Pages

Thursday, October 14, 2010

Bolehkah melakukan korban bagi si mati?

          
Soal keharusan melakukan korban untuk orang yang telah mati, banyak diutarakan bila hampirnya Hari Raya Haji.
Tulisan ini akan mengupas isu ini melalui kaca mata Mazhab Syafie. Kemudian, jika ada keperluan, akan dinyatakan pandangan mazhab-mazhab lain.
Dalam Mazhab Syafie, isu ini telah diputuskan dengan jelas. Imam Nawawi radhiAllah ‘anhu menegaskan dalam kitab al-Minhaj :
ولا تضحية عن الغير بغير إذنه. ولا عن ميت إن لم يوص بها
Terjemahan : Dan tidak ada [amalan] korban bagi pihak orang [lain] tanpa keizinannya dan [juga] tidak [ada amalan korban] bagi pihak orang [yang telah] mati jika dia tidak mewasiatkannya.
*Perhatian : Perkataan dalam [ ] adalah tambahan penulis bagi tujuan penjelasan
            Kenyataan Imam Nawawi radhiAllah ‘anhu di atas memperihalkan tentang dua perkara iaitu :
Pertama : Melakukan korban bagi pihak orang lain yang masih hidup; dan
Kedua :  Melakukan korban bagi pihak orang yang telah mati.

1. Pertama : Korban bagi pihak orang masih hidup
Melakukan korban bagi pihak, atau untuk orang lain, memerlukan keizinan pihak atau orang tersebut. Oleh itu, jika seseorang menyembelih binatang, dengan niat melakukan korban bagi pihak orang lain, sembelihan itu dikira sebagai korban, jika terdapat keizinan daripada orang tersebut.
Namun, jika sembelihan itu dilakukan tanpa keizinannya, maka binatang yang disembelih itu TIDAK dianggap sebagai korban. Dalam erti kata lain, tidak sah korban tersebut.
Sebab ia tidak dianggap korban kerana korban merupakan ibadat. Manakala dasar yang terpakai dalam soal ibadat ialah, ia tidak boleh dilakukan untuk atau bagi pihak orang lain.
Justeru, jika ada individu yang mahu melakukan ibadat seperti korban bagi pihak orang lain, maka perlulah mendapat keizinannya terlebih dahulu.
Keputusan hukum di atas dijelaskan oleh para ulama Mazhab Syafie yang menghuraikan kata-kata Imam Nawawi radhiAllah ‘anhu di atas.
Syaikh Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj umpamanya, menjelaskan-ketika menghurai kata-kata Imam Nawawi radhiAllah ‘anhu di atas- :
 (ولا تضحية) أي لا تقع (عن الغير) الحي (بغير إذنه) ؛ لأنها عبادة، والأصل أن لا تفعل عن الغير
Terjemahan : (Dan tidak ada [amalan] korban) maksudnya tidak menjadi korban (bagi pihak orang lain) yang [masih] hidup (tanpa keizinannya) kerana ia [adalah] ibadat dan dasar [berkaitan ibadat ialah] tidak [boleh] dilakukan bagi pihak orang [lain]”.
*Perhatian : Tulisan berwarna biru adalah kata-kata Imam Nawawi radhiAllah ‘anhu.
Syaikh Khatib Syarbini dengan jelas menyatakan, korban yang dilakukan bagi pihak orang lain tanpa keizinannya,TIDAK dianggap sebagai korban.
KETIDAKHARUSAN melakukan korban untuk orang lain tanpa keizinannya, adalah pendapat yang PALING SAHIH dalam Mazhab Syafie.
Hal ini dinyatakan oleh Syaikhul Islam, Zakariya al-Ansari dalam Asna al-Mathalib, iaitu :
(وفي جواز التضحية عن الغير) بغير إذنه (وجهان) : أصحهما المنع
Terjemahan : Dalam [soal] keharusan [melakukan] korban bagi [pihak] orang [lain] tanpa keizinannya, [terdapat] dua pendapat, [pendapat] yang paling sahih [ialah] tegahan [melakukannya].
Kesimpulan : Seseorang yang mahu melakukan korban untuk orang lain yang masih hidup (seperti anak murid mahu melakukan korban untuk guru dsb), perlu mendapatkan keizinan orang tersebut terlebih dahulu.
Jika ada keizinan berbuat demikian dari orang berkenaan, penyembelihan yang dilakukan itu dikira sebagai korban. Jika dilakukan tanpa keizinannya, penyembelihan itu tidak dikira sebagai korban.

