Pages

Friday, September 17, 2010

AGAMA & PEMELIHARAAN SPESIS HAIWAN DARIPADA KEPUPUSAN

Di dunia hari ini, gerakan memelihara spesis haiwan tertentu daripada kepupusan, bermula di Barat. Dari sana, ia menular termasuklah ke Malaysia.

Soal 'pemeliharaan spesis haiwan tertentu daripada pupus' menjadi urusan dan 'kerja' orang Barat. Menjadi urusan pihak-pihak yang dilantik kerajaan seperti Perhilitan. Ia bukan soal agama. Bukan 'urusan' atau perkara yang dititikberatkan orang agama. Atau paling kurang disebut oleh mereka. Inilah realiti hari ini.

Namun, realiti ini tidak bermakna, pemikiran tentang 'pemeliharaan spesis haiwan tertentu daripada kepupusan' tidak ada dalam khazanah Islam.

Dalam satu hadis, Nabi s.a.w bersabda, “Jika tidak [kerana spesis] anjing [adalah] salah satu umat daripada umat-umat [yang ada di dunia], nescaya aku telah perintahkan ia dibunuh, [tetapi oleh kerana ia juga salah satu umat yang wujud di dunia ini] maka bunuhlah [anjing] hitam yang tiada belang padanya(hitam sepenuhnya)”.

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasa’ie, Ibnu Majah dan At Tirmizi. At Tirmizi menghukumkannya hasan. Al-Albani pula memasukkannya ke dalam himpunan hadis-hadis sahih, al-Jami’ al-Soghir.

Hadis ini jelas mengiktiraf spesis anjing sebagai salah satu umat yang wujud di muka bumi. Hadis ini merujuk kepada realiti hidupan dunia yang disebut al-Quran dalam surah al-An’am (ayat 38). Ayat ini bermaksud, “Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu”.

Realitinya hidupan di dunia ini seperti manusia juga. Setiap spesis merupakan entiti dan kelompok tersendiri. Seperti setiap bangsa atau keturunan adalah umat atau entiti yang tersendiri.

Di atas asas spesis anjing adalah salah satu umat (satu entiti tersendiri) yang wujud, maka tidak wajar ia pupus, atau dihapuskan spesisnya. Bertitik tolak daripada hakikat inilah, Nabi s.a.w hanya meminta dibunuh anjing yang memudharatkan manusia.

Antara anjing yang memudharatkan manusia ialah yang seluruh tubuhnya berwarna hitam. Ada yang mengatakan, anjing sebegini adalah anjing yang sangat jahat dan sangat suka menggigit.

Inilah falsafah Islam disebalik pemeliharaan spesis haiwan tertentu daripada kepupusan, iaitu ia adalah salah satu umat yang wujud di muka bumi.

Pemikiran tentang perlunya dikekalkan spesis haiwan daripada kepupusan telah difahami oleh ulama Islam sejak dahulu lagi. Antara mereka ialah Imam al-Khattabi(meninggal 388H).

Ketika menghuraikan hadis di atas di dalam kitabnya Ma’alim Fi al-Sunan, beliau berkata, “maknanya, Baginda s.a.w tidak menyukai [perbuatan] melenyapkan mana-mana umat (entiti) dan [perbuatan] menghapuskan mana-mana generasi [sesuatu] makhluk...kerana tidak ada mana-mana makhluk Allah melainkan [ada] padanya hikmat dan faedah tertentu”(Jilid 4, hlm. 132-133)

Jelas sekali, idea pemeliharaan spesis haiwan disebut sejak dahulukala lagi. Kitab Ma’alim Fi al-Sunan bukanlah kitab yang asing bagi golongan agamawan. Tetapi, pemikiran ini terpendam begitu sahaja. Tiada orang yang mengambil dan menyebarkannya.

Di sini, fahamlah kita, punca umat Islam ketinggalan dalam bidang pengasasan idea-idea terkini dan segar. Puncanya bukan kerana kekeringan perbendaharaan pemikiran Islam. Puncanya ialah ketidakpedulian. Kejahilan. Terlepas pandang atau lain-lainya.

Itu dari segi falsafah memelihara spesis haiwan daripada kepupusan. Bagaimana pula tentang hikmatnya?. Lihat apa kata para pengkaji dan saintis.

Mereka memberi amaran, ubat-ubatan versi baru kemungkinan  akan hilang buat selama-lamanya jika tidak dijaga spesis-spesis haiwan dan serangga tertentu yang diancam kepupusan.
Kepupusan spesis-spesis ini bermakna tiada uji kaji yang boleh dilakukan ke atasnya bagi memajukan bidang perubatan. Kepupusan katak jenis Rheobatrachus silus sebagai contoh, amat merugikan manusia.

Ia sejenis katak  yang menyimpan anak di dalam perutnya. Menurut para pengkaji, kepupusan katak ini telah menghilangkan peluang para pengkaji menjalankan kajian ke atasnya bagi menghasilkan ubat ulser usus.

Kajian awal yang sempat dilakukan menunjukkan anak katak yang disimpan dalam perut ibunya itu mengeluarkan sejenis bahan yang menghalangnya daripada proses penghadaman makanan di dalam perut.

Para pengkaji mengatakan, rahsia perubatan yang berharga yang tersimpan dalam spesis katak ini telah hilang buat selama-lamanya disebabkan kepupusannya. Ini bermakna ilmu perubatan hari ini kehilangan peluang keemasan bagi mencipta ubat bagi pelbagai jenis penyakit.

Jelasnya, spesis-spesis haiwan dipelihara bukan semata-mata bagi dilihat oleh generasi akan datang seperti yang difikir banyak orang.



.‏

1 comment: