Pages

Tuesday, November 23, 2010

Lupa Apa Yang Dinazarkan! Apa Yang Harus Dilakukan?

"Seseorang bernazar untuk melakukan sesuatu, kemudian terlupa apa yang dinazarkan. Apakah yang harus dilakukan?".

Demikian satu soalan yang diajukan kepada saya oleh salah seorang rakan facebook.

Seperti biasa, saya akan mengemukakan jawapan berdasarkan Mazhab Syafie, mazhab rasmi umat Islam di Malaysia. Jika ada keperluan, saya akan nyatakan pandangan mazhab-mazhab lain.

Masalah terlupa apa yang dinazarkan, ada dibincangkan oleh salah seorang ulama dari Mazhab Syafie, iaitu Syaikh Khatib al-Syarbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj.

RIngkasan jawapan

Ringkasnya, pendapat yang ditarjihkan oleh beliau ialah pandangan yang mengatakan bahawa sesiapa yang terlupa apa yang dinazarkan, maka dia mesti berusaha menentukan apa yang dinazarkan.

Penentuan ini boleh dilakukan dengan cara mengingati semula apa yang dinazarkan, dengan merujuk kepada catatan jika ada, bertanya rakan-rakan dan sebagainya.

Setelah berusaha mengingatinya, maka hendaklah dilakukan apa yang diyakini, atau dirasakan dengan perasaan yang kuat bahawa itulah yang dinazarkannya sebelum ini.  

Teks

Rumusan ini disimpulkan daripada kenyataan Syaikh Khatib Syarbini dalam kitab yang dinyatakan. Beliau mencatatkan : (rujuk dalam Kitab al-Nazr dalam Mughni al-Muhtaj) :

 لو نذر شيئا إن شفى الله مريضه فشفي. ثم شك هل نذر صدقة أو عتقا أو صلاة أو صوما؟ قال البغوي في فتاويه : يحتمل أن يقال عليه الإتيان بجميعها كمن نسي صلاة من الخمس، ويحتمل أن يقال : يجتهد بخلاف الصلاة؛ لأنا تيقنا هناك وجوب الكل عليه فلا يسقط إلا باليقين، وهنا تيقنا أن الجميع لم يجب عليه إنما وجب شيء واحد، واشتبه فيجتهد كالأواني والقبلة ا هـ . وهذا أوجه.
Terjemahan : Jika [seseorang] menazarkan sesuatu [dengan mengatakan] jika Allah menyembuhkan [orangnya] yang sakit, lalu [orang tersebut] sembuh. Kemudian, dia [iaitu orang yang bernazar] ragu-ragu adakah dia bernazar [untuk] bersedekah, membebaskan [hamba], bersolat atau berpuasa.

Berkata al-Baghawi dalam fatwa-fatwa beliau, boleh dikatakan [bahawa menjadi kewajipan] ke atasnya melakukan kesemuanya [iaitu bersedekah, membebaskan hamba, bersolat dan berpuasa. Kedudukannya sama] seperti sesiapa yang terlupa [salah satu] solat lima [waktu tanpa dapat ditentukan solat tersebut samada zohor atau asar dan sebagainya].

Boleh [juga] dikatakan [bahawa dia mesti] berijtihad [dalam menentukan apa yang dinazarkannya], berbeza dengan [masalah] solat [lima waktu tadi]. Ini kerana di sana [iaitu dalam masalah terlupa salah satu solat lima waktu tanpa dapat ditentukan samada ia solat zohor atau asar dan sebagainya], kita yakin [akan] kewajipan semua [solat lima waktu] ke atasnya [iaitu orang yang terlupa salah satu solat lima waktu], maka tidak gugur [kewajipan satu solat lima waktu yang dia terlupa itu] melainkan dengan keyakinan [iaitu dengan melakukan kelima-lima solat lima waktu].

[Sedang] di sini [dalam masalah ragu-ragu apa yang dinazarkan] kita yakin bahawa semuanya [iaitu sedekah, membebaskan hamba, solat dan puasa] tidak wajib [ke atasnya], [yang] wajib [hanya] satu perkara [dari empat perkara tersebut] dan [dia] tidak pasti [apa yang dinazarkan]. Maka dia [mesti] berijtihad [dalam menentukan apa yang dinazarkannya [sama] seperti [kes ketidakpastian tentang kesucian] beberapa bekas dan [ketidakpastian arah] kiblat".[Pendapat] ini lebih bagus.

Sekian.

No comments:

Post a Comment