Pages

Monday, March 7, 2011

Biar apa pun terjadi, senyumlah...


Biar apa pun terjadi, senyumlah...

Biar apa pun terjadi, usah menangis...senyumlah dan biarkan ‘dunia’  menangis bersendirian...

Tatkala gagal...disaat perpisahan...di kala meneguk keperitan...ketika semuanya berakhir...

Pabila  kehidupan tidak seperti yang diimpikan...di waktu dunia ‘memprotes’...

Tatkala nasib tidak menyebelahi...ketika orang yang dikasihi melangkah pergi...

Usahlah menangis...

Kita selalu patah semangat...kita sering 'menyerah diri' kepada kesedihan dan lupa kepada impian...kita mendampingi sangkaan-sangkaan...

Mengapa?

Bukankah selepas setiap titisan air mata, ada senyuman...? Selepas perpisahan ada pertemuan...?

Demikianlah resam kehidupan dunia yang mesti kita lalui...sedih bersilih ganti dengan kegembiraan...kejayaan dan kegagalan bergantian pergi dan datang...air mata dan senyuman bergilir bertandang...

Justeru, kita mesti mengecapi ‘rasa’ air mata, untuk merasai ‘kesegaran’ senyuman...kita perlu bersusah payah agar kita mengetahui nilai kesenangan...kita perlu melalui kegagalan agar kita tahu bagaimana menggapai kejayaan...

Jangan mengalah!

Andai anda rebah, bangunlah dan teruskanlah langkahan meskipun jalan dipenuhi duri. Pijakkanlah kaki di atasnya dan tanamlah pepohon bunga...kelak ia membuahkan cinta dan kejayaan...

Sesungguhnya, masalah hidup banyak bukan kepalang...Tapi, ia tidak akan sekali-kali mampu diselesaikan oleh berserah dan tangisan...

Andai berpisah dengan orang yang disayangi, maka kenanglah ia, dan teruskan hidup demi untuknya...

Jika ditinggalkan kekasih...maka lupakanlah ia, dan buktikan kepadanya bahawa dialah yang sebenarnya rugi...

Jika dilukai seseorang yang dekat dengan anda, maka balutlah ia dan janganlah menanti sesuatu dari sesiapa pun...

Jika sekali anda gagal, maka buktikanlah kepada mereka, bahawa anda seorang yang berjaya...

Andai terpaksa menangis

Andai suatu hari dunia memaksa mu menangis, dan air matamu mengalir lebat...janganlah anda menyangka itu tanda anda lemah...

Tapi, ketahuilah bahawa air mata mu yang mengalir, adalah bukti bahawa anda adalah seorang manusia yang memiliki perasaan...

Janganlah malu dengan air mata mu yang tertumpah...tapi ingatlah, jangan tumpahkan air mata mu untuk sesuatu yang tidak berhak ditumpahkan air mata...

Andai keperitan dan kesakitan mengikatmu, maka meraunglah sekuat-kuatnya...meraung dengan berkata bahawa anda mampu...mampu meneruskan perjalanan...

Andai menitis juga air matamu, maka senyumlah...justeru kehebatan seseorang manusia terletak pada senyumannya dalam kelebatan air mata...

Senyumlah dan katakanlah kepada dunia bahawa anda lebih kuat daripada setiap kepayahan dan cabaran hidup yang bertandang...

Optimis dan teguh pendirian

Sesungguhnya, kehidupan tidak lebih daripada sebatang jalan dan lorong yang berselirat, yang penuh dengan godaan dan cabaran…

Tiada pilihan bagi kita selain melalui jalan yang betul agar kita sampai ke tempat yang akan memberikan kita kebahagiaan dan ketenangan…

Janganlah sekali-kali patah semangat…

Yakinlah, bahawa selepas kegelapan akan datang cahaya…

Jika hari ini mendung, percayalah bahawa esok akan terang agar anda kekal optimis dan jangan biarkan sesiapa pun melemahkan mu…

Jika anda merasa perlu menangis, maka menangislah…jika anda ingin meraung, meraunglah…jika anda ingin bernostalgia, maka lakukanlah…

Usah pedulikan orang yang berkata, menangis itu tanda kedhaifan, meraung itu satu keaiban dan bernostalgia itu hanya sangkaan…

Usah pedulikan mereka…

Lemparkanlah segala-galanya di belakangmu dan berjalanlah ke hadapan sampil mengangkat kepala dengan penuh bangga dengan kemanusian mu…

Perlihatkanlah kepada mereka siapa anda sebenarnya meskipun semua orang membantah mu…biarpun semua warna berbeza dengan warnamu… meskipun semua orang berjalan bertentangan dengan arahmu…

Jangan ragu-ragu…

Teruskanlah perjalanan dengan prinsip-prinsip mu, dan usah pedulikan mereka biarpun anda bersendirian…

Jangan ragu-ragu, justeru 'ketersendirian' lebih baik daripada anda hidup berbeza dengan kehendak diri sendiri semata-mata mahu memuaskan hati orang lain.

Sesungguhnya, kehidupan adalah sebuah buku yang penuh dengan gambar, fasal, warna dan kisah…Justeru, layarilah kehidupan anda kesemuanya dan pilihlah yang terbaik untuk anda…

Maka, walau apa pun yang berlaku, jangan menangis, tetapi senyumlah…

Biarkanlah dunia menangis lantaran kekuasaan senyuman anda!

Senyumlah…

Friday, March 4, 2011

Membongkar lubuk hati pencela sahabat Nabi s.a.w

Ada 'sesuatu' yang mendorong segelintir umat Islam, mencela dan merendah-rendahkan sahabat-sahabat Nabi s.a.w.

Di kalangan mereka, mungkin ada yang menyedari kewujudan 'sesuatu' ini dalam sanubari mereka. Mungkin juga ramai di kalangan mereka yang tidak menyedarinya.

Imam Malik radhiyallahu 'anhu mendedahkan 'sesuatu' itu, yang tersemat dalam sanubari orang-orang yang tergamak mencela para sahabat Nabi s.a.w.

'Sesuatu' yang mendorong mereka 'menceroboh' kemuliaan insan-insan  keluaran Madrasah Nubuwwah itu.

Imam Darul Hijrah itu berkata tentang pencela sahabat-sahabat Nabi s.a.w :

إنما هؤلاء أقوامٌ أرادوا القَدْحَ في النبي صلى الله عليه وسلم فلم يُمْكِنْهم ذلك

Terjemahan : "Sesungguhnya kaum-kaum (yang mencela para sahabat Nabi s.a.w) itu ingin mengaibkan Nabi s.a.w, tetapi mereka tidak mampu berbuat demikian".

Orang yang mencela sahabat Nabi s.a.w, sebenarnya ingin mengaibkan junjungan agung, Muhammad s.a.w!

Demikian tegas Imam Ahli Sunnah, Malik radhiyallahu 'anhu.

Mereka tidak mampu mengaibkan Rasulullah s.a.w. Mengaibkan Baginda hanya akan mendedahkan diri mereka yang sebenar. Mengakibatkan mereka terkeluar daripada lingkungan Islam dan umat Islam.

Justeru, apa tindakan mereka setelah keinginan mereka untuk mengaibkan Baginda s.a.w tidak mampu dicapai?

Sambung Imam Malik r.a :

فقَدَحوا في أصحابِه حتى يقالَ رجلٌ سُوء، ولو كان رجلاً صالحًا لكان أصحابُه صالحين

Terjemahan : "Lantas mereka mengaibkan sahabat-sahabatnya (s.a.w) supaya dikata (orang bahawa Baginda s.a.w) lelaki jahat, (kerana) jika Baginda (s.a.w) seorang lelaki yang soleh, tentulah sahabat-sahabatnya (s.a.w juga) orang-orang soleh".

Kata-kata Imam Malik r.a ini tercatat dalam al-Sorim al-Maslul karangan Imam Ibnu Taimiyyah, hlm. 580.

Inilah yang mendorong segelintir umat Islam-moga Allah memberikan petunjuk kepada mereka-mencela para sahabat Nabi s.a.w. Iaitu keinginan mengaibkan Nabi s.a.w!

'Keinginan keji' yang halus dan tersembunyi!

Mungkin ramai yang terlibat dalam perbuatan keji ini, langsung tidak merasai dalam jiwa mereka, bahawa yang mendorong mereka berbuat demikian ialah keinginan mengaibkan Nabi s.a.w.

Bahkan, mungkin saja mereka merasakan, bahawa mereka melakukannya kerana didorong oleh kecintaan mereka kepada Ahli Bayt. Iaitu kecintaan yang dituntut agama.

Mengapa mereka tidak merasai bahawa 'keinginan keji' inilah yang mendorong mereka mencela sahabat-sahabat Nabi s.aw?

Sedarlah, sesetengah 'keinginan keji' yang bersarang dalam jiwa manusia, sangat seni dan halus, serta tersemat jauh dalam lubuk hati yang dalam. Menyebabkan manusia langsung tidak menyedari kewujudannya.

Betapa ramai orang yang merasa mereka ikhlas berjuang menegakkan Islam. Tapi, tanpa mereka sedari, tujuan sebenar mereka berjuang ialah 'meraih habuan dunia'.

Pun begitu, mereka tidak sedar akan kewujudan 'keinginan kepada habuan dunia' dalam hati mereka.

Sehinggalah apabila mereka tidak mendapat habuan dari perjuangan Islam itu, mereka terus meninggalkan perjuangan. Di waktu itu, baru individu seperti ini, atau orang ramai mengetahui, bahawa tujuannya berjuang ialah mengaut habuan dunia, bukan ikhlas kerana Allah. 

Bicara Imam Ghazali r.a

Bicara Hujjatul Islam, Imam Ghazali رضي الله عنه وقدس الله سره dalam Ihya' Ulumiddin (rujuk bab berkenaan riyak) menunjukkan sesetengah 'keinginan keji' yang tersemat dalam sanubari manusia, sangat seni dan halus. Sehingga kewujudannya langsung tidak disedari.

Ketika berbicara tentang penyakit riyak yang tersembunyi, Imam Ghazali menyebut tentang individu yang tidak ingin amal ibadat yang dilakukannya diketahui orang, justeru kerana mencari keredhaan Allah semata-mata.

Namun, apabila bertemu orang ramai, dia ingin supaya orang ramai terlebih dahulu memberi salam kepadanya sebagai tanda hormat. Atau memberikannya layanan dengan penuh penghormatan. Jika dia tidak dilayan sebegitu, dia akan terasa jengkel.

Orang seperti ini tidak suka amal ibadatnya diketahui orang. Ini menunjukkan dia seorang yang benar-benar ikhlas beribadat. Dia sendiri turut merasakan dirinya benar-benar ikhlas beramal.

Tapi, dia tidak menyedari bahawa nun jauh di lubuk hatinya yang dalam, terselit riyak yang seni dan halus.

Kewujudan riyak yang seni ini hanya diketahuinya-jika dia seorang yang berilmu-apabila dia merasa jengkel tatkala orang tidak memberikan penghormatan dan sanjungan kepadanya.

Menurut Hujjatul Islam, kewujudan 'rasa jengkel bila tidak disanjung', menunjukkan seolah-olah dia menjadikan penghormatan dan sanjungan orang, sebagai 'ganjaran' di atas amalannya yang dia tidak mahu diketahui orang itu, yang dilakukannya secara bersembunyi.

Dalam erti kata lain, dia tidak benar-benar ikhlas beramal meskipun dia tidak suka amalannya diketahui orang.

Demikianlah halusnya tipu daya nafsu!

Ini adalah berkenaan 'keinginan keji' yang terselit dalam jiwa orang-orang yang cuba mengikhlaskan niat mereka dalam berjuang dan beramal ibadat.

Meskipun begitu, 'keinginan keji' ini masih berupaya menyelusup masuk ke lubuk hati mereka tanpa mereka sedari.

Maka, bagaimanakah pula orang-orang yang melakukan sesuatu yang terang-terang adalah dosa dan kekejian, iaitu mencela orang-orang yang telah dipersucikan Allah zahir dan batin mereka?

Firman Allah (al-Fath : 29) :

ﭑ ﭒ ﭓ ﭔ ﭕ ﭖ ﭗ ﭘ ﭙ ﭚ ﭛ ﭜ ﭝ ﭞ ﭟ ﭠ ﭡ ﭢ ﭣ ﭤ

Maksudnya, "Nabi Muhammad itu Rasulullah; dan orang-orang yang bersamanya bersikap keras terhadap orang-orang kafir, dan sebaliknya berkasih sayang sesama sendiri. Engkau melihat mereka rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredhaan-Nya"

Berkata Jabir Ibn Abdillah r.a, "kami (pada waktu itu seramai) seribu empat ratus orang". Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih dalam Kitab al-Maghazi.

Allah mempersucikan zahir mereka dengan firmanNya "bersikap keras terhadap orang kafir, dan sebaliknya berkasih sayang sesama sendiri. Engkau melihat mereka rukuk dan sujud".

Allah mempersucikan juga batin mereka dengan berfirman "mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredhaan-Nya".

Allah telah bersaksi bahawa zahir mereka dihiasi dengan rukuk dan sujud yang banyak. Batin mereka pula selimuti dengan niat yang ikhlas.

Justeru, tidakkah orang-orang yang mencela mereka mahu berhenti?













-

Wednesday, March 2, 2011

Keganjilan 'pemikiran agama' Gadaffi!


Lihat fesyen baju Gadaffi


 Muammar Gadaffi yang memerintah Libya sejak 1969 melalui satu revolusi, Revolusi al-Fateh, ganjil dari banyak segi.

Keganjilan beliau yang paling dahsyat ialah keganjilan pemikiran beliau tentang Islam.

Paling ganjil ialah desakan beliau supaya dibuang perkataan 'qul' (katankanlah) dalam al-Quran!

Alasannya, perkataan 'qul' itu ditujukan kepada Nabi s.a.w. Bagi beliau, perkataan ini bermakna Nabi s.a.w adalah orang yang diajar. Sebab itu perlu dibuang!

Apa masalahnya perkataan 'qul' itu ditujukan kepada Nabi? Apa pula masalahnya perkataan itu menunjukkan Nabi s.a.w diajar dan diarah?

Lebih parah beliau membuat pengakuan tidak mengiktiraf sunnah Nabi s.a.w.

Beliau juga membuat dakwaan yang pelik.

Dakwanya, yang mencadangkan kepada Nabi Adam dan Hawa supaya menutup aurat mereka dengan daun-daun di syurga, bila pakaian mereka terlucut kerana memakan buah larangan, adalah syaitan!

Sebab itulah beliau berpendapat, "oleh itu, tidak perlu fikirkan sangat soal pakaian dan meletakkan syarat-syaratnya yang bertitik tolak daripada pemikiran-pemikiran warisan yang telah lapuk”.

Lebih dari itu, beliau mengatakan pakaian wanita Islam (hijab atau bertudung) adalah dari syaitan!

Beliau satu-satunya pemimpin Arab dan orang Islam yang terang-terang mengejek fardhu haji.

Beliau pernah menyeru para jemaah haji di Mekah supaya pergi ke Baitulmaqdis daripada memusing-musing kepala kerana tawaf mengelilingi kaabah!

Pun begitu, beliau masih bercita-cita membentuk kesatuan Arab, kesatuan Afrika dan juga kesatuan Negara-negara Barat Afrika! 

Sunday, February 27, 2011

Memuktamadkan dakwaan Tok Guru Nik Aziz mengkafirkan UMNO!

Isu dakwa mendakwa antara dua tokoh besar tanah air, Tun Mahathir dan Dato’ Nik Aziz boleh selesai jika kaedah yang muktamad dijadikan rujukan.
Dalam pertikaian antara dua tokoh ini, kaedah yang dinyatakan jumhur (majoriti) ulama, iaitu ‘Lazim al-Mazhab Laisa Bi Mazhab’ (dibaca Lazimul Mazhab Laisa Bi Mazhab), perlu dijadikan rujukan.
Kaedah ini bermaksud, ‘rentetan atau cetusan (dalam Bahasa Arab disebut lazim) daripada sesuatu mazhab atau pandangan, bukan merupakan mazhab’.

Sesetengah ulama mengungkapkannya dengan ‘Lazim al-Qaul Laisa Bi Qaul’ iaitu ‘rentetan atau cetusan daripada sesuatu pandangan, bukan merupakan pandangan’.
Yang dimaksudkan dengan mazhab di sini ialah pandangan atau pegangan berhubung sesuatu perkara.
Huraian kaedah Lazimul Mazhab Laisa Bi Mazhab

Sesuatu mazhab atau pandangan itu biasanya mencetuskan satu pengertian lain secara automatik. Contoh yang relevan dengan isu pertikaian antara dua tokoh ini ialah, dakwaan yang berbunyi 'UMNO menolak Islam’.

'UMNO menolak Islam' adalah pegangan atau mazhab pihak yang mendakwa. Oleh kerana dakwaan ini disebut sendiri oleh yang mendakwa, maka boleh tegaskan bahawa pendakwa tersebut telah mendakwa bahawa UMNO menolak Islam.
Mazhab atau dakwaan ini mencetuskan satu pengertian lain. Iaitu 'UMNO adalah kafir'. Bagi sesetengah pihak, tiada makna lain bagi dakwaan 'UMNO menolak Islam', selain 'UMNO adalah kafir'.

‘UMNO adalah kafir’ adalah rentetan atau lazim daripada dakwaan tadi, iaitu 'UMNO menolak Islam'.
Walau bagaimana pun, rentetan atau lazim ini (UMNO adalah kafir), tidak diucapkan oleh orang yang mendakwa 'UMNO menolak Islam'. Ia sebaliknya hanya merupakan rentetan daripada dakwaannya sahaja, iaitu 'UMNO menolak Islam'.
Persoalannya, bolehkan rentetan ini (UMNO adalah kafir) disandarkan kepada orang yang membuat dakwaan 'UMNO menolak Islam'?. Persoalan timbul kerana individu tersebut hanya mengatakan "UMNO menolak Islam". Tetapi beliau tidak mengatakan "UMNO adalah kafir".

Demikianlah pengertian kaedah Lazim al-Mazhab Laisa Bi Mazhab atau Lazim al-Qaul Laisa Bi Qaul.
Rentetan daripada sesuatu pendapat, tidak dikira pendapat

Jumhur ulama menegaskan bahawa ‘rentetan pengertian’ atau lazim yang tercetus daripada sesuatu pendapat atau mazhab, tidak boleh disandarkan kepada orang yang berpegang kepada pendapat atau mazhab tadi.

Jelasnya, orang yang mendakwa 'UMNO menolak Islam', tidak boleh didakwa sebagai mendakwa 'UMNO adalah kafir'.
Justeru kerana berpegang kepada kaedah Lazim al-Mazhab Laisa Bi Mazhab inilah, maka ulama memfatwakan bahawa orang yang mendakwa Syaidina Abu Bakar r.a tidak wujud, tidak menjadi kafir(Rujuk Hasyiata al-Qalyubi Wa 'Umairah di permulaan Kitan al-Riddah).

Mengapa?
Untuk memahami perkara ini, perlu dihuraikan perkara berikut.
Pertama, al-Quran menyebut dengan jelas peristiwa Nabi s.a.w dengan seorang sahabat Baginda yang bermaksu,d "ketika dia berkata kepada sahabatnya, "janganlah engkau berdukacita" (al-Taubah : 40)

Para sahabat berijmak bahawa yang dimaksudkan dengan "sahabatnya" dalam ayat ini, ialah Syaidina Abu Bakar r.a (Rujuk Hasyiah al-Dasuqi 'Ala al-Syarh al-Kabir, jld.18, hlm.294).

Ertinya, kedudukan Syaidina Abu Bakar sebagai seorang sahabat Nabi s.a.w, adalah perkara qat’ie. Ini kerana ia disebut dengan jelas oleh al-Quran.

