Safiyyah r.a menceritakan :
دخل علي رسول الله صلى الله عليه وسلم وبين يدي أربعة آلاف نواة أسبح بهن فقال : ما هذا يا بنت حيي؟ قلت : أسبح بهن، قال :قد سبحت منذ قمت على رأسك أكثر من هذا، قلت : علمني يا رسول الله، قال : قولي سبحان الله عدد ما خلق من شيء
Terjemahan : Rasulullah s.a.w telah masuk menemui ku dan di hadapan ku [terdapat] 4000 biji kurma yang aku bertasbih dengannya. Maka Baginda s.a.w bertanya, "apakah ini wahai anak Huyai?". Aku menjawab, "[ini biji kurma yang] aku bertasbih dengannya".
Baginda s.a.w bersabda, "sesungguhnya aku telah bertasbih sejak aku berdiri di sini lebih banyak daripada [4000 tasbih] ini". Aku [pun] berkata, "ajarkanlah aku wahai Rasulullah". Baginda bersabda, "katakanlah, Maha Suci Allah [sebanyak] bilangan segala sesuatu [yang] Dia cipta".
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi, al-Hakim dan al-Tabarani. Ia dinilai sahih oleh Imam Sayuti (Lihat al-Hawi Li al-Fatawa (2000), cet. Darul Kutub al-Ilmiyyah, jld.2, hlm.3)
Hadis di atas menjelaskan bilangan tasbih yang dibaca oleh Safiyyah r.a, iaitu sebanyak 4000 tasbih! Turut dijelaskan, kelebihan tasbih dengan lafaz سبحان الله عدد ما خلق من شيء
Abu Hurairah r.a pula memiliki seutas benang yang mempunyai 2000 simpulan. Beliau tidak akan tidur, sehinggalah menyelesaikan sebanyak 12,000 tasbih! Hal ini diceritakan oleh Ikrimah (Lihat al-Hawi Li al-Fatawa, jld.2, hlm.4)
Ketika memperihalkan sejarah hidup Abu Darda' r.a, al-Hafiz Abdul Ghani dalam karyanya al-Kamal, mencatatkan bahawa beliau r.a bertasbih sebanyak 100,000 sehari!
Begitu juga dengan Khalid Ibn Ma'dan, seorang tabi'in, beliau bertasbih sebanyak 40,000 sehari. Ini tidak termasuk bacaan al-Quran yang beliau amalkan.(Lihat al-Hawi Li al-Fatawa, jld.2, hlm.4-5)
Sesetengah ulama zaman sekarang diketahui mengamalkan wirid-wirid tertentu seperti Wahbah Zuhayli. Wirid amalan beliau ada dalam simpanan sesetengah blog ustaz tempatan.
Begitu juga dengan Bin Beh, ulama kelahiran Mauritania yang disifatkan sebagai tokoh yang menghimpunkan antara 'kesalafian' dan kesufian dalam peribadi dan amalan beliau, turut mengamalkan wirid tertentu.
Wasiat Imam Hasan al-Banna r.a
Tokoh ulama yang begitu ketara menekankan keperluan wirid bagi setiap muslim ialah Imam al-Mujaddid, Imam Hasan al-Banna r.a. Beliau telah menyusun sejumlah zikir dan doa yang dipetik dari hadis-hadis Nabi s.a.w.
Susunan beliau itu terkenal dengan nama al-Ma'thurat yang dibahagikan kepada Wazifah Kubra dan Wazifah Sughra. Wazifah Sughra, bacaannnya lebih pendek.
Beliau mewasiatkan supaya jangan ditinggalkan bacaan al-Ma'thurat ini setiap pagi dan petang. Jika tidak berkesempatan membaca pada waktu petang, hendaklah dibaca pada waktu malam. Andainya masa dan keadaan tidak mengizinkan, hendaklah dibaca Wazifah Sughra. Demikian wasiat beliau.
Mengekalkan wirid setiap pagi dan petang, bukan perkara senang walaupun bagi orang yang pencen yang tidak ada kerja.
Apatah lagi orang yang bekerja di pejabat yang terikat dengan waktu dan peraturan. Apatah lagi para peniaga yang sentiasa perlu memberikan fokus kepada perniagaan dari pagi hingga ke petang.
