[Posting percubaan]
Seorang lelaki pergi menemui seorang failasuf (pendeta). Tujuannya, mahu bertanya tentang suatu perkara yang membingungkannya. Failasof bertanya, “tentang perkara apakah kamu mahu bertanya?”. Si lelaki berkata, “alangkah banyaknya perkara yang menghairankan dalam diri manusia?”.
Failasuf menuturkan, “di kala masih kecil, manusia merasa bosan dengan dunia kanak-kanak, berlumba-lumba mahu menjadi dewasa. Kemudian, setelah dewasa, rindu pula kembali menjadi kanak-kanak...
Manusia mengorbankan kesihatannya demi menghimpun harta. Kemudian, mereka menghabiskan harta demi mengembalikan kesihatan...
Mereka berfikir tentang masa depan dengan penuh rasa bimbang dan melupakan masa kini. Justeru, mereka sebenarnya tidak hidup pada masa kini, tidak juga pada masa depan...
Mereka hidup seolah-olah mereka tidak akan mati dan mati seolah-olah tidak akan hidup kembali...”.
Failasuf mendiamkan diri. Suasana sunyi menyelubungi beberapa detik dan ketika.Si lelaki bertanya lagi, “apakah gerangannya pengajaran daripada kehidupan yang mesti dipelajari manusia?”. Failasof melantunkan kata-kata memberikan jawapan, “mereka hendaklah mengerti, mereka tidak berupaya menjadikan seseorang mengasihi diri mereka. Apa yang mereka mampu ialah menjadikan diri mereka dikasihi...
Mereka perlu belajar untuk tidak membandingkan diri mereka dengan orang lain...Mereka mesti belajar bertolak ansur dan cuba untuk memaafi...
Mereka mesti sedar, kadang-kadang mereka menyebabkan luka yang dalam ke atas orang yang mereka kasihi hanya dalam beberapa detik. Tetapi, kadang-kadang mereka memerlukan masa bertahun-tahun lamanya bagi mengubatinya...
Manusia yang paling kaya, bukannya orang yang paling banyak memiliki. Bahkan, mereka yang kaya ialah orang yang paling sedikit memerlukan...
Di sana, terdapat orang-orang yang sangat mereka kasihi. Tetapi, manusia tidak mempelajari cara mempamerkan perasaan kasih mereka...
Manusia perlu belajar, dua orang boleh melihat suatu perkara yang sama, tetapi melihatnya dalam bentuk yang berbeza...
Manusia perlu menyedari, tidak cukup mereka hanya memaafi orang lain. Sebaliknya, mereka juga mesti memaafi diri mereka sendiri.”
Setelah butir-butir permata kata itu dilontar dengan lembut dan teratur, tiada kata yang mampu disusun oleh si lelaki selain berkata “terima kasih tuan”.
No comments:
Post a Comment