Pages

Wednesday, February 23, 2011

Batalkah solat orang yang terlelap?


Solatlah dengan khusyuk!
Seorang sahabat saya bertanya tentang hukum orang terlelap dalam solat. Adakah solatnya batal atau tidak?

Alhamdulillah, persoalan ini telah diperkatakan Imam Mawardi dalam karya beliau, al-Hawi al-Kabir.

Dalam karyanya itu, beliau menyebut dua keadaan orang yang terlelap dalam solat.

Pertama : Terlelap dalam keadaan duduk. Iaitu semasa duduk antara dua sujud atau ketika membaca tahiyyat. Terlelap dalam keadaan ini, tidak membatalkan solat. Wuduk juga tidak terbatal.

Kedua : Terlelap dalam keadaan selain duduk. Samada ketika berdiri, rukuk atau sujud.

Imam Syafie dalam qaul jadid memfatwakan, terlelap dalam keadaan selain duduk, membatalkan solat dan juga wuduk.

Dalil

Dalil yang menunjukkan bahawa terlelap dalam solat ketika berdiri, rukuk atau sujud, membatalkan solat ialah :

1. Kaedah yang menyatakan :

  ما كان حدثا في غير الصلاة كان حدثا في الصلاة

Terjemahan : Apa yang merupakan hadas (yang membatalkan wuduk) di luar solat, adalah hadas di dalam solat.

Tidur atau terlelap dalam keadaan selain duduk dan melentang, atau yang dinamakan sebagai 'tidur dalam keadaan punggung tidak menekup lantai', membatalkan wuduk.

Wuduk dikira batal kerana sesuatu boleh terkeluar dari punggung semasa tidur, tanpa disedari.

Jika tidur dalam keadaan ini membatalkan wuduk semasa di luar solat, maka ia juga membatalkan wuduk jika ia berlaku dalam solat.

Bila wuduk terbatal, dengan sendirinya solat turut terbatal sama.

2. Hadis yang berbunyi :

 قيل لرسول الله {صلى الله عليه وسلم} : إنك تنام في صلاتك فقال {صلى الله عليه وسلم} :  تنام عيناي ولا ينام قلبي

Maksudnya : Dikatakan kepada Rasulullah s.a.w, "sesungguhnya Tuan pernah tidur dalam solat". Maka Baginda s.a.w bersabda. "(Sungguh pun) kedua-dua mataku tidur, (tetapi) hatiku tidak tidur".

Menurut Imam Mawardi, hadis ini menunjukkan bahawa 'ketiduran hati', iaitu tidur dengan makna yang kita fahami, membatalkan wuduk.

Persoalan berkaitan

Memanjangkan rukun solat yang pendek membatalkan solat. Rukun solat yang pendek seperti iktidal dan duduk antara dua sujud.

Kalau sekadar terlelap beberapa saat semasa duduk antara dua sujud, solat tidak terbatal. Ini kerana, ia tidak menyebabkan rukun solat yang pendek ini menjadi panjang.

Persoalan timbul jika seseorang tertidur selama 10 minit ketika duduk antara dua sujud. Apakah solatnya terbatal disebabkan rukun solat yang pendek telah menjadi panjang?

Jawapannya ialah, solatnya tidak batal meskipun tidur dalam tempoh yang lama ketika duduk antara dua sujud yang merupakan rukun solat yang pendek.

Ini kerana, yang membatalkan solat ialah sengaja memanjangkan rukun solat yang pendek. Adapun memanjangkannya dengan tidak sengaja, ia tidak membatalkan solat. 

Syaikh Arsyad al-Banjari mengatakan, ketika menyebut perkara-perkara yang membatalkan solat, "(perkara) ketiga (yang membatalkan solat ialah), sengaja memanjangkan rukun yang semestinya pendek, seperti iktidal dan duduk antara dua sujud".

Rujuk Sabilal Muhtadin, edisi rumi, hlm. 435.

Lebih jelas lagi ialah kenyataan pengarang Hasyiah Qalyubi Wa Umairah.

Disebut dalam karya itu (Hasyiah Qalyubi Wa 'Umairah, jilid 3, hlm.16):

 ( ولو سكت طويلا ) ولو عمدا بلا قصد قطع لم تبطل ومثله نوم ممكن ، ولو في ركن قصير ، إذا لم يتعمده فيه

Terjemahan : "Jika dia (orang yang bersolat) senyap (dalam tempoh) yang panjang, meski pun dengan sengaja, tanpa qasad memutuskan (solat), tidak batal (solatnya).

Dan (sama) sepertinya (iaitu senyap yang panjang dengan sengaja dari segi tidak membatalkan solat ialah) tidur yang kejap (kedudukan punggung pada lantai), walaupun (tidur) pada rukun yang pendek jika dia tidak menyengajakannya".

Kesimpulan

Kesimpulannya, kebatalan solat disebabkan tertidur atau terlelap, bergantung kepada masa terlelap.

Jika terlelap ketika punggung tidak menekup lantai atau anggota tubuh, iaitu ketika berdiri, rukuk dan sujud, maka solat terbatal meski pun terlelap hanya sekejap.

Sebaliknya, jika terlelap ketika punggung menekup lantai atau anggota tubuh, iaitu ketika duduk antara dua sujud dan membaca tahiyyat, solat tidak terbatal, walaupun terlelap dalam tempoh yang lama jika ia tidak disengajakan.

والله أعلم بالصواب

3 comments: