Pages

Thursday, September 30, 2010

'Wang judi halal bila dicampur dengan dana lain' : Satu penilaian

Dalam Fiqh Islam, wang judi dan wang haram yang lain, TIDAK BOLEH diambil manfaat oleh individu atau pihak yang menghasilkan wang haram tersebut, samada untuk dirinya atau tanggungannya (al-Qaradhawi, Yusuf (1994), Fatawa Mu'asarah, cet.3, Darul Wafa' : Mansurah, jld.2, hlm.410). 

Haram ke atasnya menggunakan wang haram tersebut dalam segala bentuk.

Ini bermakna, wang haram tidak boleh digunakan bagi membeli minyak kereta, gas memasak, membayar cukai sekalipun cukai tersebut satu kezaliman, membina tandas dan lain-lain (al-Qaradhawi(1994), op.cit.,hlm.410).

Wang haram itu juga-menurut jumhur ulama-tidak dibuang atau dimusnahkan kerana kita dilarang melakukan pembaziran. Sebaliknya, ia disedekahkan kepada orang atau pihak yang berhak.

Dalil yang menunjukkan keharusan menyedekahkan harta haram, ialah perintah Rasulullah s.a.w supaya disedekahkan daging kambing panggang yang dihadiahkan kepada Baginda kepada tawanan perang.

Daging kambing tersebut diketahui haram oleh Baginda s.a.w sebelum Baginda menyentuhnya (Ittihaf al-Sadah al-Muttaqin (1989),Darul Kutub al-Ilmiyyah : Beirut jld.6, hlm.637).

Dalil lain ialah perintah Rasulullah s.a.w supaya Syaidina Abu Bakar r.a menyedekahkan wang hasil perjudian beliau dengan orang-orang kafir. 

Perjudian ini berlaku kerana bila turun ayat 1-3 surah al-Rum ( yang bermaksud : Orang Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya), orang-orang kafir memperolok-olokkan berita bahawa Rom akan menang.

Ini mendorong Syaidina Abu Bakar r.a bertaruh dengan mereka. Apabila terbukti Rom menang, Syaidina Abu Bakar r.a datang membawa wang pertaruhan kepada Rasulullah s.a.w.

Baginda menolaknya dan memerintahkan supaya ia disedekahkan. Selepas itu barulah turun ayat yang mengharamkan perjudian(Itihaf Sadah al-Muttaqin, jld.6, hlm.638-539)

Kesimpulan penting di sini ialah, keharusan menyedekahkan wang haram kepada pihak yang berhak, seperti orang miskin dan institusi umum, bermakna wang tersebut HALAL bagi mereka.

Adalah tidak logik, wang haram tersebut boleh atau harus disedekahkan kepada mereka, tetapi mereka tidak halal mengambilnya. 

Justeru, 'sifir'nya begini :

  • Jika wang haram boleh disedekahkan kepada mereka, bermakna ia halal bagi mereka.
  • Jika ia halal, maka mereka boleh mengambilnya terus sama seperti wang halal yang lain.
  • Jika demikian, TIDAK ADA SEBARANG KEPERLUAN wang haram tersebut dicampur dengan dana atau wang halal yang lain bagi menjadikannya halal. Ini kerana ia memang halal bagi mereka. Ia hanya HARAM bagi pihak yang menghasilknya.
Selain itu, dua dalil yang dinyatakan di atas, jelas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w memerintahkan supaya daging kambing panggang yang haram, disedekahkan kepada tawanan perang.

Nabi s.a.w tidak memerintahkan supaya dicari daging panggang lain yang halal, untuk dicampurkan dengan daging panggang yang haram itu,kemudian baru disedekahkan kepada tawanan perang.

Demikian juga dengan wang pertaruhan Syaidina Abu Bakar r.a dengan orang kafir. Nabi s.a.w tidak memerintahkan supaya ia dicampur dengan wang halal yang lain sebelum disedekahkan.

Sebaliknya Baginda mengarahkan ia disedekah terus tanpa dicampurkan dengan wang yang halal terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment