Pages

Thursday, January 6, 2011

‘UNIVERSITI RUMAHTANGGA’ GANTI KURSUS PERKAHWINAN!!

Oleh : Dr A'idh al-Qarniy

Kita perlukan sebuah Universiti Rumahtangga!. Universiti tempat di mana diajar seni interaksi antara suami dengan isterinya, antara isteri dengan suaminya. Tempat diajar subjek kehidupan rumahtangga dan kaedah hidup bersama.

Di Universiti Rumahtangga ini, semua ini akan diajar oleh tenaga-tenaga pengajar yang mempunyai pengalaman luas dan eksperimen yang panjang  tentang pergaulan yang baik. Tenaga pengajar yang mempunyai kepakaran dalam menyelesaikan masalah rumahtangga.

Di universiti ini juga, akan diadakan kursus-kursus bagi pemuda pemudi sebelum mereka berkahwin, supaya mereka mempelajari tentang kehidupan rumahtangga yang terpandu, berdasarkan petunjuk Islam dan eksperimen yang betul dan matang.

Jika ini menjadi kenyataan, di waktu itu, seseorang pemuda dan pemudi itu, tidak akan berkahwin, melainkan setelah mengetahui sepenuhnya cara-cara interaksi, bagaimana menghormati perasaan pasangan dan menunaikan hak-haknya.

Di waktu itu, berakhirlah kebanyakan masalah rumahtangga yang kita hadapi. Tamatlah tragedi sosial yang kita alami seperti perceraian, pemulauan, pertengkaran, pengabaian ke atas anak-anak, pendidikan anak-anak yang tidak sempurna dan sebagainya.

Pengurusan rumahtangga antara pemikiran Islam dan Barat

Saya ada membaca beberapa buku tulisan penulis barat berkenaan pengurusan rumahtangga. Saya dapati, banyak pemikirannya wujud dalam agama kita yang suci. Tetapi tidak dihidupkan di dalam kehidupan kita. Ia hanya wujud di dalam buku sahaja.

Maka, berlakulah dalam masyarakat kita keganasan sosial dan rumahtangga, penderaan dan kerengganan yang berakhir dengan perceraian, keruntuhan institusi kekeluargaan dan pengabaian terhadap anak-anak.

Sekadar memberi nasihat secara lisan kepada manusia, tidak memadai bagi memastikan mereka melaksana dan patuh kepada pemikiran-pemikiran yang bernas dan ilmu-ilmu yeng bermanfaat.

Bahkan, sepatutnya perlu ada latihan amali dan  pengamalan praktikal di lapangan, sama seperti kursus pidato, pengurusan dan perniagaan.

Dalam buku The Power Of Patience (Kekuatan Sabar), karangan M. J. Ryan, penulis menyebut, terdapat sekumpulan pelajar yang memiliki kadar kecerdikan yang pertengahan, melatih diri mereka bersabar. Dalam masa sama, terdapat sekumpulan pelajar yang pintar, yang tidak menerima latihan kesabaran diri.

Kemudian, kedua-dua kumpulan pelajar ini berkahwin. Didapati, peratusan perceraian di kalangan pelajar yang melatih diri mereka bersabar, begitu kecil. Adapun di kalangan pelajar pintar yang tidak melalui latihan kesabaran diri, peratusan perceraian di kalangan mereka meningkat kepada 50%!!.

Kita perlukan latihan-latihan praktikal kehidupan rumahtangga sebelum memasuki alam perkahwinan, supaya kita memasuki alam itu dalam keadaan penuh persediaan untuk berinteraksi dengan peristiwa-peristiwa mendatang di alam rumahtangga.

Hakikat sebenar perkahwinan

Perkahwinan bukanlah projek pembinaan villa. Bukan juga urusan membeli kenderaan. Tidak juga pekerjaan di ladang. Sesungguhnya, perkahwinan adalah soal kemanusiaan. Ia ibadat yang diperintahkan Tuhan.

Ia tugasan yang besar kerana di dalamnya terkandung proses pembinaan keluarga, pembinaan generasi dan pemakmuran dunia!.

Kedapatan anak-anak muda yang menceraikan isteri-isteri mereka, hanya disebabkan perkara-perkara yang remeh temeh. Kemudian, mereka menyesal dan rasa kesal.

Andai mereka mengerti selok belok kehidupan, mengerti seni interaksi dengan isteri, nescaya mereka tidak akan membuat keputusan yang buruk ini.

Kita mahukan daripada Universiti Rumahtangga yang kita cadangkan ini, supaya ia menghimpunkan nas-nas wahyu, eksperimen manusia sejagat dan ilmu-ilmu kemanusiaan berkaitan kehidupan rumahtangga.

Seterusnya para tenaga pengajar mengajarkannya kepada semua pelajar dan mengadakan peperiksaan.

Sesungguhnya, kehidupan rumahtangga tidak sesuai dilalui oleh orang yang kurang pengalaman, cetek ilmu dan kurang kematangan. Ini kerana, orang-orang seperti ini, sesetengahnya hidup di awangan dan khayalan.

Lantas, mereka meletakkan syarat yang mesti ada pada isterinya, apa yang tidak ada pada Fatimah anak Sa’id Ibn Musayyab, Sakinah anak al-Husain dan Zubaidah isteri Harun al-Rasyid!!.

Sedangkan orang yang meletakkan syarat seperti itu, anda dapati, dia lebih tolol daripada Habnaqah, lebih bakhil daripada Madir, lebih pengecut daripada Abi Hayyah al-Namiri, dan lebih hodoh daripada al-Jahiz!.

Aduhai, mengapa kita tidak mahu hidup bersama kemanusiaan dan realiti kita? Mengapa kita tidak mahu mengakui kesilapan kita dan memulakan langkah memperbaiki diri kita? Mengapa kita tidak mahu tahu, bahawa zakat bagi kambing-kambing yang berpenyakit kurap adalah dengan dikeluarkan seekor kambing yang juga berpenyakit kurap?.

Andai kita membuka Universiti Rumahtangga, kita akan dapat mengelakkan 70% daripada kes-kes perceraian yang sedang berlaku. Kita akan dapat menghindari banyak masalah rumahtangga. Kita akan dapat menutup ‘fail-fail’ maki hamun, keganasan rumahtangga, porak peranda dan hingar bingar dalam rumahtangga.

Kelak, kita akan berkunjung ke alam kehidupan berkeluarga dalam keadaan kita memiliki ilmu tentang rumahtangga, dalam keadaan memiliki latihan bagi menghadapi cabaran alam perkahwinan...dan dalam keadaan memiliki pengetahuan mendalam yang akan kita gunakan bagi menghadapi pelbagai peristiwa di alam perkahwinan.

Masalahnya, kita hanya belajar kemahiran memasak. Hanya belajar meluncur di atas salji. Kita juga belajar memburu arnab dan burung merpati. Juga belajar mengumpul setem dan surat menyurat. Tetapi kita tidak pernah belajar persoalan yang sangat besar yang namanya kehidupan rumahtangga!!.


No comments:

Post a Comment