka. Ia hanya HARAM bagi pihak yang menghasilknya.
Selain itu, dua dalil yang dinyatakan di atas, jelas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w memerintahkan supaya daging kambing panggang yang haram, disedekahkan kepada tawanan perang.

Nabi s.a.w tidak memerintahkan supaya dicari daging panggang lain yang halal, untuk dicampurkan dengan daging panggang yang haram itu,kemudian baru disedekahkan kepada tawanan perang.

Demikian juga dengan wang pertaruhan Syaidina Abu Bakar r.a dengan orang kafir. Nabi s.a.w tidak memerintahkan supaya ia dicampur dengan wang halal yang lain sebelum disedekahkan.

Sebaliknya Baginda mengarahkan ia disedekah terus tanpa dicampurkan dengan wang yang halal terlebih dahulu.

Tuesday, September 28, 2010

Makna disebalik 'Malaysia didominasi generasi muda'

Utusan Malaysia hari ini (29 Sep.2010) melaporkan jumlah golongan tua di Malaysia hanya 6.7% sahaja. Golongan tua adalah generasi yang berusia 65 tahun ke atas.

Di mana-mana lokasi pun di seluruh negara, samada di kampung atau di bandar, golongan tua sangat sedikit. Cuba rakan-rakan bayangkan penduduk di taman perumahan atau penduduk di kampung halaman rakan-rakan. Golongan tua sangat sedikit. Selebihnya golongan muda dan yang segar bugar.

Apa makna dan pengertian di sebalik keadaan ini?

Makna yang terpenting yang disimpulkan daripada suasana ini ialah, sangat sedikit orang yang berpeluang mencapai usia 65 tahun atau usia tua. Kebanyakan manusia sebaliknya mati sebelum mencapai usia tersebut.

Dalam erti kata lain, ramai manusia mati di usia muda atau sebelum usia tua!.

Di kalangan kira-kira 26 juta rakyat Malaysia, hanya 6.7% sahaja yang berpeluang hidup panjang. 6.7% adalah angka yang sangat kecil jika dibanding dengan 26 juta penduduk. Justeru, kemungkinan untuk kita termasuk dalam kategori 6.7% itu adalah sangat nipis.

Justeru, hargailah kehidupan ini dan berikanlah makna kepada kehidupan kita dengan amal kebaikan dan jasa bakti!

Thursday, September 23, 2010

Titipan indah dan hikmat Mustafa Siba'ie

Kata-kata indah dan seni Syaikh Dr. Mustafa Siba'ie ini menjelaskan cara manusia menjadi hamba yang bertatasusila dan beradab dengan Allah.

Selaku hamba, manusia mesti sentiasa beradab sopan dengan 'tuan'nya dalam semua situasi.

Kata-kata indah ini menjelaskan adab dan etika manusia selaku hamba dikala beroleh nikmat dan disaat ditekan musibah.

Al-Syaikh al-Mujahid menitipkan :

إذا وصل إليك من ربك العطاء فليصله منك الشكر
وإذا وصل إليك منه البلاء فليصله منك الصبر
وإذا لم يصل منه ما  ترجو فلا يصل إليه منك ما يكره

Terjemahan : "Tatkala sampai kepada mu dari tuhan mu pemberian, maka [pastikan] sampai kepadaNya dari mu kesyukuran. Apabila sampai kepada mu dariNya bala, maka [pastikan] sampai kepadaNya dari mu kesabaran. Bila tidak sampai kepada mu apa yang engkau harapkan, maka [pastikan] jangan sampai kepadaNya dari mu apa yang Dia benci".

Hamba yang santun dan beradab, bila sampai kepadanya 'kiriman' dari tuhannya, akan membuat kiriman balas.

Jika sampai kepadanya dari tuhannya 'kiriman' nikmat, dibalasnya dengan mengutus kepadaNya 'kiriman' syukur.

Andai 'kiriman' tuhan yang sampai itu berupa ujian dan bala, dikirimnya kepada tuhannya 'kiriman sabar'.

Demikian sikap dan akhlak hamba yang santun bila menerima 'kiriman' dari tuhannya.

Bagaimana pula akhlak dan perilakunya jika tidak sampai kepadanya dari tuhannya apa yang diingininya?

Dalam situasi sebegini, hamba yang sopan dan tahu hakikat dirinya, akan memastikan dirinya tidak 'mengirim' kepada tuhannya apa yang dibenci tuhannya.

Dia tidak akan 'mengirim' kepada tuhannya 'kiriman' putus asa, rasa terkilan atau pemberontakan.

Wednesday, September 22, 2010

Santai ilmi

Bolehkah jin yang berasal daripada api diazab dengan api?

Suatu ketika, ada seorang alim tinggal menyendiri di kebun miliknya. Perihalnya yang mengasingkan diri dari orang ramai itu diketahui oleh tiga lelaki nakal.

Mereka bersepakat pergi menemui si alim itu untuk berdebat. Tujuan mereka berdebat hanyalah untuk mempermainkan-mainkannya.

Sebaik sahaja sampai di kebun tersebut, salah seorang dari mereka terus bertanya si alim : "Kamu berkata bahawa Allah itu wujud. Jika demikian, aku minta kamu memperlihatkan Allah kepadaku. Aku mahu melihat Allah".

Jawab si alim : "Baiklah".

Kemudian, seorang lagi tampil bertanya : "Kamu mengatakan, setiap yang derhaka akan diazab di akhirat kelak dengan api neraka.

Jika begitu, bagaimana jin yang derhaka boleh di azab dengan api, sedangkan ia sendiri dijadikan daripada api?".

Setelah itu, giliran lelaki yang ketiga pula mengemukakan soalan. Dia bertanya si alim : "Kamu mengatakan, semua perkara berlaku mengikut qada’ dan qadar yang ditentukan Allah.

Jika benar begitu, maka manusia tidak akan dihukum di atas segala perbuatannya samada baik atau buruk (sebab semuanya telah ditentukan oleh Allah)?".

Setelah mendengar ketiga-tiga soalan tadi, tanpa berkira panjang, si alim terus menggenggam sekepal tanah, lalu melemparkannya ke muka ketiga-tiga lelaki tadi seraya berkata : "Nah, inilah jawapanku kepada soalan-soalan kamu tadi!".

Ketiga-ketiga lelaki tadi berang.Tanpa berlengah lagi, mereka terus membawa si alim tadi ke mahkamah.

Hakim bertanya kepada si alim : "Benarkah kamu telah melemparkan tanah ke muka mereka?". Si alim menjawab : "Benar". Hakim bertanya : "Mengapa kamu berbuat demikian?".

Si alim menjawab : "Kerana salah seorang daripada lelaki ini meminta aku memperlihatkan kepadanya Allah, kerana katanya Allah itu wujud. Maka katanya, setiap yang wujud mestilah boleh dilihat.

Maka, saya minta tuan hakim memerintahkannya menunjukkan kepada saya, rupa kesakitan yang disebabkan tanah yang saya lemparkan ke mukanya, nescaya saya akan tunjukkan apa yang dia kehendaki".

Hakim bertanya kepada si lelaki : "Bolehkah engkau memperlihatkan kepadanya rupa rasa sakit itu?".

Si lelaki menjawab : "Tidak". Maka si alim terus berhujjah : "Jika demikian, engkau hendaklah sedar, bahawa tidak semua yang wujud itu boleh dilihat".

Si alim meneruskan ceritanya kepada tuan hakim. Beliau berkata : "Adapun si lelaki yang kedua, dia mempersoalkan bagaimana jin boleh diazab dengan api pada hari kiamat kelak, kerana katanya tidak mungkin sesuatu yang berasal dari api, diazab dengan api.

Maka, saya  minta tuan hakim katakan kepadanya : "jika benarlah apa yang didakwanya, mengapa dia merasa sakit bila dilempari dengan tanah, sedangkan dia manusia dan manusia pula diciptakan dari tanah?".

Si lelaki terdiam.

Seterusnya, si alim menceritakan perihal lelaki yang ketiga. Beliau berkata :"Adapun lelaki yang ketiga, dia bertanya kepadaku tentang qada’ dan qadar.

Dia berkata kepadaku, manusia terpaksa melakukan segala perbuatannya kerana telah ditentukan oleh Allah.

Jika demikianlah kedudukannya, maka aku sebenarnya terpaksa melemparinya dengan tanah kerana semua itu telah ditentukan Allah. Kalau begitu, mengapa dia mendakwaku di mahkamah?".

Ketiga-tiga lelaki tertunduk malu. Menyesal kerana tersalah sangka. Si alim disangka biasa. Rupa-rupanya, hatinya jaga, akalnya bergeliga!.

Tuesday, September 21, 2010

Haruskan tidak berbangga dengan bangsa?

'Berbangga dengan bangsa' mempunyai banyak makna dan bentuk. Ada bentuk yang baik. Ada juga bentuk yang dicela.

'Bangga dengan bangsa' yang diterima

'Berbangga dengan bangsa' dengan makna 'berbangga dengan jasa, sumbangan dan bakti generasi terdahulu', adalah sesuatu yang BAIK. Ini kerana, ia mampu membangkitkan semangat generasi masa kini mencontohi mereka dan melakukan perkara serupa. (Imam Hasan al-Banna (1990), Majmu'ah Rasail, Dar al-Dakwah : Iskandariah, ms.28).

Rumusan : Tidak berbangga dengan bangsa dengan makna ini, bermakna tidak berbangga dengan kebaikan dan jasa bakti bangsa sendiri. Sikap ini jelas tidak baik. Tidak ada orang yang waras yang tidak berbangga dengan kebaikan dan jasa bangsa mereka sendiri!

'Bangga dengan bangsa' yang palsu

Sementara 'bangga dengan bangsa' dengan makna bangsa sendiri secara semulajadi lebih tinggi daripada bangsa lain, ia adalah SANGKAAN dan PALSU semata-mata. Ini kerana tiada bangsa atau keturunan yang lebih tinggi daripada bangsa lain. Kesemuanya sama kerana semuanya berasal dari Adam a.s!

Rumusan : Tidak 'bangga dengan bangsa' dengan makna ini adalah tepat kerana memang tiada bangsa yang keturunan dan darahnya lebih mulia berbanding bangsa lain.

'Bangga dengan bangsa' yang dicela

Adapun 'berbangga dengan bangsa' sehingga mengetepikan ajaran Islam (seperti tindakan Kamal Atartuk menghapuskan azan dalam Bahasa Arab) dan bertindak menghidupkan tradisi-tradisi yang bertentangan dengan Islam, ia adalah 'berbangga dengan bangsa' yang DICELA. (Imam Hasan al-Banna (1990), op.cit., ms.29).

Demikian juga 'berbangga dengan bangsa' yang mendorong sikap memandang rendah dan hina terhadap kaum yang lain. Ia juga sesuatu yang dicela.

Kesimpulan

1. Justeru kerana 'bangga dengan bangsa' mempunyai banyak makna dan bentuk, sebelum menentukan sikap terhadap kenyataan 'tidak berbangga dengan keturunan Melayu', perlu dipastikan maksud kenyataan tersebut.

Jika kenyataan tersebut bermaksud 'tidak bangga dengan jasa dan sumbangan bangsa Melayu terdahulu', jelaslah ia kenyataan yang jauh tersasar.

Tapi, jika ia bermaksud tidak bangga dengan darah dan keturunan Melayu kerana darah dan keturunan semata-mata tiada nilai di sisi Allah, ia adalah kenyataan yang tepat.

2. Tidak dinafikan berbangga dengan Islam adalah lebih utama. Tapi ini tidak bermakna 'bangga dengan bangsa' dengan makna yang baik (seperti di atas), tidak dibolehkan.

3. Berbangga dengan Islam semata-mata adalah tradisi para salafussoleh. Di kalangan mereka ada yang mendendangkan :

لا تدعني إلا بيا عبدها         فإنه أشرف أسمائي

Terjemahan : Janganlah engkau memanggil ku melainkan dengan 'wahai hambaNya', sesungguhnya ia semulia-mulia namaku!

Di kalangan mereka, apabila ditanya tentang ayahnya samada dari qabilah Tamim atau Qais, mereka menjawab :

أبي الإسلام لا أب لي سواه        إذا افتخروا بقيس أو تميم

Terjemahan : Ayahku [adalah] Islam, tiada ayah bagiku selainnya, tatkala mereka bermegah-megah dengan Qais atau Tamim!

Friday, September 17, 2010

AGAMA & PEMELIHARAAN SPESIS HAIWAN DARIPADA KEPUPUSAN

Di dunia hari ini, gerakan memelihara spesis haiwan tertentu daripada kepupusan, bermula di Barat. Dari sana, ia menular termasuklah ke Malaysia.

Soal 'pemeliharaan spesis haiwan tertentu daripada pupus' menjadi urusan dan 'kerja' orang Barat. Menjadi urusan pihak-pihak yang dilantik kerajaan seperti Perhilitan. Ia bukan soal agama. Bukan 'urusan' atau perkara yang dititikberatkan orang agama. Atau paling kurang disebut oleh mereka. Inilah realiti hari ini.

Namun, realiti ini tidak bermakna, pemikiran tentang 'pemeliharaan spesis haiwan tertentu daripada kepupusan' tidak ada dalam khazanah Islam.

Dalam satu hadis, Nabi s.a.w bersabda, “Jika tidak [kerana spesis] anjing [adalah] salah satu umat daripada umat-umat [yang ada di dunia], nescaya aku telah perintahkan ia dibunuh, [tetapi oleh kerana ia juga salah satu umat yang wujud di dunia ini] maka bunuhlah [anjing] hitam yang tiada belang padanya(hitam sepenuhnya)”.

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasa’ie, Ibnu Majah dan At Tirmizi. At Tirmizi menghukumkannya hasan. Al-Albani pula memasukkannya ke dalam himpunan hadis-hadis sahih, al-Jami’ al-Soghir.

Hadis ini jelas mengiktiraf spesis anjing sebagai salah satu umat yang wujud di muka bumi. Hadis ini merujuk kepada realiti hidupan dunia yang disebut al-Quran dalam surah al-An’am (ayat 38). Ayat ini bermaksud, “Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu”.

Realitinya hidupan di dunia ini seperti manusia juga. Setiap spesis merupakan entiti dan kelompok tersendiri. Seperti setiap bangsa atau keturunan adalah umat atau entiti yang tersendiri.

Di atas asas spesis anjing adalah salah satu umat (satu entiti tersendiri) yang wujud, maka tidak wajar ia pupus, atau dihapuskan spesisnya. Bertitik tolak daripada hakikat inilah, Nabi s.a.w hanya meminta dibunuh anjing yang memudharatkan manusia.

Antara anjing yang memudharatkan manusia ialah yang seluruh tubuhnya berwarna hitam. Ada yang mengatakan, anjing sebegini adalah anjing yang sangat jahat dan sangat suka menggigit.

Inilah falsafah Islam disebalik pemeliharaan spesis haiwan tertentu daripada kepupusan, iaitu ia adalah salah satu umat yang wujud di muka bumi.

Pemikiran tentang perlunya dikekalkan spesis haiwan daripada kepupusan telah difahami oleh ulama Islam sejak dahulu lagi. Antara mereka ialah Imam al-Khattabi(meninggal 388H).

Ketika menghuraikan hadis di atas di dalam kitabnya Ma’alim Fi al-Sunan, beliau berkata, “maknanya, Baginda s.a.w tidak menyukai [perbuatan] melenyapkan mana-mana umat (entiti) dan [perbuatan] menghapuskan mana-mana generasi [sesuatu] makhluk...kerana tidak ada mana-mana makhluk Allah melainkan [ada] padanya hikmat dan faedah tertentu”(Jilid 4, hlm. 132-133)

Jelas sekali, idea pemeliharaan spesis haiwan disebut sejak dahulukala lagi. Kitab Ma’alim Fi al-Sunan bukanlah kitab yang asing bagi golongan agamawan. Tetapi, pemikiran ini terpendam begitu sahaja. Tiada orang yang mengambil dan menyebarkannya.

Di sini, fahamlah kita, punca umat Islam ketinggalan dalam bidang pengasasan idea-idea terkini dan segar. Puncanya bukan kerana kekeringan perbendaharaan pemikiran Islam. Puncanya ialah ketidakpedulian. Kejahilan. Terlepas pandang atau lain-lainya.

Itu dari segi falsafah memelihara spesis haiwan daripada kepupusan. Bagaimana pula tentang hikmatnya?. Lihat apa kata para pengkaji dan saintis.

Mereka memberi amaran, ubat-ubatan versi baru kemungkinan  akan hilang buat selama-lamanya jika tidak dijaga spesis-spesis haiwan dan serangga tertentu yang diancam kepupusan.
Kepupusan spesis-spesis ini bermakna tiada uji kaji yang boleh dilakukan ke atasnya bagi memajukan bidang perubatan. Kepupusan katak jenis Rheobatrachus silus sebagai contoh, amat merugikan manusia.

Ia sejenis katak  yang menyimpan anak di dalam perutnya. Menurut para pengkaji, kepupusan katak ini telah menghilangkan peluang para pengkaji menjalankan kajian ke atasnya bagi menghasilkan ubat ulser usus.

Kajian awal yang sempat dilakukan menunjukkan anak katak yang disimpan dalam perut ibunya itu mengeluarkan sejenis bahan yang menghalangnya daripada proses penghadaman makanan di dalam perut.

Para pengkaji mengatakan, rahsia perubatan yang berharga yang tersimpan dalam spesis katak ini telah hilang buat selama-lamanya disebabkan kepupusannya. Ini bermakna ilmu perubatan hari ini kehilangan peluang keemasan bagi mencipta ubat bagi pelbagai jenis penyakit.

Jelasnya, spesis-spesis haiwan dipelihara bukan semata-mata bagi dilihat oleh generasi akan datang seperti yang difikir banyak orang.



.‏

Tuesday, September 14, 2010

Fakta Menarik & Berguna Tentang Puasa Enam

Puasa Enam ialah puasa yang dilakukan pada bulan Syawal. Puasa dilakukan sebanyak 6 hari. Berikut beberapa fakta 'menarik' tentang puasa enam :

1. Seseorang yang berpuasa sebulan Ramadhan, kemudian diikuti dgn puasa 6 pada bulan syawal, sama seperti berpuasa sepanjang tahun. Ini kerana, dengan berbuat demikian, orang tersebut telah berpuasa selama 36 hari.

Sehari puasa diberi ganjaran sebanyak 10 kebaikan. Ini bermakna, 36 hari puasa diberikan ganjaran 360, iaitu jumlah hari dalam setahun;

2.Puasa Enam sama seperti solat sunat ba'diyyah. Puasa bulan Sya'ban pula sama seperti solat sunat qabliyyah. Kedua-duanya menampal kekurangan puasa Ramadhan.