2. Kedua : Korban bagi pihak si mati
Melakukan korban bagi pihak si mati wujud dalam dua keadaan :
Pertama : Si mati mewasiatkan supaya dilakukan korban untuknya
            Dalam keadaan ini, HARUS bagi orang yang diwasiatkan melakukannya dan sembelihan yang dilakukan itu dikira sebagai korban. Perkara ini dinyatakan di dalam Mughni al-Muhtaj dan Hasyiah Qalyubi Wa Umairah.
Di dalam Mughni al-Muhtaj dinyatakan :
فإن أوصى بها جاز
Terjemahan : Jika [si mati] mewasiatkannya (yakni korban), harus [dilakukan korban untuknya ke atas orang yang diwasiatkan].
Dalam Hasyiah Qalyubi Wa Umairah pula dinyatakan :
وبإيصائه تقع له
Terjemahan : Dengan  pewasiatannya [maka korban yang dilakukan oleh orang yang masih hidup itu] dikira baginya (yakni si mati)”.


Peringatan : Korban yang dilakukan untuk si mati yang mewasiatkan demikian, WAJIB disedekahkan semua sekali kepada fakir miskin. TIDAK BOLEH bagi sesiapa selain mereka memakannya.


Ketetapan ini bersandarkan kepada KETIDAKPASTIAN kepada siapa si mati memberikan keizinan memakan daging korban yang dilakukan untuknya. Perkara ini dinyatakan di dalam Hasyiah Qalyubi Wa Umairah :
ويجب التصدق بجميعها على الفقراء، ولا يجوز أكل الأغنياء منها ولا الناظر على وقفها، ولا ذابحها لتعذر إذن الميت في الأكل. نعم إن كان الذابح ممن فيه شرط الميت فينبغي جواز أكله
Terjemahan : Dan wajib menyedekahkan semuanya (yakni daging korban yang dilakukan untuk si mati yang meninggalkan wasiat) kepada orang-orang fakir dan TIDAK HARUS memakan [nya bagi] orang-orang kaya, nazir [yang menguruskan] pewakafannya (yakni binatang korban) dan tukang sembelih, disebabkan ketidakmampuan [mengetahui] keizinan si mati [samada mengizinkan mereka] makan [atau sebaliknya]. Ya, jika tukang sembelih [termasuk] dari kalangan orang [yang terdapat] pada [diri] nya syarat [yang diletakkan oleh] si mati, maka sewajarnya harus [baginya] memakannya".

Namun, jika kebetulan orang yang menyembelih tersebut adalah seorang fakir, maka dia boleh memakan daging korban tersebut, meskipun tidak diberi keizinan secara jelas oleh si mati.
Perkara ini dijelaskan oleh Syaikh Ramli dalam Nihayatul Muhtaj. Beliau menegaskan :
لو كان الذابح لها عنه فقيرا جاز له الأكل منها بصفة الفقر
Terjemahan : Jika penyembelihnya (yakni korban) [yang menyembelih] untuknya (yakni si mati) seorang yang fakir, HARUS baginya memakannya di atas sifat [nya sebagai] orang yang fakir.
Rumusan  : Illah tegahan memakan daging korban (bagi orang-orang kaya) yang dilakukan untuk si mati yang mewasiatkannya, ialah ketidakpastian kepada siapa si mati mengizinkan daging korbannya dimakan.
Dari sini boleh disimpulkan, bagi mengelakkan kekeliruan, semasa melakukan wasiat supaya dilakukan korban untuknya, elok diminta supaya si mati menyatakan sekali kepada siapa daging korban akan diagihkan.

Kedua : Si mati tidak mewasiatkan sedemikian
Dalam keadaan ini, TIDAK HARUS dan TIDAK DIKIRA sebagai korban penyembelihan yang dilakukan. 
Hal ini dijelaskan oleh Syaikh Ibnu Hajar al-Haithami dalam kitab Tuhfatul Muhtaj ketika menghuraikan keterangan Imam Nawawi r.a di atas :
(ولا) تجوز ولا تقع أضحية (عن ميت إن لم يوص بها)
Terjemahan : TIDAK HARUS dan tidak menjadi korban [penyembelihan yang dilakukan] bagi pihak si mati jika dia tidak mewasiatkannya”.
 
3. Persoalan : Apa beza bersedekah untuk si mati dengan melakukan korban bagi si mati
Di sini timbul persoalan, mengapa ulama Mazhab Syafie tidak mengharuskan melakukan korban bagi pihak si mati (jika tiada wasiat) sedangkan mereka, dalam masa yang sama, mengharuskan amalan bersedekah kepada si mati dalam semua keadaan, samada ada wasiat atau pun tidak.
Jawapan kepada persoalan ini ialah pada pandangan mereka, ada perbezaan antara amalan korban dan sedekah. Bagi mereka, korban menyamai amalan penebusan diri seperti akikah. Dimana akikah dilakukan bagi tujuan penebusan diri kanak-kanak, sementara korban bagi tujuan penebusan diri orang yang melakukan korban.
Justeru, orang yang mahu melakukan korban bagi si mati, perlu mendapat keizinan si mati, iaitu melalui wasiat.
Disebabkan amalan korban menyerupai amalan penebusan diri, maka waris si mati tidak dituntut melakukan korban bagi pihak si mati, meskipun korban itu wajib ke atas si mati disebabkan nazar dan seumpamanya.
Korban berbeza dengan haji, zakat dan kifarat. Ini kerana kesemua ini tiada unsur-unsur penebusan diri. Ini menjadikannya sama seperti hutang. Sebab itulah ia boleh dilakukan oleh waris bagi pihak si mati walaupun tiada wasiat, seperti mana mereka boleh membayar hutang bagi pihak si mati meskipun tiada wasiat dari si mati.
Tetapi berbeza dengan korban, ia ada unsur-unsur penebusan diri. Semua ini dijelaskan oleh Tuhfatul Muhtaj :
ويفرق بينهما وبين الصدقة بأنها تشبه الفداء عن النفس فتوقفت على الإذن بخلاف الصدقة ومن ثم لم يفعلها وارث ولا أجنبي وإن وجبت بخلاف نحو حج وزكاة وكفارة ؛ لأن هذه لا فداء فيها فأشبهت الديون ولا كذلك التضحية.
Terjemahan : Dibezakan antaranya [yakni korban dari aspek keharusan melakukannya bagi pihak orang lain] dengan sedekah iaitu ia [yakni korban] menyerupai penebusan diri, maka ia bergantung kepada keizinan, berbeza dengan sedekah.

Dari sini, waris atau orang lain tidak melakukannya [yakni korban bagi pihak si mati] meskipun ia wajib [ke atas si mati disebabkan nazar dan seumpamnya]. Berbeza dengan haji, zakat dan kifarah kerana [semua] ini tiada di di dalamnya [unsur] penebusan [diri], tidak seperti [amalan] korban [yang terdapat di dalamnya unsur penebusan diri].

4. Huraian terhadap dalil yang mengharuskan korban bagi pihak orang lain.

Antara dalil yang digunakan bagi menunjukkan bahawa melakukan korban harus dilakukan untuk orang lain meskipun tanpa kebenaran, ialah hadis Nabi s.a.w yang menceritakan perihal Baginda s.a.w mengorbankan dua ekor kibas.

Ketika menyembelih kibas yang pertama, Baginda s.a.w mengucapkan : 

اللهم هذا عن أمتي جميعا، من شهد لك بالتوحيد وشهد لي بالبلاغ

Terjemahan : Wahai tuhanku,[korban] ini [adalah] bagi pihak seluruh umatku, [iaitu yang] mengakui keesaanMu dan memperakui penyampaian [dakwah kepada manusia yang  telah ku sempurnakan]

Ketika menyembelih kibas yang kedua pula, Baginda s.a.w melafazkan :

 هذا عن محمد وآل محمد

Terjemahan : [Korban] ini bagi pihak Muhammad [s.a.w] dan keluarga Muhammad [s.a.w]. 

Hadis ini direkodkan oleh Imam Ahmad. Al-Hafiz al-Haithami menilainya dalam Majma' al-Zawa'id dengan berkata, "sanadnya hasan".

Hadis ini bagaimana pun tidak menjadi dalil kepada keharusan melakukan korban untuk orang lain tanpa kebenarannya kerana dua sebab :

Pertama : Kata-kata Baginda s.a.w "Wahai tuhanku, [korban] ini [adalah] bagi pihak seluruh umatku", bermaksud Baginda s.a.w meniatkan pahala korban untuk semua umat Baginda s.a.w.

Tindakan sebegini dibolehkan seperti yang dijelaskan dalam Mughni al-Muhtaj :

لو أشرك غيره في ثواب أضحيته وذبح عن نفسه جاز

Terjemahan : Jika dia (yakni orang yang melakukan korban) menyertakan orang lain dalam pahala korbannya dan [kemudian] menyembelih [korban]  untuk dirinya, [maka yang sedemikian itu adalah] harus.

Kedua : Nabi s.a.w melakukan demikian di atas sifat Baginda s.a.w sebagai seorang ketua negara. Ketua negara sememangnya diperuntukkan hak-hak tertentu yang berbeza dengan orang awam dalam sesetengah perkara.

Dengan sebab itu, Mazhab Syafie mengharuskan ketua negara melakukan korban menggunakan wang baitul mal bagi pihak semua rakyat beragama Islam.

Sekian.


 

1 comment: