Pages

Friday, September 3, 2010

KHAZANAH PEMIKIRAN

[posting percubaan]
Pemuliharaan alam semulajadi dan penghijauan bumi : Idea Islam tersembunyi di sebalik tirai minda tradisi


“Maklumat di depan kita berlambak-lambak. Tetapi kita gagal menggunakannya untuk berfikir”, demikian lebih kurang bunyinya rungutan Prof. Diraja Engku Aziz.

Lambakan maklumat sebenarnya bukan bermula pada zaman internet ini. Tapi, dalam konteks umat Islam, ia telah lama berlaku. Iaitu sejak turunnya al-Quran dan dibukukan hadis-hadis Nabi s.a.w.

Sayangnya, umat Islam pada zaman kemalapan, gagal ’memerah’ pusaka Nabi Muhammad s.a.w yang banyak itu untuk mengeluarkan idea dan mencetus pemikiran baru.

Mari kita lihat satu hadis Nabi s.a.w. Sabda Nabi s.a.w, ”sesiapa yang menebang pohon bidara, Allah akan humban kepalanya dalam neraka”. Hadis ini diriwayatkan Abu Daud dalam Sunannya dan Baihaqi juga dalam Sunannya. Hadis ini disebut dalam Sahih al-Jami’ al-Soghir (Koleksi Hadis Sahih al-Jami’ al-Soghir).

Abu Daud ada menjelaskan maksud ’pohon bidara’ dalam hadis di atas. Beliau berkata, ”maksudnya, sesiapa yang menebang pohon bidara [yang tumbuh] di padang pasir-tanpa sebarang tujuan dan secara ’zalim’- [yang boleh dijadikan tempat] berteduh di bawahnya oleh orang musafir dan binatang”.

Pohon bidara sejenis tumbuhan yang tumbuh di padang pasir. Ia tahan hidup di tempat kering dan panas. Dalam konteks masyarakat Arab zaman silam, ia tempat berteduh daripada kepanasan matahari ketika mereka merentasi padang pasir. Samada bagi tujuan bermusafir ataupun mencari rumput dan kawasan meragut untuk binatang mereka. Selain tempat berteduh, buahnya juga boleh dimakan.

Hadis ini sebenarnya sumber maklumat yang boleh dicanai daripadanya idea bernas dan segar. Ia bukan setakat sumber hukum syarak. Iaitu larangan memusnah apa yang menjadikan kegunaan orang ramai.

Malangnya, minda kita secara tradisinya melihat hadis-hadis Nabi s.a.w hanya sebagai sumber hukum. Lantas, bila berhadapan dengan hadis-hadis Nabi s.a.w, kita akan segera berfikir bagi mencari apa mesej hukum yang ada.


Bila hukum sudah dapat ditemui dan dikeluarkan, kita akan berhenti berfikir tentang hadis-hadis itu. Pemikiran yang melihat hadis-hadis Nabi hanya sebagai sumber hukum syarak menyebabkan idea dan pemikiran yang terkandung di dalamnya terus terpendam dan tersembunyi.

Kalau kita merenung hadis ini hingga ke ’dasar’nya...kalau kita melihatnya dari pelbagai dimensi...kalau kita menelusurinya hingga ke ’akar’nya, kita akan dapati hadis ini sebenarnya telah mendahului Barat dalam soal pemuliharaan alam sekitar.

Sejak dahulu lagi, sejak ’zaman unta’ lagi, Nabi Muhamamd s.a.w melarang penebangan hutan secara semberono. Di sana sini, aktivis-aktivis Barat bercempera memperjuangkan pemuliharaan hutan. Apa yang mereka baru ‘kalut’kan itu di zaman kini, sebenarnya telah lama tertera dalam khazanah pemikiran Islam!

Persoalannya, jika idea ’pemuliharaan alam sekitar’ telah lama digagaskan oleh Nabi s.a.w melalui hadis ini, mengapa umat Islam gagal mencungkilnya? Mengapa bila orang-orang Barat sibuk bercakap tentang pemuliharaan alam sekitar, mereka menerima idea ini sebagai satu idea baru? Melihatnya sebagai idea cetusan tamadun Barat?

Tentunya banyak sebab. Tetapi, sebab yang dirasakan penting ialah persepsi umat Islam masa kini terhadap hadis-hadis Nabi dan nas-nas al-Quran. Mereka hanya melihatnya sebagai sumber hukum syarak. Mereka tidak memandangnya sebagai sumber peradaban, ilmu dan tamadun.

Bagi tujuan merubah persepsi ini, Syeikh Qaradhawi mengarang sebuah buku berjudul Al-Sunnah Masdaran Li al-Ma’rifah Wa al-Hadharah (Sunnah Sebagai Sumber Ilmu dan Tamadun). Dalam buku ini beliau menyebut beberapa contoh ilmu dan peradaban yang disebut Nabi s.a.w sejak zaman silam lagi, yang hanya baru disedari tamadun Barat zaman moden ini.

Sunnah sebagai sumber ilmu dan tamadun, menuntut umat Islam meluaskan ufuk minda mereka tatkala berhadapan dengan hadis-hadis Nabi s.a.w. Minda tradisi yang melihat hadis-hadis Nabi melalui ’celah-celah’ dinding, perlu dirubah. Ia menuntut umat Islam membuka seluas-luasnya jendela minda mereka dan melihat hadis-hadis Nabi melaluinya.