Mengapa perlu berwirid? Jawapan ringkasnya, kerana wirid adalah salah satu 'sayap' yang membolehkan seseorang hamba 'terbang' ke hadrat tuhannya! Satu lagi sayap ialah ilmu.
Penghuni bandar besar banyak masa untuk berwirid!
Masalah kesuntukan masa untuk berwirid bagi sesetengah orang yang bekerja, sebenarnya langsung tidak timbul. Sebaliknya, mereka diperuntukkan masa yang begitu cukup dan selesa untuk berwirid setiap pagi dan petang!
Bukan sahaja diperuntukkan masa, lebih dari itu, mereka 'dibebaskan' dari segala kesibukan dan sebarang kerja yang boleh menghalang mereka berwirid!
Bukankah setiap pagi dan petang, kita 'dipaksa' berkurung dalam kenderaan selama 30, 40, 50 minit atau 1 jam untuk ke tempat kerja dan pulang ke rumah? Sepanjang tempoh itu, kita bebas secara terpaksa dari segala kesibukan lain selain memandu.
Justeru tempoh 'berkurung' dalam kenderaan agak lama, ramai yang hanya membiarkan fikirannya bebas begitu sahaja, membiarkannya 'hinggap' pada mana-mana dahan.
Kadang-kadang ia 'hinggap' pada 'dahan' masa silam, sekali sekala ia 'singgah' di ranting kenangan, atau pun 'mendarat' di 'padang' realiti masa kini. Dan acap kali ia berlegar dalam ruang angan-angan!
Sebenarnya, tempoh berkurung dalam kenderaan setiap pagi dan petang, adalah waktu yang sangat sesuai untuk berwirid. Kita sebenarnya tidak perlu lagi bermujahadah untuk mengkhususkan satu waktu yang bebas dari tetamu, kerja dan kesibukan setiap pagi dan petang.
Lebih dari itu, kita disudutkan 'secara paksa' ke satu ruang waktu yang bebas dari segala urusan dan kesibukan. Nah, gunakanlah waktu itu untuk mendekatkan diri kepada Allah dan 'terbang' kepadaNya dengan 'sayap' wirid dan zikir!
Keadaan ini sangat berbeza dengan orang yang bekerja di kampung. Setelah pulang dari bendang atau ladang di waktu petang, mereka perlu bermujahadah untuk mengenepikan kemahuan berehat atau melayan tetamu atau anak-anak, jika mereka mahu berwirid selama 30 atau 40 minit. Ternyata, ia bukan satu kerja yang mudah!
Berwirid mengelakkan kemalangan!
Dengan berzikir dan berwirid semasa memandu, hati menjadi tenang dan mantap. Emosi 'tertambat' kemas pada 'tiang' rasional, sambil akal menguasai otak dan pemikiran.
Dalam keadaan ini, karenah pemandu dan onar yang pelbagai di jalan raya, tidak lagi sewenang-wenangnya mampu 'mengacah' emosi. Kesesakan di jalanan tidak dengan mudah menggelorakan jiwa dan perasaan.
Yang lebih penting, wirid dan zikir di jalan raya, boleh membunuh rasa takbur dan megah yang menakluki ramai pemandu. Rasa takbur dan megah itulah yang mendorong mereka memandu melulu, memotong sesuka hati dan memecut laju.
Lebih bertuah, ialah pemandu bas ekspres. Setiap hari, mereka 'ditolak' masuk ke dalam ruang waktu yang bebas dari kesibukan dan urusan, dalam tempoh yang lama. Bukan sahaja berzikir dan berwirid, lebih dari itu, mereka boleh menghafal al-Quran!
Pakar-pakar tempatan telah lama menjelaskan, kemalangan jalan raya banyak berpunca dari sikap pemandu. Namun, jarang dinyatakan cara mengubah sikap pemandu.
Sikap tidak boleh dibentuk hanya dengan undang-undang. Ia hanya boleh dibentuk dengan kalam memuji tuhan.
Emmm...berwirid semasa memandu tidak akan menghilangkan tumpuan kita kepada pemanduan. Cubalah sendiri!
No comments:
Post a Comment