Pages

Friday, January 7, 2011

Masalah : Penyelesaiannya pada bertenang!

Banyak masalah yang datang, sebenarnya tidak serumit yang kita bayangkan. Masalah yang datang itu, penyelesaiannya sebenarnya mudah. Atau paling kurang, ada penyelesaiannya.

Tapi, ia menjadi rumit, bila kita cepat panik. Mudah melenting. Cepat melatah. Gagal mengawal perasaan. Akhirnya, fikiran menjadi buntu. Minda bercelaru. Penyelesaian gagal ditemu!

Kalau kita bertenang dan tarik nafas panjang-panjang bila dikunjungi masalah, fikiran kita akan bertemu dengan penyelesaian kepada masalah itu. Jika penyelesaian belum ditemui, kita boleh berbincang dengan orang yang mempunyai buah fikiran dengan tenang dan waras.

Kisah Lelaki Buta Dengan Kanak-kanak Nakal

Amati kisah ini, kisah seorang lelaki buta.

Setiap kali lelaki buta ini lalu di hadapan kanak-kanak, mereka akan mengekorinya sambil berkata beramai-ramai, "orang buta...orang buta...orang buta".

Si lelaki buta menjadi bingung. Bingung memikirkan cara menghentikan ejekan kanak-kanak nakal itu. Dia berfikir, apakah dia perlu memukul mereka, atau apa sebenarnya yang perlu dilakukannya.

"Jika aku pukul mereka, tentu mereka akan semakin galak mengejekku", bisik si buta.
Pada waktu itu, dia terfikir satu cara penyelesaian.

Dia berhenti berjalan lalu berkata kepada kanak-kanak yang mengejeknya, "terima kasih adik-adik semua. Pak Cik suka mendengar kata-kata adik-adik itu. Banyakkan lagi berkata begitu, nanti Pak Cik akan beri setiap orang 2 ringgit", ujar si lelaki buta.

Kanak-kanak itu apa lagi, mereka pun mengejek si lelaki buta itu dengan penuh semangat sebab hendakkan 2 ringgit yang dijanjikan. 

Sambil kanak-kanak itu mengejek-ngejeknya, si lelaki buta tadi memberikan setiap daripada mereka 2 ringgit seperti yang dijanjikan.

Pada hari yang lain, ketika lalu di hadapan kanak-kanak itu, si buta berkata kepada mereka, "lepas ini, Pak Cik tidak akan beri lagi kepada kamu 2 ringgit!". Kanak-kanak itu pun apa lagi, mereka berkata dengan sebulat suara, "kalau begitu, kami tidak akan ejek Pak Cik lagi selepas ini".

Sejak hari itu, si lelaki buta itu bebas berjalan di mana-mana tanpa ada lagi kanak-kanak yang mengejeknya.

Andai si buta tadi gagal mengawal emosinya bila diejek kanak-kanak nakal, pasti tongkatnya akan singgah di kepala mereka. Waktu itu, mereka bukan akan berhenti mengejek, sebaliknya makin ghairah mengejek.

Barangkali, inilah antara sebabnya kita diminta bersabar terutamanya ketika mula-mula ditimpa masalah.

Dengan bersabar, fikiran tidak bercelaru. Hati tidak berkecamuk. Jika demikian, penyelesaian mudah ditemui.







No comments:

Post a Comment