Justeru, sesiapa yang mendakwa Syaidina Abu Bakar r.a bukan sahabat Nabi s.a.w, menjadi kafir kerana telah membuat dakwaan yang jelas bercanggah dengan keterangan al-Quran.
Bagaimana pula dengan orang yang mendakwa 'Syaidina Abu Bakar sebenarnya tidak wujud'?

Dakwaan ini melahirkan satu 'rentetan pengertian' atau lazim, iaitu 'Syaidina Abu Bakar r.a bukan seorang  sahabat Nabi s.a.w'. Ini kerana, adalah mustahil seseorang yang tidak wujud, boleh menjadi sahabat Nabi s.a.w.

Walau bagaiman pun, 'rentetan pengertian' ini (Syaidina Abu Bakar r.a bukan sahabat Nabi s.a.w), tidak diucapkan oleh orang yang mendakwa 'Syaidina Abu Bakar tidak wujud'. Yang diucapkannya hanyalah 'Syaidina Abu Bakar r.a tidak wujud'.
Persoalannya, mengapa orang yang mendakwa sedemikian tidak menjadi kafir, sedangkan dakwaan itu dengan sendirinya menafikan kedudukan Syaidina Abu Bakar sebagai seorang sahabat Nabi s.a.w, yang dinyatakan al-Quran dalam surah al-Taubah tadi?
Jawabnya, orang tersebut tidak menjadi kafir kerana Lazim al-Mazhab Laisa Bi Mazhab. Atau ‘rentetan pengertian' daripada sesuatu pendapat atau mazhab, tidak dikira sebagai pendapat atau mazhab’.
Satu lagi contoh ialah hukum orang yang mengatakan Allah sejenis jisim.

Para ulama mengatakan, individu yang hanya sekadar berpendapat sedemikian, tidak menjadi kafir (Rujuk Hasyiah al-Bujairimi 'Ala al-Khatib, jld.5, hlm.116).

Memang benar dakwaan Allah sejenis jisim mencetuskan satu 'rentetan pengertian' atau lazim, iaitu Allah mempunyai sifat-sifat jisim, seperti warna dan arah. Kepercayaan bahawa Allah mempunyai warna atau arah adalah kekufuran yang nyata.

Walaupun begitu, individu tersebut tidak dihukumkan sebagai kafir kerana Lazim al-Mazhab Laisa Bi Mazhab.

Kedua-dua ucapan di atas, meskipun tidak menjadikan seseorang itu kafir, tetapi ia adalah dosa yang sangat nyata.

Rentetan daripada sesuatu pendapat dikira sebagai pendapat dengan syarat

Rentetan atau cetusan daripada sesuatu pendapat atau mazhab, hanya dikira sebagai pendapat atau mazhab, apabila seseorang itu mengucapkannya atau menerima 'rentetan' atau cetusan  itu. (Rujuk al-Qawa'id al-Muthla Fi Sifatillah Wa Asma'ih al-Husna, karangan Syaikh 'Uthaimin, hlm.16)

Oleh itu, hendaklah ditanya orang yang mendakwa 'Syaidina Abu Bakar tidak wujud', samada dia menerima rentetan atau cetusan daripada dakwaannya ini, atau tidak. Iaitu Syaidina Abu Bakar r.a bukan seorang sahabat Nabi s.a.w.

Jika dia menerima, barulah boleh dikatakan bahawa dia telah mendakwa 'Syaidina Abu Bakar bukan sahabat Nabi s.aw'. Jika dia tidak menerimanya, maka tidak boleh dikatakan bahawa dia telah berkata 'Syaidina Abu Bakar bukan seorang sahabat Nabi s.a.w'. 

Demikianlah juga halnya dengan orang yang mengatakan bahawa Allah sejenis jisim.
Kaedah penyelesaian dakwaan 'UMNO kafir'

Justeru, dalam kes dakwaan 'UMNO menolak Islam', hendaklah ditanya orang yang mendakwa sedemikian, adakah dia menerima 'rentetan' atau cetusan daripada kenyataannya itu (iaitu UMNO kafir), atau tidak?

Jika dia menerimanya, barulah boleh dikatakan bahawa dia telah menuduh UMNO adalah kafir.

Tetapi, jika dia tidak menerima rentetan itu dengan berkata, "saya hanya berkata UMNO menolak Islam, tetapi saya tidak berkata UMNO kafir", maka tidak boleh didakwa bahawa dia telah menuduh UMNO adalah Kafir.

Demikianlah kedudukan kes pertikaian antara dua tokoh besar tanah air ini berdasarkan kaedah yang diguna pakai oleh jumhur ulama.
Persoalan yang berbangkit di sini ialah, mengapa 'rentetan atau cetusan makna' ini tidak diterima sebagai pendapat atau mazhab?

Jawabnya, manusia kadang-kadang lupa dan tidak terlintas langsung 'rentetan' yang akan dicetuskan oleh kata-kata dan ucapannya. Terutamanya jika berucap dalam keadaan tertekan, marah atau beremosi. (Rujuk al-Qawa'id al-Muthla Fi Sifatillah Wa Asma'ih al-Husna, karangan Syaikh 'Uthaimin, hlm.16)

Jika 'rentetan makna' ini mahu juga dianggap sebagai pendapat atau mazhab, maka keadaan akan menjadi kusut dan haru biru.

Jika begitu, bolehlah dinyatakan bahawa orang yang mendakwa  seseorang itu hanya hidup untuk menang pilihanraya, telah menuduhnya sebagai ahli neraka.
Ini kerana, orang yang hidup hanya untuk menang pilihanraya, hanya hidup untuk dunia. Orang yang hidup hanya untuk dunia, tempatnya adalah neraka. Jadi orang itu adalah ahli  neraka!

Adalah tidak adil, seorang yang mengatakan 'seseorang individu itu hanya hidup untuk menang pilihanraya', didakwa sebagai telah menuduh orang itu sebagai ahli neraka.

Demikian juga, adalah tidak adil, mendakwa orang yang mengatakan 'UMNO menolak Islam', sebagai telah menuduh UMNO adalah kafir.

Kesimpulannya, semua pihak perlulah berpegang kepada kaedah Lazim al-Mazhab Laisa Bi Mazhab ini bagi memuktamadkan pertikaian ini. Wallahu a'lam.

Friday, February 25, 2011

Hukum berjabat tangan dengan wanita, pemansuhan hukuman rejam : Qaradhawi dan Abu Zuhrah sembunyi fatwa!

Qaradhawi menyembunyikan sesetengah fatwa beliau selama beberapa tahun!.
Imam Abu Zuhrah pula menyembunyikan fatwa beliau berkenaan hukuman rejam ke atas penzina yang muhsin (yang telah berkahwin) selama 20 tahun!
Ini didedahkan sendiri oleh al-‘Allamah Yusuf al-Qaradhawi, pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, dalam satu nadwah (seminar) di Doha, Qatar.
Bagi yang membaca karya-karya Qaradhawi, mereka arif tentang pandangan beliau berhubung hukum berjabat tangan antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim.
Qaradhawi tidak sependapat dengan jumhur (majoriti) ulama dalam soal ini.
Bagi jumhur ulama, wanita tidak dibenarkan berjabat tangan dengan lelaki bukan muhrim. Begitu juga sebaliknya.
Kecualilah kalau berjabat tangan dengan lelaki atau wanita yang sudah tua atau dengan kanak-kanak kecil. Jumhur ulama membolehkannya.
Mengapa perkara ini tidak dibolehkan?.
Sebab ditegah berjabat tangan dengan bukan muhrim
Jawapan mudahnya begini...
Ini adalah soal etika. Soal protokol seorang Islam. Sama seperti masuk ke parlimen dengan baju yang tidak berkolar. Mengapa ia tidak dibolehkan?.
Mencemar kemuliaan institusi parlimen kah? Atau biadab kah masuk parlimen dengan baju tidak berkolar?
Tidak. Ini soal etika. Begitu juga soal berjabat tangan dengan orang bukan muhrim. Ini jawapan mudah.
Jawapan yang lebih ilmiah begini...
Islam datang kerana hendak menjaga lima perkara asas kehidupan manusia. Agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Semua agama memelihara dan menjaga lima teras ini.
Antara cara menjaga keturunan ialah dengan menghalang penzinaan. Bukan sahaja zina yang dihalang. Semua perkara yang membawa kepada zina, turut ditegah.
Sama seperti jenayah bunuh.
Bukan membunuh sahaja yang ditegah. Menyimpan pistol pun turut dikenakan hukuman berat. Walaupun sekadar simpan dalam almari, ia tetap salah, kerana ia boleh membawa kepada jenayah bunuh.
Demikianlah halnya berjabat tangan. Berjabat tangan antara lelaki dan wanita (terutama yang muda) boleh merangsang nafsu. Nafsu bila sudah terangsang, akan ’menunggang’ manusia kepada zina.
Dengan sebab itulah, dibolehkan berjabat tangan dengan lelaki atau wanita tua. Sebab nafsu kebiasaannya tidak terangsang bila bersentuhan dengan lelaki atau wanita tua.
Inilah falsafah di sebalik tegahan berjabat tangan antara lelaki dan wanita bukan muhrim. Ia ditegah bukan kerana ’rasa tidak percaya’ kepada orang yang bukan muhrim.
”Ah, aku berjabat tangan dengan wanita, tak terasa apa-apa pun”, dakwa seorang lelaki.
Kata-kata seperti ini tidak boleh diterima. Ia sama dengan kata-kata mat rempit bila ditegah memandu laju kerana menyebabkan kemalangan, ”ah, dah bertahun aku merempit laju, tak kemalangan pun!”.
Prinsipnya, sesuatu yang berpotensi membawa kepada sesuatu yang ditegah atau bahaya, ia mesti ditegah meskipun bahaya belum berlaku. Begitu juga soal berjabat tangan dengan bukan muhrim ini.
Jika begitulah falsafahnya, tidak wajar sama sekali dianggap kolot orang yang tidak mahu berjabat tangan dengan bukan muhrim. Ini kerana, keengganan mereka berjabat tangan dengan bukan muhrim ada falsafah dan pemikirannya yang tersendiri.
Kalau kita masih mahu mengatakannya kolot, maka kita kena buktikan bahawa ’bersentuhan antara lelaki dan wanita boleh membangkitkan nafsu’, adalah kepercayaan kolot.
Hendaklah dibuktikan kaedah ’sesuatu yang berpotensi membawa kepada sesuatu yang ditegah atau bahaya, ia mesti ditegah meskipun bahaya belum berlaku’, adalah kaedah kolot.
Jika falsafah, pemikiran dan kaedah yang dinyatakan ini berjaya dibuktikan sebagai kolot dan tidak tepat, barulah kita boleh mengatakan ’tidak berjabat tangan dengan bukan muhrim’ sebagai kolot.
Perkara ini disebut bagi memupuk rasa hormat kepada pendapat dan pegangan orang lain.
Kalau kita boleh hormat tegahan memakai baju tidak berkolar dalam parlimen, walaupun harganya ratusan ringgit, mengapa kita tidak boleh hormat pegangan yang bersandarkan pendapat jumhur ulama?
Pandangan Qaradhawi
Apa pula pandangan Qaradhawi?.
Pada beliau, diharuskan berjabat tangan dengan bukan muhrim dengan dua syarat.
Pertama, adanya keperluan. Kedua, aman daripada fitnah.
Ia dibolehkan kerana beliau mendapati hadis yang menegah lelaki menyentuh wanita (termasuk berjabat tangan) tidak terbukti kesahihannya.
Beliau juga berdalilkan dengan hadis yang diriwayatkan Anas bin Malik r.a bahawa ”mana-mana hamba wanita di Madinah boleh saja memegang tangan Nabi s.a.w dan memimpin tangan baginda kemana saja yang dikehendakinya”(Hadis sahih riwayat Bukhari).
Selain menunjukkan sikap tawaduk Nabi s.a.w, hadis ini juga menunjukkan bersentuhan tangan antara lelaki dan wanita bukan muhrim, diharuskan jika tidak disertai nafsu.
Fatwa keharusan berjabat tangan dengan bukan muhrim ini, beliau sembunyikan selama beberapa tahun bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai terhadap beliau.
Beliau juga mengatakan, ramai ulama masa kini bimbang untuk mendedahkan kepada awam fatwa-fatwa mereka yang bercanggah dengan pandangan dan pegangan umum masyarakat.
Beliau mendedahkan, beliau tidak berani mendedahkan fatwa ini selama beberapa tahun lamanya. Beliau kemudiannya menyiarkannya dalam bukunya, Fatawa Mu’asirah, juzuk kedua.
Rupa-rupanya, bukan beliau sahaja yang menyembunyikan fatwa-fatwa tertentu. Selain beliau, jelas Qaradhawi, al-Imam Abu Zuhrah, ulama besar al-Azhar, juga berbuat demikian.
Abu Zuhrah dan pemansuhan hukuman rejam ke atas penzina
Abu Zuhrah menyembunyikan fatwanya selama 20 tahun!
Pada pandangan Abu Zuhrah, hukuman rejam sampai mati ke atas penzina yang muhsin berasal daripada ajaran agama Yahudi. Ia diterima oleh Rasulullah s.a.w pada peringkat awal.
Namun, hukuman ini kemudiannya dimansuhkan apabila turunnya ayat dalam surah an-Nur yang menjatuhkan hukuman sebat ke atas penzina.
Ertinya, hukuman rejam itu terbatal. Hukum yang diguna pakai ialah hukuman sebat, tidak kira penzina itu muhsin atau tidak.
Imam Abu Zuhrah, cerita Qaradhawi, menyembunyikan pendapat beliau ini selama 20 tahun.
Selepas 20 tahun, barulah beliau menyatakannya. Itu pun di hadapan para ulama yang berkepakaran, antara mereka ialah Syeikh Mustaffa Zarqa’, Dr. Subhi Soleh, Dr. Husain Hamid Hisan, dalam satu seminar berkenaan perundangan Islam di Libya pada tahun 1972.

Rujuk : http://www.onislam.net/arabic/madarik/culture-ideas/121932-2009-12-20%2015-43-56.html

Sebenarnya,  tindakan menyembunyikan sesuatu pandangan atau fatwa kerana bimbang kekeliruan dan kekecohan dalam masyarakat, ada sandarannya dalam syarak.
Imam Bukhari meriwayatkan, Nabi s.a.w berkata kepada Aisyah r.a, “Wahai Aisyah, jika tidak [kerana] kaum mu baru memeluk Islam, nescaya aku [akan] robohkan kaabah dan membuat dua pintu [pada kaabah]; satu pintu [untuk] manusia masuk dan satu pintu [untuk] mereka keluar”.
Nabi s.a.w tidak melakukan apa yang dinyatakannya kerana bimbang kaum Quraisy yang baru memeluk Islam-yang sangat memuliakan kaabah- salah sangka.
Daripada hadis ini dan hadis-hadis yang lain, diasaskan kaedah ‘meninggalkan sesuatu demi mengelakkan kekacauan atau kekeliruan’.

Wednesday, February 23, 2011

Batalkah solat orang yang terlelap?


Solatlah dengan khusyuk!
Seorang sahabat saya bertanya tentang hukum orang terlelap dalam solat. Adakah solatnya batal atau tidak?

Alhamdulillah, persoalan ini telah diperkatakan Imam Mawardi dalam karya beliau, al-Hawi al-Kabir.

Dalam karyanya itu, beliau menyebut dua keadaan orang yang terlelap dalam solat.

Pertama : Terlelap dalam keadaan duduk. Iaitu semasa duduk antara dua sujud atau ketika membaca tahiyyat. Terlelap dalam keadaan ini, tidak membatalkan solat. Wuduk juga tidak terbatal.

Kedua : Terlelap dalam keadaan selain duduk. Samada ketika berdiri, rukuk atau sujud.

Imam Syafie dalam qaul jadid memfatwakan, terlelap dalam keadaan selain duduk, membatalkan solat dan juga wuduk.

Dalil

Dalil yang menunjukkan bahawa terlelap dalam solat ketika berdiri, rukuk atau sujud, membatalkan solat ialah :

1. Kaedah yang menyatakan :

  ما كان حدثا في غير الصلاة كان حدثا في الصلاة

Terjemahan : Apa yang merupakan hadas (yang membatalkan wuduk) di luar solat, adalah hadas di dalam solat.

Tidur atau terlelap dalam keadaan selain duduk dan melentang, atau yang dinamakan sebagai 'tidur dalam keadaan punggung tidak menekup lantai', membatalkan wuduk.

Wuduk dikira batal kerana sesuatu boleh terkeluar dari punggung semasa tidur, tanpa disedari.

Jika tidur dalam keadaan ini membatalkan wuduk semasa di luar solat, maka ia juga membatalkan wuduk jika ia berlaku dalam solat.

Bila wuduk terbatal, dengan sendirinya solat turut terbatal sama.

2. Hadis yang berbunyi :

 قيل لرسول الله {صلى الله عليه وسلم} : إنك تنام في صلاتك فقال {صلى الله عليه وسلم} :  تنام عيناي ولا ينام قلبي

Maksudnya : Dikatakan kepada Rasulullah s.a.w, "sesungguhnya Tuan pernah tidur dalam solat". Maka Baginda s.a.w bersabda. "(Sungguh pun) kedua-dua mataku tidur, (tetapi) hatiku tidak tidur".

Menurut Imam Mawardi, hadis ini menunjukkan bahawa 'ketiduran hati', iaitu tidur dengan makna yang kita fahami, membatalkan wuduk.

Persoalan berkaitan

Memanjangkan rukun solat yang pendek membatalkan solat. Rukun solat yang pendek seperti iktidal dan duduk antara dua sujud.

Kalau sekadar terlelap beberapa saat semasa duduk antara dua sujud, solat tidak terbatal. Ini kerana, ia tidak menyebabkan rukun solat yang pendek ini menjadi panjang.

Persoalan timbul jika seseorang tertidur selama 10 minit ketika duduk antara dua sujud. Apakah solatnya terbatal disebabkan rukun solat yang pendek telah menjadi panjang?

Jawapannya ialah, solatnya tidak batal meskipun tidur dalam tempoh yang lama ketika duduk antara dua sujud yang merupakan rukun solat yang pendek.

Ini kerana, yang membatalkan solat ialah sengaja memanjangkan rukun solat yang pendek. Adapun memanjangkannya dengan tidak sengaja, ia tidak membatalkan solat. 

Syaikh Arsyad al-Banjari mengatakan, ketika menyebut perkara-perkara yang membatalkan solat, "(perkara) ketiga (yang membatalkan solat ialah), sengaja memanjangkan rukun yang semestinya pendek, seperti iktidal dan duduk antara dua sujud".

Rujuk Sabilal Muhtadin, edisi rumi, hlm. 435.

Lebih jelas lagi ialah kenyataan pengarang Hasyiah Qalyubi Wa Umairah.

Disebut dalam karya itu (Hasyiah Qalyubi Wa 'Umairah, jilid 3, hlm.16):

 ( ولو سكت طويلا ) ولو عمدا بلا قصد قطع لم تبطل ومثله نوم ممكن ، ولو في ركن قصير ، إذا لم يتعمده فيه

Terjemahan : "Jika dia (orang yang bersolat) senyap (dalam tempoh) yang panjang, meski pun dengan sengaja, tanpa qasad memutuskan (solat), tidak batal (solatnya).

Dan (sama) sepertinya (iaitu senyap yang panjang dengan sengaja dari segi tidak membatalkan solat ialah) tidur yang kejap (kedudukan punggung pada lantai), walaupun (tidur) pada rukun yang pendek jika dia tidak menyengajakannya".

Kesimpulan

Kesimpulannya, kebatalan solat disebabkan tertidur atau terlelap, bergantung kepada masa terlelap.

Jika terlelap ketika punggung tidak menekup lantai atau anggota tubuh, iaitu ketika berdiri, rukuk dan sujud, maka solat terbatal meski pun terlelap hanya sekejap.

