Pages

Friday, November 12, 2010

Mampukah Aliran Islam Mengemudi Malaysia?

Menurut Syaikh Qaradhawi dalam Masir al-Usuliyyah al-Islamiyyah, antara faktor kejayaan sesuatu gerakan Islam, ialah kemampuannya memenuhi keperluan semasa masyarakatnya.

Sebahagian daripada keperluan masyarakat itu, ialah menemui jawapan kepada persoalan-persoalan semasa yang membelit minda mereka. Antaranya, persoalan berkenaan kedudukan wanita dalam Islam, sikap Islam terhadap hiburan, pandangan Islam terhadap non muslim dan sebagainya.

Kejayaan gerakan Islam menjawab persoalan ini dengan jawapan yang konkrit dan meyakinkan, menjadi salah satu faktor kejayaannya. Kegagalannya berbuat demikian membawa makna sebaliknya.

Dalam konteks terkini Malaysia, persoalan besar yang mewarnai pentas perdana masa kini, antaranya isu pembuangan bayi dan 'cabang'nya, penubuhan Sekolah Harapan. Ia diikuti dengan isu kemalangan maut di jalan raya, terutamanya membabitkan bas ekspres.

Sebelum ini, isu gansterisme di kalangan kaum India memuncak seketika, selepas kes pembunuhan al-Marhumah Sosilawati. Sementara isu jenayah terus menghantui masyarakat Malaysia umumnya sehingga kini.

Ini adalah sebahagian daripada persoalan semasa yang ditagih jawapan penyelesaiannya oleh masyarakat.

Reaksi pihak yang mewakili aliran Islam terhadap persoalan terhangat masa kini, iaitu  pembuangan bayi, boleh dijadikan bahan ujikaji bagi melihat sejauh mana aliran Islam ini berkemampuan menjawab persoalan semasa masyarakat.  

Antara saranan yang dikemukakan bagi membendung gejala ini ialah mempermudahkan urusan perkahwinan. Antara kaedah 'mempermudahkan perkahwinan', ialah amalan 'nikah gantung'. Saranan ini dikemukakan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat.

Walau bagaimana pun, syor ini tidak mendapat sambutan. Sehingga kini, tidak ada tokoh agamawan atau ilmuan dan pemimpin PAS sendiri, yang meletakkan cadangan Pemuda PAS ini sebagai satu saranan yang praktikal dan efektif dalam membendung gejala pembuangan bayi.

Dengan sebab itu, seperti yang dilaporkan harakahdaily, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Mariah Mahmud meminta PAS mengemukakan cadangan yang lebih konstruktif dan holistik bagi membendung gejala pembuangan bayi. Ini perlu dilakukan kerana-menurut beliau-supaya PAS dilihat lebih layak memerintah Kerajaan Pusat.

Kenyataan ini dikeluarkan beliau selepas beberapa bulan Dewan Pemuda PAS mengemukakan syor yang dinyatakan.

Kenyataan Dr. Mariah ini memberi makna, cadangan yang dikemukakan oleh Pemuda PAS itu tidak memenuhi kriteria seperti yang dinyatakan.

Ia juga memberi pengertian, setakat ini PAS masih belum berjaya mengemukakan cadangan yang memperlihatkannya lebih layak memerintah Kerajaan Pusat berbanding parti-parti lain.

Jika diambil kira kenyataan Dr. Mariah di atas dan sikap dingin para pemimpin PAS serta kelompok agamawan dan ilmuan terhadap cadangan Pemuda PAS itu, boleh disimpulkan bahawa PAS masih belum berjaya mengemukakan jawapan penyelesaian yang konkrit terhadap isu pembuangan bayi ini.

Satu lagi isu besar masa kini ialah kemalangan maut di jalan raya membabitkan bas ekspres.
Malangnya, setakat ini, isu ini hanya mendapat satu 'sentuhan idea' yang boleh disifatkan sebagai baru dari pihak yang mewakili aliran Islam, iaitu ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Tantawi dalam blog beliau.

Pandangan dan saranan beliau itu, walau bagaimana pun-setakat ini-tidak disambut dengan ulasan atau komentar dari mana-mana pihak, termasuk ahli dan kepimpinan PAS sendiri.

Sekadar cadangan itu sahaja, sementelahan pula ia tidak disambut oleh mana-mana pihak, PAS belum dilihat berjaya mengemukakan saranan yang praktikal dan meyakinkan bagi menangani isu kemalangan maut ini. 

Sorotan ringkas terhadap reaksi aliran Islam terhadap persoalan semasa yang membelit minda masyarakat, menyimpulkan bahawa pendokong-pendokong aliran Islam bukan sahaja gagal mengemukakan jawapan penyelesaian yang tuntas kepada isu-isu semasa, bahkan lebih buruk, sesetengah isu dibiarkan begitu saja, tanpa sebarang komentar atau saranan. Atau diberikan cadangan yang tidak bertenaga dan berwibawa.

Ia seperti isu gansterisme di kalangan kaum India, yang muncul ketika pembunuhan Sosilawati baru-baru ini. Demikian juga dengan isu kemiskinan Melayu, gejala sosial dan sebagainya.

Bagi memperlihatkan aliran Islam lebih berkemampuan mengemudi Malaysia berbanding parti sedia ada dan parti-parti lain, aliran Islam perlu memberikan fokus kepada kegiatan pencetusan idea bermutu bagi menyelesaikan persoalan-persoalan semasa seperti yang disebutkan.

Sementelahan pula, bidang pencetusan idea ini dilihat terabai dalam gerak kerja aliran-aliran Islam.

Sudah sampai masanya, pandangan yang melihat-dengan sedar atau tanpa sedar-bahawa kehandalan 'melondeh' pihak penguasa, memadai bagi membentuk keyakinan rakyat akan kemampuan sesuatu parti atau aliran mengemudi negara, berbanding dengan pemerintah sedia ada atau parti-parti lain, dihentikan sama sekali!.

Keyakinan rakyat terhadap kemampuan sesuatu parti atau gerakan, bukan terletak pada kebijaksanaannya 'melondeh' pemerintah sedia ada, tetapi pada keupayaannya mengemukakan idea bermutu bagi menyelesaikan permasalahan mereka!

No comments:

Post a Comment