Sunnah sebagai sumber ilmu dan tamadun juga menuntut kita bebas daripada cengkaman zaman silam. Bebas daripada pemikiran zaman lampau. Bebas daripada ‘budaya berfikir pada hari ini dengan otak zaman dahulu’. Atau ’berfikir menggunakan otak orang lain yang hidup pada zaman yang telah berlalu’.

Kalau ulama zaman silam memahami hadis seperti ini dalam konteks ilmu dan zaman mereka, adalah sangat tidak wajar kita pada zaman kini, zaman perkembangan ilmu dan ledakan maklumat, hanya berpada dengan pemikiran dan ilmu mereka.

Sekian lama ramai golongan agamawan kita hidup dalam kepompong zaman silam. Ketika bercakap tentang pemikiran yang menyimpang daripada akidah Islam, mereka HANYA bercakap tentang kesesatan Muktazilah, Qadariah dan Jabariah yang wujud pada masa lampau.


HAMPIR TIDAK ADA golongan agamawan kita yang mendalami atau menulis tentang sekularisme, kapitalisme atau sosialisme yang bersaing dengan Islam zaman kini. BOLEH DIKATAKAN TIADA yang mengajar tentang perkara ini dalam kelas-kelas pengajian tauhid atau kelas-kelas pengajian di masjid atau surau.

Mereka tidak sedar, perbicaraan tentang Muktazilah, Jabariah, Qadariah dan lain-lain kumpulan sesat adalah bukti ulama zaman dahulu bergerak seiring zaman dan perkembangan masa mereka. Meskipun perbicaraan tentangnya tidak wujud di zaman Nabi atau sahabat, tetapi mereka memasukkannya ke dalam kitab-kitab akidah kerana ia pemikiran sesat yang wujud pada zaman mereka.

Mereka tidak sedar, jika sekularisme, komunisme dan sosialisme wujud di zaman silam, tentunya para ulama silam kita yang dinamik akan menghuraikan kesesatan ideologi-ideologi ini dalam kitab-kitab akidah mereka.

Tetapi, kerana masih belum ’merdeka’ dari zaman silam dan berfikir dengan otak orang lain, ramai golongan agamawan kita langsung tidak ambil tahu tentang sekularisme, sosialisme dan lain-lain ideologi zaman moden. Mereka tidak menulis tentangnya. Tidak mengajarkannya dalam kelas-kelas agama. Akhirnya, umat Islam tanpa sedar, hanyut dalam arus deras pemikiran-pemikiran moden yang menyimpang.

Mari kita lihat satu lagi bahan fikir pusaka Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w bersabda, ”tidak ada mana-mana muslim yang menanam satu tanaman, melainkan apa yang dimakan daripada [apa yang ditanam]nya itu, [ditulis] baginya pahala] sedekah. Apa yang dicuri daripada [apa yang ditanam]nya, [ditulis] baginya [pahala] sedekah”(riwayat Muslim).

Hadis di atas menunjukkan fadhilat bercucuk tanam atau pertanian. Hinggakan hasil tanaman yang dimakan binatang atau dicuri orang, tidak hilang begitu saja. Sebaliknya, si penanam diberikan pahala bersedekah oleh Allah”. Hanya itulah sahaja pemikiran yang boleh dirumus daripada hadis ini jika kita melihatnya hanya sebagai sumber hukum.

Tetapi, kalau kita luaskan ufuk minda…kalau kita benar-benar berfikir selari dengan peredaran zaman…kita akan mendapati, hadis ini juga membawa satu gagasan yang baru sahaja dilaungkan tamadun Barat pada zaman moden ini. Iaitulah gagasan Penghijauan Bumi. Inilah yang difahami oleh Syeikh al-Qaradhawi seperti yang dinyatakan dalam bukunya, Al-Sunnah Masdaran Li al-Ma’rifah Wa al-Hadharah (2005, Kaherah : Dar al-Syuruq, hlm.144).

Mari kita lihat satu lagi hadis. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa seorang lelaki terserempak dengan Abu Darda’ r.a yang sedang menanam pokok di Damsyiq, Syria.

Lalu lelaki itu berkata ”Tuan buat [kerja menanam pokok] ini sedangkan tuan seorang sahabat Rasulullah?”. Abu Darda’ menjawab ”Janganlah tuan gopoh [membuat penilaian ke] atas ku. [Kerana] aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, ”Sesiapa menanam sesuatu tanaman, tidaklah makan daripada [apa yang ditanam] nya oleh manusia dan mana-mana makhluk Allah, melainkan [ditulis] baginya [pahala] sedekah”.(Disebut oleh al-Munziri dalam Targhib Wa al-Tarhib dan berkata, ”isnadnya hasan”).

Ketika menghuraikan hadis ini, Qaradhawi berkata, Abu Darda’ telah menjelaskan bahawa ”beliau telah mempelajari di madrasah nubuwwah (kenabian) [tentang sikap] mengambil berat terhadap [amalan] bercucuk tanam dan berusaha mengubah tanah yang kontang menjadi ’syurga’ yang menghijau”(Al-Sunnah Masdaran Li al-Ma’rifah Wa al-Hadharah, hlm.144)

Selaku ulama semasa yang mengembangkan ufuk minda, Qaradhawi memahami hadis ini dengan lebih jauh. Hadis-hadis Nabi s.a.w kaya dengan khazanah ilmu dan idea. Jangan dimandulkannya dengan minda tradisi!!

No comments:

Post a Comment