Pages

Friday, September 3, 2010

TAJDID AGAMA : ANTARA GOLONGAN MELAMPAU DAN GOLONGAN JUMUD

“Bagaimana boleh diperbaharui agama Islam?. Bukankah Islam agama yang sempurna dan lengkap? Agama terakhir diturunkan, agama umat manusia sehingga hari kiamat?”. Persoalan ini mungkin berbangkit bila disebut tajdid (memperbaharui) atau memperbaharui agama.

Hakikat bahawa Islam akan diperbaharui dari semasa ke semasa, tidak dapat dinafikan. Nabi Muhammad s.a.w sendiri mengatakan, ”sesungguhnya Allah akan mengutuskan bagi umat ini, pada setiap permulaan seratus tahun, seorang yang akan memperbaharui bagi mereka agama mereka”( Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Hakim dengan isnad yang sahih).

Menjawab kemusykilan di atas, Syeikh Yusuf al-Qaradawi berkata, tajdid agama bermakna tajdid keimanan kita terhadapnya, tajdid kefahaman kita tentangnya, tajdid pengertian (al-fiqh) kita tentangnya, tajdid iltizam dan pengamalan kita dengan hukum hakamnya dan tajdid dakwah kepadanya.

Tajdid sesuatu bukan bermakna kita memusnahkannya dan membina binaan baru ditempatnya. Ini bukan tajdid. Tajdid sesuatu ialah kita mengekalkan sesuatu di atas keadaannya yang asal, mengembalikannya kepada ciri-cirinya yang asal.

Tetapi, dalam masa sama, kita membaiki apa yang reput, menguatkan bahagian-bahagian yang lemah. Sebagaimana anda mahu tajdid masjid bersejarah atau istana bersejarah. Tidak dapat tidak, anda mesti memelihara binaannya yang asal, ciri-cirinya yang asal, ’ruh’nya dan bahan-bahannya yang asal sedaya mungkin. Tapi, dalam masa sama, anda memperbaharui catnya yang luntur, memperkuatkan binaannya, memperelokkan laluan kepadanya...

Tajdid agama dengan makna ini, kata Qaradawi, sangat dialu-alukan oleh Islam. Salah satu kelebihan agama kita ialah ia tidak merasa resah dengan usaha tajdid. Bahkan agama kita ’beriman’ dengan tajdid dan membuka kedua-dua belah lengannya kepada proses tajdid, samada tajdid agama ataupun tajdid kehidupan manusia. Inilah konsep sebenar tajdid, kata Qaradawi.

Orang yang tidak faham konsep tajdid ini, akan segera melenting bila disebut agama perlu diperbaharui. Mereka merasa resah dengan ungkapan ini. Sebab, tajdid agama bermakna memperbaharui agama. Jadi mereka membayangkan seolah-olah agama tidak sempurna, sehingga mahu diperbaharui, mahu ditajdidkan!. Padahal mereka tidak faham konsep sebenar tajdid seperti yang dihuraikan Qaradawi.

Mereka ini adalah orang yang jumud. Orang yang mahu setiap yang lama, kekal dalam bentuknya yang lama. Mereka tidak mengalu-alukan mana-mana ijtihad yang baru atau pemikiran baru. Slogan atau kepercayaan mereka ialah ”orang yang terdahulu tidak meninggalkan sesuatu pun kepada orang yang terkemudian”.

Orang-orang yang jumud, kata Qaradawi, melakukan perkara yang silap terhadap diri mereka dan agama mereka. Al-Amir Syakib Arsalan berkata dalam bukunya, Limaza Ta’akhkhara al-Muslimun (Mengapa Umat Islam Mundur), ”sesungguhnya, agama lenyap disebabkan orang yang engkar dan orang yang jumud. Orang yang engkar akan menyesatkan manusia [daripada agama Islam] dengan sebab keingkarannya [terhadap agama], dan orang yang jumud akan menghalang manusia daripada agama dengan sebab kejumudan mereka”.

Lawan tajdid

Di kalangan orang yang tidak faham konsep sebenar tajdid, ada pula yang bersikap semberono. Mereka berbeza sama sekali dengan orang yang resah dengan tajdid tadi.

Mereka ini sebaliknya sangat agresif melakukan tajdid agama. Hingga mahu dipinggirkan semua fekah Islam yang diasaskan ulama-ulama silam. Mahu dihumban ke sungai kesemua mazhab. Kerana katanya, mahu tajdid agama, mahu kembali kepada al-Quran dan sunnah semata-mata!

Jika inilah makna tajdid, kita sebenarnya mahu mengsia-siakan perbendaharaan perundangan Islam yang melimpah. Yang dibina berkurun-kurun lamanya. Kita mahu musnahkan semua itu dan bermula dari titik sifar dalam membina fiqh Islami!.

Anehnya, mujaddid (reformis) ’jadian’ ini, bak kata Qaradawi, tidak dapat membaca dengan baik, meskipun satu halaman kitab usul feqh seperti al-Risalah karangan Imam Syafie, atau al-Burhan karangan Imam Haramain, atau al-Mustasfa karangan Imam al-Ghazali, atau al-Mahsul karangan al-Razi, atau al-Muwafaqat karangan al-Syatibi.

Ataupun kitab fekah seperti Bada’ik al-Sana’ik karangan al-Kasani, ataupun al-Zakhirah karangan al-Qurafi, ataupun al-Majmu’ karangan Imam Nawawi atau al-Mughni karangan Ibnu Qudamah!!.

Kata Qaradawi, orang-orang seperti ini kemudiannya berkata kepada kita, ”campakkan ilmu fekah ini, ilmu fekah inilah yang menyebabkan kamu terkebelakang dan menjadikan kamu jumud”.

Qaradawi menyanggah dakwaan ini dengan mengajukan persoalan, ”apakah dosa fekah jika individu seperti ini tidak mampu mengambil faedah daripadanya?. Apakah dosa fekah jika ummat ini tidak mampu mengambil faedah daripada perbendaharaannya dan menggunakannya dalam ijtihad baru mereka yang meraikan perubahan zaman, tempat dan manusia!?”.

Orang-orang seperti ini, kata Qaradawi, adalah mujaddid palsu yang disindir oleh sasterawan, Mustaffa Sadik al-Rafi’e yang berkata, ”mereka mahu memperbaharui agama, bahasa, matahari dan bulan!”.

Justeru apa sikap kita? Kata Qaradawi, ”kita menolak para pemusnah [perbendaharaan fiqh Islami]. Kita juga menolak pendokong taqlid dan penjumudan yang mahu setiap yang lama kekal dalam bentuknya yang lama, dan tidak mengalu-alukan mana-mana ijtihad yang baru atau pemikiran baru”.

Kita bukan golongan jumud. Kita juga bukan kumpulan pemusnah khazanah fiqh islami. Kita adalah kelompok yang berada di antara keduanya!.

No comments:

Post a Comment