Pages

Friday, September 3, 2010

Bila hatimu asyik dengan tuhanmu, ilmu mengejutkanmu!

[posting percubaan]
Syaqiq al-Balkhi r.a adalah seorang sufi yang terkenal. Beliau seorang yang sangat zuhud. Meskipun demikian, beliau juga seorang peniaga.
Pada suatu hari, beliau bercadang pergi berniaga ke suatu tempat yang agak jauh. Sebelum bertolak, Syaqiq pergi menemui sahabatnya, Ibrahim Adham untuk mengucapkan selamat tinggal.

Beliau berbuat demikian kerana menjangka akan meninggalkan kampung halaman untuk tempoh yang agak lama. Selepas mengucapkan selamat tinggal, Syaqiq pun bertolak ke tempat yang hendak dituju.

Tidak berapa hari selepas itu, Syaqiq sudah kembali semula ke kampung halamannya. Ibrahim Adham merasa hairan kerana Syaqiq begitu lekas pulang, tidak seperti yang dijangkakan.

Ibrahim segera bertanya Syaqiq dengan penuh kehairanan, “Apa yang menyebabkan tuan lekas pulang?”. Syaqiq menjawab, “Semasa dalam perjalanan, aku melihat satu peristiwa yang ajaib, lalu aku terus mengambil keputusan pulang”. Kata Ibrahim, “Baiklah. Apa yang telah tuan lihat?

Jawab Syaqiq,“Aku singgah di suatu tempat yang sunyi sepi untuk berehat. Di situ, aku terlihat seekor burung yang patah sayapnya dan matanya buta. Aku merasa hairan. Aku berkata dalam hatiku “Bagaimana burung ini boleh hidup di tempat yang sunyi sepi sebegini, sedangkan ia tidak boleh bergerak dan tidak dapat melihat?”.

Syaqiq meneruskan ceritanya, “Tidak berapa lama selepas itu, datanglah seekor burung membawa makanan kepada burung tersebut beberapa kali dalam masa sehari, sehingga burung yang buta itu kenyang. Lantas hatiku pun berdetik “Sesungguhnya tuhan yang memberikan rezeki kepada burung ini, di tempat yang sunyi sepi sebegini, Maha Berkuasa memberi rezeki kepadaku. Aku pun terus pulang”, kata Syaqiq menjelaskan sebab mengapa beliau membatalkan niatnya untuk berniaga.

Sebaik mendengar cerita dan penjelasan Syaqiq, Ibrahim Adham berkata, “Ajaib sungguh tuan ini. Mengapa tuan merasa selesa menjadi seperti burung yang patah sayap dan buta, yang hidupnya bergantung kepada pertolongan orang lain?. Mengapa tuan tidak mahu menjadi seperti burung yang berdikari dan mampu menolong burung lain yang buta dan terlantar?. Tidakkah tuan tahu bahawa tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah?”.

Sebaik sahaja mendengar komentar Ibrahim itu, Syaqiq segera bangun lantas mencium tangan Ibrahim seraya berkata, “Tuan adalah guruku, wahai Abu Ishak”. Syaqiq akhirnya berniaga semula.

No comments:

Post a Comment