Pages

Thursday, October 21, 2010

Hukum Gabung Qurban & Akikah Dalam Satu Sembelihan

1. Permasalahan

Ada seorang lelaki baru mendapat anak. Sebagai tanda syukur, dia bercadang membuat akikah.

Kebetulan, anaknya lahir sebulan sebelum hari Raya Haji. Dalam masa sama, dia juga telah lama memasang niat untuk melakukan korban.

Bagi melunaskan hasratnya melakukan kedua-dua ibadat tersebut, dia telah menyembelih seekor lembu dengan dua niat sekaligus, iaitu niat korban dan akikah anaknya.

Persoalannya, menurut hukum syarak, adakah lembu yang disembelih itu dikira sebagai korban dan akikah sekaligus? Atau hanya dianggap sebagai korban sahaja?

Atau sekadar dikira sebagai akikah? Atau lebih malang, tidak dikira sebagai korban mahu pun akikah?

2. Rumusan

Jumhur (majoriti) ulama Mazhab Syafie berpandangan, seekor haiwan yang disembelih dengan niat korban dan akikah sekaligus, tidak dikira sebagai korban mahu pun akikah. Ia sebaliknya hanyalah sembelihan biasa.


3. Pendetailan

Syaikh Ibnu Hajar al-Haithami, dalam karyanya, Tuhfatul Muhtaj, menyatakan :

وظاهر كلام المتن والأصحاب أنه لو نوى بشاة الأضحية والعقيقة لم تحصل واحدة منهما

Terjemahan : "Zahir perkataan matan ini (iaitu matan kitab al-Minhaj karya Imam Nawawi r.a) dan rakan-rakan [kami para ulama Mazhab Syafie menunjukkan] bahawa jika [seseorang] meniatkan dengan seekor kambing [yang disembelihnya dua niat, iaitu melakukan] korban dan akikah, [maka] tidak terhasil [mana-mana] satu daripada kedua-dua [nya]".

Perhatian : Perkataan dalam [  ] adalah tambahan penulis bagi tujuan penjelasan.

Senada dengan Syaikh Ibnu Hajar ialah Ibnu Haj. Pengarang Hasyiah al-Bujairimi memetik dari Ibnu Haj sebagai berkata :

  قال : لا يحصلان ؛ لأن كلا منهما سنة مقصودة ، وهو وجيه

Terjemahan : "[Beliau] berkata, "keduanya (iaitu korban dan akikah yang digabungkan dalam satu sembelihan) tidak terhasil kerana setiap daripada kedua-dua [nya adalah amalan] sunat yang dimaksudkan", dan ia (pendapat Ibnu Haj) ada benarnya".

Dalil

Jumhur ulama Mazhab Syafie yang tidak mengharuskan penggabungan niat korban dan akikah dalam satu sembelihan, berdalilkan dengan beberapa dalil.

Dalil 1

Dalil yang paling jelas ialah 'ketidakbolehan' niat korban dan akikah 'menyerap' ke dalam satu sama lain. Atau 'ketidakbolehan' kedua-dua niat tersebut bergandingan dalam satu sembelihan.

Hal ini disebabkan oleh status kedua-dua ibadat tersebut, iaitu kedua-duanya berstatuskan maqsudah lizatih.

Maksud ibadat maqsudah lizatih ialah, ibadat yang dituntut kerana 'diri'nya sendiri. Ini bermakna, ibadat korban dituntut dengan tujuan menghasilkan satu ibadat yang dinamakan korban. Akikah dituntut bagi menghasilkan satu ibadat yang dinamakan akikah. Kedua-duanya tidak dituntut bagi mewujudkan perkara lain.

Lawan kepada ibadat maqsudah lizatih ialah ibadat maqsudah lighairih

Maqsudah lighairih ialah ibadat yang dituntut bagi menghasilkan perkara lain, bukannya bagi mewujudkan ibadat itu sendiri.

Contohnya, solat Tahiyyatul Masjid. Ia dituntut bukan bertujuan mewujudkan satu ibadat yang dinamakan solat Tahiyyatul Masjid itu sendiri. Sebaliknya, ia dituntut bagi menghormati masjid.

Dua ibadat maqsudah lizatihi tidak boleh 'menyerap' antara satu sama lain

Status korban dan akikah sebagai ibadat maqsudah lizatih, menuntut supaya satu sembelihan diniatkan dengan niat korban sahaja, atau dengan niat akikah semata-mata.

Dengan cara ini, barulah terhasil satu ibadat yang dinamakan korban atau akikah.

Oleh itu, jika disembelih seekor haiwan dengan niat korban dan akikah serentak, maka yang terhasil bukannya korban dan bukan juga akikah. Ia hanyalah sekadar sembelihan biasa.

Ibadat maqsudah lighair boleh menyerap ke dalam ibadat lain

Berbeza dengan ibadat maqsudah lighairih seperti solat Tahiyyatul Masjid. Ia dituntut bagi menghormati masjid, bukan bagi mewujudkan satu solat yang dinamakan Tahiyyatul Masjid. Dalam erti kata lain, ia merupakan wasilah atau alat bagi 'menghormati masjid'.

Ini bermakna, 'menghormati masjid' bukan hanya boleh dilakukan dengan solat Tahiyyatul Masjid. Ia juga boleh dilakukan dengan solat sunat qabliyyah atau  solat fardhu.

Oleh kerana sasaran sebenar dalam pensyariatan solat Tahiyyatul Masjid ialah 'melahirkan penghormatan kepada masjid', maka ia boleh diserapkan ke dalam solat sunat qabliyyah.

Tindakan ini dibolehkan kerana 'menghormati masjid' yang menjadi objektif pensyariatan solat Tahiyyatul Masjid, boleh dicapai meskipun dengan cara diserapkan solat Tahiyyatul Masjid ke dalam solat sunat qabliyyah.

Dengan lain perkataan, objektif 'menghormati masjid' tercapai walaupun tidak didirikan solat Tahiyyatul Masjid secara khusus.

Demikian juga dengan puasa 6 bulan Syawal. Ia dituntut bukan bagi tujuan mewujudkan satu ibadat yang dinamakan puasa 6.

Sebaliknya, ia disunatkan dengan tujuan 'mengimarahkan bulan Syawal dengan ibadat puasa'. Objektif ini bukan hanya boleh dicapai dengan melakukan puasa 6. Sebaliknya, ia juga boleh dicapai dengan puasa qadha.

Oleh demikian, puasa 6 boleh diserapkan ke dalam puasa qadha. Dalam erti kata lain, diharuskan berpuasa dengan niat qadha dan niat puasa 6 serentak.

Ini kerana, dengan penggabungan dua niat ini, objektif puasa 6 iaitu 'mengimarahkan bulan Syawal dengan ibadat berpuasa' telah tercapai, meskipun tidak dilakukan puasa 6 secara khusus.

Ini berbeza dengan korban dan akikah dimana objektif kedua-duanya ialah mewujudkan ibadat korban dan akikah itu sendiri.

Penolakan ke atas ulama yang mengharuskan penggabungan niat korban dan akikah

Dengan penjelasan ini, tertolaklah dalil ulama yang mengharuskan penggabungan niat korban dan akikah dalam satu sembelihan.

Mereka mengharuskannya kerana mengkiaskan penggabungan niat korban dan akikah dengan penggabungan niat solat Tahiyyatul Masjid dan solat sunat qabliyyah, dan niat puasa qadha dengan niat puasa 6.

Bagi mereka, jika penggabungan niat solat Tahiyyatul Masjid dengan niat solat sunat qabliyyah diharuskan, maka demikian juga penggabungan niat korban dan akikah dalam satu sembelihan, juga diharuskan.

Kias ini tertolak kerana tidak ada persamaan antara korban dan akikah dengan kes-kes yang diberikan. Korban dan akikah merupakan ibadat maqsudah lizatih, sementara kes-kes yang dikemukakan adalah sebaliknya.

Dalil 2

Dalil kedua yang menunjukkan 'ketidaksahan' penggabungan niat korban dan akikah ialah perbezaan objektif ibadat korban dan akikah.

Ketika menjelaskan perbezaan objektif kedua-dua ibadat ini, Syaikh Ibnu Hajar dalam kitabnya, Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra menyatakan :

الأضحية فداء عن النفس والعقيقة فداء عن الولد إذ بها نموه وصلاحه ورجاء بره وشفاعته

Terjemahan : "[Ibadat] korban [berobjektifkan] penebusan diri [orang yang melakukan korban] dan akikah [berobjektifkan] penebusan [diri] si anak, yana mana dengan [sebab] nya (akikah) [terhasil] pembesaran, kesejahteraan [si anak], pengharapan [ibu bapa akan] kebaikan dan syafaatnya".

Disebabkan korban dan akikah mempunyai objektif yang berlainan, maka kedua-duanya tidak boleh digabungkan dalam satu sembelihan.  

Jika digabungkan, sembelihan tersebut tidak akan mencapai dua objektif yang berlainan dalam masa yang sama.

Pengabungan itu juga menyebabkan kedua-dua objektif tadi terhapus dan tidak tercapai. Dengan sebab itu, sembelihan tersebut tidak dikira sebagai korban atau pun akikah.

Menjelaskan hal ini, Syaikh Ibnu Hajar menegaskan :

وبالقول بالتداخل يبطل المقصود من كل منهما

Terjemahan : "Dengan [memegang] pendapat [yang mengatakan korban dan akikah] saling menyerapi [antara satu sama lain, maka] terbatallah objektif setiap [salah satu] daripada kedua-duanya".

4. Ketidakharusan penggabungan antara korban dan akikah pendapat majoriti

Majoriti ulama Mazhab Syafie berpendapat, tidak harus digabungkan niat korban dan akikah dalam satu sembelihan. Kenyataan ini dirumuskan daripada kenyataan Syaikh Ibnu Hajar.

Beliau menegaskan, ketidakharusan ini difahami daripada kata-kata Imam Nawawi dan para ulama Mazhab Syafie yang lain.

Beliau juga menegaskan, pendapat inilah yang dipegang oleh para ulama Mazhab Syafie sejak bertahun-tahun lamanya.

Kesemua ini terkandung dalam kenyataan beliau dalam kitab Tuhfatul Muhtaj dan Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra.

Dalam kitab Tuhfatul Muhtaj beliau menyatakan :

وظاهر كلام المتن والأصحاب أنه لو نوى بشاة الأضحية والعقيقة لم تحصل واحدة منهما

Terjemahan : "Zahir perkataan matan ini (iaitu matan kitab al-Minhaj karya Imam Nawawi r.a) dan rakan-rakan [kami para ulama Mazhab Syafie menunjukkan] bahawa jika [seseorang] meniatkan dengan seekor kambing [yang disembelihnya dua niat iaitu melakukan] korban dan akikah, [maka] tidak terhasil [mana-mana] satu daripada kedua-dua [nya]".

Sementara dalam Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra beliau menegaskan :

 الذي دل عليه كلام الأصحاب وجرينا عليه منذ سنين أنه لا تداخل في ذلك لأن كلا من الأضحية والعقيقة سنة مقصودة لذاتها

Terjemahan : "Yang ditunjukkan oleh kata-kata rakan-rakan [kami para ulama Mazhab Syafie] dan [yang] kami [ulama Mazhab Syafie] pegang sejak bertahun-tahun [lamanya] bahawa tiada saling menyerap dalam soal ini kerana setiap daripada [amalan] korban dan akikah [merupakan amalan] sunat maqsudah lizatihi".

Sekian. والله أعلم بالصواب


No comments:

Post a Comment