Pages

Tuesday, May 10, 2011

Mubahalah membabitkan semua isu agama termasuk jenayah syariah

Beberapa kenyataan para ulama muktabar menunjukkan, mubahalah (sumpah laknat) membabitkan semua isu agama, termasuk isu jenayah syariah.
Ia bukan hanya terpakai dalam isu-isu berkaitan akidah sahaja, seperti yang dinyatakan sesetengah pihak.
Kenyataan yang paling jelas menunjukkan mubahalah boleh dilakukan dalam semua isu agama, ialah kenyataan Syaikh al-Dawani, atau nama penuhnya Muhammad Ibn As’ad al-Dawani.
Beliau yang wafat pada 918 Hijrah, merupakan ulama besar bermazhab Syafie.
Dalam Futuhat al-Ilahiyyah (jil.1, ms.326), beliau berkata :
إنها لا تجوز إلا في أمر مهم شرعا وقع فيه اشتباه وعناد لا يتيسر دفعه إلا بالمباهلة
Terjemahan : Sesungguhnya ia (yakni mubahalah) tidak harus [dilakukan] kecuali dalam perkara penting menurut [pandangan] syarak, yang berlaku kekeliruan   [tentangnya] dan [wujud] kedegilan [pihak terbabit menerima kebenaran       berhubung perkara itu], yang [mana kekeliruan dan kedegilan itu] tidak dapat diselesaikan melainkan dengan mubahalah”.
Mubahalah harus secara umum
Al-Dawani dengan jelas menyatakan, mubahalah boleh dilakukan dalam perkara yang penting pada pertimbangan syarak.
‘Perkara yang penting menurut [pandangan] syarak’, adalah kenyataan yang bersifat umum dan meliputi  ‘semua perkara penting pada penilaian syarak’. Bukan hanya khusus kepada isu akidah sahaja.
Para ulama lain yang memperkatakan tentang keharusan bermubahalah, juga menyebut keharusan melakukannya secara umum. Bukan hanya khusus dalam isu berkaitan akidah semata-mata.
Sebagai contoh, kenyataan al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari, jil.8, ms.95.
Ketika mengulas hadis berkenaan kes mubahalah antara Nabi s.a.w dan rombongan Kristian Najran, al-Hafiz berkata :
فيها مشروعية مباهلة المخالف إذا أصر بعد ظهور الحجة
Terjemahan :
“di dalamnya [yakni hadis yang dihuraikan, terdapat dalil yang menunjukkan] kesahan [dari sudut syarak] bermubahalah dengan mukhalif (yakni orang yang berbeza pandangan) apabila dia [tetap] berdegil [dengan pegangannya] setelah terserlah hujjah [bahawa pegangannya salah]”.
Kenyataan di atas menegaskan keharusan bermubahalah dengan mukhalif secara umum. Tidak pula dinyatakan bahawa ia hanya harus dilakukan bagi menghadapi mukhalif dalam isu berkaitan akidah sahaja.
Ini bermakna, ia boleh dilakukan bagi menghadapi mukhalif dalam apa jua isu berkaitan agama.
Senada dengan dua tokoh ini ialah Imam Ibnu Qayyim. Dalam kitabnya, Zadul Ma’ad, jil.3, ms.643, beliau mencatatkan :
إن السنة في مجادلة أهل الباطل إذا قامت عليهم حجة الله ، و لم يرجعوا ، بل أصروا على العناد ، أن يدعوهم إلى المباهلة ، و قد أمر الله سبحانه ، بذلك رسوله صلى الله عليه و سلم
Terjemahan :
“sesungguhnya sunnah (Nabi s.a.w) dalam perdebatan [dengan] ahli batil (individu atau golongan yang mendokong kebatilan), apabila tertegak ke atas mereka hujjah Allah [bahawa mereka dipihak yang salah], tetapi mereka tidak kembali [kepada kebenaran], bahkan bertegas untuk berdegil [dengan pegangan yang ternyata salah itu], ialah mengajak mereka bermubahalah”.
Kenyataan Ibnu Qayyim di atas bersifat umum. Iaitu mubahalah boleh dilakukan bagi menghadapi mana-mana ahli batil, yang tetap berdegil dengan pegangan mereka yang telah terbukti salah.
Melakukan mubahalah dalam keadaan ini adalah sunnah Nabi s.a.w, seperti yang dinyatakan Ibnu Qayyim.
Ibnu Qayyim tidak pula menyatakan bahawa mubahalah hanya khusus bagi menghadapi ahli batil dalam isu berkaitan akidah sahaja.
Oleh demikian, kenyataan para ulama yang mengharuskan mubahalah secara umum, tanpa dikhususkan kepada isu akidah semata-mata, mestilah dikekalkan dalam bentuknya yang umum.
Kecuali jika terdapat kenyataan yang mengkhususkan mubahalah hanya bagi isu-isu akidah semata-mata.
Ini bersesuaian dengan kaedah Usul Fiqh, “[lafaz] yang umum kekal di atas ‘keumuman’nya selama mana tiada [nas] yang mengkhususkannya”.
Mubahalah berhubung isu fekah
Kenyataan para ulama di atas sejajar dengan perlakuan para sahabat Nabi s.a.w. Para sahabat sendiri melihat mubahalah bukan hanya khusus bagi isu-isu akidah sahaja.
Buktinya ialah sikap mereka terhadap pelawaan Ibnu Abbas r.a untuk bermubahalah dengan sesiapa  yang menentang pendapat beliau berhubung kaedah pembahagian harta pusaka si mati yang meninggalkan suami, ibu dan 2 saudara kandung perempuan.
Pembahagian harta pusaka adalah isu fekah. Bukan isu akidah.
Pun begitu, para sahabat tidak membantah tindakan Ibnu Abbas yang mahu melakukan mubahalah dalam isu berkaitan fekah itu.
Mengambil sempena pelawaan mubahalah oleh Ibnu Abbas ini, si mati yang meninggalkan suami, ibu dan 2 saudara kandung perempuan, dikenali sebagai ‘kes mubahalah’.
Tindakan yang sama dilakukan oleh Imam al-Auza’ie yang mengajak Sufian al-Thauri bermubahalah berhubung isu mengangkat tangan dalam solat (rujuk Zadul Ma’ad karya Ibnu Qayyim, jil.3, ms.643).
Isu ini juga adalah isu fekah. Bukan isu akidah.
Ringkasnya, mubahalah bukan hanya khusus bagi isu akidah sahaja.
Sebenarnya, tiada dalil yang menunjukkan bahawa mubahalah hanya khusus bagi isu berkaitan akidah.
Tercetusnya isu mubahalah pada zaman Nabi s.a.w disebabkan isu akidah, tidak boleh menjadi dalil bahawa ia hanya boleh dilakukan dalam isu berkaitan akidah.
Seperti juga tidak boleh menjadikan keterlibatan penganut Kristian dalam kes mubahalah dengan Nabi s.a.w itu, sebagai dalil bahawa mubahalah hanya boleh dilakukan dengan orang-orang Kristian atau bukan Islam sahaja.
Intipati tulisan ini ialah ‘keharusan melakukan mubahalah dalam semua isu berkaitan agama, termasuk isu jenayah syariah’.
Fahami syarat dan tujuan mubahalah
Intipati ini boleh diterima dengan mudah oleh semua pihak-insyaAllah-jika difahami syarat keharusan melakukan mubahalah dan tujuan ia dilakukan.
Syaikh al-Dawani menyatakan dengan jelas, mubahalah hanya harus dilakukan selepas berlakunya proses perdebatan dan mematikan hujjah pihak lawan, serta ternyata kebenaran dalam sesuatu isu yang menjadi pertikaian. Tetapi, pihak lawan tersebut masih tetap berdegil dan enggan menerima kebenaran.
Beliau mengatakan (al-Futuhat al-Ilahiyyah, jil.1, ms.326) :
فيشترط كونها بعد إقامة الحجة، والسعي في إزالة الشبهة وتقديم النصح والإنذار، وعدم نفع ذلك، ومساس الضرورة إليها
Terjemahan :
           “disyaratkan ia (yakni mubahalah) [dilakukan] setelah penegakkan hujjah (iaitu mematikan hujjah pihak lawan) dan [setelah dilakukan] usaha menghapuskan syubhat (keraguan), mengemukakan nasihat dan amaran [kepada pihak yang enggan menerima kebenaran yang telah terbukti], dan [setelah] semua itu tidak memberi faedah [dan kesan kepada pihak yang tetap berdegil], serta [ada] keperluan melakukannya (mubahalah)”.
Ini berhubung syarat keharusan melakukan mubahalah.
Berkenaan tujuan mubahalah dilakukan, ia adalah bagi menghapuskan kekeliruan dan kedegilan pihak terbabit menerima kebenaran, yang tidak dapat dihapuskan melainkan dengan mubahalah.
Rujuk kenyataan al-Dawani yang menyatakan dengan jelas perkara ini di permulaan tulisan ini.
Tidak mustahil dalam kes jenayah syariah, boleh juga timbul kekeliruan yang tidak dapat diselesaikan oleh perbicaraan dan penghakiman di mahkamah syariah.
Juga tidak mustahil, dalam kes membabitkan jenayah syariah, wujud pihak yang tetap berdegil dan enggan menerima keputusan mahkamah. Jika hal ini berlaku, pertikaian tidak akan berkesudahan.
Oleh itu, jika keadaan ini berlaku, tiada pilihan lain melainkan mubahalah.
Memang benar, mubahalah tidak wujud dalam kes jenayah syariah. Iaitu ia tidak wujud sebagai salah satu kaedah perbicaraan dalam mahkamah.
Tapi ia wujud dalam bentuk ‘mekanisme menangani kekeliruan dan kedegilan’ pihak terbabit, yang tidak dapat diselesaikan oleh perundangan dan mahkamah.
Disamping itu, ketiadaan peruntukan mubahalah dalam kes jenayah syariah, tidak semestinya bermakna ia tidak boleh dilakukan dalam kes jenayah syariah tersebut.
Jika mahu diaplikasikan syarat keharusan melakukan mubahalah yang dinyatakan oleh al-Dawani tadi ke atas sumpah laknat berhubung isu video seks baru-baru ini, maka boleh dinyatakan bahawa mubahalah boleh dilakukan setelah isu video seks ini dimuktamadkan di semua peringkat mahkamah.
Namun, masih wujud pihak yang terbabit dalam isu ini, yang tetap berdegil tidak mahu menerima keputusan mahkamah.
Dalam keadaan ini, mubahalah boleh dilakukan jika ada keperluan, dan tiada cara lain bagi menghentikan pertikaian selain mubahalah.
Adalah jelas, mubahalah yang dilakukan dalam keadaan ini, selain tidak menimbulkan masalah, adalah satu keperluan.
Wallahu a’lam.

Tuesday, April 26, 2011

'Bertareqat' di jalan raya cegah kemalangan!

Berwirid dengan jumlah tertentu adalah amalan zaman berzaman.

Ia amalan para sahabat dan para ulama yang soleh sehingga hari ini.

Safiyyah r.a menceritakan :

دخل علي رسولُ الله صلى الله عليه وسلم وبين يدي أربعة آلاف نواة أسبح بهن فقال : "ما هذا يا بنتَ حيي؟" قلتُ : "أسبح بهن"، قال : "قد سبحتُ منذ قمتُ على رأسكِ أكثر من هذا"، قلتُ : "علمني يا رسولَ الله"، قال : "قولي : سبحان الله عددَ ما خَلَقَ من شيء".

Terjemahan : Rasulullah s.a.w telah masuk menemui ku dan di hadapan ku [terdapat] 4,000 biji kurma yang aku bertasbih dengannya.

Lantas Baginda s.a.w bertanya, "apakah ini wahai anak Huyai?". Aku menjawab, "[ini biji kurma yang] aku bertasbih dengannya".

Baginda s.a.w bersabda, "sesungguhnya aku telah bertasbih sejak aku berdiri di sini lebih banyak daripada [4,000 tasbih] ini".

Aku [pun] berkata, "ajarkanlah aku wahai Rasulullah".

Baginda bersabda, "katakanlah, Maha Suci Allah [sebanyak] bilangan segala sesuatu [yang] Dia cipta".

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi, al-Hakim dan al-Tabarani.

Ia dinilai sahih oleh Imam Sayuti (Lihat al-Hawi Li al-Fatawa (2000), cet. Darul Kutub al-Ilmiyyah, jld.2, hlm.3)

Hadis di atas menjelaskan bilangan tasbih yang dibaca oleh Safiyyah r.a, iaitu sebanyak 4,000 tasbih!

Turut dijelaskan, kelebihan bertasbih dengan lafaz :

سبحانَ اللهِ عَدَدَ ما خَلَقَ مِنْ شَيْءٍ

Abu Hurairah r.a pula memiliki seutas benang yang mempunyai 2,000 simpulan.

Beliau tidak akan tidur, sehinggalah menyelesaikan sebanyak 12,000 tasbih!

Hal ini diceritakan oleh Ikrimah (Lihat al-Hawi Li al-Fatawa, jld.2, hlm.4)

Ketika memperihalkan sejarah hidup Abu Darda' r.a, al-Hafiz Abdul Ghani dalam karyanya al-Kamal, mencatatkan bahawa beliau r.a bertasbih sebanyak 100,000 sehari!

Subhanallah!

Begitu juga dengan Khalid Ibn Ma'dan, seorang tabi'in. Beliau bertasbih sebanyak 40,000 sehari.

Ini tidak termasuk bacaan al-Quran yang beliau amalkan (Lihat al-Hawi Li al-Fatawa, jld.2, hlm.4-5)

Sesetengah ulama zaman sekarang diketahui mengamalkan wirid-wirid tertentu seperti Wahbah Zuhayli. 

Wirid amalan beliau ada dalam simpanan sesetengah blog ustaz tempatan.

Begitu juga dengan Bin Beh, ulama kelahiran Mauritania yang disifatkan sebagai tokoh yang menghimpunkan antara 'kesalafian' dan kesufian dalam peribadi dan amalan beliau, turut mengamalkan wirid tertentu.

Wasiat Imam Hasan al-Banna r.a

Tokoh ulama yang begitu ketara menekankan keperluan wirid bagi setiap muslim ialah Imam al-Mujaddid, Imam Hasan al-Banna r.a.

Beliau telah menyusun sejumlah zikir dan doa yang dipetik dari hadis-hadis Nabi s.a.w.

Susunan beliau itu terkenal dengan nama al-Ma'thurat. Ia dibahagikan kepada Wazifah Kubra dan Wazifah Sughra. Wazifah Sughra, bacaannnya lebih pendek.

Beliau mewasiatkan supaya jangan ditinggalkan bacaan al-Ma'thurat ini setiap pagi dan petang. Jika tidak berkesempatan membaca pada waktu petang, hendaklah dibaca pada waktu malam.

Andainya masa dan keadaan tidak mengizinkan, hendaklah dibaca Wazifah Sughra. Demikian wasiat beliau. 

Mengekalkan wirid setiap pagi dan petang, bukan perkara senang walaupun bagi orang yang pencen yang tidak ada kerja.

Apatah lagi orang yang bekerja di pejabat yang terikat dengan waktu dan peraturan. Apatah lagi para peniaga yang sentiasa perlu memberikan fokus kepada perniagaan dari pagi hingga ke petang.

Mengapa perlu berwirid?

Jawapan ringkasnya, kerana wirid adalah salah satu 'sayap' yang membolehkan seseorang hamba 'terbang' ke hadrat tuhannya! Satu lagi sayap ialah ilmu.

Penghuni bandar besar banyak masa untuk berwirid!

Masalah kesuntukan masa untuk berwirid bagi sesetengah orang yang bekerja, sebenarnya langsung tidak timbul.

Sebaliknya, mereka ‘diperuntukkan’ masa yang begitu cukup dan selesa untuk berwirid setiap pagi dan petang!

Bukan sahaja diperuntukkan masa, lebih dari itu, mereka 'dibebaskan' dari segala kesibukan dan sebarang kerja yang boleh menghalang mereka berwirid!

Bukankah setiap pagi dan petang, kita 'dipaksa' berkurung dalam kenderaan selama 30, 40, 50 minit atau 1 jam untuk ke tempat kerja dan pulang ke rumah?

Sepanjang tempoh itu, kita bebas secara terpaksa dari segala kesibukan lain selain memandu.

Malangnya, ramai yang mengsia-siakan tempoh 'berkurung' dalam kenderaan yang agak lama itu.

Ramai yang hanya membiarkan jiwa dan fikirannya bebas begitu sahaja, membiarkannya 'hinggap' pada mana-mana ‘dahan’.

Kadang-kadang ia 'hinggap' pada 'dahan' masa silam, sekali sekala ia 'singgah' di ranting kenangan, atau pun 'mendarat' di 'padang' realiti masa kini. Dan acap kali ia berlegar dalam ruang angan-angan! 

Sebenarnya, tempoh berkurung dalam kenderaan setiap pagi dan petang, adalah waktu yang sangat sesuai untuk berwirid.

Kita sebenarnya tidak perlu lagi bermujahadah untuk mengkhususkan satu waktu yang bebas dari tetamu, kerja dan kesibukan setiap pagi dan petang.

Lebih dari itu, kita disudutkan 'secara paksa' ke satu ruang waktu yang bebas dari segala urusan dan kesibukan.

Nah, gunakanlah waktu itu untuk mendekatkan diri kepada Allah dan 'terbang' kepadaNya dengan 'sayap' wirid dan zikir!

Keadaan ini sangat berbeza dengan orang yang bekerja di kampung.

Setelah pulang dari bendang atau ladang di waktu petang, mereka perlu bermujahadah untuk mengenepikan kemahuan berehat atau melayan tetamu atau anak-anak, jika mereka mahu berwirid selama 30 atau 40 minit.

Ternyata, ia bukan satu kerja mudah!

Berwirid mengelakkan kemalangan!

Dengan berzikir dan berwirid semasa memandu, hati menjadi tenang dan mantap.

Emosi 'tertambat' kemas pada 'tiang' rasional, sambil akal menguasai otak dan pemikiran.

Dalam keadaan ini, karenah pemandu dan onar yang pelbagai di jalan raya, tidak lagi sewenang-wenangnya mampu 'mengacah' emosi. Kesesakan di jalanan tidak dengan mudah menggelorakan jiwa dan perasaan. 

Yang lebih penting, wirid dan zikir di jalan raya, boleh membunuh rasa takbur dan megah yang 'menakluki' ramai pemandu.

Rasa takbur dan megah itulah yang mendorong mereka memandu melulu, memotong sesuka hati dan memecut laju.

Lebih ‘bertuah’, ialah pemandu bas ekspres.

Setiap hari, mereka 'ditolak' masuk ke dalam ruang waktu yang bebas dari kesibukan dan urusan, dalam tempoh yang lama.

Bukan sahaja berzikir dan berwirid, lebih dari itu, mereka boleh menghafal al-Quran!

Pakar-pakar tempatan telah lama menjelaskan, kemalangan jalan raya banyak berpunca dari sikap pemandu.

Namun, jarang dinyatakan cara mengubah sikap pemandu.

Sikap tidak boleh dibentuk hanya dengan undang-undang. Ia hanya boleh dibentuk dengan berkesan dengan kalam memuji tuhan.

Emmm...berwirid semasa memandu tidak akan menghilangkan tumpuan kita kepada pemanduan.

Cubalah sendiri!

Monday, April 18, 2011

[Seni Hidup] Berguru dengan kehidupan

Seorang lelaki pergi menemui seorang failasof (pendeta).

Tujuannya, mahu bertanya tentang suatu perkara yang membingungkannya.

Failasof bertanya, “tentang perkara apakah kamu mahu bertanya?”.

Si lelaki berkata, “alangkah banyaknya perkara yang menghairankan dalam diri manusia?”.

Failasof mengiyakan kata-katanya lantas menuturkan, “di kala masih kecil, manusia merasa bosan dengan dunia kanak-kanak, berlumba-lumba mahu menjadi dewasa.

Kemudian, setelah dewasa, rindu pula untuk kembali menjadi kanak-kanak...

Manusia mengorbankan kesihatannya demi menghimpun harta. Kemudian, mereka menghabiskan harta demi mengembalikan kesihatan yang telah di'korban'kan...

Mereka berfikir tentang masa depan dengan penuh rasa bimbang dan melupakan masa kini.

Justeru, mereka sebenarnya tidak hidup pada masa kini, tidak juga pada masa depan...

Mereka hidup seolah-olah mereka tidak akan mati dan mati seolah-olah tidak akan hidup kembali...”.

Failasof mendiamkan diri.

Suasana sunyi menyelubungi untuk beberapa detik.

Si lelaki bertanya, “apakah gerangannya pengajaran daripada kehidupan yang mesti dipelajari manusia?”.

Failasof melantunkan kata-kata memberikan jawapan, “mereka hendaklah mengerti, mereka tidak berupaya menjadikan seseorang mengasihi diri mereka. Apa yang mereka mampu, ialah menjadikan diri mereka dikasihi...

Mereka perlu belajar untuk tidak membandingkan diri mereka dengan orang lain...Mereka mesti belajar bertolak ansur dan cuba untuk memaafi...

Mereka mesti sedar, kadang-kadang mereka menyebabkan luka yang dalam ke atas orang yang mereka kasihi, hanya dalam beberapa detik.

Tetapi, kadang-kadang mereka memerlukan masa bertahun-tahun lamanya bagi mengubatinya...

Manusia yang paling kaya, bukannya orang yang paling banyak memiliki. Bahkan, mereka yang kaya ialah orang yang paling sedikit memerlukan...

Di sana, terdapat orang-orang yang sangat mereka kasihi. Tetapi, manusia tidak mempelajari cara mempamerkan perasaan kasih mereka...

Manusia perlu belajar, dua orang boleh melihat suatu perkara yang sama, tetapi melihatnya dalam bentuk yang berbeza...

Manusia perlu menyedari, tidak cukup mereka hanya memaafi orang lain. Sebaliknya, mereka juga mesti memaafi diri mereka sendiri.

Setelah butir-butir permata kata itu dilontar dengan lembut dan teratur, tiada kata yang mampu disusun oleh si lelaki selain berkata, “terima kasih tuan”.

Tuesday, April 12, 2011

[Motivasi] Kumpulkan 'bulu burung' atau pelihara lidahmu...

Seorang lelaki menengking seorang sahabatnya.

Akibat emosi yang menguasai diri, beliau menuduh sahabatnya itu dengan tuduhan yang pedih.

Sebaik tiba dirumah dan emosinya kembali tenang, dia mula berfikir.

“Bagaimana kata-kata tadi boleh keluar dari mulutku?”, fikirnya.

“Aku perlu meminta maaf daripada sahabatku”, getus hati kecilnya.

Tanpa berlengah, dia terus pergi menemui sahabatnya semula. Dalam keadaan yang sangat malu, dia berkata, “maaf. Kata-kata tadi telah keluar dari mulut ku secara spontan. Maafkan aku”, ujarnya dengan penuh perasaan.

Sahabatnya itu menerima permohonan maafnya tanpa banyak bicara.

Namun, jiwa si lelaki tadi masih belum tenang. Dia masih tidak dapat menerima hakikat bahawa kata-kata kesat tadi boleh ‘melantun’ dari mulutnya.

Dia lantas pergi menemui penghulu kampungnya bagi menenangkan gelojak jiwanya.

Sambil mengakui apa yang dilakukannya adalah salah, dia berkata, “tuan, saya mahu jiwa saya tenang. Saya masih tidak percaya bahawa kata-kata kesat itu boleh keluar dari mulut saya”, katanya.

Penghulu berkata kepadanya, “jika kamu mahu jiwa kamu tenang, isikan bekas anak panah kamu dengan bulu-bulu burung. Kemudian, lewatilah setiap rumah di kampung ini dan letakkan sehelai bulu burung di depan setiap rumah”.

Si lelaki melakukan sepenuhnya apa yang disarankan penghulu.

Setelah selesai melakukan apa yang disuruh, dia pergi menemui semula penghulu dengan girang sambil berkata, “saya telah buat apa yang tuan suruh”.

Penghulu berkata, “pergi sekali lagi, dan kumpul semua bulu-bulu tadi”.

Tanpa membantah, si lelaki terus beredar untuk mengumpul semula bulu-bulu burung yang telah diletakkannya di hadapan setiap rumah di kampungnya.

Malangnya, dia mendapati semua bulu burung tersebut telah diterbangkan angin kecuali beberapa helai sahaja.

Dia sangat sedih dan terus pergi menemui penghulu.  

Penghulu lantas menitipkan kepadanya satu pelajaran dengan berkata, “setiap perkataan yang kamu lafazkan, sama seperti sehelai bulu burung yang kamu letakkan di hadapan rumah sahabat kamu.

Alangkah mudahnya kamu melafazkannya, semudah meletakkan sehelai bulu burung di hadapan sebuah rumah.

Tetapi, alangkah sukarnya untuk kamu menarik balik perkataan kamu itu, sebagaimana sukarnya kamu mengumpul kembali bulu-bulu burung yang telah ditiup angin”.

Justeru, tiada pilihan bagi kita...

Samada menahan lidah, atau ‘mengumpul bulu-bulu burung’ yang telah ditiup angin...

Wednesday, April 6, 2011

Bolehkah asal usul poco-poco menjadi asas pengharaman?


Asal usul sesuatu budaya, bukan satu masalah bagi Islam.

Yang menjadi masalah, ialah kandungan budaya tersebut. Juga kedudukan sesuatu budaya itu sebagai identiti orang-orang bukan Islam.

Inilah 2 masalah bagi Islam yang terdapat dalam sesuatu budaya.

Sikap Nabi s.a.w terhadap budaya Jahiliah

Fakta ini dirumuskan daripada sikap Nabi s.a.w terhadap budaya Arab Jahiliah. Iaitu budaya para penyembah berhala.

Nabi s.a.w tidak menolak kesemua budaya Jahiliah. Ada budaya Jahiliah yang diterima Baginda s.a.w tanpa ditapis. Ada juga yang diterima selepas dimurnikan.

Budaya Jahiliah yang diterima tanpa ditapis, ialah budaya yang mewajibkan pihak pendakwa, mendatangkan bukti bagi menyokong dakwaannya.

Jika pendakwa tidak mampu membawa bukti, pihak tertuduh dimestikan bersumpah bagi menafikan dakwaan pendakwa.

Budaya ini diamalkan orang Arab sebelum kedatangan Islam lagi. Iaitu sejak zaman Jahiliah lagi.

Nabi s.a.w menerima budaya ini apabila bersabda :

البينة على المدعى واليمين على من أنكر
Terjemahan : "[Tugas mendatangkan] bukti [terletak] di atas [tanggungjawab] pendakwa dan [tugas melakukan] sumpah [terletak] di atas [tanggungjawab tertuduh] yang menafikan [tuduhan ]".

(Rujuk : Karim Zaydan (1998), al-Madkhal Li Dirasah al-Syariah al-Islamiyyah, cet.16, Beirut : Muassasah al-Risalah, ms.33. Rujuk ms.19-33 untuk melihat budaya-budaya Arab Jahilah yang diterima atau dimurnikan Islam)

Contoh budaya Jahiliah yang diterima selepas dimurnikan, ialah budaya "ana an-nazir al-'uryan".

Ia bermaksud, "aku pemberi amaran yang berbogel".

Menjadi kebiasaan Arab Jahiliah, apabila mahu menyampaikan sesuatu perkara penting, mereka akan naik ke tempat tinggi.

Kemudian mereka melafazkan kata-kata seruan, diikuti dengan menanggalkan baju bagi memperlihatkan kepentingan perkara yang mahu disampaikan.

Kaedah ini dikenali dengan kaedah "ana an-nazir al-'Uryan".

