Pages

Monday, October 4, 2010

MOTIVASI : ‘KUALI’ ANDA TIDAK SEKECIL YANG ANDA SANGKAKAN!

        Menurut satu cerita, terdapat seorang nelayan berperangai pelik. Nelayan ini sangat bernasib baik, kerana mata kailnya selalu disambar ikan. Ini menyebabkan rakan-rakan nelayan yang lain cemburu.

     Suatu hari, rakan-rakan nelayan ini sangat marah. Mereka sangat marah kerana nelayan tadi melepaskan semula ikan-ikan besar yang tersangkut di mata kailnya. Sebaliknya, hanya ikan-ikan kecil sahaja yang diambil.

Sudahlah mereka sudah lama mencemburuinya kerana mata kailnya selalu saja dimakan ikan. Bila melihatnya melepaskan ikan-ikan besar yang berjaya dipancingnya, tentulah mereka sangat marah dan geram.

        
Anda lebih hebat dari yang sering anda sangkakan!
“Hei, apa hal kau ni ha...!!!?. Kau gila ke!!?. Mengapa kau lepaskan ikan-ikan yang besar!!?”, jerkah mereka kepada si nelayan.

Sebab aku hanya mempunyai kuali yang kecil”, jawabnya selamba.

Kita mungkin tidak percaya ada orang sebodoh nelayan ini. Tapi, malangnya, kita melakukan setiap hari apa yang dilakukan si nelayan bodoh ini.

Apa tidaknya, kita sering membuang idea-idea mega, cita-cita yang tinggi dan cetusan-cetusan fikiran yang bernilai. Kerana apa? Kerana semata-mata menganggap ia lebih besar daripada akal dan kemampuan kita. Sama seperti si nelayan yang membuang ikan-ikan yang besar, semata-mata kerana ia lebih besar daripada kuali yang ada di rumahnya.

Pakar motovasi mengingatkan kita dengan berkata, "anda adalah sebagaimana yang anda percaya".

Justeru, berfikirlah lebih jauh. Impikan sesuatu yang lebih besar. Jangkakan sesuatu yang melebihi jangkauan. Dan berdoalah kepada Allah agar Dia memberikan lebih banyak kepada anda. 

Salah satu hakikat yang ditemui ilmu psikologi masa kini ialah manusia mempunyai kemampuan untuk hidup sebagaimana yang dia kehendaki. Ya, kita mempunyai kemampuan untuk hidup sebagaimana yang kita kehendaki...

Langkah pertama ke arah itu ialah memasang impian. Impian yang besar akan menggariskan kepada kita tujuan dan matlamat. Mengenalpasti tujuan dan matlamat adalah langkah kedua. Matlamat inilah yang akan 'menghantui' kita pagi dan petang, mendesak supaya ia dicapai.

Namun, di sana ada satu sahaja halangan yang menghalang kita daripada menggapai impian dan menggodol kejayaan. Mahukah anda tahu apakah halangan itu?

Halangan itu ialah ’hukuman’ yang kita jatuhkan ke atas diri kita bahawa diri kita lemah, gagal dan tidak berkeupayaan!!.

Memang benar, sikap optimis semata-mata tidak mencukupi. Tapi yang pasti, sikap pesimis adalah 'penjenayah' sebenar yang 'membunuh' manusia!.

 

No comments:

Post a Comment