Sebaliknya, jika terlelap ketika punggung menekup lantai atau anggota tubuh, iaitu ketika duduk antara dua sujud dan membaca tahiyyat, solat tidak terbatal, walaupun terlelap dalam tempoh yang lama jika ia tidak disengajakan.

والله أعلم بالصواب

Tuesday, February 22, 2011

Qaradhawi : Muammar Gadafi lelaki gila, halal darah!


Gadafi

Perkembangan terbaru di Libya menyerlahkan sekali lagi kepekaan dan kelantangan Syaikh al-Qaradhawi, Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Sebelum ini, perkembangan di Mesir telah menampilkan karektor itu pada sosok ulama besar itu.

Terbaru, al-Qaradhawi mengeluarkan fatwa supaya ‘diktator gila’, Muammar Gadafi dibunuh!

Beliau memfatwakan sedemikian disebabkan tindakan gila Muammar Gadafi membunuh rakyatnya sendiri. Bukan dengan pedang. Bukan dengan senapang.

Tapi dengan jet-jet pejuang! Dengan mengupah pembunuh-pembunuh upahan asing!

Apa yang dilakukan oleh Gadafi ke atas rakyatnya sendiri, menurut Qaradhawi, lebih teruk daripada apa yang dilakukan oleh Israel ketika mengganyang Gaza.

Gadafi memang gila!

Hanya orang gila sahaja yang sanggup membunuh rakyatnya sendiri dengan jet-jet pejuang dan mengupah orang asing membunuh mereka!

Tidak peliklah jika sejak dahulu lagi beliau disifatkan gila.

Dan sekarang al-Qaradhawi menyifatkannya sebagai ‘sudah tidak waras’.

Al-Jazeera. net melaporkan :

أفتى رئيس الاتحاد العالمي لعلماء المسلمين الشيخ يوسف القرضاوي بقتل الطاغية الليبي معمر القذافي بسبب قتله أبناء شعبه عن طريق قصفهم بالطائرات واستخدام المرتزقة الأجانب لقتلهم

(Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syaikh al-Qaradhawi telah memfatwakan [supaya] dibunuh Penindas Berbangsa Libya, Muammar Gadafi disebabkan [tindakannya] membunuh rakyatnya melalui cara membedil mereka dengan jet-jet pejuang dan penggunaan orang-orang upahan asing bagi [tujuan] membunuh mereka)

Menurut Qaradhawi, sesiapa sahaja yang berkemampuan melepaskan tembakan kepada Gadafi, hendaklah berbuat demikian.

Al-Jazeera.net memetik beliau sebagai berkata :
أصدر الآن فتوى بقتل القذافي. أي ضابط أو جندي أو أي شخص يتمكن من أن يطلق عليه رصاصة فليفعل، ليريح الليبيين والأمة من شر هذا الرجل المجنون وظلمه.
(Sekarang, saya keluarkan fatwa [supaya] dibunuh Gadafi.Mana-mana pegawai [keselamatan], tentera atau mana-mana individu [yang] mampu melepaskan tembakan kepadanya, maka lakukanlah bagi membebaskan orang-orang Libya dan ummah daripada kejahatan dan kezaliman lelaki gila ini!)

Saiful Jahiliyyah, bukan Saiful Islam!

Anak diktator itu, Saiful Islam (Pedang Islam) yang bersekongkol dengan ayahnya, turut ditempelak oleh Qaradhawi dengan menyifatkannya sebagai ‘salah satu daripada pedang-pedang jahiliah’, bukannya pedang Islam!

Dalam ucapannya, Qaradhawi tidak lupa memberi semangat kepada rakyat Libya agar terus melakukan pemberontakan keatas pemerintahan Muammar Gadafi,  sambil menegaskan sesiapa yang terbunuh dalam pemberontakan itu sebagai ‘syahid di sisi tuhannya dan baginya kedudukan yang agung di syurga Firdaus’.

Sesiapa pun boleh bersetuju atau tidak dengan fatwa terbaru Qaradhawi ini.

Namun, mesejnya di sini ialah, Qaradhawi sesungguhnya telah memberi contoh peranan sebenar seorang ulama dalam masyarakat.

Peka. Semasa. Bergerak seiring dengan denyut nadi ummah. Proaktif. Berani. Lantang. Terkehadapan...

Sumber : http://www.aljazeera.net/nr/exeres/d3696091-53bc-4b97-ac40-deefbec1041b.htm

Thursday, February 17, 2011

Isu MEDIU : Tanggapi Wahabiyyah dengan adil

Kita diajar berlaku adil walau pun terhadap orang yang dibenci atau musuh.

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ ۚ ٱعْدِلُوا۟ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ
“Dan janganlah sampai kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih dekat kepada taqwa”. Surah al-Maidah, ayat 8.
Sesiapa yang mendalami pengajian akidah Islam, maklum bahawa aliran Wahabiyyah atau Salafiyyah, berbeza dengan jumhur umat Islam sejak dahulu hingga sekarang, dalam beberapa masalah berkaitan akidah.
Memang benar mereka mendakwa, bahawa pandangan mereka yang berbeza dengan jumhur umat Islam itu, adalah pandangan yang benar. Sementara pandangan jumhur umat Islam yang mewakili aliran Asya’irah, dalam beberapa masalah tadi, adalah bertentangan dengan pandangan sebenar Islam.
Dalam buku Fatawa al-Aqidah, tokoh besar Salafiyyah masa kini, al-Marhum Syaikh Uthaimin mengatakan,  pengikut aliran Asya’irah secara umumnya adalah Ahli Sunnah Wal Jama’ah.
Namun, dalam bab asma’ dan sifat (bab nama-nama dan sifat Allah), mereka bukan Ahli Sunnah. Demikian fatwa Syaikh Uthaimin rahimahullah. Maknanya, dalam bab asma’ dan sifat, aliran Asya’irah bukan Ahli Sunnah.
Oleh sebab itu, memang benar mereka menyekat penyebaran fahaman Asya’irah-yang berkaitan dengan beberapa perkara berkaitan akidah tadi-di Arab Saudi yang menjadi ‘maskas’ aliran Salafiyyah itu.
Lebih daripada itu, mereka turut menyekat pandangan yang berbeza dengan pegangan mereka, biar pun ia hanya sekadar berkaitan dengan hukum hakam fiqh. Seperti buku al-Halal Wa al-Haram, karangan ulama terkemuka zaman kini, Syaikh al-Qaradhawi.
Ia pernah diharamkan di Arab Saudi kerana banyak hukum hakam fiqh dalam buku tersebut, bercanggah dengan pegangan ulama-ulama di Arab Saudi. Seperti hukum mendengar nyanyian dan bermain alat muzik. Qaradhawi mengharuskannya. Sedang mereka mengharamkannya.
Tidak dapat dinafikan juga, bahawa di kalangan mereka ada yang mudah menyesatkan umat Islam lain yang berbeza pandangan dengan mereka, biarpun dalam perkara-perkara furuk (cabang) yang dibenarkan perselisihan berlaku.
Memang benar mereka berusaha menyebarkan pegangan mereka  yang berbeza dengan jumhur umat Islam itu ke negara-negara umat Islam yang lain.
Ringkasnya, pandangan mereka berhubung beberapa perkara berkaitan akidah, adalah berbeza dengan pandangan dan pegangan majoriti umat Islam sedunia, termasuklah umat Islam di Malaysia.
Justeru, sesiapa pun boleh bersetuju bahawa penyebaran ajaran Salafiyyah dalam masyarakat Islam di Malaysia, boleh mencetuskan ketegangan dan perbalahan. Tambahan pula, umat Islam di Malaysia telah menerima mazhab Asya’irah dalam soal akidah sejak zaman berzaman.
Bahkan, boleh dikatakan bahawa sejak orang Melayu memeluk Islam di zaman lampau, mereka tidak kenal aliran akidah yang lain melainkan aliran Asya’irah.
Ini adalah beberapa fakta yang dimaklumi oleh sesiapa saja yang mendalami pengajian akidah Islam dan mengikuti perkembangan pemikiran akidah umat Islam.
Bersikap adil terhadap Salafiyyah
Namun, semua ini tidak boleh menjadi alasan bagi sesiapa juga untuk tidak berlaku adil kepada aliran Salafiyyah ini.
Kesemua fakta yang dinyatakan tadi adalah benar. Namun, adalah bertentangan dengan prinsip keadilan, perbuatan menuduh aliran ini sebagai bertujuan mengkucar kacirkan umat Islam di negara ini melalui penubuhan sebuah universiti antarabangsa di sini.
Tuduhan ini memberikan gambaran bahawa pendokong aliran ini mempunyai niat jahat terhadap umat Islam di sini.
Tuduhan ini dibimbangi termasuk dalam kategori buruk sangka terhadap sesama Islam yang ditegah al-Quran.
Demikian juga tuduhan bahawa mereka hanya bertopengkan al-Quran dan Sunnah bagi tujuan menyebarkan fahaman Salafiyyah di negara ini.
Tuduhan-tuduhan ini sangat tidak wajar kerana ia bercanggah dengan kedudukan sebenar isu ‘penyebaran aliran Salafiyyah’ ini di Malaysia.
Realiti sebenar penyebaran Salafiyyah di Malaysia
Di atas andaian bahawa dakwaan mereka menyebarkan fahaman Salafiyyah di sini adalah benar, mereka sebenarnya hanya bertujuan menyampaikan dakwah Islam. Iaitu menyampaikan ajaran Islam yang mereka yakini betul melalui kefahaman mereka terhadap nas-nas al-Quran dan hadis.
Menyampaikan dakwah Islam. Bukan mengkucar kacirkan ummah!
Pada mereka, kefahaman akidah mereka yang berbeza dengan jumhur umat Islam itu (dalam beberapa perkara sahaja), adalah akidah yang benar. Akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w dan dipegang oleh para sahabat dan tabi’in. Lantas, menjadi tanggungjawab mereka menyebarkan akidah yang benar.
Inilah titik tolak usaha penyebaran ajaran Salafiyyah di negara. Melaksanakan tanggungjawab dakwah. Bukan merencanakan rancangan jahat yang bertopengkan al-Quran dan Sunnah!
Tapi malangnya, penyebaran akidah Salafiyyah di negara ini boleh mencetuskan ketegangan dan perbalahan yang tidak berkesudahan. Ini disebabkan aliran itu bertentangan dengan aliran Asya’irah yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini sejak zaman berzaman.
Selain itu, pendekatan mereka juga menimbulkan masalah. Secara umumnya, mereka biasanya tidak meraikan pandangan orang lain. Mereka dilihat beranggapan bahawa pandangan mereka sahaja yang betul. Ini mendorong sesetengah daripada mereka dengan begitu mudah menghukumkan sesat ke atas umat Islam yang berbeza pandangan dengan mereka.
Inilah kedudukan sebenar isu ‘penyebaran ajaran Wahabiyyah’ oleh sebuah universiti antarabangsa di sini. Iaitu usaha dakwah dengan niat murni, tetapi menimbulkan masalah disebabkan realiti semasa yang ada.
Itu sahaja. Inilah kata-kata yang tepat bagi menggambarkan kedudukan sebenar isu ini.

Jadi, tidak timbul soal universiti itu bertopengkan al-Quran dan Sunnah! Tidak berbangkit soal mengkucar kacirkan umat Islam di Malaysia seperti yang digembar gemburkan!

Inilah sikap yang perlu diambil berhubung isu ini kerana-disamping penjelasan di atas-prinsip Islam ialah bersangka baik terhadap saudara seagama yang menunjukkan penampilan yang baik dan tidak diragui.
Maka, sangatlah tepat komen yang diberikan oleh seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap soal-soal keagamaan-bila ditanya tentang penyebaran aliran Wahabi di Malaysia-yang mengatakan “Wahabi tidak sesuai di sini”.
Justeru, tidak perlulah bagi mana-mana pihak melancarkan ‘jihad’ melawan Wahabiyyah di Malaysia yang kini mula wujud dalam bentuk sebuah institusi pengajian tinggi di negara ini.
Tidak perlu juga dikerah umat Islam di negara ini bangkit mempertahankan akidah Asya’irah di bumi Asya’irah ini!
Keadaan sebenar yang berlaku tidak menuntut semua ini.
Apa yang perlu dilakukan
Apa yang perlu ialah kerajaan menjelaskan kepada universiti terbabit, pendiriannya yang tidak mahu disebarkan ajaran atau aliran lain yang berbeza dengan pegangan umat Islam di sini, demi menjaga keharmonian masyarakat.
Sementelahan pula, apa yang dipegang oleh umat Islam di negara ini adalah pegangan jumhur umat Islam seluruh dunia sejak zaman berzaman.
Kerajaan juga boleh mencadangkan kepada universiti antarabangsa terbabit, supaya memperkenalkan subjek Adab Ikhtilaf, atau adab berbeza pendapat.
Ini bagi mengelakkan para pelajar dididik dengan pendekatan keras yang hanya melihat pandangan yang mewakili aliran Salafiyyah sahaja yang betul, sementara yang lain adalah sesat atau bid’ah. Disamping mendidik mereka menghormati pandangan orang lain.

Jika perlu, kerajaan boleh bawa isu ini ke meja perbincangan yang sihat dan penuh ukhuwwah.
Ini adalah lebih baik dan lebih harmonis daripada apa yang dicadang atau diusahakan pihak-pihak tertentu.