Pages

Monday, October 4, 2010

‘Apa kaitannya denganku’ dan rahsia kejatuhan negara!

Zaman Sultan Sulaiman al-Qanuniy-menurut pendapat kebanyakan ahli sejarah-merupakan zaman keemasan Empayar Othmaniyyah.

Pada zaman baginda, jajahan takluk empayarnya semakin meluas. Banyak negeri dan bandar dibuka. Kemakmuran dan kemewahan merata ke segenap penjuru empayar.

 
Sultan Sulaiman al-Qanuniy (1495-1566M) menaiki takhta semasa berumur 26 tahun.
   Namun Sultan Sulaiman-melalui sorotan baginda ke atas sejarah mengetahui bahawa setiap negara yang kuat, tidak dapat tidak, pasti akan menjadi lemah.

Akan menular ke dalam binaannya faktor-faktor kelemahan dan keruntuhan. Ini kerana setiap bangsa mempunyai ajal masing-masing. Apakah perkara yang sama akan menimpa ke atas Empayar Othmaniyyah? Apakah di sana ada cara untuk lari daripada keruntuhan?

Persoalan ini menghantui fikiran Sultan Sulaiman selama beberapa hari. Setelah lama berfikir dan bingung dengan persoalan ini, baginda memutuskan untuk mengajukan persoalan ini kepada seorang ulama yang masyhur ketika itu, iaitu Yahya Afandi. Yahya Afandi juga merupakan saudara susuan baginda.

Tuan adalah seorang yang mengetahui banyak rahsia. Justeru, kami berharap dari tuan agar sudi memberitahu kepada kami, bilakah sesebuah negara itu akan runtuh. Dan apakah kesudahan Empayar Othmaniyyah ini?”.Demikianlah isi surat yang dihantar Sultan Sulaiman kepada Yahya Afandi.

Yahya Afandi segera menjawab soalan Sultan Sulaiman itu. Namun, jawapannya sangat ringkas dan memeningkan. Apa kaitan perkara ini denganku, wahai Tuanku al-Sultan?. Apa kaitannya denganku?”. Demikianlah jawapan Yahya Afandi.

Sultan Sulaiman sangat hairan dan pening dengan jawapan Yahya Afandi. Apakah dalam jawapan ini mengandungi makna tersirat yang baginda tidak fahami?. Baginda tiada jalan lain melainkan pergi menemui sendiri Yahya Afandi di tempat tinggalnya. 

Setibanya di sana, baginda mengajukan soalan yang sama seperti dalam surat yang dikirimkan, sambil menegur Yahya Afandi yang dilihatnya tidak serius menjawab soalan baginda.

Beta berharap dari tuan, wahai saudaraku, supaya menjawab soalan beta dan menganggap persoalan ini serius. Beta juga berharap agar tuan memberitahu apakah maksud tuan dengan jawapan yang tuan berikan itu”, titah Sultan Sulaiman kepada Yahya Afandi.

Wahai Tuanku, tatkala kezaliman dan kerosakan berleluasa dalam sesebuah negara, dan setiap orang yang melihat kezaliman dan kerosakan ini berkata, “apa kaitannya perkara ini denganku” kerana sibuk dengan hal diri masing-masing sahaja...

Apabila ‘pengembala’ membaham kambing yang dijaganya, sedang orang yang mengetahui dan mendengar hal ini mendiamkan diri...Apabila teriakan fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan mula meninggi ke langit dan tiada siapa yang mendengarnya selain pokok-pokok dan tanah...

Ketika itu terserlahlah tanda-tanda kejatuhan sesebuah negara, terhakislah rasa kesetiaan rakyat terhadapnya. Demikianlah kemalapan menjadi ketentuan yang tertulis ke atas sesebuah negara yang tiada jalan melarikan diri daripadanya”.

Begitulah jawapan Yahya Afandi kepada persoalan Sultan Sulaiman. Jawapan yang tegas, jelas dan kukuh.  

2 comments:

  1. Salam akhhi, tahniah di atas blog anta ni.

    Alhamdulillah, moga ia memberikan manfaat ilmu kepada kami para pembaca.

    dalam maksud kata-kata Yahya Afandi, jelas bahawa negara kita adalah menuju kejatuhan...sebab tanda-tandanya sudah muncul...

    ReplyDelete