3. Puasa Enam adalah tanda puasa Ramadhan diterima, insyaAllah. Ini kerana, antara tanda sesuatu amal ketaatan diterima, ialah seseorang itu melakukan ketaatan lain selepas ketaatan yang pertama. Berkata Syaikh Ali Jum'ah :

من علامة قبول الطاعة الطاعة بعدها

Terjemahan : Antara tanda penerimaan [amal] ketaatan ] ialah [amal] ketaatan [lain yang dilakukan] selepasnya"

Berkenaan hukum yang berkaitan dengan puasa Enam, ia seperti berikut :

1. Puasa Enam sunat dilakukan secara berturut-turut. Tetapi, HARUS dilakukan secara terpisah.

2. Lebih AFDHAL mengqadhakan puasa Ramadhan sebelum melakukan puasa Enam kerana sabda Nabi :

ودين الله أحق أن يقضى

Terjemahan : "Hutang Allah lebih berhak diqadha" 

3. HARUS menghimpunkan dua niat (iaitu niat puasa enam dan niat puasa qadha) ketika berpuasa enam hari dibulan Syawal.

Tuesday, September 7, 2010

Doa untuk Lim: Bendung segera budaya 'tahrim'

Shah al-Maududy Ogos 26, 10 2:48pm


     Sebelum ini, beberapa tokoh ulama 'rasmi' dan 'tidak rasmi' tampil membantah apa yang dinamakan sebagai budaya tabdi'. Tabdi' bermaksud membidaahkan sesuatu atau menghukumkannya sebagai bidaah.
     Budaya tabdi' merujuk kepada kelantangan dan ketegasan sesetengah agamawan membid'ahkan beberapa amalan keagamaan umat Islam negara ini, yang sesetengahnya adalah perkara khilafiyyah sejak zaman berzaman.
     Namun, sedar atau tidak, kini nampaknya satu budaya baru mula bertunas yang boleh dinamakan 'budaya tahrim'. Tahrim bermaksud 'mengharamkan sesuatu'. Mengharamkan sesuatu berdasarkan dalil-dalil yang sahih bukan satu kesalahan.
     Yang salah ialah mengharamkannya secara tergesa-gesa tanpa berusaha bersungguh-sungguh mencari nas-nas yang berkaitan. Inilah yang dimaksudkan dengan 'budaya tahrim'.
     Bila ada orang Islam mendoakan keburukan kepada sesetengah individu Islam, yang dianggap melakukan kezaliman, sesetengah 'ulama rasmi' terus memfatwakannya sebagai haram. Ada juga yang menganggap perbuatan itu 'bertentangan dengan ayat al-Quran yang menegaskan umat Islam adalah bersaudara'!
     Yang jelas, fatwa ini dikeluarkan tanpa merujuk kepada nas-nas yang berkaitan dengan isu 'mendoakan keburukan kepada individu muslim'. Jika nas-nas tersebut dirujuk, saya yakin tiada seorang pun umat Islam, apatah lagi ulama yang tergamak mengharamkannya.
     Siapakah di kalangan umat Islam yang tulen, tergamak mengharamkan apa yang jelas dilakukan sendiri oleh Rasulullan s.a.w dan para sahabat serta diperakui keharusannya oleh para ulama?.
     Dalam Sahih Muslim, diceritakan perihal seorang lelaki yang makan dengan tangan kiri disamping Rasulullah s.a.w. Bila Rasulullah s.a.w mengarahkannya makan dengan tangan kanan, lelaki tersebut, kerana didorong oleh sifat takbur, mendakwa tidak mampu makan dengan tangan kanan.
     Lantas Rasulullah s.a.w bersabda “[kalau begitu] kamu tidak akan mampu [makan dengan tangan kanan]”. Setelah Baginda bersabda demikian, lelaki tersebut tidak lagi boleh mengangkat tangan kanannya ke mulutnya (lihat hadis no.5387 dalam Bab Adab al-Ta'am Wa al-Syarab Wa Ahkamuhuma).
     Semasa mengulas hadis ini, al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari mengatakan hadis ini menunjukkan keharusan mendoakan (keburukan) ke atas orang yang melanggar hukum syarak (lihat huraian al-Hafiz Ibn Hajar terhadap hadis no.4957 di bawah bab al-Tasmiah 'Ala al-Ta'am Wa al-Akl Bi al-Yamin dalam Sahih Bukhari).
     Perkara yang sama turut dilakukan oleh sahabat Nabi s.a.w, Sa'ad bin Abi Waqqas r.a yang mendoakan keburukan ke atas orang yang memburuk-burukkannya iaitu Usamah bin Qatadah. Sa'ad r.a berdoa kepada Allah supaya memanjangkan umur Qatadah dan memanjangkan kefakirannya serta mendedahkannya kepada fitnah(Hadis muttafaq 'alaih. Rujuk Riyadhus Solihin dalam bab Karamat al-Auliya' Wa Fadluhum).
     Lihat pula kenyataan Imam Nawawi dalam al-Azkar. Di bawah bab Jawaz Du'a al-Insan 'Ala Man Zalama al-Muslimin Au Zalamahu Wahdahu (Keharusan seseorang mendoakan (keburukan) ke atas orang-orang yang menzalimi orang-orang Islam atau menzalimi dirinya), beliau berkata, “sesungguhnya nas-nas al-Quran dan hadis serta amalan orang-orang terdahulu dan terkemudian (daripada) umat (Islam) ini, saling 'bekerjasama' dalam menunjukkan keharusannya (iaitu mendoakan keburukan ke atas orang-orang yang zalim)”.
      Di saat hadis-hadis Nabi begitu jelas, kenyataan para ulama begitu nyata yang mengharuskan doa seperti ini, tiba-tiba 'ulama rasmi' kita dengan ringan mulut mengatakan mendoakan keburukan ke atas orang Islam yang dianggap zalim adalah haram sama sekali. Menafikan hakikat bahawa umat Islam bersaudara!.
      Jika dilihat dalil-dalil dan kenyataan ulama yang jelas seperti di atas, kemudian dibandingkan dengan fatwa 'ulama rasmi' kita yang bercanggah dengan dalil-dalil dan kenyataan tadi, kita dapat menilai betapa seriusnya realiti yang ada. Ia serius kerana fatwa tersebut terang-terang bercanggah dengan nas dan kenyataan ulama-ulama muktabar.
      Begitu juga isu kalimah Allah. Meskipun al-Quran merakamkan 'penggunaan kalimah Allah' oleh bukan Islam tanpa membantahnya, ada 'ulama rasmi' yang sampai ke tahap menganggap orang yang menyokong bukan Islam negara ini menggunakan kalimah Allah sebagai 'tidak beriman'.
     Dalam surah Az-Zumar ayat 3, Allah merakamkan ucapan orang-orang kafir iaitu “kami tidak menyembah atau memujanya (sembahan selain Allah) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sedamping-dampingnya”. Adalah jelas mereka menggunakan kalimah Allah dan tidak dibantah oleh al-Quran. Sila rujuk sambungan ayat 3 surah ini untuk kepastian.
     Kita semua juga mengakui bahawa orang-orang Arab sejak zaman sebelum Islam menggunakan kalimah Allah. Bahkan surat Raja Mesir yang beragama Kristian, Muqauqis kepada Nabi s.a.w, dimulakan dengan bismillahirrahmanirrahim (Rujuk Sirah Ibn Hisyam, jld. 2, hlm. 359 dan Zadul Ma'ad karangan Ibn Qayyim, jld. 3, hlm. 61).
     Para ulama sejak dahulu tidak pernah melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam iaitu Ahli Kitab. Buktinya, bagi menjadikan sembelihan Ahli Kitab halal dimakan oleh orang Islam, para ulama mensyaratkan supaya Ahli Kitab menyebut nama Allah semasa menyembelih! (Rujuk tafsiran Imam Qurtubi terhadap ayat 5 surah al-Ma'idah dalam Tafsir al-Qurtubi).
     Di celah-celah lambakan fakta yang jelas sebegini, terbitlah fatwa bahawa orang Islam yang menyokong bukan Islam menggunakan kalimah Allah dianggap tidak beriman!. Kini timbul pula isu orang Islam mendoakan untuk bukan Islam. Sebenarnya, isu ini telah diselesaikan ulama sejak zaman silam lagi. Mereka menyatakan secara jelas hukumnya sehingga kita tidak perlu lagi berijtihad dan berselisih pendapat.
     Sebagai contoh, Imam Nawawi dalam kitab al-Azkar mengatakan “tidak harus didoakan untuknya (bukan Islam) keampunan dan yang seumpamanya…tetapi harus didoakan (untuknya) hidayat, kesihatan (tubuh) badan, kesejahteraan dan yang seumpamanya”.
     Imam Nawawi berdalilkan dengan peristiwa seorang Yahudi memberi minum kepada Nabi s.a.w setelah Baginda meminta demikian. Nabi s.a.w telah mendoakan untuk si Yahudi tadi dengan bersabda “semoga Allah mencantikkan kamu”. (Lihat al-Azkar dalam bab Ma Yaquluhu al-Muslim Lil al-Zimmi Iza Fa'ala Bihi Ma'rufan).
     Selain Imam Nawawi, beberapa orang ulama dari mazhab Syafie turut menyatakan dengan jelas keharusan mendoakan kebaikan duniawi kepada bukan Islam. Syeikh Ramli dalam Nihayatul Muhtaj dan Syeikh Ibn Hajar dalam Tuhfatul Muhtaj dengan jelas mengatakan “harus mendoakan kesihatan tubuh badan dan hidayat untuk orang kafir”(Lihat huraian tentang tasyahhud dalam kedua-dua kitab yang dinyatakan).
     Di tengah-tengah kejelasan fatwa ulama muktabar Mazhab Syafie yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini, secara tidak semena-mena sesetengah pihak memfatwakan “haram mendoakan kesejahteraan untuk bukan islam”!.
     Kita tidak tahu apakah fatwa ulama-ulama muktabar ini telah dirujuk sebelum fatwa haram tersebut dikeluarkan. Jika ia telah dirujuk oleh pihak terbabit, kita tidak pernah faham dan tahu atas alasan apakah mereka tetap mengharamkan doa orang Islam kepada bukan Islam.
      Semua ini mendorong kepada pembentukan satu kesimpulan iaitu “budaya tahrim sudah mula bertunas”!
     Persoalan yang penting di sini ialah, apakah punca kepada kewujudan budaya 'tahrim' ini. Penulis tidak melihat ia berpunca daripada kepentingan politik atau kepentingan peribadi. Ini kerana, pihak-pihak yang terbabit dalam budaya 'tahrim' ini dipercayai keikhlasan dan pekerti mereka dan telah terbukti berani mengeluarkan pandangan meskipun bertentangan dengan kehendak pemerintah.
     Bagi menjawab persoalan ini, cukuplah sekadar penulis bertanya “apakah sudah sampai masanya kesarjanaan dijadikan syarat utama bagi menjadi 'ulama rasmi', dan apakah sudah sampai masanya calon-calon 'ulama rasmi' dicadangkan oleh satu lembaga ulama untuk dipilih oleh pemerintah?.
     Kepada pihak berkuasa, ingatlah, jika 'budaya tahrim' ini terus berlaku dalam institusi 'ulama rasmi', institusi ini akan hilang kredibilitinya dan tidak lagi menjadi rujukan umat Islam negara ini!.

sumber : http://www.malaysiakini.com/letters/141159