Pages

Tuesday, February 8, 2011

Revolusi Mesir : Jabhah Ulama al-Azhar 'berlepas diri' daripada Syaikhul Azhar & Mufti Mesir!


Syaikh Dr. Ismail Yahya, Setia Usaha Agung Jabhah Ulama al-Azhar

Saya boleh dikatakan agak baru mengenali laman rasmi Jabhah Ulama al-Azhar atau Barisan Ulama al-Azhar yang beralamat di  http://www.jabhaonline.org/

Sepanjang 'berinteraksi' dengan laman itu, saya tidak mempunyai apa-apa 'persepsi peribadi' terhadap persatuan yang mewakili sebahagian besar para ulama al-Azhar itu.

Namun, selepas kematian Syaikhul Azhar yang lepas, Syaikh Muhammad Tantawi rahimahullah, saya mula mempunyai 'persepsi peribadi' terhadap ulama-ulama dalam pertubuhan itu.

Saya terkejut bila membaca kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Jabhah yang turut menyentuh peribadi almarhum SyaikhTantawi.

'Kegarangan' Jabhah Ulama al-Azhar!

Tajuk kenyataan itu sahaja sudah memberikan konatasi keras, tegas dan 'garang'.

'Sebelum kamu memohon ampun untuknya, kembalikan semua hak kepada empunyanya'!

Begitulah bunyinya tajuk kenyataan itu. Ia dikeluarkan bagi menolak sanjungan sesetengah pihak terhadap almarhum disebabkan pengebumian jasadnya di al-Baqi', perkuburan para sahabat Nabi s.a.w dan sesetengah Tabi'in. 

Di awal-awal kenyataan lagi, telah dinyatakan almarhum sebagai seorang pembohong!.

Bagi menidakkan anggapan bahawa pengebumian seseorang di al-Baqi' memberikan kelebihan kepadanya, kenyataan itu menjelaskan bahawa selain jasad para sahabat dan tabi'in yang mulia, al-Baqi' juga menjadi tempat persemadian manusia yang paling keji dan jelek, seperti Abdullah bin Ubay, ketua Munafiqin dan beberapa orang lagi tokoh kuffar.

Kenyataan Jabhah yang dikeluarkan pada 14 Mac 2010 itu, disudahi dengan 16 rekod buruk almarhum semasa hayatnya!. Rujuk : http://www.jabhaonline.org/index.php?option=com_content&view=article&id=284:2010-03-14-21-28-17&catid=27:2009-10-16-18-46-20&Itemid=65

Jabhah Ulama al-Azhar 'garang' dan 'keras'!. Itulah persepsi saya setelah membaca kenyataan yang dinyatakan.

Persepsi tersebut semakin kukuh apabila membaca sikap terbaru Jabhah terhadap Syaikhul Azhar, Dr. Ahmad Tayyib dan Mufti Mesir yang warak, al-Allamah Dr. Ali Jum'ah.

Berhati-hati dengan pengkhianatan dua syaikh!

"Berhati-hati dengan PENGKHIANATAN dua Syaikh!". Atau dalam Bahasa Arabnya, احذروا غدرة الشيخين

Begitulah tajuk salah satu kenyataan terbaru dalam laman rasmi Jabhah Ulama al-Azhar. Kenyataan ini berkaitan dengan Revolusi Mesir yang sedang meletus di bumi Kinanah itu. 

Yang dimaksudkan dengan 'dua syaikh' itu ialah Syaikhul Azhar dan al-Allamah Mufti Mesir.

Mengapa kedua-dua ulama ini disifatkan sebagai telah melakukan pengkhianatan?

Pada Jumaat 4 Feb. 2011 yang lepas, ketika penganjuran 'Jum'at al-Rahil' di Medan Tahrir atau 'Jumaat Pengunduran', yakni pengunduran Mubarak, Jabhah mendakwa-melalui sumber-sumbernya yang dipercayai-Kerajaan Mesir telah menghantar dua orang ulama berpengaruh ini ke Medan Tahrir yang sesak dengan para penunjuk perasaan.

Mereka berdua dihantar bagi memimpin solat Jumaat di medan tersebut. Tujuan Kerajaan Mesir berbuat demikian-menurut Jabhah-ialah memujuk para demonstran agar menerima jaminan mereka berdua bahawa apa yang dijanjikan Kerajaan Mesir akan dilaksanakan.

Hanya dengan tindakan ini, kedua-dua ulama ini disifatkan oleh Jabhah sebagai telah melakukan pengkhianatan!

Jabhah juga menganggap mereka berdua seperti 'kertas penjudi terakhir' yang dipergunakan oleh Kerajaan Mesir-yang disifatkan sebagai penjudi- untuk memperjudikan kemuliaan dan kehormatan rakyat Mesir!

Disamping itu, kedua-dua tokoh ulama itu juga-disebabkan tindakan mereka tersebut-dianggap oleh Jabhah sebagai telah 'memberikan kekurangan kepada agama mereka berdua'.

Jabhah juga tidak lupa untuk mengingatkan kedua-dua ulama tersebut dengan hadis Nabi s.a.w yang berbunyi : إن في جهنم رحى تطحن علماء السوء طحنا

Maksudnya : "Sesungguhnya di dalam neraka terdapat pengisar (yang akan benar-benar) dikisar (dengannya) ulama-ulama jahat".

Jabhah tidak mempeduli Syaikhul Azhar dan Mufti Mesir!

Ekoran kesanggupan kedua-dua ulama ini memenuhi permintaan Kerajaan Mesir mengetuai solat Jumaat di Medan Tahrir, maka para ulama al-Azhar dalam Jabhah Ulama al-Azhar telah mengambil sikap tegas dan keras!

Dalam kenyataan yang disiarkan pada 4 Feb. 2011 itu, mereka mengumumkan bahawa mereka 'berlepas diri' daripada Syaikhul Azhar dan al-allamah Mufti Mesir!

Lebih daripada itu, mereka 'mencabut' dan menyentap daripada kedua-duanya 'kemuliaan bercakap tentang Allah dan rasulNya!'. Rujuk : http://www.jabhaonline.org/index.php?option=com_content&view=article&id=573:2011-02-04-08-13-39&catid=28:2009-10-16-18-46-00

Tindakan ini diambil sehinggalah mereka berdua bertaubat dan memperbetulkan kedudukan mereka berdua.

Syaikhul Azhar-setakat hari ini-tidak pernah mengatakan demonstrasi besar-besaran di Mesir itu sebagai haram. Begitu juga dengan al-allamah Mufti Mesir. Beliau sebaliknya mencadangkan demonstrasi diadakan ditempat lain, bukannya di Medan Tahrir kerana boleh mengganggu perjalanan bandar Kaherah.

Namun begitu, mereka berdua tetap disifatkan dengan sikap yang buruk hanya kerana memenuhi permintaan Kerajaan Mesir mengetui solat Jumaat di Medan Tahrir!

Memang sikap Jabhah Ulama al-Azhar itu keras. Memang badan itu nampak 'garang' dan tegas. Namun, pastinya sikap tersebut ada asasnya yang diketahui oleh ulama-ulama dalam Jabhah dan ramai rakyat Mesir.

Demikian juga dengan persetujuan Syaikhul Azhar dan Mufti Mesir mengetuai solat Jumaat di Medan Tahrir, tentu ada perkiraan dan hujjah syar'ienya yang tersendiri.

Apa yang penting di sini ialah sokongan ulama-ulama al-Azhar yang bernaung di bawah Jabhah Ulama al-Azhar serta ulama-ulama lain terhadap kebangkitan rakyat Mesir membantah kezaliman regim Hosni Mubarak.

Sokongan ulama-ulama al-Azhar ini bukan 'main-main'. Ia sokongan yang serius dan tidak berbelah bahagi. Sehinggakan ulama yang hanya mengetuai solat Jumaat di Medan Tahrir kerana memenuhi permintaan Kerajaan Mesir-yang dilihat boleh mengendurkan kebangkitan rakyat Mesir-dianggap telah melakukan pengkhianatan dan tidak lagi dipedulikan! 

Getusan hati

Tiba-tiba hati saya berdetik, memang 'keras' dan tegas (sekurang-kurangnya pada pandangan saya) pandangan Jabhah. Namun, barangkali juga dengan sebab ketegasan para ulama al-Azhar inilah, al-Azhar terus gah hingga kini sebagai kiblat ilmu Islam di seluruh dunia Islam.

Barangkali, dengan ketegasan itu jugalah, kami-kami ini mengasihi, mengagumi dan menyakini keilmuan para ulama al-Azhar, biar pun kami tidak pernah bersimpuh menuntut ilmu di hadapan mereka atau mengutip ilmu di al-Azhar al-Syarif!

1 comment:

  1. 4 Julai 2013, tulisan ini berbaloi dibaca semula.

    ReplyDelete