Pages

Monday, February 7, 2011

Mufti Arab Saudi : Demonstrasi Mesir membangkitkan fitnah, ulama Saudi bantah!

Dalam khutbah Jumaat pada 4 Feb. 2011 yang lepas, Mufti Arab Saudi, Syaikh Abdul Aziz Al Syaikh menyifatkan demonstrasi berterusan di Mesir sebagai “membangkitkan fitnah antara rakyat dan pemerintah”.
Kenyataan beliau itu bagaimana pun mendapat reaksi kontra segera dari beberapa ulama Arab Saudi sendiri.
Selepas beberapa minit sahaja mufti itu menyifatkan demonstrasi Mesir sedemikian di dalam khutbahnya, pendakwah terkenal Arab Saudi, Syaikh Salman Audah tampil memuji mobiliti rakyat dan pemuda di Mesir melalui program mingguan beliau di internet.
Beliau juga memuji pemuda-pemuda Mesir yang turun terlebih dahulu ke jalan-jalan raya berdemonstrasi membantah regim Mubarak, mendahului parti-parti politik Mesir dan kumpulan elit negara itu. 
Senada dengan Syaikh Salman Audah, yang juga merupakan pembantu Setia Usaha Kesatuan Ulama Islam Sedunia, ialah Syaikh  ‘Iwadh al-Qarni, yang disifatkan sebagai pakar dalam bidang Usul Fiqh.
Syaikh al-Qarni mempertahankan demonstrasi rakyat Mesir dan menganggap mereka yang melakukannya sebagai “diberi pahala dan melakukan kebajikan dengan izin Allah, iaitu sesiapa yang menyertainya dengan niat yang baik”.
Beliau yang pernah dijatuhi hukuman penjara selama 5 tahun oleh Kerajaan Mesir di atas dakwaan terlibat dalam ‘Pergerakan Antarabangsa Ikhwan Muslimun’, menyandarkan pandangannya itu kepada “perlembagaan yang diamalkan oleh sebilangan negara-negara Arab, yang mengharuskan demonstrasi sebagai satu kaedah melahirkan pendapat dan bantahan secara aman”.
Syaikh al-Qarni menyambung, “demonstrasi aman di Mesir, seperti yang diakui dunia dan media-media masa sedunia, adalah demonstrasi yang mengelak daripada pertumpahan darah dan pencerobohan ke atas harta benda awam.
Ia juga diadakan bagi menyeru kepada penghapusan kezaliman dan orang-orang yang zalim, serta menyerahkan hak kepada yang berhak. Semua ini dilakukan sejajar dengan perlembagaan yang dimanterai antara pemerintah dan rakyat”.
Syaikh al-Qarni seterusnya menyimpulkan bahawa para pemuda Mesir yang menggerakkan demonstrasi itu sebenarnya ‘bangkit mewakili seluruh rakyat Mesir bagi menyekat orang yang zalim dan bodoh ini (Mubarak)”.
Logik akal
Sependapat dengan mereka ialah beberapa orang ulama negara teluk itu yang melahirkan sokongan mereka terhadap demonstrasi di Mesir melalui email yang tersebar luas dan menyifatkannya sebagai “sah dari segi syarak” di bawah “satu sistem politik kuku besi dan pemerintah zalim seperti Mubarak”.
Dalam perkembangan yang berkaitan, tersebar fatwa-fatwa yang mengharuskan demonstrasi selama mana undang-undang negara tersebut membenarkannya, dengan syarat tidak disertai dengan perkara yang ditegah oleh syarak seperti pertumpahan darah, pencerobohan ke atas harta benda dan percampuran antara lelaki dan wanita.
Apa yang dinyatakan oleh fatwa-fatwa tersebut adalah sangat logik kerana mustahil sesuatu yang dibenarkan oleh pemerintah melalui perlembagaan negara, disifatkan sebagai haram atau menimbulkan fitnah.
Selain para ulama, demonstrasi di Mesir turut mendapat sokongan daripada penulis-penulis Arab Saudi yang berlatar belakangkan pendidikan Islam.
Perkembangan di Arab Saudi ini memperlihatkan kewujudan ulama-ulama Arab Saudi yang dilihat ‘terkeluar’ daripada arus perdana pemikiran agama di negara yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja itu.
Sikap dan pendirian ulama-ulama Arab Saudi yang menyokong demonstrasi rakyat di Mesir adalah selari dengan pandangan majoriti ulama Islam di serata dunia seperti Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Jabhah Ulama al-Azhar (Barisan Ulama al-Azhar), Syaikh al-Qaradhawi, Dr. Raysuni, Dr. Jabir al-‘Ulwani dan lain-lain.
sumber : al-jazeera.net





No comments:

Post a Comment