(Lihat : Muhammad Abu al-Fath al-Bayanuni (1995), al-Madkhal Ila 'Ilm al-Da'wah, cet.3, Beirut : Mu'assasah al-Risalah, ms.294)

Hadis berkenaan "ana an-nazir al-'Uryan" ini direkod Imam Bukhari dalam Sahihnya, dalam باب الانتهاء عن المعاصى  hadis bernombor 6482, dan Imam Muslim dalam Sahihnya, hadis bernombor 6094.

Kaedah ini turut digunakan Nabi s.a.w dalam dakwah Baginda, tetapi setelah memurnikannya. Iaitu dengan membuang unsur menanggalkan pakaian di khalayak ramai.

Penerimaan Nabi s.a.w terhadap beberapa budaya Jahiliah, samada secara terus atau setelah ditapis, memberi makna bahawa asal usul tidak Islam sesuatu budaya, tidak menjadi masalah bagi Islam.

Islam menerima sesuatu budaya, sekalipun berasal daripada para penyembah berhala, asalkan kandungannya tidak bercanggah dengan Islam.

Justeru, 'ketidakislaman' asal usul sesuatu budaya, tidak boleh dijadikan alasan untuk mengharamkan budaya tersebut.

Monday, April 4, 2011

Pengharaman poco-poco : Ambil kira realiti di Malaysia, bukan di Jamaica

Seperti dijangka, Jawatankuasa Fatwa Perak mengharamkan tarian poco-poco kerana ia merupakan ‘cara ibadat bukan Islam’.

Ini dinyatakan sendiri oleh Mufti Perak, Sohibus Samahah, Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau dipetik sebagai berkata, "saya kata haram sebab itu (tarian poco-poco) berasal dari cara ibadat bukan Islam, walau apa jua tujuan yang kita buat termasuk senaman, ia tetap haram". (Lihat : http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/poco-poco-mufti-perak-tidak-ganjak-majlis-fatwa-bincang-20-april/)

Secara prinsipnya, tata cara ibadat bukan Islam, memang tidak boleh dipraktikkan oleh umat Islam. Ini kerana, Islam menegah penganutnya menyerupai perlakuan yang khusus bagi bukan Islam.

Ia seperti pemakaian salib atau melambangkan salib dengan pergerakan tangan, seperti yang biasa dilakukan pemain bola sepak di barat, ketika masuk ke padang bagi menggantikan pemain lain.

Namun, untuk mengimplementasi prinsip 'tegahan menyerupai perlakuan khusus bukan Islam' ini ke atas tarian poco-poco, perlu diambil kira 2 perkara berikut :

Perkara pertama, sesuatu yang menjadi simbol atau pengamalan khusus bukan Islam, hanya ditegah bagi orang Islam, pada waktu ia merupakan simbol atau amalan khusus mereka (bukan Islam).

Dengan sebab itu, umat Islam pada masa ini, boleh melakukan sesuatu yang pernah menjadi simbol atau amalan khusus bukan Islam, jika pada masa sekarang, ia bukan lagi menjadi simbol dan amalan khusus mereka (bukan Islam).

Hal ini dinyatakan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar.

Beliau memetik kata-kata Anas bin Malik r.a yang berbunyi, "mereka seolah-olah orang-orang Yahudi Khaibar".

Kata-kata ini ditujukan kepada sekumpulan umat Islam yang memakai toylasan (pallium).

Toylasan adalah sejenis pakaian khusus orang-orang Yahudi pada masa lampau. Ia sebahagian daripada identiti bangsa itu pada masa silam.

Ambil kira sifat semasa tarian poco-poco

Al-Hafiz Ibnu Hajar bagaimana pun berkata, kata-kata Anas r.a ini boleh diterima ketika toylasan ini menjadi simbol dan amalan khusus orang-orang Yahudi.

Tetapi, menurut al-Hafiz Ibnu Hajar, selepas ia tidak lagi menjadi simbol khusus orang-orang Yahudi, pemakaian toylasan menjadi harus bagi umat Islam.(Rujuk Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah, jld.13, ms.3 dalam bab Tasyabbuh)

Justeru, sebelum mengharamkan tarian poco-poco di atas dasar ia "berasal dari cara ibadat bukan Islam", hendaklah dilihat sifat tarian ini di Malaysia pada masa ini.

Apakah tarian poco-poco yang diamalkan di sini hari ini, masih kekal di atas sifatnya sebagai "cara ibadat bukan Islam" yang hanya diamalkan oleh bukan Islam?

Atau, sifatnya itu telah hilang dan kini hanya merupakan satu senaman biasa yang dilakukan oleh semua penganut agama?

Sama seperti toylasan tadi.

Pada zaman Anas r.a, orang Islam yang memakainya dianggap menyerupai orang Yahudi. Ini kerana, ia pakaian yang menjadi identiti bangsa itu pada zaman beliau.

Tapi, sifat toylasan itu telah berubah selepas zaman Anas r.a. Ia tidak lagi menjadi identiti orang-orang Yahudi. Oleh sebab itu, Ibnu Hajar pada zamannya, mengharuskan umat Islam memakainya.

Jika dilihat realiti semasa tarian poco-poco di Malaysia, ia tidak lagi dikenali sebagai ‘upacara ibadat bukan Islam’. Sehinggakan tidak dikatakan orang yang mengamalkannya, sebagai penganut agama tertentu. 

Tidak seperti pemakaian serban Sikh sebagai contoh. Ia adalah identiti khusus penganut agama Sikh. Sehinggakan semua mengatakan, orang yang memakainya adalah penganut agama Sikh.

Jika mahu diambil kira sejarah asal usul sesuatu pengamalan tanpa melihat realiti sekarang, maka hari ini umat Islam sepatutnya ditegah menggunakan tahun Masehi.

Ini kerana, semasa umat Islam pada zaman kegemilangan menggunakan tahun Hijrah, tentunya penggunaan tahun Masehi menjadi pengamalan khusus penganut Kristian.

Tetapi, kini ia telah menjadi pengamalan global dan tidak lagi menjadi pengamalan khusus penganut Kristian sahaja.

Bahkan, jika diambil kira realiti masa lalu, umat Islam perlu menjauhi penggunaan nama Januari, Mac dan April (sebagai contoh) bagi merujuk bulan 1, 3 dan 4.

Ini kerana, Januari berasal daripada perkataan Janus yang bermaksud malaikat bermuka dua, penjaga gerbang Rom.

Mac pula berasal daripada perkataan Mars yang bermaksud Dewa Perang. Manakala asal perkataan April ialah Apru yang bermaksud Dewa Asmara bangsa Etruscan! (Rujuk :http://awalmula.com/sejarah-awal-mula-penanggalan-masehi-dan-hijriyah.html)

Tegasnya, yang perlu dijadikan asas dalam mengeluarkan fatwa, ialah sifat tarian poco-poco hari ini di sini, bukan asal usulnya di tempat lain.

Kesimpulannya, berasaskan kenyataan Ibnu Hajar berhubung pemakaian toylasan, boleh dirumuskan bahawa tarian poco-poco yang diamalkan di Malaysia hari ini, adalah harus.

Ia harus kerana dalam realiti semasa di Malaysia, sifat asalnya, iaitu 'upacara ibadat agama bukan Islam', telah hilang dan bertukar menjadi senaman biasa, serta diamalkan oleh semua penganut agama, termasuk orang-orang Islam.

Ringkasnya, ia sama dengan kes pemakaian toylasan yang dinyatakan tadi. Asalnya adalah pengamalan khusus orang-orang Yahudi. Tetapi telah hilang darinya sifat 'kekhususan bagi Yahudi' itu.

Lihat tarian poco-poco daripada perspektif semasa & setempat

Perkara kedua, dalam menentukan sesuatu perlakuan itu samada halal atau haram, yang sepatutnya diambil kira ialah realiti di tempat kita berada.

Agak memelikkan, tarian poco-poco yang diamalkan di Malaysia sebagai satu senaman, dan bukan identiti bukan Islam dalam realiti di sini, diharamkan berdasarkan realiti di Jamaica!

Sikap Imam Malik r.a terhadap pemakaian burnus boleh dijadikan panduan. Burnus ialah pakaian para rahib Kristian pada suatu masa dahulu.

Walau bagaimana pun, Imam Malik mengharuskan umat Islam pada zamannya memakai burnus, meskipun ia pakaian yang menjadi identiti rahib Kristian.

Imam Malik berhujjah dengan berkata, "ia (burnus) turut dipakai di sini (Madinah)". (Rujuk : Fathul Bari, jld.16, ms.345 dalam bab al-Baranis)

Sikap Imam Malik ini jelas menunjukkan bahawa yang diambil kira ialah realiti setempat, bukan realiti di tempat lain.

Walaupun burnus menjadi identiti rahib Kristian di tempat lain, tetapi tidak di Madinah pada zaman Imam Malik.

Di Madinah pada zaman itu, burnus adalah pakaian umum, bukan khusus bagi rahib Kristian sahaja. Di atas asas ini, Imam Malik mengharuskan umat Islam di Madinah waktu itu memakainya. 

Justeru, dalam menentukan status tarian poco-poco, samada halal atau haram, yang perlu diambil kira ialah realiti di Malaysia pada masa ini. Bukan realiti di Jamaica atau di negara-negara lain.

Realiti di Malaysia menunjukkan, tarian poco-poco turut dipraktikkan di sini oleh
masyarakat pelbagai agama dan kaum, bukan khusus bagi agama tertentu. Ia juga dilakukan sebagai satu senaman semata-mata, bukan sebagai upacara ibadat bukan Islam.

Realiti setempat inilah yang perlu diambil kira dalam menentukan status halal atau haram tarian ini, bukan realiti di negara lain.

Rumusan

Perbezaan pandangan berhubung status tarian poco-poco berpunca daripada perspektif pandangan yang berbeza.

Pihak yang mengatakannya harus, melihat isu tarian ini daripada perspektif semasa dan realiti masa kini.

Manakala yang bertegas mengharamkannya, melihat tarian ini daripada perspektif asal usulnya dan realiti di tempat lain.

Kupasan dalam artikel ini jelas menunjukkan, kaedah yang betul dalam menentukan halal atau haram tarian ini, ialah melihat isu ini melalui jendela realiti semasa dan setempat.

Jika demikian, persepakatan boleh dicapai berhubung isu ini, jika semua pihak diajak melihat isu ini daripada perspektif semasa dan realiti masa kini.

Monday, March 28, 2011

Tajdid agama : Antara golongan melampau & golongan jumud

“Bagaimana boleh diperbaharui agama Islam?
Bukankah Islam agama yang sempurna dan lengkap?
Agama terakhir diturunkan, agama umat manusia sehingga hari kiamat?”.
Persoalan ini mungkin berbangkit bila disebut tajdid (pembaharuan) atau memperbaharui agama.
Hakikat bahawa Islam akan diperbaharui dari semasa ke semasa, tidak dapat dinafikan.
Nabi s.a.w sendiri mengatakan, “sesungguhnya Allah akan mengutuskan bagi umat ini, pada setiap permulaan seratus tahun, seorang yang akan memperbaharui bagi mereka agama mereka”.
Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Hakim dengan isnad yang sahih.
Makna tajdid
Menjawab kemusykilan di atas, Syaikh Yusuf al-Qaradawi berkata, tajdid agama bermakna tajdid keimanan kita terhadapnya...
Tajdid kefahaman kita tentangnya...
Tajdid pengertian kita tentangnya...
Tajdid iltizam dan pengamalan kita dengan hukum hakamnya...
Dan tajdid dakwah kepadanya...
Tajdid sesuatu bukan bermakna kita memusnahkannya dan membina binaan baru ditempatnya. Ini bukan tajdid.
Tajdid sesuatu ialah kita mengekalkan sesuatu di atas keadaannya yang asal, mengembalikannya kepada ciri-cirinya yang asal.
Tetapi, dalam masa sama, kita membaiki apa yang reput, menguatkan bahagian-bahagian yang lemah.
Sebagaimana anda mahu tajdid masjid bersejarah atau istana bersejarah.
Tidak dapat tidak, anda mesti memelihara binaannya yang asal, ciri-cirinya yang asal, ‘ruh’nya dan bahan-bahannya yang asal sedaya mungkin.
Tapi, dalam masa sama, anda memperbaharui catnya yang luntur, memperkuatkan binaannya, memperelokkan laluan kepadanya...
Tajdid agama dengan makna ini, kata Qaradawi, sangat dialu-alukan oleh Islam.
Salah satu kelebihan agama kita  ialah ia tidak merasa resah dengan usaha tajdid. Bahkan agama kita ‘beriman’ dengan tajdid dan membuka kedua-dua belah lengannya kepada proses tajdid, samada tajdid agama ataupun tajdid  kehidupan manusia.
Inilah konsep sebenar tajdid, kata Qaradawi.
Golongan jumud
Orang yang tidak faham konsep tajdid ini, akan segera melenting bila disebut agama perlu diperbaharui.
Mereka merasa resah dengan ungkapan ini.
Sebab, tajdid agama bermakna memperbaharui agama. Jadi mereka membayangkan seolah-olah agama tidak sempurna, sehingga mahu diperbaharui, mahu ditajdidkan!
Padahal mereka tidak faham konsep sebenar tajdid seperti yang dihuraikan Qaradawi.
Mereka ini adalah orang yang jumud.
Orang yang mahu setiap yang lama, kekal dalam bentuknya yang lama.
Mereka tidak mengalu-alukan mana-mana ijtihad yang baru atau pemikiran baru.
Slogan atau kepercayaan mereka ialah ‘orang yang terdahulu tidak meninggalkan sesuatu pun kepada orang yang terkemudian’.
Orang-orang yang jumud, kata Qaradawi, melakukan perkara yang silap terhadap diri mereka dan agama mereka.
Al-Amir Syakib Arsalan berkata dalam bukunya, Limaza Ta’akhkhara al-Muslimun (Mengapa Umat Islam Mundur), “sesungguhnya, agama lenyap disebabkan orang yang engkar dan orang yang jumud.
Orang yang engkar akan menyesatkan manusia [daripada agama Islam] dengan sebab keingkarannya [terhadap agama], dan orang yang jumud akan menghalang manusia daripada agama dengan sebab kejumudan mereka”.
Golongan melampau
Di kalangan orang yang tidak faham konsep sebenar tajdid, ada pula yang bersikap semberono. Mereka berbeza sama sekali dengan orang yang resah dengan tajdid tadi.
Mereka ini sebaliknya sangat agresif melakukan tajdid agama. Hingga mahu dipinggirkan semua fekah Islam yang diasaskan ulama-ulama silam.
Mahu dihumban ke sungai kesemua mazhab. Kerana katanya, mahu tajdid agama, mahu kembali kepada al-Quran dan sunnah semata-mata!
Jika inilah makna tajdid, kita sebenarnya mahu mengsia-siakan perbendaharaan perundangan Islam yang melimpah. Yang dibina berkurun-kurun lamanya.
Kita mahu musnahkan semua itu dan bermula dari titik sifar dalam membina feqh Islami!
Anehnya, mujaddid (reformis) ‘jadian’ ini, bak kata Qaradawi, tidak dapat membaca dengan baik, meskipun satu halaman kitab usul feqh seperti al-Risalah karangan Imam Syafie, atau al-Burhan karangan Imam Haramain, atau al-Mustasfa karangan Imam al-Ghazali, atau al-Mahsul karangan al-Razi, atau al-Muwafaqat karangan al-Syatibi.
Ataupun kitab fekah seperti Bada’ik al-Sana’ik karangan al-Kasani, ataupun al-Zakhirah karangan al-Qurafi, ataupun al-Majmu’ karangan Imam Nawawi atau al-Mughni karangan Ibnu Qudamah!
Kata Qaradawi, orang-orang seperti ini kemudiannya berkata kepada kita, “campakkan ilmu fekah ini, ilmu fekah inilah yang menyebabkan kamu terkebelakang dan menjadikan kamu jumud”.
Qaradawi menyanggah dakwaan ini dengan mengajukan persoalan, “apakah dosa fekah jika individu seperti ini tidak mampu mengambil faedah daripadanya?
Apakah dosa fekah jika ummat ini tidak mampu mengambil faedah daripada perbendaharaannya dan menggunakannya dalam ijtihad baru mereka yang meraikan perubahan zaman, tempat dan manusia!?”.
Orang-orang seperti ini, kata Qaradawi, adalah mujaddid palsu yang disindir oleh sasterawan, Mustaffa Sadik al-Rafi’e yang berkata, “mereka mahu memperbaharui agama, bahasa, matahari dan bulan!”.
Sikap kita
Justeru apa sikap kita?
Kata Qaradawi, “kita menolak para pemusnah [perbendaharaan feqh Islami]. Kita juga menolak pendokong taqlid dan penjumudan yang mahu setiap yang lama kekal dalam bentuknya yang lama, dan tidak mengalu-alukan mana-mana ijtihad yang baru atau pemikiran baru”.
Kita bukan golongan jumud.
Kita juga bukan kumpulan pemusnah khazanah feqh islami.
Kita adalah kelompok yang berada di antara keduanya!