Pages

Tuesday, September 21, 2010

Haruskan tidak berbangga dengan bangsa?

'Berbangga dengan bangsa' mempunyai banyak makna dan bentuk. Ada bentuk yang baik. Ada juga bentuk yang dicela.

'Bangga dengan bangsa' yang diterima

'Berbangga dengan bangsa' dengan makna 'berbangga dengan jasa, sumbangan dan bakti generasi terdahulu', adalah sesuatu yang BAIK. Ini kerana, ia mampu membangkitkan semangat generasi masa kini mencontohi mereka dan melakukan perkara serupa. (Imam Hasan al-Banna (1990), Majmu'ah Rasail, Dar al-Dakwah : Iskandariah, ms.28).

Rumusan : Tidak berbangga dengan bangsa dengan makna ini, bermakna tidak berbangga dengan kebaikan dan jasa bakti bangsa sendiri. Sikap ini jelas tidak baik. Tidak ada orang yang waras yang tidak berbangga dengan kebaikan dan jasa bangsa mereka sendiri!

'Bangga dengan bangsa' yang palsu

Sementara 'bangga dengan bangsa' dengan makna bangsa sendiri secara semulajadi lebih tinggi daripada bangsa lain, ia adalah SANGKAAN dan PALSU semata-mata. Ini kerana tiada bangsa atau keturunan yang lebih tinggi daripada bangsa lain. Kesemuanya sama kerana semuanya berasal dari Adam a.s!

Rumusan : Tidak 'bangga dengan bangsa' dengan makna ini adalah tepat kerana memang tiada bangsa yang keturunan dan darahnya lebih mulia berbanding bangsa lain.

'Bangga dengan bangsa' yang dicela

Adapun 'berbangga dengan bangsa' sehingga mengetepikan ajaran Islam (seperti tindakan Kamal Atartuk menghapuskan azan dalam Bahasa Arab) dan bertindak menghidupkan tradisi-tradisi yang bertentangan dengan Islam, ia adalah 'berbangga dengan bangsa' yang DICELA. (Imam Hasan al-Banna (1990), op.cit., ms.29).

Demikian juga 'berbangga dengan bangsa' yang mendorong sikap memandang rendah dan hina terhadap kaum yang lain. Ia juga sesuatu yang dicela.

Kesimpulan

1. Justeru kerana 'bangga dengan bangsa' mempunyai banyak makna dan bentuk, sebelum menentukan sikap terhadap kenyataan 'tidak berbangga dengan keturunan Melayu', perlu dipastikan maksud kenyataan tersebut.

Jika kenyataan tersebut bermaksud 'tidak bangga dengan jasa dan sumbangan bangsa Melayu terdahulu', jelaslah ia kenyataan yang jauh tersasar.

Tapi, jika ia bermaksud tidak bangga dengan darah dan keturunan Melayu kerana darah dan keturunan semata-mata tiada nilai di sisi Allah, ia adalah kenyataan yang tepat.

2. Tidak dinafikan berbangga dengan Islam adalah lebih utama. Tapi ini tidak bermakna 'bangga dengan bangsa' dengan makna yang baik (seperti di atas), tidak dibolehkan.

3. Berbangga dengan Islam semata-mata adalah tradisi para salafussoleh. Di kalangan mereka ada yang mendendangkan :

لا تدعني إلا بيا عبدها         فإنه أشرف أسمائي

Terjemahan : Janganlah engkau memanggil ku melainkan dengan 'wahai hambaNya', sesungguhnya ia semulia-mulia namaku!

Di kalangan mereka, apabila ditanya tentang ayahnya samada dari qabilah Tamim atau Qais, mereka menjawab :

أبي الإسلام لا أب لي سواه        إذا افتخروا بقيس أو تميم

Terjemahan : Ayahku [adalah] Islam, tiada ayah bagiku selainnya, tatkala mereka bermegah-megah dengan Qais atau Tamim!

No comments:

Post a Comment