Pages

Tuesday, February 1, 2011

Tunjuk Perasaan di Mesir : Keyakinan Rakyat Mesir Kepada Ulama

Para peserta demonstrasi yang berjumlah lebih 2 juta orang sekarang (hari Selasa 1 Feb. 2011), yang berhimpun di Medan Tahrir yang terletak di tengah-tengah ibu negara Mesir, Kaherah, meminta Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, wartawan Mesir, Muhammad Husayn Haikal, Dr. Muhammad Salim al-‘Awa (seorang tokoh ulama) dan beberapa tokoh berkecuali , membentuk satu jawatan kuasa bagi mengadakan rundingan dengan Husni Mubarak yang enggan berundur daripada kerajaan.
Para peserta demonstrasi juga menolak tawaran yang dikemukakan oleh Naib Presiden Mesir,  Umar Sulayman  yang dilantik bagi mengadakan rundingan dengan pihak pembangkang dan parti-parti politik Mesir.
Tawaran tersebut ditolak kerana mereka tidak mempercayai kemampuan tokoh-tokoh pembangkang, selain memastikan revolusi yang tercetus tidak ‘dirampas’ daripada tangan mereka.
Sambil menegaskan kesahan tuntutan mereka, para peserta demonstrasi menolak sekeras-kerasnya gesaan berganjak daripada tuntutan mereka agar Husni Mubarak melepaskan jawatan atau meninggalkan Mesir dengan segera.
Selain menuntut pengunduran Mubarak, mereka juga menuntut beberapa perkara lain iaitu menyambung semula perkhidmatan internet dalam kadar segera, melantik Menteri Dalam Negeri dari kalangan tentera, bukannya dari kalangan polis, memansuhkan Pasukan Perisik Keamanan Negara, menubuhkan jawatan kuasa bagi meminda perlembagaan, membubarkan parlimen dan memansuhkan Undang-undang Kecemasan yang membolehkan tangkapan tanpa bicara.

Sunday, January 30, 2011

Situasi semasa Mesir : Kelantangan, keberanian dan ketegasan al-Qaradhawi!

Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syaikh Yusuf Qaradhawi menyeru Presiden Mesir, Husni Mubarak berundur 'dengan kedua-dua kakinya' secara sukarela, sebelum beliau diundurkan secara paksa.

Al-Qaradhawi menyifatkan regim Husni Mubarak sebagai tidak sedar, tidak faham, buta, pekak dan bodoh.
Beliau berkata kepada Husni Mubarak melalui siaran satelit al-Jazeera “berundurlah wahai Mubarak andainya di dalam hati kamu ada sebesar zarah sifat rahmat (kasihan belas) atau dalam kepala kamu sebesar zarah fikiran”.
Dalam masa yang sama, beliau meminta Mubarak kasihankan dirinya dan keluarganya, kerana jika pemerintahan itu satu ghanimah (harta rampasan),maka sudah cukup untuk Mubarak memerintah selama 30 tahun. Sekiranya ia merupakan satu bebanan, 30 tahun juga sudah memadai untuk Mubarak memikul bebanan itu.
Beliau turut menasihatkan Mubarak  supaya berundur daripada kerajaan dan berpindah meninggalkan Mesir kerana Mesir telah kerugian berbilion-bilion harta benda.
Beliau dengan tegas menyatakan, “sudah tiada tempat bagi kamu wahai Mubarak, aku mahu supaya kamu keluar dengan kedua-dua kaki kamu supaya kamu dihukum dan dibicarakan di Mahkamah Awam, bukannya Mahkamah Tentera yang kamu tubuhkan untuk menghukum musuh-musuh kamu, dimana kamu telah menghukum mereka dengan hukuman yang zalim di bawah peruntukan Undang-undang Kecemasan.
Sesungguhnya bagi setiap orang yang zalim ada kesudahannya dan tiada sesiapa pun yang mampu menentang sejarah”.
Qaradhawi menganggap Mubarak sebagai tidak faham mesej rakyat apabila tampil dengan ucapan yang menunjukkan bahawa beliau tidak sedar dengan apa yang sedang berlaku. Beliau,menurut Qaradhawi, berada pada alam lain, bukannya alam kita dan tidak sedar tentang orang-orang yang kelaparan atau tercedera”.
Beliau tertanya-tanya apakah faedah pembubaran kerajaan Mesir yang dilakukan Mubarak, sedangkan beliau selaku Presiden Mesir tidak menyebut apa-apa tentang pembubaran parlimen dan pemansuhan Undang-undang Kecemasan.
Kebangkitan rakyat Mesir 'kebangkitan yang diberkati'
Dalam ucapannya, Qaradhawi mengucapkan syabas kepada rakyat Mesir di atas 'kebangkitan yang diberkati' bagi melawan suasana pincang yang mereka sudah lama bersabar.
Sekian lama mereka bersabar sedangkan mereka melihat pihak-pihak tertentu  merompak kekayaan negara dan menikmatinya, sedangkan mereka sebagai rakyat tidak memiliki sesuap makanan.
Qaradhawi menyifatkan kebangkitan rakyat Mesir sebagai kebangkitan yang aman tanpa menggunakan senjata yang bertujuan menuntut kehidupan yang mulia dan sesuap makanan halal, tetapi tiba-tiba dikejutkan dengan peluru hidup dari pasukan keselamatan yang menyebabkan kematian berpuluh-puluh nyawa.
Beliau menegaskan bahawa para demonstran yang sebenar tidak akan terlibat dalam perbuatan merompak harta benda awam, sambil menasihatkan mereka supaya “jangan sekali-kali kamu menghulurkan tangan kamu ke arah mana-mana harta milik institusi awam atau khas, kerana perbuatan itu adalah haram".
Disamping itu, beliau turut melahirkan rasa bangga dan penghargaannya kepada tentera Mesir, sambil meminta pihak tentera melindungi Mesir pada masa-masa akan datang, tanpa masuk campur dalam soal pemerintahan, dan menyerahkan soal pemerintahan kepada rakyat bagi membolehkan Presiden baru Mesir dipilih melalui saluran demokrasi.
Sumber :http://aljazeera.net/NR/exeres/082094F5-1D75-4E96-99A5-671AD3180A51.htm?GoogleStatID=22

Sunday, January 23, 2011

Duhai Insan, yang satu jangan jadikan dua, yang dua jangan gunakan satu!


Syaikh al-Mujahid al-Faqih Mustafa Siba'ie

Allah menciptakan bagi setiap insan sepasang mata…namun malangnya, kebanyakan manusia tidak melihat melainkan dengan sebiji mata!

Dia menciptakan bagi setiap insan satu lidah dan dua telinga…namun kebanyakan manusia bercakap dengan 'dua' lidah, dan mendengar dengan satu telinga!

Dia menciptakan bagi setiap insan dua tangan; satu tangan untuk ia gunakan bagi membantu dirinya; dan satu lagi tangan untuk ia membantu orang lain…Namun malang sekali, kebanyakan manusia tidak menggunakan melainkan satu tangan!

Dia menciptakan bagi setiap insan dua kaki; satu kaki untuknya mengejar dunia; dan satu lagi kaki untuk mengejar akhirat…namun malang, kebanyakan manusia tidak menggunakan melainkan sebelah kaki!

Dia menciptakan bagi setiap manusia satu hati yang menanggung bebanan hidupnya yang pendek…namun malang, manusia sengaja mendatangkan bebanan ke atas diri mereka yang tidak mampu ditanggung oleh beberapa hati!

Dia menjadikan bagi setiap insan satu usia, lantas manusia mensia-siakan usia seakan-akan mereka memiliki seratus usia!

Dia telah menentukan ke atas setiap insan satu kematian, tetapi manusia membiarkan-disebabkan kejahilan-diri mereka mati setiap hari!...

*****
Indahnya kata-kata...alangkah mendalamnya pengamatan penuturnya...Ya, penuturnya adalah Syaikh al-Mujahid al-Faqih, Dr. Mustaffa Siba'ie rahimahullah dalam Hakaza 'Allamatni al-Hayah.

Semua orang tahu manusia memiliki sepasang mata, dua kaki dan tangan, dua telinga...semua tahu manusia dianugerahi satu lidah, satu hati, satu usia dan satu kematian...namun tidak ramai yang mampu mencungkil makna dan pengamatan di sebaliknya...

Semoga Allah merahmatimu wahai Syaikh al-Mujahid al-Faqih...

Rasailah kemanisan dan kesyahduannya...


Monday, January 17, 2011

'Berhala' Besar Tunisia Tewas Di Tangan Penjual Sayur!

Kebiasaannya, sesuatu peristiwa besar seperti revolusi dicetuskan oleh tokoh besar masyarakat atau pemimpin agung.

Namun siapa sangka, kebiasaan itu tidak berlaku dalam Revolusi Rakyat di Tunisia baru-baru ini yang menyaksikan penggulingan diktator, Ben Ali.

Siapa sangka, pencetus revolusi besar dan bersejarah dalam dunia Arab moden itu, hanyalah seorang penjual sayur.

Akibat kecewa dengan salah guna kuasa kerajaan pimpinan Ben Ali dan gejala pengangguran di Tunisia, seorang pemuda yang bekerja sebagai penjual sayur, Muhammad al-Buazizi, yang juga graduan universiti bertindak membunuh diri dengan membakar dirinya.

Kejadian tragis ini telah mencetuskan Revolusi Rakyat Tunisia yang menyaksikan kejatuhan Ben Ali,74 yang berkuasa sejak 1988-2011.

Ben Ali 'Berhala' Terbesar

Menariknya,kejatuhan Ben Ali ini dianggap oleh ulama terkenal dunia, Syaikh al-Qaradhawi sebagai kejatuhan 'taghut dan berhala terbesar, (bernama) Hubal".

(Hubal adalah salah satu berhala yang disembah orang-orang Arab sebelum Islam. Ia berbentuk manusia yang patah lengannya, lalu orang-orang Arab membuatkan untuknya lengan daripada emas).

Beliau juga mengumpamakan orang-orang kanannya sebagai berhala al-Lat, al-'Uzza dan Manat yang menjadi sembahan orang-orang Arab jahiliah.(Lihat http://www.onislam.net/arabic/newsanalysis/special-folders-pages/tunisia/127860-2011-01-16-10-12-27.html)

Jika dilihat rekod Ben Ali sepanjang memerintah Tunisia, kita dapat memahami mengapa beliau dianggap sedemikian oleh ulama terkenal itu.

Semasa pemerintahan beliau, wanita-wanita Tunisia dilarang mengenakan tudung di tempat-tempat awam, sekolah dan universiti serta pejabat-pejabat kerajaan.

Beliau juga mewajibkan 'Sistem Kad' bagi sesiapa yang bersolat di masjid. Melalui sistem ini, setiap orang yang bersolat di masjid diberikan kad yang akan ditandatangani sebelum solat dan sebaik sahaja selesai bersolat.

Masjid juga hanya dibuka beberapa minit sebelum solat dan ditutup segera sebaik selesai solat.

Bagi tokoh akademik dan pemikir Tunisia, Nuruddin Mukhtar al-Khadimi, kejatuhan Ben Ali akan menumbuhkan semula ciri-ciri keislaman Tunisia yang sekian lama ditekan oleh Ben Ali sepanjang 23 tahun memerintah secara kuku besi.

Kejatuhan Ben Ali yang memenangi Pilihanraya Presiden Tunisia dengan mendapat 99.02% undi itu, dijangka membuka lembaran baru sejarah Tunisia!

Friday, January 14, 2011

Agenda Perubahan : Masalah Orang Yang Mahu Merubah.

Semua orang mendambakan perubahan di tanah air sendiri. Tetapi, tidak semua tahu bagaimana perubahan itu boleh dicetuskan. Dan tidak semua melakukan tindakan yang betul dalam mengusahakan sebuah perubahan.
Inilah dua masalah agenda perubahan. Orang yang mahu mencetuskan perubahan, tidak tahu bagaimana cara mencetuskan perubahan. Satu lagi masalah, tindakan yang tidak betul dalam menuntut perubahan.
Dua persoalan ini dirungkaikan oleh fakta-fakta berikut.
Pertama, kaedah umum berkenaan perubahan ialah, perubahan bukan pemberian pemerintah kepada rakyat. Pemerintah tidak akan membuat perubahan dengan mudah.
Perubahan sebaliknya berlaku hasil tuntutan dan desakan rakyat. Inilah yang berlaku di seluruh dunia hari ini. Perubahan yang berlaku di banyak negara di dunia tidak pernah diberikan secara percuma oleh pemerintah.
Lebih dahsyat, ada pemimpin yang enggan berubah walaupun didesak majoriti rakyat seperti yang berlaku di Ivory Coast.
Justeru, adalah silap rakyat sekadar mengharapkan perubahan akan berlaku tanpa mereka menuntut dan mendesak.
Inilah kaedah membuat perubahan.
Dengan sebab itu, saya kurang bersetuju perubahan HANYA dilakukan dengan cara rakyat sekadar memberi kesedaran kepada pemimpin tentang tanggungjawab mereka melakukan perubahan.
Tidak cukup sekadar itu. Rakyat sebaliknya perlu mendesak dan menuntut perubahan. Inilah yang berlaku di negara-negara maju. 
Kedua, perubahan hanya akan berlaku bila wujud dua elemen dalam masyarakat, iaitu kesedaran rakyat akan keperluan perubahan; dan usaha mereka dalam melakukan perubahan.

Rakyat yang hanya sedar tentang kepincangan dalam negara, tetapi hanya berpeluk tubuh, tidak akan berjaya mencetuskan perubahan.

Inilah dasar atau kaedah agenda perubahan.

Kepada yang mahukan perubahan, inilah jalannya!

Sunday, January 9, 2011

Dengan Apa Anda membeli Syurga?

Cerita Syaidina Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu tentang Syaidina Usman radhiyallahu ‘anhu, benar-benar mengajak kita berfikir sejenak.

Abu Hurairah r.a berkata ketika memperihalkan tentang Syaidina Usman r.a :

اشترى عثمان الجنة من النبي صلى الله عليه وسلم مرتين..

Terjemahan :  [Syaidina Usman r.a] telah ‘membeli’ syurga dari Nabi s.a.w sebanyak dua kali…

Pada titik ini, jika kita amati kata-kata Abu Hurairah r.a ini, pasti tercetus soalan, ‘dengan apakah Syaidina Usman membeli syurga?’.

Ya, syurga boleh ‘dibeli’ dengan banyak benda…

Ia boleh ‘dibeli’ dengan dua rakaat yang ditunaikan dengan khusyuk pada malam hari…

Ia boleh ‘dibeli’ dengan kata-kata yang benar bagi menyanggah orang yang zalim atau membela orang yang dizalimi…

Syurga juga boleh ‘dibeli’ dengan berpuasa pada jalan Allah pada hari yang panas…

Ya benar wahai teman, alangkah banyaknya kaedah ‘membeli’ syurga…

Tetapi, di antara banyak-banyak benda ini, dengan apakah Syaidina Usman r.a ‘membeli’ syurga?

Jawapannya ada pada Abu Hurairah r.a. Beliau menyambung :

حين حفر بئر رُوْمة وحين جهز جيش العسرة

Terjemahan : [iaitu] ketika [beliau] menggali perigi Rumah dan ketika menaja tentera-tentera ‘usrah (getir).

Hadis ini di rekodkan oleh al-Hakim.

Telaga Rumah adalah telaga lama yang telah wujud sejak zaman jahiliyyah. Ia kemudiannya dibeli oleh Syaidina Usman r.a dan diwakafkan.

Telaga ini masih wujud hingga sekarang dan terletak di sebelah barat Masjid Qiblatain. Sekarang ia terkenal dengan nama Bi’r Usman atau Telaga Usman.

Yang dimaksudkan dengan tentera ‘usrah ialah tentera-tentera yang terlibat dalam perang Tabuk.

Dalam kedua-dua urusan ‘pembelian’ syurga ini serta urusan-urusan ‘pembelian’ syurga  yang lain, Syaidina Usman menggunakan kaedah yang jarang dilakukan oleh orang lain… iaitu dengan ‘jihad harta’.

Syaidina Usman salah seorang yang dijamin masuk syurga…seorang sahabat yang dimalui oleh para malaikat…

Kalau Syaidina Usman r.a membeli syurga dengan ‘jihad harta’ dan cara-cara lain yang banyak, maka bagaimana dengan dirimu wahai teman…dengan apakah dikau membeli syurga?

Friday, January 7, 2011

Masalah : Penyelesaiannya pada bertenang!

Banyak masalah yang datang, sebenarnya tidak serumit yang kita bayangkan. Masalah yang datang itu, penyelesaiannya sebenarnya mudah. Atau paling kurang, ada penyelesaiannya.

Tapi, ia menjadi rumit, bila kita cepat panik. Mudah melenting. Cepat melatah. Gagal mengawal perasaan. Akhirnya, fikiran menjadi buntu. Minda bercelaru. Penyelesaian gagal ditemu!

Kalau kita bertenang dan tarik nafas panjang-panjang bila dikunjungi masalah, fikiran kita akan bertemu dengan penyelesaian kepada masalah itu. Jika penyelesaian belum ditemui, kita boleh berbincang dengan orang yang mempunyai buah fikiran dengan tenang dan waras.

Kisah Lelaki Buta Dengan Kanak-kanak Nakal

Amati kisah ini, kisah seorang lelaki buta.

Setiap kali lelaki buta ini lalu di hadapan kanak-kanak, mereka akan mengekorinya sambil berkata beramai-ramai, "orang buta...orang buta...orang buta".

Si lelaki buta menjadi bingung. Bingung memikirkan cara menghentikan ejekan kanak-kanak nakal itu. Dia berfikir, apakah dia perlu memukul mereka, atau apa sebenarnya yang perlu dilakukannya.

"Jika aku pukul mereka, tentu mereka akan semakin galak mengejekku", bisik si buta.
Pada waktu itu, dia terfikir satu cara penyelesaian.

Dia berhenti berjalan lalu berkata kepada kanak-kanak yang mengejeknya, "terima kasih adik-adik semua. Pak Cik suka mendengar kata-kata adik-adik itu. Banyakkan lagi berkata begitu, nanti Pak Cik akan beri setiap orang 2 ringgit", ujar si lelaki buta.

Kanak-kanak itu apa lagi, mereka pun mengejek si lelaki buta itu dengan penuh semangat sebab hendakkan 2 ringgit yang dijanjikan. 

Sambil kanak-kanak itu mengejek-ngejeknya, si lelaki buta tadi memberikan setiap daripada mereka 2 ringgit seperti yang dijanjikan.

Pada hari yang lain, ketika lalu di hadapan kanak-kanak itu, si buta berkata kepada mereka, "lepas ini, Pak Cik tidak akan beri lagi kepada kamu 2 ringgit!". Kanak-kanak itu pun apa lagi, mereka berkata dengan sebulat suara, "kalau begitu, kami tidak akan ejek Pak Cik lagi selepas ini".

Sejak hari itu, si lelaki buta itu bebas berjalan di mana-mana tanpa ada lagi kanak-kanak yang mengejeknya.

Andai si buta tadi gagal mengawal emosinya bila diejek kanak-kanak nakal, pasti tongkatnya akan singgah di kepala mereka. Waktu itu, mereka bukan akan berhenti mengejek, sebaliknya makin ghairah mengejek.

Barangkali, inilah antara sebabnya kita diminta bersabar terutamanya ketika mula-mula ditimpa masalah.

Dengan bersabar, fikiran tidak bercelaru. Hati tidak berkecamuk. Jika demikian, penyelesaian mudah ditemui.







Thursday, January 6, 2011

‘UNIVERSITI RUMAHTANGGA’ GANTI KURSUS PERKAHWINAN!!

Oleh : Dr A'idh al-Qarniy

Kita perlukan sebuah Universiti Rumahtangga!. Universiti tempat di mana diajar seni interaksi antara suami dengan isterinya, antara isteri dengan suaminya. Tempat diajar subjek kehidupan rumahtangga dan kaedah hidup bersama.

Di Universiti Rumahtangga ini, semua ini akan diajar oleh tenaga-tenaga pengajar yang mempunyai pengalaman luas dan eksperimen yang panjang  tentang pergaulan yang baik. Tenaga pengajar yang mempunyai kepakaran dalam menyelesaikan masalah rumahtangga.

Di universiti ini juga, akan diadakan kursus-kursus bagi pemuda pemudi sebelum mereka berkahwin, supaya mereka mempelajari tentang kehidupan rumahtangga yang terpandu, berdasarkan petunjuk Islam dan eksperimen yang betul dan matang.

Jika ini menjadi kenyataan, di waktu itu, seseorang pemuda dan pemudi itu, tidak akan berkahwin, melainkan setelah mengetahui sepenuhnya cara-cara interaksi, bagaimana menghormati perasaan pasangan dan menunaikan hak-haknya.

Di waktu itu, berakhirlah kebanyakan masalah rumahtangga yang kita hadapi. Tamatlah tragedi sosial yang kita alami seperti perceraian, pemulauan, pertengkaran, pengabaian ke atas anak-anak, pendidikan anak-anak yang tidak sempurna dan sebagainya.

Pengurusan rumahtangga antara pemikiran Islam dan Barat

Saya ada membaca beberapa buku tulisan penulis barat berkenaan pengurusan rumahtangga. Saya dapati, banyak pemikirannya wujud dalam agama kita yang suci. Tetapi tidak dihidupkan di dalam kehidupan kita. Ia hanya wujud di dalam buku sahaja.

Maka, berlakulah dalam masyarakat kita keganasan sosial dan rumahtangga, penderaan dan kerengganan yang berakhir dengan perceraian, keruntuhan institusi kekeluargaan dan pengabaian terhadap anak-anak.

Sekadar memberi nasihat secara lisan kepada manusia, tidak memadai bagi memastikan mereka melaksana dan patuh kepada pemikiran-pemikiran yang bernas dan ilmu-ilmu yeng bermanfaat.

Bahkan, sepatutnya perlu ada latihan amali dan  pengamalan praktikal di lapangan, sama seperti kursus pidato, pengurusan dan perniagaan.

Dalam buku The Power Of Patience (Kekuatan Sabar), karangan M. J. Ryan, penulis menyebut, terdapat sekumpulan pelajar yang memiliki kadar kecerdikan yang pertengahan, melatih diri mereka bersabar. Dalam masa sama, terdapat sekumpulan pelajar yang pintar, yang tidak menerima latihan kesabaran diri.

Kemudian, kedua-dua kumpulan pelajar ini berkahwin. Didapati, peratusan perceraian di kalangan pelajar yang melatih diri mereka bersabar, begitu kecil. Adapun di kalangan pelajar pintar yang tidak melalui latihan kesabaran diri, peratusan perceraian di kalangan mereka meningkat kepada 50%!!.

Kita perlukan latihan-latihan praktikal kehidupan rumahtangga sebelum memasuki alam perkahwinan, supaya kita memasuki alam itu dalam keadaan penuh persediaan untuk berinteraksi dengan peristiwa-peristiwa mendatang di alam rumahtangga.

Hakikat sebenar perkahwinan

Perkahwinan bukanlah projek pembinaan villa. Bukan juga urusan membeli kenderaan. Tidak juga pekerjaan di ladang. Sesungguhnya, perkahwinan adalah soal kemanusiaan. Ia ibadat yang diperintahkan Tuhan.

Ia tugasan yang besar kerana di dalamnya terkandung proses pembinaan keluarga, pembinaan generasi dan pemakmuran dunia!.

Kedapatan anak-anak muda yang menceraikan isteri-isteri mereka, hanya disebabkan perkara-perkara yang remeh temeh. Kemudian, mereka menyesal dan rasa kesal.

Andai mereka mengerti selok belok kehidupan, mengerti seni interaksi dengan isteri, nescaya mereka tidak akan membuat keputusan yang buruk ini.

Kita mahukan daripada Universiti Rumahtangga yang kita cadangkan ini, supaya ia menghimpunkan nas-nas wahyu, eksperimen manusia sejagat dan ilmu-ilmu kemanusiaan berkaitan kehidupan rumahtangga.

Seterusnya para tenaga pengajar mengajarkannya kepada semua pelajar dan mengadakan peperiksaan.

Sesungguhnya, kehidupan rumahtangga tidak sesuai dilalui oleh orang yang kurang pengalaman, cetek ilmu dan kurang kematangan. Ini kerana, orang-orang seperti ini, sesetengahnya hidup di awangan dan khayalan.

Lantas, mereka meletakkan syarat yang mesti ada pada isterinya, apa yang tidak ada pada Fatimah anak Sa’id Ibn Musayyab, Sakinah anak al-Husain dan Zubaidah isteri Harun al-Rasyid!!.

Sedangkan orang yang meletakkan syarat seperti itu, anda dapati, dia lebih tolol daripada Habnaqah, lebih bakhil daripada Madir, lebih pengecut daripada Abi Hayyah al-Namiri, dan lebih hodoh daripada al-Jahiz!.

Aduhai, mengapa kita tidak mahu hidup bersama kemanusiaan dan realiti kita? Mengapa kita tidak mahu mengakui kesilapan kita dan memulakan langkah memperbaiki diri kita? Mengapa kita tidak mahu tahu, bahawa zakat bagi kambing-kambing yang berpenyakit kurap adalah dengan dikeluarkan seekor kambing yang juga berpenyakit kurap?.

Andai kita membuka Universiti Rumahtangga, kita akan dapat mengelakkan 70% daripada kes-kes perceraian yang sedang berlaku. Kita akan dapat menghindari banyak masalah rumahtangga. Kita akan dapat menutup ‘fail-fail’ maki hamun, keganasan rumahtangga, porak peranda dan hingar bingar dalam rumahtangga.

Kelak, kita akan berkunjung ke alam kehidupan berkeluarga dalam keadaan kita memiliki ilmu tentang rumahtangga, dalam keadaan memiliki latihan bagi menghadapi cabaran alam perkahwinan...dan dalam keadaan memiliki pengetahuan mendalam yang akan kita gunakan bagi menghadapi pelbagai peristiwa di alam perkahwinan.

Masalahnya, kita hanya belajar kemahiran memasak. Hanya belajar meluncur di atas salji. Kita juga belajar memburu arnab dan burung merpati. Juga belajar mengumpul setem dan surat menyurat. Tetapi kita tidak pernah belajar persoalan yang sangat besar yang namanya kehidupan rumahtangga!!.


Thursday, December 30, 2010

TAHUN BARU 2011 : DIRI PUN PERLU DILAYAN SEPERTI RUMAH, KERETA...

Pokok yang berbunga, tetap berbunga walau di mana ia tumbuh!
Tidak sedikit orang yang mahu membuka 'lembaran baru' dalam hidup. Tetapi, ramai yang mahu memulakan hidup baru bila tibanya sempena tertentu.
Keadaan hidup stabil, perkahwinan, memasuki alam pekerjaan adalah antara sempena yang dijadikan titik perubahan hidup. Kesemuanya adalah sesuatu yang belum pasti. Ia mungkin berlaku, mungkin tidak.
Yang pasti, dengan tibanya tahun baru, ramai yang mahu menjadikannya titik bertolak ke era hidup baru. Jika inilah keadaannya, maka ramai yang tersalah anggap.
Mereka menyangka, kekuatan untuk berubah itu akan tiba bersama sempena-sempena tadi. Bila berkahwin, kekuatan untuk berubah akan bertunas dan seterusnya merimbun. Tatkala keadaan hidup stabil, kemampuan untuk berhijrah akan terpasak dan kejap. Bila mula bekerja atau tibanya tahun baru, kemahuan untuk menukar gaya hidup akan membuak-buak.
Kekuatan Untuk Berubah Berada Dalam Diri!
Semua ini adalah sangkaan. Ia adalah khayalan yang diutuskan oleh angan-angan. Sebenarnya, perubahan hidup tidak terpancar dari semua sempena tadi. Ia sebaliknya terbit dan memancar dari dalam diri manusia, bukan dari luar diri mereka.
Jika diri manusia kuat, kental dan memiliki azam yang tinggi, mereka boleh berubah. Mereka boleh mencetuskan keajaiban  tanpa menanti kedatangan tahun baru ataupun sempena-sempena tertentu.
Diri yang berkualiti tidak akan ditundukkan oleh suasana getir mahupun menekan. Sebaliknya, diri yang bermutu itu akan mengambil manfaat dan faedah dari suasana payah yang mengcengkam.
Ia tidak akan membuka ruang kepada keadaan untuk menawannya. Meskipun hidup dalam suasana yang keruh dan kelam, diri yang berkualiti terus hidup dalam keadaan jati diri dan keperibadiaannya kekal utuh dan tidak tercemar.
Ia umpama benih pepohon berbunga yang tertanam di dalam tanah yang hitam dan cemar. Meskipun demikian, “jatidiri”nya tidak terusik. Ia kekal dalam keutuhan. Dengan “jatidiri” yang tulen itu, ia menebuk tanah-tanah hitam dan pudar untuk menjenguk ke dunia luas sambil menebarkan wangian dan warnanya yang gemilang!
Demikianlah diri yang berkualiti! Ia tidak menyerah kalah kepada keadaan. Sebaliknya ia mencanai keadaan untuk melakarkan keajaiban!.
Justeru, usahlah terus menganyam sangkaan dan angan-angan.
Sesungguhnya, masa yang anda sedang berada di dalamnya kini, diri anda yang dikenali orang dengan nama anda sekarang, dan suasana yang sedang anda alami saat ini, adalah satu-satunya tunjang yang akan menentukan masa depan anda. Maka, tidak ada ruang untuk berlambat-lambat atau menangguhkan perubahan hidup!.
Ketahuilah, menangguhkan proses perubahan hidup, hanya bermakna memanjangkan keadaan perit yang anda sedang hadapi, yang sepatutnya anda berusaha segera membebaskan diri dari taklukannya. Ia juga bermakna kekekalan anda dalam keadaan kalah berhadapan dengan tuntutan hawa nafsu yang mengajak anda memanjangkan rehat dan bersenang lenang.
Alangkah indahnya jika manusia sentiasa memperbaiki diri dan mengubah keadaan dirinya setiap masa. Memperbaiki diri dengan sentiasa meneliti kelemahan dan kekurangan diri sendiri untuk diperbaiki dari semasa ke semasa.
Diri Sendiri Dianak tiri!
Bila kita pulang ke rumah, tentunya rumah berselerak dan tidak teratur. Pastinya kita tidak sempat mengemaskan rumah di waktu pagi kerana berkejar ke tempat kerja.
Sebaik tiba di rumah, kita akan mengemaskan rumah. Barang-barang disusun semula seperti keadaannya yang asal. Sampah-sampah dibuang. Kekotoran dibersihkan.
Jika itulah yang kita lakukan ke atas rumah kita, maka apakah diri kita tidak berhak dilayan seperti itu? Tidakkah diri kita lebih berhak di“kemas”kan setiap hari seperti rumah kita juga?
Tidakkah “kotoran” yang melekat pada diri kita lebih perlu dibersihkan setiap ketika seperti kita membersihkan kotoran di rumah kita?
“Sampah-sampah” yang bertimbun dalam diri, tidakkah sangat mustahak untuk dibuang dari semasa ke semasa, seperti mana dari semasa ke semasa kita membuang sampah yang berselerak di rumah kita?

Adalah sangat tidak adil apabila rumah atau kereta kita dibersihkan setiap hari. Atau dibersihkan bila sahaja terdapat kotoran. Tetapi diri kita, hanya diperbaiki bila masuknya tahun baru!
Syair Arab bergurindam “Peliharalah kesejahteraan hati dari suatu penyakit, kerana sukar sekali memperbaikinya kalau sekali telah rosak”.
Bapak Hamka juga ada bermadah “Tiap-tiap orang takut cacat dirinya. Di sini, nyata bahwa manusia tidak ingin kerendahan. Semua suka kemuliaan. Tetapi, jarang orang yang tahu akan aibnya, dan tidak tahu akan aib diri, adalah aib yang sebesar-besarnya”(Tasauf Moden hlm.143).
Tahukah anda, bagaimana cara menimbulkan keinginan untuk berubah?. Anda di cadangkan mempraktikkan saranan-saranan berikut :
i.          Lihat kejayaan yang telah dicapai oleh orang yang paling hampir dengan kita seperti       adik beradik, saudara-mara, jiran dan sahabat
ii.         Analisis kehinaan yang kita hadapi jika kita tidak berubah
iii.        Lihat kemajuan yang dicapai oleh orang yang lebih muda daripada kita
iv.        Wujudkan keinginan untuk melancong ke luar negara
v.         Kenangi kesilapan masa silam ketika muhasabah diri
vi.        Berusaha untuk mempunyai anak yang ramai
vii.       Berdoa kepada Tuhan agar hati kita didorongi untuk berubah
(Dr.Hj. Muhammad Fadzilah Kamsah, Menerobos Sempadan Diri, hlm3)

Sunday, December 26, 2010

Santai Ilmi

1. Orang was-was macam orang gila! (Kaedah 'ajar' orang was-was)

Dalam Kitab Ighathah al-Lahafan (hlm.111), Imam Ibnu Qayyim menceritakan kisah Abu al-Wafa’ Ibn Aqil (ulama Mazhab Hambali) dengan seorang lelaki yang was-was.

"Tuan syeikh, saya menyelam dalam air berkali-kali [untuk mengangkat hadas besar], kemudian saya merasa was-was samada mandi junub saya itu sah atau tidak. Apa pandangan Tuan Syeikh?", tanya lelaki itu kepada Syeikh Ibn Aqil.

"Pergi, [tidak perlulah engkau mandi hadas untuk menunaikan solat] kerana kewajipan solat telah gugur daripada kamu!", bentak Syeikh Ibnu Aqil. Lelaki itu kebingungan.

"Mengapa pula saya tidak wajib solat?", bantah lelaki itu.

Syeikh Ibnu Aqil menjawab, "kerana Nabi s.a.w telah bersabda, "diangkat qalam [yang menulis dosa dan pahala] daripada tiga jenis manusia; orang yang gila sehingga dia waras, orang yang tidur sehingga dia terjaga dan kanak-kanak sehingga dia baligh".

Sambung Syeikh Ibnu Aqil lagi, "sesiapa yang menyelam dalam air berulang kali, kemudian masih ragu-ragu adakah air meratai tubuhnya atau tidak, adalah orang gila!".

Nah, ambik sebiji!. Was-was lah lagi!!

2. Mengadap kiblat ketika mandi wajib tidak afdhal!

Seorang lelaki bertanya Imam Abu Hanifah r.a, "jika saya menanggalkan pakaian, lalu terjun ke sungai untuk mandi mengangkat hadas, ke arah manakah yang afdhal bagi saya mengadap? Apakah ke arah kiblat?".

Jawab Imam Abu Hanifah, "lebih afdhal bagi kamu mengadap ke arah pakaian kamu supaya ia tidak dicuri!".

Wednesday, December 22, 2010

Sikap Islam Terhadap Pendidikan Seks Ala Barat

Pendidikan Seks menurut acuan Barat adalah pendidikan berkenaan kaedah-kaedah mengelakkan kehamilan yang tidak diingini. Ia juga berkenaan kaedah-kaedah mengelakkan jangkitan penyakit AIDS akibat hubungan seks, selain kaedah 'membebaskan' diri daripada janin yang dikandung hasil hubungan seks.

Jelasnya, Pendidikan Seks di Barat ialah 'proses pendidikan yang bertujuan mencegah kesan-kesan hubungan seks yang tidak diingini', seperi kehamilan dan penularan penyakit AIDS. Atau ringkasnya, pendidikan berkenaan seks yang 'selamat'.

Dalam erti kata lain, Pendidikan Seks ala Barat bertujuan mendidik pelajar tentang seks yang selamat, yang bermakna panduan melakukan zina yang tidak mengakibatkan kehamilan yang tidak diingini atau penyakit AIDS. 

Sikap Islam berhubung Pendidikan Seks seperti ini sangat jelas. Keharamannya pada pandangan Islam sangat nyata. Ini kerana, Islam melarang zina dan segala yang mendekatkan manusia kepada zina. 

Ini diperkuatkan lagi oleh fatwa Mufti Mesir, al-Allamah Syaikh Ali Jum'ah. Beliau menegaskan :

وفيما يتعلق بقضية التثقيف الجنسي للأطفال المعروف بـ Sex education وهو ما يعني تعليم الأطفال والمراهقين في المدارس كيفية الممارسة الجنسية مع تجنب الحمل، والإصابة بالأمراض التناسلية -كما تطالب به بعض الوثائق الدولية تحت بند الوقاية من الإيدز- فهو لا يجوز شرعاً، ويتنافى مع الإسلام ومع ثوابتنا

Terjemahan : Berhubung soal Pendidikan Seks kepada kanak-kanak yang dikenali sebagai sex education, yang bermakna mengajar kanak-kanak dan remaja di sekolah-sekolah, kaedah melakukan hubungan seks sambil mengelakkan [diri daripada] kehamilan dan jangkitan penyakit kelamin-seperti yang diminta oleh deklarasi-deklarasi antarabangsa di bawah fasal pencegahan AIDS-ia tidak harus menurut syarak, dan bertentangan dengan Islam dan prinsip-prinsip kita". (sumber : onislam.com)

Bersikap rasional dan ilmiah

Pendidikan Seks dalam Islam jauh berbeza dengan Pendidikan Seks ala Barat. Dalam Islam, Pendidikan Seks berpaksikan kepada 'penjelasan tentang halal dan haram berhubung seks'.(Rujuk takrif Pendidikan Seks dalam Islam menurut Syaikh Faisal Maulawi dalam posting sebelum ini).

Justeru, kita tidak boleh menolak Pendidikan Seks secara keseluruhan, memandangkan dalam Islam sendiri wujud Pendidikan Seks ini.

Penolakan kita terhadap Pendidikan Seks mestilah dilakukan secara ilmiah dan rasional. Iaitu menolak Pendidikan Seks yang bertentangan dengan agama dan budaya kita, dan dalam masa yang sama, menerima Pendidikan Seks yang bersumberkan Islam.


Tuesday, December 21, 2010

Pendidikan Seks di Sekolah : Cukupkah sekadar keluhan agamawan?

Tahun hadapan, (2011) seramai 500,000 murid Tahun 1 akan diajar Pendidikan Seks di sekolah. Ia akan diajar melalui subjek Pendidikan Kesihatan. Bukan melalui subjek khusus yang dinamakan Pendidikan Seks.

Saya dapat rasakan, rata-rata masyarakat merasa curiga dengan Pendidikan Seks yang hendak diperkenalkan itu.

Kecurigaan mereka berasas. Sebabnya, pada persepsi banyak pihak, Pendidikan Seks datang dari Barat. Ia telah lama diajar kepada pelajar-pelajar sekolah di sana.

Jadi, masyarakat kita bimbang, Pendidikan Seks yang mahu diperkenalkan tahun depan itu, diceduk dari Barat. Atau digubal di sini, tetapi 'semangat' dan orientasinya adalah 'semangat' dan orientasi Barat.

Tujuan Pendidikan Seks di Barat

Di Barat, Pendidikan Seks adalah berkenaan kaedah mengelakkan kehamilan yang tidak diingini. Kaedah mengelakkan penyakit AIDS apabila melakukan hubungan seks bebas, dan kaedah membebaskan diri daripada janin yang dikandung akibat hubungan seks. Inilah dia Pendidikan Seks di Barat.

Jelasnya, ia bukan bertujuan mengelakkan zina!

Berbeza dengan Pendidikan Seks dalam Islam. Dalam Islam, Pendidikan Seks membawa dua makna. Iaitu, PERTAMA, menjelaskan segala yang berkaitan dengan naluri seks kepada para pelajar secara ilmiah; dan KEDUA, menjelaskan apa yang HALAL dan apa yang HARAM berkaitan seks.

Fakta ini dirumuskan daripada definisi Pendidikan Seks menurut Islam yang dikemukakan oleh Syaikh Faisal Maulawi, ulama terkenal Lubnan.

Beliau menjelaskan, "Pendidikan Seks dari kaca mata Islam ialah pemberitahuan tentang segala yang berkait dengan naluri seks kepada pemuda dan pemudi, dan penerangan tentang halal dan haram sekitarnya (yakni sekitar seks)".Rujuk http://www.onislam.net/arabic/ask-the-scholar/8255/51946-2004-08-01%2017-37-04.html

Senada dengan beliau ialah Mufti Mesir, al-Allamah Syaikh Ali Jum'ah. Beliau menyatakan, penjelasan berkenaan soal halal dan haram berkaitan seks telah dijadikan oleh para ulama sebagai kurikulum sebenar Pendidikan Seks dalam Islam. Rujuk http://www.onislam.net/arabic/fiqh-a-tazkia/fiqh-papers/8072/91419-2007-04-03%2014-53-55.html

Kita tidak pasti, apakah Pendidikan Seks yang akan diperkenalkan tahun depan itu, mengambil 'semangat' Pendidikan Seks ala Barat, atau 'semangat' Islam seperti yang dinyatakan tadi.

Bekerja bukan sekadar mengkritik

Pada titik ini, terserlahlah tugas para AGAMAWAN berhubung soal Pendidikan Seks ini. Mereka mesti bersikap pro aktif dengan mengemukakan kepada kerajaan dan masyarakat, model Pendidikan Seks dalam Islam yang berteraskan 'penjelasan halal dan haram berkaitan seks'.

Tidak cukup hanya sekadar mengkritik. Tidak memadai sekadar menuduh kerajaan mempunyai kepentingan kebendaan di sebalik pengajaran Pendidikan Seks.

Tidak ada apa-apa manfaat sekadar melahirkan rasa bimbang, ekoran pengajaran Pendidikan Seks ini, tapi tidak melakukan apa-apa!

Thursday, December 16, 2010

Pluralisme: Masalah metodologi, bukan niat

Shah al-Maududy
Dis 17, 10
10:13am
Akhir-akhir ini, terdapat ahli akademik cenderung melabel tokoh-tokoh tertentu, sebagai cenderung atau menyokong fahaman pluralisme agama.

Ada tokoh dilabelkan sedemikian, kerana menghadiri satu 'majlis rasmi' kuil Buddha di Kelantan. Seorang lagi tokoh dikaitkan dengan pluralisme, antaranya disebabkan sikapnya yang konsisten membenarkan penggunaan nama Allah oleh bukan Islam.

meccaAda pihak yang menganggap 'kecenderungan melabel' itu sebagai berniat jahat. Tapi, saya tidak beranggapan sedemikian. Saya tidak percaya, ahli akademik yang melabel itu berniat jahat. Saya percaya, ahli akademik tersebut berniat baik dan ikhlas. Iaitu memelihara kesucian agama.

Saya juga tidak mempercayai, 'pelabelan' ini dilakukan dengan niat menggunakan isu akidah, untuk mewujudkan permusuhan di kalangan ahli politik.

Sangat serius
Pada pengamatan saya, 'pelabelan' yang 'sangat serius' ini, berpunca daripada kesilapan metodologi yang diguna pakai, dalam mendiskusi isu-isu agama. Ia bukan isu 'niat jahat'. Ia sebaliknya isu 'ketempangan metodologi'.

Sepatutnya, dalam membuat keputusan berhubung isu-isu agama (sebenarnya dalam semua isu), nas-nas al-Quran dan hadis, hendaklah dirujuk terlebih dahulu.

Kesilapan akan berlaku, apabila yang pertama dirujuk, ialah kemaslahatan umum atau kebimbangan terhadap kedudukan agama. Sementara, nas-nas syarak dikemudiankan.

sitting in a mosqueMetodologi yang salah inilah juga antara faktor tercetusnya 'budaya tahrim', iaitu budaya suka mengharam sesuatu secara melulu.

Akibatnya, mendoakan kesejahteraan keduniaan kepada bukan Islam, haram. Mendoakan keburukan kepada orang-orang Islam yang dianggap zalim, haram. Bukan Islam masuk ke dalam masjid, haram. Menyedekahkan hasil judi kepada fakir miskin, haram…

Semuanya diputuskan sebagai haram, kerana rujukan pertama kepada nas-nas syarak, tidak dilakukan terlebih dahulu.

Jika yang pertama dirujuk ialah nas-nas syarak, saya yakin, tokoh yang menghadiri majlis di kuil Buddha, atau membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah, tidak akan dilabel sebagai cenderung atau menyokong pluralisme. Bahkan, tidak akan ada yang tergamak melabel sedemikian.

masjid jamek mosqueIni disebabkan, apa yang dilakukan oleh Nabi SAW lebih 'dahsyat' daripada sekadar 'menghadiri majlis rasmi di rumah ibadat bukan Islam'.

Ibnu Ishaq dalam kitabnya berkenaan sirah nabawiyyah, mencatatkan peristiwa lawatan satu rombongan Kristian dari Najran ke Madinah, untuk bertemu Nabi SAW. Rombongan tersebut disambut Baginda SAW di masjid Baginda, Masjid Nabawi.

Kristian di masjid
Kebetulan, rombongan tersebut tiba di Masjid Nabawi selepas Asar, yang merupakan waktu sembahyang mereka. Lantas, rombongan Kristian itu bangun untuk mengerjakan sembahyang mereka dalam Masjid Nabawi.

Tatkala para sahabat mahu menegah mereka berbuat demikian, Nabi SAW bersabda, “biarkan mereka (mengerjakan sembahyang mereka)”. Lantas mereka mengadap ke arah timur, lalu mengerjakan sembahyang mereka dalam masjid kedua suci dalam Islam itu!

Peristiwa ini turut disentuh oleh Imam Ibnu Qayyim dalam karyanya Zadul Ma'ad, jilid 3.

putrajaya 120505 mosqueSikap lunak Nabi SAW terhadap bukan Islam, diteruskan oleh para sahabat Baginda. Syaidina Umar r.a sebagai contoh, mengarahkan diperuntukkan daripada Baitulmal, bantuan kewangan tetap kepada salah seorang Yahudi dan tanggungannya (al-Kharaj, karangan Abu Yusuf, ms.26 & Fiqh al-Zakat, karangan al-Qaradhawi, jilid 2, ms.705-706).

Beliau juga mengarahkan diperuntukkan dari Baitulmal bantuan kewangan kepada para pesakit kusta beragama Kristian (Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama' al-Islami, karangan al-Qaradhawi, ms.47).

Lebih dari itu, sesetengah para tabi'in yang terkemuka, memberikan sebahagian daripada zakat fitrah kepada paderi-paderi Kristian. Sesetengah daripada mereka, seperti Ikrimah, Ibnu Sirin dan al-Zuhri pula berpendapat, harus memberi zakat kepada mereka (Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama' al-Islami, ms.47)

Zakat kepada bukan Islam
Menyedari Nabi SAW pernah mengizinkan orang-orang Kristian mengerjakan sembahyang mengikut cara mereka dalam Masjid Nabawi, Syaidina Umar r.a memberikan bantuan kewangan kepada bukan Islam bersumberkan wang Baitulmal, dan ada tabi'in yang mengharuskan wang zakat diberikan kepada bukan Islam.

NONEMenyedari semua ini, adalah amat membingungkan, apabila seseorang itu dilabel sebagai condong kepada fahaman pluralisme, semata-mata kerana menghadiri 'majlis rasmi' di kuil Buddha!

Jika dirujuk nas-nas syarak berhubung penggunaan nama Allah oleh bukan Islam pula, saya yakin, tiada pihak yang sanggup melabelkan mana-mana orang Islam yang membenarkannya, sebagai penganut fahaman pluralisme.

Dalam surah al-Zumar ayat 3, Al-Quran merakamkan ucapan orang-orang musyrik yang menjustifikasikan perbuatan mereka menyembah berhala. Mereka berkata “Kami tidak menyembah atau memujanya (yakni berhala) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sedamping-dampingnya”(al-Zumar : 3).

Jelasnya, mereka menggunakan kalimah Allah seperti yang dirakam sendiri oleh al-Quran. Dalam ayat di atas, al-Quran tidak menegah mereka menggunakan perkata Allah dalam ucapan mereka itu.

NONESebaliknya, al-Quran hanya menyebut dalam sambungan ayat di atas “Sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta, lagi sentiasa kufur”(al-Zumar :3)

Rujukan kepada nas menemukan kita bahawa, pada zaman Nabi s.a.w, orang-orang bukan Islam bukan sahaja menggunakan kalimah Allah dalam ucapan mereka. Bahkan mereka menggunakan ucapan Bismillahirrahmanirrahim!.

Bismillahirrahmanirrahim
Dalam surat Raja Mesir, Muqauqis yang beragama Kristian kepada Nabi SAW, beliau memulakannya dengan “Bismillahirrahmanirrahim! Kepada Muhammad bin Abdullah (SAW) dari Muqauqis, pembesar Qibti…”(Ibnu Qayyim dalam Zadul Ma'ad, jilid 3, ms.61 & Ibnu Hisyam dalam Sirah Ibnu Hisyam, jilid 2, ms.359).
Tidak terdapat pula sebarang kenyataan yang menunjukkan Nabi SAW membantah penggunaan Bismillahirrahmanirrahim oleh Muqauqis itu.

taman tamadun islam 280906 mosqueDi samping nas-nas syarak yang dinyatakan, kenyataan para ulama juga sangat jelas berhubung soal ini. Contohnya, jumhur ulama mensyaratkan Ahli Kitab (penganut Yahudi dan Kristian) menyebut nama Allah ketika menyembelih binatang bagi menjadikannya halal dimakan oleh orang Islam (lihat tafsiran ayat 5 Surah al-Maidah dalam Tafsir al-Qurtubi).

Justeru, bagaimana boleh dikatakan, orang bukan Islam terutamanya Ahli Kitab, tidak boleh menggunakan kalimah Allah?

Penggunaan nama Allah oleh bukan Islam begitu luas pada zaman kegemilangan Islam, sehingga mereka menggunakannya dalam nama-nama mereka, tanpa ada bantahan dari ulama Islam.

ibrahimi mosque 240205Sebagai contoh, Hibatullah bin Tilmiz, yang merupakan salah seorang cendiakawan bukan Islam pada zaman Abbasiah (Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama' al-Islami, ms.53). Hibatullah adalah gabungan dua perkataan, iaitu Hibah dan Allah.

Berhadapan dengan nas-nas syarak dan fakta-fakta ini, saya tidak faham, bagaimana orang Islam yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah, dilabel sebagai menyokong fahaman pluralisme!

Bagi mengelakkan munculnya 'pandangan-pandangan yang menghairankan' ini, kembalilah kepada metodologi penentuan hukum dalam Islam. Rujuklah al-Quran dan Sunah terlebih dahulu, sebelum merujuk kepada sumber-sumber perundangan lain yang diperakui.

Sumber : http://www.malaysiakini.com/news/151033

Tuesday, November 23, 2010

Lupa Apa Yang Dinazarkan! Apa Yang Harus Dilakukan?

"Seseorang bernazar untuk melakukan sesuatu, kemudian terlupa apa yang dinazarkan. Apakah yang harus dilakukan?".

Demikian satu soalan yang diajukan kepada saya oleh salah seorang rakan facebook.

Seperti biasa, saya akan mengemukakan jawapan berdasarkan Mazhab Syafie, mazhab rasmi umat Islam di Malaysia. Jika ada keperluan, saya akan nyatakan pandangan mazhab-mazhab lain.

Masalah terlupa apa yang dinazarkan, ada dibincangkan oleh salah seorang ulama dari Mazhab Syafie, iaitu Syaikh Khatib al-Syarbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj.

RIngkasan jawapan

Ringkasnya, pendapat yang ditarjihkan oleh beliau ialah pandangan yang mengatakan bahawa sesiapa yang terlupa apa yang dinazarkan, maka dia mesti berusaha menentukan apa yang dinazarkan.

Penentuan ini boleh dilakukan dengan cara mengingati semula apa yang dinazarkan, dengan merujuk kepada catatan jika ada, bertanya rakan-rakan dan sebagainya.

Setelah berusaha mengingatinya, maka hendaklah dilakukan apa yang diyakini, atau dirasakan dengan perasaan yang kuat bahawa itulah yang dinazarkannya sebelum ini.  

Teks

Rumusan ini disimpulkan daripada kenyataan Syaikh Khatib Syarbini dalam kitab yang dinyatakan. Beliau mencatatkan : (rujuk dalam Kitab al-Nazr dalam Mughni al-Muhtaj) :

 لو نذر شيئا إن شفى الله مريضه فشفي. ثم شك هل نذر صدقة أو عتقا أو صلاة أو صوما؟ قال البغوي في فتاويه : يحتمل أن يقال عليه الإتيان بجميعها كمن نسي صلاة من الخمس، ويحتمل أن يقال : يجتهد بخلاف الصلاة؛ لأنا تيقنا هناك وجوب الكل عليه فلا يسقط إلا باليقين، وهنا تيقنا أن الجميع لم يجب عليه إنما وجب شيء واحد، واشتبه فيجتهد كالأواني والقبلة ا هـ . وهذا أوجه.
Terjemahan : Jika [seseorang] menazarkan sesuatu [dengan mengatakan] jika Allah menyembuhkan [orangnya] yang sakit, lalu [orang tersebut] sembuh. Kemudian, dia [iaitu orang yang bernazar] ragu-ragu adakah dia bernazar [untuk] bersedekah, membebaskan [hamba], bersolat atau berpuasa.

Berkata al-Baghawi dalam fatwa-fatwa beliau, boleh dikatakan [bahawa menjadi kewajipan] ke atasnya melakukan kesemuanya [iaitu bersedekah, membebaskan hamba, bersolat dan berpuasa. Kedudukannya sama] seperti sesiapa yang terlupa [salah satu] solat lima [waktu tanpa dapat ditentukan solat tersebut samada zohor atau asar dan sebagainya].

Boleh [juga] dikatakan [bahawa dia mesti] berijtihad [dalam menentukan apa yang dinazarkannya], berbeza dengan [masalah] solat [lima waktu tadi]. Ini kerana di sana [iaitu dalam masalah terlupa salah satu solat lima waktu tanpa dapat ditentukan samada ia solat zohor atau asar dan sebagainya], kita yakin [akan] kewajipan semua [solat lima waktu] ke atasnya [iaitu orang yang terlupa salah satu solat lima waktu], maka tidak gugur [kewajipan satu solat lima waktu yang dia terlupa itu] melainkan dengan keyakinan [iaitu dengan melakukan kelima-lima solat lima waktu].

[Sedang] di sini [dalam masalah ragu-ragu apa yang dinazarkan] kita yakin bahawa semuanya [iaitu sedekah, membebaskan hamba, solat dan puasa] tidak wajib [ke atasnya], [yang] wajib [hanya] satu perkara [dari empat perkara tersebut] dan [dia] tidak pasti [apa yang dinazarkan]. Maka dia [mesti] berijtihad [dalam menentukan apa yang dinazarkannya [sama] seperti [kes ketidakpastian tentang kesucian] beberapa bekas dan [ketidakpastian arah] kiblat".[Pendapat] ini lebih bagus.

Sekian.

Friday, November 12, 2010

Mampukah Aliran Islam Mengemudi Malaysia?

Menurut Syaikh Qaradhawi dalam Masir al-Usuliyyah al-Islamiyyah, antara faktor kejayaan sesuatu gerakan Islam, ialah kemampuannya memenuhi keperluan semasa masyarakatnya.

Sebahagian daripada keperluan masyarakat itu, ialah menemui jawapan kepada persoalan-persoalan semasa yang membelit minda mereka. Antaranya, persoalan berkenaan kedudukan wanita dalam Islam, sikap Islam terhadap hiburan, pandangan Islam terhadap non muslim dan sebagainya.

Kejayaan gerakan Islam menjawab persoalan ini dengan jawapan yang konkrit dan meyakinkan, menjadi salah satu faktor kejayaannya. Kegagalannya berbuat demikian membawa makna sebaliknya.

Dalam konteks terkini Malaysia, persoalan besar yang mewarnai pentas perdana masa kini, antaranya isu pembuangan bayi dan 'cabang'nya, penubuhan Sekolah Harapan. Ia diikuti dengan isu kemalangan maut di jalan raya, terutamanya membabitkan bas ekspres.

Sebelum ini, isu gansterisme di kalangan kaum India memuncak seketika, selepas kes pembunuhan al-Marhumah Sosilawati. Sementara isu jenayah terus menghantui masyarakat Malaysia umumnya sehingga kini.

Ini adalah sebahagian daripada persoalan semasa yang ditagih jawapan penyelesaiannya oleh masyarakat.

Reaksi pihak yang mewakili aliran Islam terhadap persoalan terhangat masa kini, iaitu  pembuangan bayi, boleh dijadikan bahan ujikaji bagi melihat sejauh mana aliran Islam ini berkemampuan menjawab persoalan semasa masyarakat.  

Antara saranan yang dikemukakan bagi membendung gejala ini ialah mempermudahkan urusan perkahwinan. Antara kaedah 'mempermudahkan perkahwinan', ialah amalan 'nikah gantung'. Saranan ini dikemukakan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat.

Walau bagaimana pun, syor ini tidak mendapat sambutan. Sehingga kini, tidak ada tokoh agamawan atau ilmuan dan pemimpin PAS sendiri, yang meletakkan cadangan Pemuda PAS ini sebagai satu saranan yang praktikal dan efektif dalam membendung gejala pembuangan bayi.

Dengan sebab itu, seperti yang dilaporkan harakahdaily, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Mariah Mahmud meminta PAS mengemukakan cadangan yang lebih konstruktif dan holistik bagi membendung gejala pembuangan bayi. Ini perlu dilakukan kerana-menurut beliau-supaya PAS dilihat lebih layak memerintah Kerajaan Pusat.

Kenyataan ini dikeluarkan beliau selepas beberapa bulan Dewan Pemuda PAS mengemukakan syor yang dinyatakan.

Kenyataan Dr. Mariah ini memberi makna, cadangan yang dikemukakan oleh Pemuda PAS itu tidak memenuhi kriteria seperti yang dinyatakan.

Ia juga memberi pengertian, setakat ini PAS masih belum berjaya mengemukakan cadangan yang memperlihatkannya lebih layak memerintah Kerajaan Pusat berbanding parti-parti lain.

Jika diambil kira kenyataan Dr. Mariah di atas dan sikap dingin para pemimpin PAS serta kelompok agamawan dan ilmuan terhadap cadangan Pemuda PAS itu, boleh disimpulkan bahawa PAS masih belum berjaya mengemukakan jawapan penyelesaian yang konkrit terhadap isu pembuangan bayi ini.

Satu lagi isu besar masa kini ialah kemalangan maut di jalan raya membabitkan bas ekspres.
Malangnya, setakat ini, isu ini hanya mendapat satu 'sentuhan idea' yang boleh disifatkan sebagai baru dari pihak yang mewakili aliran Islam, iaitu ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Tantawi dalam blog beliau.

Pandangan dan saranan beliau itu, walau bagaimana pun-setakat ini-tidak disambut dengan ulasan atau komentar dari mana-mana pihak, termasuk ahli dan kepimpinan PAS sendiri.

Sekadar cadangan itu sahaja, sementelahan pula ia tidak disambut oleh mana-mana pihak, PAS belum dilihat berjaya mengemukakan saranan yang praktikal dan meyakinkan bagi menangani isu kemalangan maut ini. 

Sorotan ringkas terhadap reaksi aliran Islam terhadap persoalan semasa yang membelit minda masyarakat, menyimpulkan bahawa pendokong-pendokong aliran Islam bukan sahaja gagal mengemukakan jawapan penyelesaian yang tuntas kepada isu-isu semasa, bahkan lebih buruk, sesetengah isu dibiarkan begitu saja, tanpa sebarang komentar atau saranan. Atau diberikan cadangan yang tidak bertenaga dan berwibawa.

Ia seperti isu gansterisme di kalangan kaum India, yang muncul ketika pembunuhan Sosilawati baru-baru ini. Demikian juga dengan isu kemiskinan Melayu, gejala sosial dan sebagainya.

Bagi memperlihatkan aliran Islam lebih berkemampuan mengemudi Malaysia berbanding parti sedia ada dan parti-parti lain, aliran Islam perlu memberikan fokus kepada kegiatan pencetusan idea bermutu bagi menyelesaikan persoalan-persoalan semasa seperti yang disebutkan.

Sementelahan pula, bidang pencetusan idea ini dilihat terabai dalam gerak kerja aliran-aliran Islam.

Sudah sampai masanya, pandangan yang melihat-dengan sedar atau tanpa sedar-bahawa kehandalan 'melondeh' pihak penguasa, memadai bagi membentuk keyakinan rakyat akan kemampuan sesuatu parti atau aliran mengemudi negara, berbanding dengan pemerintah sedia ada atau parti-parti lain, dihentikan sama sekali!.

Keyakinan rakyat terhadap kemampuan sesuatu parti atau gerakan, bukan terletak pada kebijaksanaannya 'melondeh' pemerintah sedia ada, tetapi pada keupayaannya mengemukakan idea bermutu bagi menyelesaikan permasalahan mereka!