Pages

Monday, February 14, 2011

'Jenayah' istilah 'tasawuf' & 'Perubatan Islam'

Al-Marhum Maulana An Nadawi
Dalam bukunya 'Rabbaniyyah La Rahbaniyyah', al-Marhum al-Allamah Maulana Ali An Nadawi ada memperkatakan tentang jenayah.

Jenayah yang diperkatakan beliau, bukan jenayah yang dilakukan manusia.Ia adalah berkenaan jenayah yang dilakukan oleh istilah!

Menurut An Nadawi, terdapat beberapa istilah yang diguna pakai oleh manusia, telah melakukan  'jenayah' ke atas banyak perkara.
Setiap perkara ada hakikatnya yang tersendiri.Tetapi, dengan sebab istilah yang diguna pakai bagi merujuk perkara tersebut, hakikat perkara itu menjadi kabur. Persepsi manusia terhadapnya menjadi buruk dan kelam.

Beliau mengambil contoh nasib yang menimpa disiplin ilmu Tasawuf.

Sejak sekian lama, umat Islam bertelagah tentang Tasawuf. Bagi yang menentang, mereka mempersoalkan tentang asal usul nama Tasawuf. Mereka berusaha bersungguh-sungguh membuktikan ia sebenarnya berasal daripada perkataan Yunani.

Atas alasan ini-disamping alasan-alasan yang lain-Tasawuf ditolak kerana asal usul namanya sahaja sudah menunjukkan ia lahir dalam persekitaran Yunani, bukan persekitaran Islam.

Tetapi menurut An Nadwi, jika dirujuk al-Quran dan Sunnah, kita akan dapati, kedua-duanya sangat menekankan soal pembersihan jiwa dan akhlak. Pembersihan jiwa dan akhlak pula adalah intipati kepada ajaran Tasawuf.

Ini bermakna, Tasawuf selaras dengan al-Quran dan Sunnah.Tetapi, mengapa umat Islam berterusan bertelagah tentang Tasawuf?

Jawapannya, menurut An Nadwi, ialah kerana istilah 'tasawuf' itu sendiri.

Jika diketepikan istilah ini, maka hakikat Tasawuf sebenar akan terserlah. Segala persepsi buruk tentangnya akan tersingkir dari cemin akal.

Yang nyata pada mata hati ialah sejumlah disiplin atau kaedah pembersihan jiwa dan akhlak yang disusun oleh para ulama rabbaniyyin

Justeru, bagi meleraikan pertelagahan ini, kita abaikan istilah 'Tasawuf'. Jangan digunakan istilah ini untuk merujuk kepada kaedah-kaedah  pembersihan jiwa dan akhlak tadi.
An Nadwi mencadangkan istilah 'Tasawuf' digugurkan dan diganti dengan istilah 'tazkiah', 'ihsan' atau 'Feqh Batin'.

Istilah mengambus hakikat sebenar!

Demikianlah besarnya pengaruh istilah dan peranannya dalam 'mengambus' hakikat sebenar sesuatu perkara.

Justeru, penggunaan istilah 'Perubatan Islam' yang digunakan hari ini bagi merujuk kepada kaedah rawatan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan doa, amat wajar diteliti semula.

Ini kerana, istilah ini boleh memberikan kefahaman bahawa perubatan moden yang tidak menggunakan ayat al-Quran dan doa, bukan perubatan Islam. Perubatan Islam hanyalah perubatan yang berteraskan ayat-ayat al-Quran dan doa sahaja!

Kefahaman ini sebenarnya sudah pun tumbuh dalam pemikiran sesetengah penulis agama di negara kita.

Tidak lama dulu, sebuah majalah berorientasikan Islam yang dipimpin oleh penulis kontroversi berasal dari negara jiran, telah pun mempersoalkan, "perubatan moden yang tidak menggunakan jampi ayat Quran dan doa, bukan perubatan Islam kah?".

Tidak mustahil, jika istilah ini digunakan dan diulang-ulang dalam tempoh yang lama, akan melekat dalam minda umat Islam, bahawa perubatan Islam itu hanyalah perubatan yang menggunakan ayat al-Quran dan doa. Selain itu, tidak dinamakan perubatan Islam.

Jika ini berlaku, kesan buruknya sangat besar. Potensinya untuk memudarkan keindahan Islam sangat  kuat.

Menamakan kaedah perubatan berasaskan doa dan jampi syar'ie sebagai perubatan Islam, sebenarnya suatu perkara pelik. Orang Arab sendiri tidak menamakannya perubatan Islam. Sebaliknya, mereka menamakannya al-'ilaj bi al-ruqyah al-syar'iyyah (rawatan menggunakan jampi syar'ie).

Ia pelik kerana kaedah perubatan moden hari ini sebenar telah dipraktikkan oleh ulama-ulama Islam sejak dahulu lagi. Bahkan merekalah yang mempelopori banyak kaedah perubatan moden pada hari ini.

Kedua, prinsip teras perubatan (bukannya etika) dalam mana-mana tamadun adalah sama. Dengan sebab itu, tidak boleh dibahagikan perubatan kepada perubatan Islam, perubatan komunis ataupun kapitalis. Tidak seperti kewangan yang boleh dipecahkan kepada kewangan Islam dan konvensional disebabkan wujud perbezaan antara kedua-dua sistem kewangan tersebut dari segi prinsip-prinsip teras mahu pun etika.
Justeru, demi mengelakkan istilah 'Perubatan Islam' ini melakukan 'jenayah' terhadap pemikiran umat Islam, adalah dicadangkan agar ia ditukar.

Untuk mencari istilah yang sesuai, Dewan Bahasa dan Putaka dan mereka yang berkepakaran boleh dijadikan rujukan.
  

No comments:

Post a Comment