Pages

Tuesday, September 7, 2010

Doa untuk Lim: Bendung segera budaya 'tahrim'

Shah al-Maududy Ogos 26, 10 2:48pm


     Sebelum ini, beberapa tokoh ulama 'rasmi' dan 'tidak rasmi' tampil membantah apa yang dinamakan sebagai budaya tabdi'. Tabdi' bermaksud membidaahkan sesuatu atau menghukumkannya sebagai bidaah.
     Budaya tabdi' merujuk kepada kelantangan dan ketegasan sesetengah agamawan membid'ahkan beberapa amalan keagamaan umat Islam negara ini, yang sesetengahnya adalah perkara khilafiyyah sejak zaman berzaman.
     Namun, sedar atau tidak, kini nampaknya satu budaya baru mula bertunas yang boleh dinamakan 'budaya tahrim'. Tahrim bermaksud 'mengharamkan sesuatu'. Mengharamkan sesuatu berdasarkan dalil-dalil yang sahih bukan satu kesalahan.
     Yang salah ialah mengharamkannya secara tergesa-gesa tanpa berusaha bersungguh-sungguh mencari nas-nas yang berkaitan. Inilah yang dimaksudkan dengan 'budaya tahrim'.
     Bila ada orang Islam mendoakan keburukan kepada sesetengah individu Islam, yang dianggap melakukan kezaliman, sesetengah 'ulama rasmi' terus memfatwakannya sebagai haram. Ada juga yang menganggap perbuatan itu 'bertentangan dengan ayat al-Quran yang menegaskan umat Islam adalah bersaudara'!
     Yang jelas, fatwa ini dikeluarkan tanpa merujuk kepada nas-nas yang berkaitan dengan isu 'mendoakan keburukan kepada individu muslim'. Jika nas-nas tersebut dirujuk, saya yakin tiada seorang pun umat Islam, apatah lagi ulama yang tergamak mengharamkannya.
     Siapakah di kalangan umat Islam yang tulen, tergamak mengharamkan apa yang jelas dilakukan sendiri oleh Rasulullan s.a.w dan para sahabat serta diperakui keharusannya oleh para ulama?.
     Dalam Sahih Muslim, diceritakan perihal seorang lelaki yang makan dengan tangan kiri disamping Rasulullah s.a.w. Bila Rasulullah s.a.w mengarahkannya makan dengan tangan kanan, lelaki tersebut, kerana didorong oleh sifat takbur, mendakwa tidak mampu makan dengan tangan kanan.
     Lantas Rasulullah s.a.w bersabda “[kalau begitu] kamu tidak akan mampu [makan dengan tangan kanan]”. Setelah Baginda bersabda demikian, lelaki tersebut tidak lagi boleh mengangkat tangan kanannya ke mulutnya (lihat hadis no.5387 dalam Bab Adab al-Ta'am Wa al-Syarab Wa Ahkamuhuma).
     Semasa mengulas hadis ini, al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari mengatakan hadis ini menunjukkan keharusan mendoakan (keburukan) ke atas orang yang melanggar hukum syarak (lihat huraian al-Hafiz Ibn Hajar terhadap hadis no.4957 di bawah bab al-Tasmiah 'Ala al-Ta'am Wa al-Akl Bi al-Yamin dalam Sahih Bukhari).
     Perkara yang sama turut dilakukan oleh sahabat Nabi s.a.w, Sa'ad bin Abi Waqqas r.a yang mendoakan keburukan ke atas orang yang memburuk-burukkannya iaitu Usamah bin Qatadah. Sa'ad r.a berdoa kepada Allah supaya memanjangkan umur Qatadah dan memanjangkan kefakirannya serta mendedahkannya kepada fitnah(Hadis muttafaq 'alaih. Rujuk Riyadhus Solihin dalam bab Karamat al-Auliya' Wa Fadluhum).
     Lihat pula kenyataan Imam Nawawi dalam al-Azkar. Di bawah bab Jawaz Du'a al-Insan 'Ala Man Zalama al-Muslimin Au Zalamahu Wahdahu (Keharusan seseorang mendoakan (keburukan) ke atas orang-orang yang menzalimi orang-orang Islam atau menzalimi dirinya), beliau berkata, “sesungguhnya nas-nas al-Quran dan hadis serta amalan orang-orang terdahulu dan terkemudian (daripada) umat (Islam) ini, saling 'bekerjasama' dalam menunjukkan keharusannya (iaitu mendoakan keburukan ke atas orang-orang yang zalim)”.
      Di saat hadis-hadis Nabi begitu jelas, kenyataan para ulama begitu nyata yang mengharuskan doa seperti ini, tiba-tiba 'ulama rasmi' kita dengan ringan mulut mengatakan mendoakan keburukan ke atas orang Islam yang dianggap zalim adalah haram sama sekali. Menafikan hakikat bahawa umat Islam bersaudara!.
      Jika dilihat dalil-dalil dan kenyataan ulama yang jelas seperti di atas, kemudian dibandingkan dengan fatwa 'ulama rasmi' kita yang bercanggah dengan dalil-dalil dan kenyataan tadi, kita dapat menilai betapa seriusnya realiti yang ada. Ia serius kerana fatwa tersebut terang-terang bercanggah dengan nas dan kenyataan ulama-ulama muktabar.
      Begitu juga isu kalimah Allah. Meskipun al-Quran merakamkan 'penggunaan kalimah Allah' oleh bukan Islam tanpa membantahnya, ada 'ulama rasmi' yang sampai ke tahap menganggap orang yang menyokong bukan Islam negara ini menggunakan kalimah Allah sebagai 'tidak beriman'.
     Dalam surah Az-Zumar ayat 3, Allah merakamkan ucapan orang-orang kafir iaitu “kami tidak menyembah atau memujanya (sembahan selain Allah) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sedamping-dampingnya”. Adalah jelas mereka menggunakan kalimah Allah dan tidak dibantah oleh al-Quran. Sila rujuk sambungan ayat 3 surah ini untuk kepastian.
     Kita semua juga mengakui bahawa orang-orang Arab sejak zaman sebelum Islam menggunakan kalimah Allah. Bahkan surat Raja Mesir yang beragama Kristian, Muqauqis kepada Nabi s.a.w, dimulakan dengan bismillahirrahmanirrahim (Rujuk Sirah Ibn Hisyam, jld. 2, hlm. 359 dan Zadul Ma'ad karangan Ibn Qayyim, jld. 3, hlm. 61).
     Para ulama sejak dahulu tidak pernah melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam iaitu Ahli Kitab. Buktinya, bagi menjadikan sembelihan Ahli Kitab halal dimakan oleh orang Islam, para ulama mensyaratkan supaya Ahli Kitab menyebut nama Allah semasa menyembelih! (Rujuk tafsiran Imam Qurtubi terhadap ayat 5 surah al-Ma'idah dalam Tafsir al-Qurtubi).
     Di celah-celah lambakan fakta yang jelas sebegini, terbitlah fatwa bahawa orang Islam yang menyokong bukan Islam menggunakan kalimah Allah dianggap tidak beriman!. Kini timbul pula isu orang Islam mendoakan untuk bukan Islam. Sebenarnya, isu ini telah diselesaikan ulama sejak zaman silam lagi. Mereka menyatakan secara jelas hukumnya sehingga kita tidak perlu lagi berijtihad dan berselisih pendapat.
     Sebagai contoh, Imam Nawawi dalam kitab al-Azkar mengatakan “tidak harus didoakan untuknya (bukan Islam) keampunan dan yang seumpamanya…tetapi harus didoakan (untuknya) hidayat, kesihatan (tubuh) badan, kesejahteraan dan yang seumpamanya”.
     Imam Nawawi berdalilkan dengan peristiwa seorang Yahudi memberi minum kepada Nabi s.a.w setelah Baginda meminta demikian. Nabi s.a.w telah mendoakan untuk si Yahudi tadi dengan bersabda “semoga Allah mencantikkan kamu”. (Lihat al-Azkar dalam bab Ma Yaquluhu al-Muslim Lil al-Zimmi Iza Fa'ala Bihi Ma'rufan).
     Selain Imam Nawawi, beberapa orang ulama dari mazhab Syafie turut menyatakan dengan jelas keharusan mendoakan kebaikan duniawi kepada bukan Islam. Syeikh Ramli dalam Nihayatul Muhtaj dan Syeikh Ibn Hajar dalam Tuhfatul Muhtaj dengan jelas mengatakan “harus mendoakan kesihatan tubuh badan dan hidayat untuk orang kafir”(Lihat huraian tentang tasyahhud dalam kedua-dua kitab yang dinyatakan).
     Di tengah-tengah kejelasan fatwa ulama muktabar Mazhab Syafie yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini, secara tidak semena-mena sesetengah pihak memfatwakan “haram mendoakan kesejahteraan untuk bukan islam”!.
     Kita tidak tahu apakah fatwa ulama-ulama muktabar ini telah dirujuk sebelum fatwa haram tersebut dikeluarkan. Jika ia telah dirujuk oleh pihak terbabit, kita tidak pernah faham dan tahu atas alasan apakah mereka tetap mengharamkan doa orang Islam kepada bukan Islam.
      Semua ini mendorong kepada pembentukan satu kesimpulan iaitu “budaya tahrim sudah mula bertunas”!
     Persoalan yang penting di sini ialah, apakah punca kepada kewujudan budaya 'tahrim' ini. Penulis tidak melihat ia berpunca daripada kepentingan politik atau kepentingan peribadi. Ini kerana, pihak-pihak yang terbabit dalam budaya 'tahrim' ini dipercayai keikhlasan dan pekerti mereka dan telah terbukti berani mengeluarkan pandangan meskipun bertentangan dengan kehendak pemerintah.
     Bagi menjawab persoalan ini, cukuplah sekadar penulis bertanya “apakah sudah sampai masanya kesarjanaan dijadikan syarat utama bagi menjadi 'ulama rasmi', dan apakah sudah sampai masanya calon-calon 'ulama rasmi' dicadangkan oleh satu lembaga ulama untuk dipilih oleh pemerintah?.
     Kepada pihak berkuasa, ingatlah, jika 'budaya tahrim' ini terus berlaku dalam institusi 'ulama rasmi', institusi ini akan hilang kredibilitinya dan tidak lagi menjadi rujukan umat Islam negara ini!.

sumber : http://www.malaysiakini.com/letters/141159
 





No comments:

Post a Comment